Saturday, March 24, 2018


MASIH MENGENANG BUDIKAH ORANG MELAYU?

                   Aku terpangggil setelah meneliti kenyataan TS Rafidah Aziz apabila beliau mengatakan bahawa,"Kita tidak perlu sentimental dan setia kepada parti atau individu. Jangan sekali-kali merasa terhutang budi sehingga sanggup menutup mata dan telinga kepada perkara tidak betul yang melanda negara.Fikirlah kesan (masalah sekarang) kepada masa depan anak dan cucu kita. Apa akan terjadi jika negara dibiarkan dilanda masalah besar yang ada sekarang," Malaysiakini – 24 Mac 2018

                   Lantas aku mempersoalkan, ‘masih mengenang budikah orang Melayu kini?’ ataupun betul apa yang diamalkan oleh DS Mohd Najib yang mengatakan bahawa ‘Cash is king’. Betul seperti digambarkan dalam pantun Melayu lama,
                   Puas sudah ku tanam ubi
                        Nenas juga di ladang orang
                   Puas sudah ku tanam budi,
                        Emas juga dipandang orang

                   Jikalau mengikut apa yang cuba disampaikan oleh TS Rafidah Aziz bahawa beliau masih menganggap bahawa ahli UMNO begitu sentimental kepada partinya dan masih setia berpegang teguh kepada parti dan pemimpin parti berkenaan. Maknanya penyokong veteran (terutamanya) UMNO masih teguh berpegang kepada parti UMNO walaupun  bukan disebabkan sogokan ‘dedak’ sebagaimana yang diamalkan. Apatah lagi apabila berbagai habuan disediakan.

                   Sudah begitu lantang suara-suara ‘orang lama’ (seperti Tun Mahathir, TS Muhyiddin Yasin, DS Rais Yatim, TS Rafidah Aziz) menyeru agar bertindak ‘membetulkan keadaan’ dalam negara kini yang disifatkan akan hancur jika tidak diselamatkan. Rakyat Melayu khususnya boleh melakukan sesuatu dalam menentukan jatuh bangunya bangsa Malaysia dengan melalui pilihan raya yang ke 14 yang akan diadakan tidak lama lagi. Kaum wanita UMNO khususnya harus sedar dan peka tentang apa yang disuarakan oleh TS Rafidah Aziz itu. Itu bukan seruan yang sengaja-senagaja dilafazkan, tetapi merupakan seruan dari hati dan sanubari yang tulus ikhlas agar orang Melayu bangun dan menyelamatkan negara.

                   Persoalannya apakah orang Melayu masih tidur dan masih tidak mahu faham dengan berbagai seruan yang ‘dipekikkan’ di telinga mereka. Seruan macam mana lagi yang diperlukan oleh orang Melayu supaya betul-betul sedar bahawa negara kita adalah dalam keadaan yang cukup meruncing.

                   Apabila mengenangkan keadaan orang Melayu, aku kadang-kadang teringat dan tergambar tentang kisah Pak Belalang sebagaimana yang diceritakan. Aku terbayang tentang kebodohan dan ‘lurus bendul’nya  orang Melayu yang bernama Pak Belalang. Lantas aku terfikir tentang bagaimana orang Melayu zaman dahulu dengan senang sekali dapat ditipu oleh British yang menjajah negara kita.

                   Teringat juga aku tentang Mat Jenin  yang sentiasa berangan-angan. Itu juga merupakan sifat orang Melayu yang sentiasa berangan-angan sedangkan kaum lain sudah begitu maju dihadapan dalam lapangan masing-masing. Ada Orang Melayu marah dengan kejayaan orang lain sedangkan orang Melayu masih berangan dan bermimpi. Orang Melayu ingin senang seperti orang lain tetapi tidak mahu berusaha sekuat seperti orang lain. Orang lain menjadi kaya raya kita marah sedangkan kita masih berangan-angan.

                   Mengikut sejarah orang Melayu hanya Hang Jebat sahaja yang berani menderhaka dan penentanganya bukan disebabkan membela rakyat tetapi membela sahabatnya Hang Tuah. Dan orang Melayu pernah menentang penjajah disebabkan penindasan yang dilakukan terhadap rakyat seperti yang dilancarkan oleh Tok Janggut di Kelantan dan Tuan Haji Abdul Rahman Limbung di Terengganu. Dan orang  Kelantan juga yang membuat kejutan menewaskan Barisan nasional di negeri itu pada awal tahun 1990an. Dan orang Terengganu juga pernah membuat ‘kejutan’ menewaskan Barisan Nasional.

                   Bertolak dari peristiwa-peristiwa ini apakah rakyat Kelantan dan Terengganu khususnya dan rakyat dari negeri lain akan membuat kejutan dengan menewaskan kerajaan Barisan nasional dalam PRU 14 yang akan datang. Kini isunya semakin perit yang membabitkan kelangsungan kemajuan bangsa  pada masa akan datang. Isu yang diperjuangkan pada kali ini amat penting untuk dimenungkan yang membabitkan usaha menyelamatkan bangsa dan negara dariapada tergadai.

                   Kebimbangan yang sedemikianlah yang menyebabkan ‘wira-wira/wirawati ‘ lama bangun mengorak langkah semula. Inilah yang dinamakan orang perjuangan yang tidak sanggup melihat bangsa dan negara diambang kehancuran. Malaysia perlu diselamatkan dan bangsa Malaysia perlu ditegakkan semula.

abuhassanadam
24 Mac 2018


No comments:

Post a Comment