Friday, March 23, 2018


RAKYAT MENUNGGU TUN MAHATHIR KALI KEDUA

            Rata-rata rakyat Malaysia kini menunggu kedatangan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri bagi kali kedua. Tidak timbul isu ‘tua-muda’ bagi kebanyakan yang ditemui. Yang pentingnya Tun Mahathir perlu kembali untuk ‘membetulkan’ keadaan negara yang amat ‘kucar-kacir’ kini.

            Kebanyakan rakyat yang ditemui merasakan ada dua sebab penting yang menyebabkan ‘kedatangan’ Tun Mahathir amat penting bagi negara Malaysia yang sedang menghadapi krisis yang bukan kepalang kini.
·      Mereka merasakan bahawa hanya Tun Mahathir yang dapat membetulkan keadaan kemelut yang sedang dihadapi oleh negara sekarang. Rakyat merasakan bahawa hanya ada dua tokoh negara yang boleh menyelamatkan keadaan yang ada kini. Tun Dr. Mahathir Mohammed dan Saudara Anwar Ibrahim. Tetapi malangnya Saudara Anwar Ibrahim tidak ada untuk bersama-sama dalam perjuangan ini, maka hanya Tun Mahathir yang ada untuk menyelamatkan bangsa dan negara.
·      Bagi mereka yang pernah berada di bawah pentadbiran Tun Mahathir (1981-2003) merasakan bahawa itulah merupakan zaman gemilang yang dialami oleh Malaysia. Berbanding dengan keadaan sekarang, adalah ibarat membandingkan malam dengan siang. Ramai yang merasakan bahawa mahu kembali kepada zaman gemilang demikian.

            Sebenarnya rakyat Malaysia amat kecewa ketika Saudara Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Rakyat begitu mengharapkan suatu kesinambungan kepimpinan cemerlang yang telah diasaskan oleh Tun Mahathir dan diteruskan pula oleh Saudara Anwar Ibrahim. Rakyat merasakan bahawa tidak ada tokoh lain yang boleh mewarisi kepimpinan Tun Mahathir melainkan Saudara Anwar Ibrahim.

            Rakyat pada ketika itu hampir tidak percaya apa yang berlaku kepada Saudara Anwar Ibrahim. Rakyat hampir tidak percaya bahawa pemecatan Saudara Anwar Ibrahim adalah berpunca daripada angkara Tun Mahathir pada ketika itu. Rakyat lebih mempercayai bahawa terjadinya peristiwa pahit itu adalah disebabkan angkara ‘fitnah dan busuk hati dan dendam kesumat’ individu-individu yang rapat dengan Tun Mahathir pada ketika itu. ‘Tokoh-tokoh’ itulah yang berkemungkinan menghasut Tun Mahathir supaya mengambil tindakan sedemikain terhadap Saudara Anwar Ibrahim. Dan kini kelihatan jelas bahawa kebanyakan mereka yang dianggap ‘rapat’ dengan Tun Mahathir telah tidak kelihatan ‘kelibat’nya dalam keadaan Tun Mahathir memerlukan rakan dan taulan. Peribahasa Inggeris mengatakan, ‘ a friend in need is a friend indeed’.

            Tepat anggapan sebahagian besar rakyat Malaysia yang merasakan bahawa ‘tidak sampai hati’ Tun Mahathir memperlakukan sedemikian kepada Saudara Anwar Ibrahim. Sejarah kemasukan Saudara Anwar dalam UMNO adalah atas daya usaha Tun Mahathir sendiri yang mahukan Saudara Anwar dalam perjuangan membina negara.

            Masih segar di benak sebahgian masyarakat Malaysia bagaimana Saudara Anwar Ibrahim buat pertama kali bertanding atas tiket UMNO (BN) di Permatang Pauh yang telah mengalahkan calon PAS dengan majority yang amat besar (lebih kurang 12,000) sedangkan kawasan Permatang Pauh pada ketika itu adalah milik PAS. Lantas selepas kemenangan itu terus dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Menteri Belia, Mnteri Pertanian, Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan seterusnya menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

            Kini sejarah semacam berulang kembali. Tun Mahathir amat memerlukan ‘pertolongan’ dan kerjasama dari Saudara Anwar Ibrahim. Memang payah bagi kita untuk menduga tentang kesanggupan Saudara Anwar menerima pelawaan Tun Mahathir. Saudara Anwar menyambut dengan hati terbuka. Ini yang dikatakan ‘perjuangan’. Hanya yang bertaraf ‘pahlawan’ sahaja yang sanggup menghadapi keadaan yang sebegini. Biar diulangi lagi peribahasa Inggeris di atas. ‘ a friend in need is a friend indeed’.

            Saudara Anwar Ibrahim akan dibebaskan pada bulan Jun. Rakyat menunggu saat itu. Rakyat juga menunggu tiba detik dan ketikanya Tun Mahthir menjadi Perdana Menteri kali kedua. Antara dua peristiwa penting itu, rakyat tidak tahu yang mana satu yang lebih penting. Mungkin yang lebih penting ialah membetulkan keadaan negara yang kucar kacir dengan memenangkan Pakatan Harapan agar Tun Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri yang diikuti dengan pembebasan Saudara Anwar yang kemudiannya mengambil tempat Tun Mahathir sebagaimana yang dipersetujui. Rakyat mahu melihat ketepatan peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘biduk lalu kiambang bertaut’.

            Kepada Allah kita serahkan segala-galanya. Kita hanya mampu merancang.

abuhassanadam
23 Mac 2018

No comments:

Post a Comment