Friday, June 14, 2013

MENGENANG KEMBALI DATO ONN JAAFAR

MENGENANG KEMBALI DATO ONN JAAFAR

Aku tak tahu samada tindakan Dato’ Onn meninggalkan UMNO itu betul atau sebaliknya.  Bulan Ogos 1951 Dato Onn selaku presiden UMNO telah mencadangkan agar nama UMNO ditukarkan kepada United Malayan National Organization. Dengan demikian dapatlah UMNO menerima kemasukan ahli bukan Melayu ke dalam pertubuhan itu. Cadangan Dato Onn itu telah ditentang habis-habisan oleh orang Melayu yang meneyebabkan beliau meninggalkan UMNO dan menubuhkan Independence of Malaya Party ( IMP) ataupun Parti Kemerdekaan Malaya bersama-sama dengan  Tan Cheng Lock yang memimpin parti MCA ( Malayan Chinese Association). Kepimpinan UMNO diterajui oleh Tunku Abdul Rahman selepas itu.

Dalam konteks  negara Malaysia kini maka apa yang disuarakan oleh Dato Onn pada tahun 1951 merupakan satu pandangan yang ‘ far sighted’. Satu laungan seorang pemimpin yang ‘terus mata’ dapat melihat dengan jelas ‘lorong’ yang akan dilalui oleh negara dan ke mana matlamatnya. Mungkin Dato Onn dapat melihat bahawa mahu tak mahu, lambat laun negara akan menuju kesebuah negara yang berbilang kaum. Atas asas yang demikian agaknya maka beliau mengemukakan cadangan agar UMNO membuka keahliannya kepada bukan Melayu.

Tindakan Dato’ Onn yang sedemikianlah yang menyebabkan aku termenung memikirkannya.Apakah Dato Onn tidak dapat merasakan yang cadangannya itu pasti mendapat tentangan dari ahli UMNO. Sebagai seorang pemimpin pasti dia dapat merasakan. Tetapi mengapa dia teruskan juga cadangan berkenaan. Dan pasti dia akan dapat rasakan jawapan yang akan diterimanya. Inilah yang dikatakan ‘kehebatan’ Dato’ Onn berbanding dengan pemimpin lain dalam UMNO, pada pandangan aku.

Pasti juga Dato’ Onn telah ‘membaca’ dan menilik suasana politik di Tanah Melayu pada ketika itu. Orang Melayu begitu marah pada penjajah British kerana memperkenalkan gagasan Malayan Union. Banyak sebab yang menyebabkan orang Melayu ‘naik berang’. Belum pernah lagi orang Melayu ‘naik darah’ sepertimana yang ditunjukkan oleh mereka ketika menentang Malayan Union. Malah Dato Onn sendiri berada di barisan hadapan menentang Malayan Union.

Justeru tentu beliau amat faham tentang ‘mood’ orang Melayu pada ketika itu. Dengan demikian mengapa masih diteruskannya juga hasrat meminta persetujuan ahli UMNO ( orang Melayu) agar mengiakan cadangannya memasukkan orang bukan Melayu ke dalam UMNO.

Mungkin Dato Onn memikirkan bahawa seharusnya mesti ada sesuatu langkah tertentu ke arah mewujudkan perpaduan kaum di Tanah Melayu pada ketika itu sekiranya betul-betul mahu mencapai kemerdekaan. Pihak British seolah-olah telah meletakkan syarat bahawa kemerdekaan akan diberikan setelah ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu boleh bekerjasama dan bersatu padu.Dan British juga meletakkan syarat sedemikian dengan penuh sedar memikirkan bahawa adalah satu perkara mustahil ketiga-tiga kaum terbesar ( Melayu, Cina dan India) dapat mencapai perpaduan.

Seorang ahli falsafah China Laozi pernah mengatakan  bahawa ‘ a journey of a thousand miles begins with a single step’. Mungkin Dato Onn juga menghayati falsafah demikian dan lantas menubuhkan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum ( Communities Liason Committee – CLC ) pada tahun 1949 bersama-sama dengan Tan Cheng Lock di Pulau Pinang. Setakat yang aku tahu dan aku fahami inilah merupakan kerjasama antara kaum yang pertama yang pernah diwujudkan di Tanah Melayu.

Sebelum itu kaum-kaum terbesar di Tanah Melayu ini membawa haluan masing-masing. Kaum Cina dengan kehidupan berniaga dan melombognya dan kaum India pula kebanyakannya berada di ladang-ladang getah dengan cara kehidupan yang tersendiri. Dan kaum Melayu ‘ kesaorangan’ dalam memperjuangkan nasib bangsanya menentang penjajah British. Dan setelah tertubuhnya CLC, barulah nampak penglibatan kaum Cina dalam proses memperjuangkan nasib Tanah Melayu. Usaha ini disertai oleh kaum India kemudiannya.

Dan daya usaha sedemikian di terajui oleh Dato’ Onn Jaafar, sementara kaum Cina diwakili oleh Tan Cheng Lock. Bermula tahun 1949, kedua-dua pemimpin ini telah mula membincangkan mengenai arah tuju negara dalam merangka kemerdekaan. Mereka telah mulai cuba menyelesaikan  isu yang agak rumit yang merupakan isu ‘ duri dalam daging’ yang berkaitan dengan kerakyatan orang golongan imigran. Walaupun belum mendapat pengesahan raja-raja Melayu namun mereka telah nampak jalan penyelesaian bagaimana untuk menyelesaikannya.

Penubuhan RIDA ( Rural Industrial Development Authority) adalah idea cetusan daripada perbincangan dalam CLC. Mereka telah mula sedar tentang betapa pentingnya orang Melayu di luar bandar dibela dan dimajukan dalam era kemerdekaan. Usaha sebegitu dipersetujui dengan sepenuh hati oleh kaum Cina yang diwakili oleh Tan Cheng Lock dalam CLC. Mungkinlah agaknya disebabkan keyakinan yang begitu tinggi terhadap kejayaan CLC dan kesediaan kaum Cina untuk sama-sama merangka kemerdekaan yang menyebabkan Dato Onn ‘melagang’ ke langkah seterusnya – menyatukan kaum dan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mungkin…

Atas alasan itu lah agaknya Dato Onn mencadangkan pembukaan keahlian UMNO kepada kaum bukan Melayu.

Bagi aku usaha yang dilakukan oleh Dato Onn ke arah mewujudkan perpaduan kaum di Tanah Melayu itu bukanlah calang-calang usaha. Perlu diingat bahawa pada ketika Dato Onn merancangkan projek perpaduan itu,  senario diTanah Melayu atau Malaya adalah amat berbeza dengan senario yang wujud kini. Perasaan perkauman antara ketiga-tiga kaum itu amat menebal. Pada zaman itulah kita dapat melihat yang kaum Cina masih ‘berkiblat’ ke China dan memuja Mao Tze Tung, sementara kaum India tidak terlepas walau sesaat sekalipun pandangan mereka ke India dan memuja Mahatma Gandhi.

Dalam keadaan sedemikianlah Dato Onn boleh menembusi benteng perkauman itu dan membawa Tan Cheng Lock ke meja perundingan demi untuk membebaskan negara Tanah Melayu daripada British. Dan bersedia pula berkongsi dengan kaum Cina dan India yang merupakan kaum mendatang di negara ini.

Itulah kehebatan Dato Onn bin Jaafar.

Abuhassanadam
14 Jun 2013


No comments:

Post a Comment