Thursday, June 27, 2013

SOTONG BAKAR DAN BULAN PUASA

SOTONG BAKAR DAN BULAN PUASA

Lagi dua minggu kita berpuasa semula. Pak Haji Sulaiman (yang mengajar aku sedikit sebanyak hal-hal  agama ) mengatakan bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-natikan oleh umat Islam. Bulan yang mulia. Siangnya kita berpuasa dan sebelah malamnya kita mengerjakan solat sunnat terawikh. Sekiranya dilakukan dengan sempurna, berganda-ganda pahala yang boleh kita perolehi. Lebih kurang begitulah kata Pak Haji Sulaiman pada anak-anak muridnya ( termasuklah aku).

Masih terdengar kata-kata Pak Haji Sulaiman, walaupun sudah 50 tahun berlalu.  Aku masih terbayang muka Pak Haji ketika menyampaikan ‘amanat’ itu. Dia bersandar di tiang seri di rumah tempat kami mengaji itu. Pak Haji tak pakai baju. Berkain sarung dan memakai ketayap. Masih aku ternampak tompok-tompok panau di badan Pak Haji. Itu tidak menghairankan sebab ramai orang kampung aku memang berpanau di badan masing-masing. Dan jarang memakai baju pulak. Panas agaknya. Ataupun mungkin tidak ada baju untuk dipakai. Baju hanya dipakai untuk hadir di majlis-majlis tertentu sahaja agaknya. Kini Pak Haji sudah tidak ada. Bangunan tempat mengaji itupun juga sudah tidak ada lagi…

Bulan puasa dah nak tiba. Kini kedatangan bulan Ramadhan tidak banyak memberikan makna kepada aku. Orang bandar la katakan. Keseronokannya tidak seperti aku menghadapi bulan Ramadhan 50 tahun yang lampau. Masa itu masih kanak-kanak. Aku tak tahu pulak bagaimana rasa anak-anak aku dan anak-anak orang bandar yang lain ketika menghadapi bulan Ramadhan.

Kebiasaannya beberapa hari sebelum bermulanya Ramadhan, orang kampung aku – Kampung Ekor Dusun, Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas, Perak, Malaysia – akan membersihkan surau dan kawasannya. Bergotong royong. Paling menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak macam aku. Dapat makan bubur kacang dan ‘roti kapal’ selepas selesai kerja membersihkan surau. ‘Roti kapal’ akan dicelupkan dalam bubur kacang sebelum dimakan. Memang enak.

Surau kampung Ekor Dusun sudah tidak ada lagi. Setiap kali aku balik ke kampung, akan ku lawati bekas tapak surau berkenaan. Tak jauh dari jalan kampung aku. Dan surau itu dirobohkan kerana untuk memberikan laluan kepada pemnbinaan jalan kampung aku. Surau itu terletak berhampirann dengan sawah padi. Memang nyaman berada di kawasan surau  terutama pada waktu petang. Angin yang datang dari Gunung Pondok sentiasa bertiup memberikan suasana nyaman yang amat sukar dicari di tempat lain, walaupun berada di Hawaii.

Pada setiap bulan Ramadhan, kawasan surau berkenaan menjadi tempat tumpuan. Bermula daripada pukul 3.00 petang sehinggalah subuh keesokannya, surau tidak akan sunyi. Ceria selalu. Seolah-olah orang kampung aku sedang berpesta bersuka-sukaan, walaupun dalam kelaparan berpuasa. ‘Acara’ di surau bermula pada pukul 3.00 petang apabila arwah Pak Dahaman ( tukang masak handal di kampung kami)  memulakan tugasnya memasak kanji (bubur lambuk) untuk berbuka puasa. Sememangnya dialah yang mendapat ‘kontrek’ memasak kanji pada tiap-tiap tahun. Upahnya hanyalah RM 1.00 sehari. Jadi untuk sebulan puasa, upah yang diterima oleh pak Dahaman ialah RM 30.00 ( penghujung tahun 1950an). Dia amat bahagia menjalankan tugas berkenaan.

Penduduk di kawasan kampung Ekor Dusun tak ramai. Ada 26 buah rumah sahaja. Jumlah ini aku dasarkan kepada jumlah peserta Moreh di surau kampung Ekor Dusun. Sumbangan Moreh hanya sehingga Malam 26 Ramadhan sahaja, mengambil kira sebuah keluarga akan memberikan sumbangan Moreh untuk satu malam.

Pada kebiasaannya, jamuan yang dihidangkan untuk majlis berbuka puasa ialah kanji bersama kerabu pucuk paku, taugeh. Hanya satu malam yang dianggap malam istimewa dimana dihidangkan nasi minyak berlaukkan kurma kambing. Hanya semalam. Rata-rata penduduk kampung Ekor Dusun tidak mampu membiayai perbelanjaan menyediakan nasi minyak. Dan pada malam berkenaan sudah pastilah seluruh ahli kariah Ekor Dusun ( lelaki sahaja) akan berbuka puasa di surau. Peluang untuk menikmati nasi minyak. Sekali dalam setahun!

Ada satu lagi perkara yang menyeronokkan kami setiap kali menjelangnya bulan Ramadhan. Dapat makan sotong bakar pada  selepas berbuka puasa. Namun begitu kami terpaksa menjalankan tugas membasuh pinggan dan mangkuk surau sebelum diberikan upah sotong. Seekor sotong setiap seorang dan dibiayai oleh ‘sponsor’ yang mengadakan Moreh pada malam berkenaan. Seronok betul apabila mendapat seekor sotong, walaupun harga sesekor sotong pada ketika itu hanyalah 10 sen.

Kami akan beredar ke kawasan dapur Pak Dahaman untuk membakar sotong. Majlis ‘Barbecue’. Kadang-kadang sotong-sotong itu terus dibakar tanpa dibasuh atau dibersihkan. Sedap. Dan tidak pula terdengar kanak-kanak di kampung Ekor Dusun yang sakit perut disebabkan memakan sotong yang tidak dibasuh terlebih dahulu sebelum dibakar.

Majlis ‘Barbecue’ akan berakhir setelah Abang Zaidun  ( arwah) memulakan azan Isyak. Kami akan ‘berarak’ pula ke Sungai Sauk yang tidak berapa jauh dari surau berkenaan, ( amat jernih airnya pada ketika itu. Amat berbeza dengan keadaan kini dimana airnya berlodak dan tidak sejernih dahulu lagi) untuk mandi manda dan mengambil wuduk. Kami akan bersama-sama seluruh penduduk kampung Ekor Dusun menunaikan Solat Isya dan Solat Terwaih.

Alangkah bahgianya rasa hati berada pada bulan Ramdhan di Kampung Ekor Dusun.

Aku sentiasa mengimpikan keadaan sedemikian. Pastinya tidak berulang….

Abuhassanadam
27 Jun 2013






No comments:

Post a Comment