Friday, March 30, 2018


‘PENAMPILAN’ TS RAFIDAH MEMBAHAYAKAN UMNO

            Tindakan TS Annuar Musa dan DS Nazri Aziz mengusik ‘sarang tebuan’ TS Rafidah Aziz merupakan satu tindakan yang kurang cerdik. Mungkin mereka merasakan yang mereka sudah begitu hebat. Mereka masih ‘berhingus’ ketika TS Rafidah ‘bersepak terajang’ yang bukan sahaja di Malaysia malah di arena antara bangsa. Dan mungkin juga salah satu sebab yang menyebabkan Malaysia terkenal di arena antara bangsa (dulu) disebabkan kehebatan TS Rafidah Aziz yang menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, walaupun sumbangan Tun Mahathir dalam menaikkan nama Malaysia tidak harus dipertikaikan.

            Kini TS Rafidah Aziz dikutuk oleh rakan-rakan yang sama-sama berada dalam UMNO pada suatu ketika dulu. Tun Mahathir juga dikutuk dengan menggunakan bahasa dan adab yang tidak berapa sesuai bagi orang Melayu. Ts Muhyiddin Yssin, bekas Timbalan Perdana Menteri dikutuk dan dihina. Kini Dr Rais Yatim juga diheret sama menjadi bahan kutukan ahli UMNO.

            Yang ingin dipersoalkan ialah seolah-olah telah kehilangan adab sopan dikalangan pemimpin dan ahli UMNO. Cara pemimpin dan ahli UMNO berbicara, memperkatakan tentang keburukan pemimpin lama mereka adalah di luar dugaan dan kemampuan kita untuk memikirkannya. Seolah-olah tidak ada langsung kebaikan yang ada pada pemimpin yang menjadi bahan kutukan mereka. Dan cara mereka menyampaikan ‘kutukan’ adalah sudah terkeluar dari batas-batas adab sopan sepertimana yang diajar oleh ibu bapa mereka (jikalau ibu bapa mereka mengajar begitu)

            Kini wira-wira dan wirawati lama sudah kembali. Mungkin mereka sudah tidak sabar melihatkan berbagai ‘musibah’ yang menimpa negara. Mungkin mereka sudah tidak tertanggung ‘derita’ bagaimana negara kita Malaysia dipandang amat hina oleh negara lain disebabkan skandal IMDB yang jelas tampak akan memusnahkan negara ini tetapi dipandang ringan oleh pemimpin UMNO yang memerintah negara. Seluruh dunia mengatakan bahawa kapal Equanimity adalah milik Jho Low hasil dari wang yang diperolehi dari IMDB. Namun di Malaysia pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku.

            Keadaan sebeginilah agaknya yang menyebabkan TS Rafidah Aziz  dan DS Dr Rais yatim ‘mengamuk’. ‘Mengamuk’ dalam erti kata untuk membetulkan keadaan yang agak pincang. Mengamuk dalam erti kata untuk menegur yang diperhatikan tidak betul . Namun hasrat murni mereka untuk membetulkan keadaan itu telah ‘disambut’ dengan kutukan dan kata nista yang datangnya dari pemimpin yang dianggap masih ‘berhingus’ berbanding dengan apa yang telah dialami oleh mereka.

            Dengan perkembangan ini UMNO dalam bahaya. Apa tidaknya. Jikalau dahulu tidak ada bekas pemimpin wanita yang berani ‘kehadapan’ kini sudah muncul TS Rafidah Aziz yang menawan ‘hati dan perasaan’ wanita UMNO buat beberapa lama. Pastinya ramai ahli UMNO masih ingat dan masih sayang pada pemimpin mereka. Jasa dan sumbangan Rafidah buat beberapa lama akan tetap dikenang dan diingati. Dan pastinya juga ramai wanita UMNO ( yang lama dan yang baru ) akan ‘buka mata’ dengan perkembangan yang berlaku sekarang ia itu tentang kritikan yang dilancarkan oleh TS Rafidah terhadap kerajaan.

            Jikalau pun wanita UMNO tidak terus menerus menyokong apa yang dilakukan oleh TS Rafidah kini, pastinya merka memenungkan juga dan mempersoalkan tentang mengapa TS Rafidah sanggup menentang kepimpinan UMNO kini. Tentulah ada yang tidak kena pada anggapan mereka. Dan yang lebih serious lagi sekiranya para wanita UMNO mula memikirkan tentang kesediaan Tun Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin yang sedia keluar dari UMNO dan menubuhkan parti baru semata-mata untuk menyelamatkan negara ini dari menemui kehancuran.

            Rakyat Malaysia terutama golongan rakyat yang tinggal di kampung-kampung dan kawasan FELDA mula berfikir dengan sedalam-dalamnya tentang keadaan negara Malaysia kini. Kemunculan TS Rafidah Aziz telah membuka mata seluas-luasnya bagi ahli Wanita UMNO seluruh Malaysia kini.

abuhassanadam
30 Mac 2018





No comments:

Post a Comment