TAMBANG BAS NAIK – FIKIRKAN SEMULA….
Baru-baru
ini aku dengar tambang bas akan dinaikkan 30%. Aku mendongak ke langit
seketika, mengenangkan kesan daripada kenaikan itu. Berbagai-bagai. Aku
terfikir tentang tambahan 30% daripada tambang biasa. Katakanlah, tambang bas
biasa ke sesuatu destinasi itu RM 20.00. Dengan kenaikan tambang bas yang baru
seseorang akan mengeluarkan RM26.00. Seorang. Jikalau lima orang ( Suami,
isteri dan tiga orang anak) si penumpang terpaksa membelanjakan tambahan RM 30.00
daripada biasa.
RM30.00
bagi seorang pekerja bergaji sederhana agak besar. Dan biasanya yang
menggunakan perhidmatan awam ialah yang bergaji kecil dan sederhana. Bagi
mereka yang berpendapatan lumayan pastinya memiliki kenderaan sendiri. Tak
perlu naik bas atau keretapi. Mungkin mereka menaiki kapalterbang untuk
mengelakkan kesesakan dan untuk menjimatkan masa di perjalananan.
Balik
mesti balik. Itu pasti. Tambang naik ke atau tambang tak naik ke, itu ‘belakang
kira’. Lambaian dari kampung amat kuat untuk ‘memujuk’ dan ‘memaksa’ anak
rantau pulang ke kampung. Dengan apa cara sekalipun mereka akan pulang ke
kampung. Keadaan yang sebeginilah yang menyebabkan perantau terpaksa
menyediakan wang ( dengan apa cara sekalipun) sebagai persediaan balik ke
kampung.
Aku
amat faham perasaan anak perantau ketika menjelangnya Hari Raya. Aku pernah
mengalaminya.
Awal
1970an. Masih student. Miskin dan hanya mengharapkan wang dermasiswa kerajaan
untuk hidup. Dengan wang dermasiswa itulah untuk membiayai yuran university dan
daripada wang demasiswa itu jugalah untuk perbelanjaan harian. Makan minum. ‘Memang
tak cukup punya’. Namun begitu pandai-pandailah berjimat dan hiduplah dengan
cara yang paling sederhana.
Bila
sampai menjelangnya Hari Raya pastinya balik kampung. Bujang. Apa erinya Hari Raya
sekiranya tidak pulang ke kampung. Bukan ada sanak saudara yang tinggal di
Kuala Lumpur. Jikalau pun mereka tinggal di Kuala Lumpur, pastinya mereka juga
akan pulang ke kampung semasa Hari Raya Aidilfitri.
Ada
dua peristiwa yang aku alami ketika pulang ke kampung waktu menjelangnya Hari
Raya. Tahun Pertama di university aku pulang ke kampung dengan menaiki lori
membawa surat khabar ‘The Straits Time’dan pada tahun berikutnya menaiki
keretapi ( berdiri sepanjang jalan selama tujuh jam). Inilah dua peristiwa yang
tidak dapat aku lupakan sampai ke hari ini. Dan selalu pula aku menceritakan
kepada anak-anak yang biasa dengan kesenangan supaya mereka dapat merasakan
‘penderitaan’ sebagaimana yang aku dan kawan-kawan yang senasib dengan aku
mengalaminya.
Tambang
keretapi dari Kuala Lumpur ke Padang Rengas pada ketika itu ialah RM8.05.
‘Tambang’ menaiki lori surat akhbar ‘The Starits Time’ atau ‘Utusan Melayu’
hanyalah disekitar RM 4.00 atau RM 5.00. Itu pun kadang-kadang dapat menaiki
dengan percuma. Terpulanglah kepada pemandu lori berkenaan. Kadang-kadang ada
pemandu yang baik hati dan tidak pun mengenakan sebarang ‘tambang’ kepada
‘penumpang’ seperti kami.
Pada
ketika itu masalah yang dihadapi oleh perantau yang hendak pulang ke kampung
sewaktu menjelang Hari Raya adalah lebih kurang sama dengan keadaan yang
dihadapi sekarang. Tidak cukup kenderaan. Terpaksa menempah tiket bas lebih
awal. Dan bilangan bas penumpang yang ada pada ketika itu amat berkurangan
berbanding dengan kini.
Masalah
yang aku dan rakan-rakan hadapi adalah lain daripada yang lain. Bukan tidak
boleh menempah tiket bas dari awal tetapi adalah untuk penjimatan. Duit tak
cukup. RM 5.00 yang dapat dijimatkan dengan menaiki lori adalah amat bermakna
untuk perbelanjaan Hari Raya. Oleh itu ramai kawan-kawan yang mengambil langkah
sedemikian, walaupun amat tidak selesa berbanding dengan menaiki bas atau
keretapi. Terpaksa bersempit-sempit dicelah-celah bungkusan surat khabar.
Pengalaman
yang kedua yang pernah aku alami ialah dengan menaiki keretapi secara percuma
tetapi terpaksa berdiri sepanjang perjalanan selama tujuh jam. Walaupun
‘menderita’ mengalaminya tapi ia merupakan pengalaman yang amat berguna untuk
diceritakan kepada anak cucu kemudian hari.
Aku
telah mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung pada tahun itu. Ini
disebabkan ‘assignment’ yang bertimbun-timbun yang perlu disiapkan. Lagipun
peperiksaan akhir sudah hampir benar menjelang. Banyak lagi yang perlu dibaca
dan diselidiki sebelum boleh menduduki peperiksaan. Dengan demikian aku
bertekad untuk tidak pulang ke kampung berhari raya pada tahun berkenaan. Aku
tabahkan hati. Aku sudah beritahu kepada emak dan bapak yang aku tak balik.
Banyak kerja. Mereka faham.
Dua
hari sebelum Hari Raya, sudah mula perantau yang tinggal di Kuala Lumpur
bergerak pulang ke kampung. Jalan-jalan raya di Kuala Lumpur mulai lengang.
Jalan Bangsar, satu-satunya jalan yang menghubungkan bandar Kuala Lumpur dengan
University Malaya pada ketika itu, sudah mulai lengang juga. Di Campus, yang
biasanya sibuk dan ceria sudah mulai lengang. Pelajar-pelajar Melayu sudah
mulai meninggalkan Campus untuk berhari raya di kampung. Tidak ramai lagi yang
berada di Campus. Agak lengang.
Aku
masih bertahan. Aku tabahkan hati aku. Masih ke Perpustakaan. Membuat
kerja-kerja yang sepatutnya aku lakukan. Di bahagian ‘Red Spot’ pun sudah tidak
susah mendapatkan buku-buku penting yang diperlukan. Sudah tidak ramai pelajar
yang menggunakan perkhidmatan berkenaan. Dah pulang ke kampung. Sudah hampir tidak ada rakan-rakan
yang rapat berada di Campus. Sudah bergembira dan bersuka ria di kampung
bersama sanak saudara menyambut hari raya agaknya.
Pukul
5.00 petang sehari sebelum Raya, aku sudah tidak boleh ‘bertahan’ lagi. Satu perasaan yang ‘bergolodak’ menyuruh aku
pulang. Bukan sedih. Kecewa pun tidak. Semacam tidak tertahan lagi perasaan
mendengar lagu ‘Dendang Perantau’ nyanyian P.Ramlee. Itu belum lagi mendengar
takbir HariRaya. Sememangnya tak tahan. Aku ‘tewas’ juga akhirnya. Dan terus ke
stesen keretapi Kuala Lumpur. Menaiki keretapi dengan tidak payah membeli tiket
kerana tiket dah habis. Aku memberanikan diri aku menaiki keretapi tanpa tiket.
Apa
nak jadi, jadilah. Aku nekad.
Perassan
sedemikianlah juga yang dirasai oleh para perantau yang akan pulang berhari
raya ke kampung pada Syawal ini. Walaupun tambang bas dinaikkan 30%, mereka
akan pulang……..
Jikalau
dinaikkan 50% pun…mungkin mereka akan pulang juga….
Abuhassanadam
30
Jun 2013.
No comments:
Post a Comment