Tuesday, June 25, 2013

ANAK-ANAK DIAJAR BERMORAL, PEMIMPIN TIDAK BERMORAL

ANAK-ANAK DIAJAR BERMORAL, PEMIMPIN TIDAK BERMORAL

Aku berasa kasihan kepada anak-anak yang belajar pelajaran Moral di sekolah. Tambah menyedihkan aku lagi ialah mengenangkan nasib cikgu-cikgu yang mengajar pelajaran itu. Apa tidaknya. Apa yang diajar oleh guru dan apa yang dipelajari oleh anak-anak mengenai pelajaran moral di sekolah sangat berbeza dengan keadaan dan realiti yang wujud dalam masyarakat sebenarnya. Anak-anak menjadi ‘pening’. Guru-guru bertambah ‘pening’.

Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral 2000 yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kememnterian Pelajaran Malaysia dalam ‘pendahuluan’nya menyebut bahawa, ‘Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral’

Elok benar bunyinya dan tentulah murni hasratnya. Dan bertungkus lumuslah cikgu-cikgu di sekolah cuba menerapkan nilai-nilai itu kepada anak-anak di sekolah rendah dan di sekolah menengah juga. Malangnya apabila anak-anak berada di luar sekolah, mereka diketemukan dengan berbagai-bagai bentuk manusia dewasa yang tidak bermoral. Media elektronik dan media cetak sentiasa mendedahkan kisah-kisah manusia yang tidak bermoral. Kadang-kadang bukan sahaja dilakukan oleh ahli masyarakat biasa malah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara.

·      Bermoralkah seseorang itu sekiranya dia sanggup membunuh manuasia lain. Kisah bunuh membunuh. rompak merompak adalah perkara yang sudah menampakkan satu kebiasaan di Malaysia. Dan yang menghairankan juga ialah ada pembunuh yang boleh terlepas dari hukuman disebabkan pertalian yang rapat dengan pihak-pihak tertentu terutama yang bertanggungjawab untuk menjatuhkan hukuman. Bermorlakah insan yang sedemikian?
·      Berakhlak muliakah seseorang yang menggunakan kedudukannya untuk menindas dan mengambil kesempatan menggunakan kedudukannya demi untuk memperkayakan diri dan keluarganya. Keadaan sedemikian juga merupakan satu perkara biasa di Malaysia kini. Yang melakukan kesalahan atau ‘ insan yang tidak bermoral dan berakhlak mulia’ tidak pun menunjukkan rasa bersalah atas segala kesalahan yang dilakukan. Mereka memiliki ‘kulit muka yang sungguh tebal’ dan tidak langsung hirau tentang menjaga harga diri dan marwah mereka.

Yang menyedihkan keadaan sedemikianlah yang sentasa ‘dilihat’ dan ‘diperhatikan’ oleh anak-anak yang mempelajari Pelajaran Moral di sekolah yang menekankan tentang perlunya melahirkan insan yang bermoral atau berakhlak mulia. Anak-anak pastinya keliru dengan keadaan sedemikian. Pastinya mereka menyoal diri mereka sendiri.  Apakah pelajaran yang dipelajari mereka disekolah itu hanya sebagai memenuhi masa lapang di sekolah dan bukan sebagai bekalan hidup.

Mungkin mereka ingin bertanya tentang keadaan sedemikian kepada ibu bapa mereka. Namun terdapat juga ibu-bapa yang tidak dapat menjawab soalan anak itu dengan penuh ikhlas kerana ibu bapa mereka juga bersikap, beretentangan dengan apa yang dipelajari mereka di sekolah.

·      Bagaimanalah ibu bapa hendak mencegah anak-anak ( yang masih bersekolah ) untuk tidak merokok sedangkan ibu dan ayah mereka adalah ‘ chain -smoker’. Tentulah amat berat bagi si ayah untuk mengeluarkan kata nasihat kepada anak supaya jangan merokok.
·      Bagaimanalah agaknya si ayah atau si ibu untuk menasihati anak yang suka keluar dan ‘melepak’ dengan kawan-kawan di luar rumah sedangkan si ibu atau si ayah pun jarang-jarang berada di rumah.
·      Bagaimanalah si ayah atau si ibu  menasihati si anak supaya sentiasa mengerjakan sembahayang lima waktu ( untuk pelajar Islam) sedangkan si anak tidak pernah pun melihat si ayah atau si ibu mengerjakan solat sepanjang hayatnya. Apatah lagi mengerjakan solat berjemaah.
·      Bagaimanalah si ayah atau si ibu untuk menasihati si anak agar berperangai mulia sekiranya sianak pernah melihat si ayah atau si ibu ‘menggatal’ dengan pasangan-pasangan yang tidak sepatutnya mereka dampingi.

Persoalan yang aku kemukakan ini enteng bunyinya. Perkara kecil dan remeh. Dan tentu juga ramai yang mengatakan bahawa itu bukan masalah negara yang memerlukan pemikiran secara serious. Mungkin ramai yang mengatakan bahawa apa yang aku kemukakan itu adalah problem masyarakat yang sedang menuju kemajuan, pembangunan dan pemodenan. Lantas kita tidak dapat lari dari perkara-perkara sedmikian.

Sekiranya begitu pegagangan ramai anggota masyarakat di Malaysia kini mengapa dibebankan anak-anak disekolah dengan pelajaran moral yang menitikberatkan tentang mewujudkan insan yang bermoral dan berakhlak mulia.

Aku selitkan lagi ‘hasrat’ Sukatan Pelajaran Moral di sekolah-sekolah,

Untuk membolehkan murid memahami, menghayati serta mengamalkan prinsip-prinsip tersebut sebanyak lima bidang pembelajaran telah dikenal pasti dan nilai-nilai moral disampaikan menerusi bidang pembelajaran tersebut. Selain aspekkerohanian dan kemanusiaan, bidang pembelajaran itu juga menekankan aspek kemasyarakatan dan kebudayaan. Bidang pembelajaran tersebut adalah seperti berikut :

1. Nilai berkaitan dengan Perkembangan Diri

2. Nilai berkaitan dengan Diri dan Keluarga

3. Nilai berkaitan dengan Diri dan Masyarakat

4. Nilai berkaitan dengan Diri dan Alam Sekitar

5. Nilai berkaitan dengan Diri dan Negara

Sedapnya bunyi cita-cita dan hasrat Kementerian Pelajaran itu. Syabas! Namun begitu sudah sampai masanya juga kita ( termasuk aku) memikirkan bagaimana agaknya hasrat ini dapat dipraktikkan oleh masyarakat kita menepati erti kata yang sebenar-benarnya.

Para pemimpin kita harus sedar bahawa mereka adalah contoh dan ikon yang sentiasa diperhatikan oleh anak-anak kita. Sekurang-kurangnya mereka perlu menunjukkan contoh yang sebai-baiknya kepada anak-anak kita.

Tolonglah……

Abuhassanadam
25 Jun 2013



No comments:

Post a Comment