Friday, March 23, 2018


MEMELIHARA KEMURNIAN GELARAN PROFESSOR

            Zaman dulu-dulu tidak mudah untuk mendapat gelaran professor. Maksud aku zaman tahun-tahun 1960an atau 70an. Tidak ramai pun yang mendapat gelaran demikian. Yang bernasib baik mendapat gelaran demikian bukanlah calang-calang tokoh. Dan bukanlah calang sumbangan yang telah diberikan untuk melayakkan seseorang mendapat gelaran professor. Dan tentulah tidak mudah untuk memelihara kemurnian sesuatu gelaran yang telah dianugerahkan.

            Bagi orang Melayu pada ketika itu, jikalau diminta untuk memberikan contoh tokoh yang mendapat gelaran professor, maka yang terlintas di kepala mereka pada ketika itu tentulah Prof. Ungku Aziz atau Prof Zainal Abidin Wahid, Ainuddin Wahid, Awang Had Salleh, Atan Long, Khoo Kay Kim dan beberapa ‘kerat’ nama lain.

            Pada ketika itu yang bergelar professor tak ramai. Tidaklah seperti sekarang. Kini, mungkin jikalau dilimparkan batu mungkin jatuh atas kepala professor. Bukan sahaja di universiti awam, malah di universiti swasta juga dipenuhi dengan professor. Disebabkan terlalu ramainya yang bergelar professor telah muncul juga gelaran ‘Professor kangkung’.

            Gelaran ‘professor’ adalah gelaran yang murni. Sesiapa sahaja bergelar Professor ( pada suatu ketika dahulu) akam dihormati oleh masyarakat. Akan dipandang tinggi oleh semua lapisan masyarakat yang bukan sahaja bagi pelajar-pelajar universiti malah bagi masyarakat umum memberikan penghormatan yang begitu tinggi.

            Prof Ungku Aziz misalnya adalah antara tokoh yang sentiasa disanjung dan dikenangi oleh rakyat sehingga kini kerana jasa dan sumbangannya memperkenalkan Lembaga Urusan Tabung Haji bagi memudahkan jemaah Haji untuk menunaikan ibadat Haji ke Makkah.Dan beliau jugalah yang meletakkan kedudukan University Malaya setaraf dengan pusat pengajian tinggi luar negara.  Sehingga sekarang buah fikirannya menelurkan sesuatu projek dikenang oleh rakyat.

            Sesuatu yang dapat dibandingkan antara yang bergelar professor zaman dahulu dengan zaman kini ialah dari segi adab susila seorang Professor untuk memelihara kemurniaan gelaran professor yang disandang oleh mereka. Setiap perkataan yang terkeluar dan yang dituturkan oleh mereka merupakan intan yang sangat di nilai. Kadang-kadang setiap buah fikiran yang dilahirkan oleh golongan ini akan dibincangkan buat beberapa ketika. Setiap cadangan yang dicetuskan amat sukar untuk dinafikan kebenaran dan kesahihannya. Dengan sebab itulah rakyat memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada mereka.

            Tokoh yang bergelar professor pada tahun-tahun 60an dan 70an tidak mudah bagi mereka ‘menggadaikan’ prinsip pegangan mereka. Mereka betul-betul mengamalkan apa yang diyakini oleh mereka tanpa dapat diganggu-gugat. Mereka bercakap berasaskan kepada apa yang diyakini dan bukan dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Dengan sebab itulah gelaran professor yang ‘disandang’ oleh mereka begitu bernilai dan dihormati oleh setiap anggota masyarakat.

            Yang agak menyenangkan rakyat Malaysia sehingga kini ialah tentang belum ada lagi tokoh-tokoh akademik yang bergelar professor terlibat dalam kes-kes rasuah sepertimana yang berlaku kepada individu-individu yang bergelar Datuk dan Tan Sri. Sudah begitu ramai golongan yang bergelar Dato’ dan Tan Sri terlibat dengan berbagai-bagai kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah. Sudah tentulah rakyat tidak akan menghormati golongan yang sebegini. Dan sekiranyalah golongan professor juga didakwa atas kesalahan rasuah dan sebagainya, maka itu merupakan kemunculan  zaman gelap dalam arena pendidikan di Malaysia.

            Pendek kata tentulah sukar untuk memelihara apa saja gelaran yang diberikan kerana kemurnian gelaran sedemikian amat perlu dipelihara dan dijaga.

abuhassanadam
23 Mac 2018



No comments:

Post a Comment