TIDAK SEMESTINYA NASIHAT TUN MAHATHIR DIPATUHI
Tun
Mahathir semacam mahu DS Najib melakukan sebagaimana yang beliau lakukan ketika
mentadbirkan Malaysia selama 23 tahun. Malah beliau semacam ‘mengutuk’ DS Najib
kerana tidak melakukan tekanan ke atas pihak yang cuba menggugat
pentadbirannya. Pasti beliau akan terus ‘mengganggu’ DS Najib supaya bertindak
selaras dengan apa yang disarankannya. Rakyat sedang memerhati samada DS Najib
akan mengikut ‘tulunjuk’ Tun Mahathir dalam mentadbirkan negara ini ataupun sebaliknya.
Rakyat
Malaysia menghormati dan menghargai apa yang telah dilakukan oleh Tun Mahathir
ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia. Rakyat hargai sumbangan Tun Mahathir
kepada negara Malaysia. Rakyat sedar yang Tun Mahathir telah meletakkan negara
ini ke suatu tahap yang boleh juga dibanggakan, berdiri sama tinggi dan duduk
sama rendah dengan negara-negara lain di dunia. Rakyat tak lupa.
Namun
begitu apabila Tun Mahathir mulai mencampuri urusan pentadbiran DS Najib,
rakyat mulai gelisah dan ada yang merasa ‘meluat’ dengan keadaan yang
ditunjukkan oleh Tun Mahathir itu. Sepatutnya beliau hanya menyerahkan tugas
mentadbir negara ini kepada DS Najib tanpa diganggu gugat. Dan sememangnya pun
DS Najib yang dipilih oleh rakyat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia
bukannya Tun Mahathir. Zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia
sudah tamat pada tahun 2003.
Apakah
Tun Mahathir masih tidak puas lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia setelah 23
tahun menjalankan tugas itu. Apakah Tun Mahathir tidak yakin dengan kemampuan
pemimpin-pemimpin UMNO yang ada kini. Apakah Tun Mahathir memikirkan bahawa dia
seorang saja di Malaysia yang boleh melakukan pentadbiran secara efektif di
Malaysia dan menafikan kebolehan orang lain.
Ketika
pentadbiran Tun Abdullah Badawi (Pak Lah )
sebagai Perdana Menteri, Tun Mahathir sentiasa ‘campur tangan ‘ dalam
urusan negara. Beliau sentiasa memberikan cadangan dan komen mengenai
pentadbiran Pak Lah sehinggakan Pak Lah sentiasa dalam dilemma dalam
melaksanakan tugas beliau. Kadang-kadang rakyat terfikirjuga. Apakah pentadbiran
Pak Lah begitu lemah sehinggakan tidak dapat mentadbirkan negara dengan
berkesan. Dan bukankah Tun Mahathir juga yang mencadangkan Pak Lah ke jawatan
berkenaan. Sekiranya pada fikirannya Pak Lah tidak dapat menjalankan tugas
sebagaimana yang diharapkan, mengapa beliau mencadangkan namanya.
Sejarah
kepimpinan Tun Mahathir telah memperlihatkan ‘tidak ada siapa’ yang boleh
bekerjasama dengan Tun Mahathir. Mungkin beliau merasakan ‘orang lain’ tidak
setaraf dengan kebolehan dan kemampuannya. Mungkin. Rakan seperjuangannya dalam
zaman Tun Abdul Razak, Tun Musa Hitam telah diketepikannya sebagai Timbalan
Perdana Menteri dengan meletakkan berbagai kesalahan kepada Tun Musa Hitam.
Begitu juga dengan DS Anwar Ibrahim yang telah dipecatnya dari jawatan Timbalan
perdana Menteri. Bukan itu saja DS Anwar Ibrahim telah dipecat keahliannya
dalam UMNO. Cuma yang boleh bertahan bersamanya ialah Tun Ghaffar Baba. Itu pun
mungkin disebabkan oleh kerana Tun Ghaffar boleh ‘bersabar’ dengan ‘kerenah’ Tun Dr. Mahathir yang menyebabkan
beliau boleh bertahan.
Aku
tidak tahu berapa peratus rakyat Malaysia yang sudah ‘tidak tahan’ dengan
kerenah Tun Mahathir. Tetapi aku yakin yang boleh ‘tahan’ dengan ‘kelaku’ Tun
mahathir kini adalah golongan tua yang hidup bersama-sama dengan beliau,
sedangkan anak-anak muda yang tidak berapa ‘kenal’ dengan Tun Mahathir sudah
menjauhkan diri. Ini bermakna bahawa anak-anak muda sudah hilang hormat kepada
Tun Mahathir. Sebaliknya mereka amat menghormati apa yang dilakukan oleh
Perdana Menteri Malaysia yang terdahulu seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul
Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.
Antara
sebab yang menjadikan Tun Mahathir bersikap seperti yang dialami sekarang ialah
kesilapan sebilangan kecil rakyat yang terlampau ‘memberi muka’ kepada Tun
Mahathir. Tidak salah memberikan penghormatan kepada beliau atas jasa dan
sumbangannya kepada negara, tetapi adalah amat tidak betul rasanya kalau kita
sentiasa mengiakan apa saja yang dilakukan oleh Tun Mahathir walaupun pada
pandangan kita apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir itu tidak berapa betul.
Bagi
aku amat tidak kena apabila Tun Mahathir menyarankan agar DS Najib mengambil
tindakan keras terhadap pihak yang menentangnya. Ringkasnya tindkan terhadap
pihak pembangkang, pihak yang sentiasa menganjurkan ‘Black 505’. Aku tak yakin
‘nasihat’ Tun Mahathir kepada DS Najib itu ikhlas. Mungkin nasihat itu
bertujuan untuk ‘menghancurkan ‘ DS Najib sendiri. Mungkin Tun Mahathir ingin
menamatkan kerjaya DS Najib sebagai pemimpin UMNO dan seterusnya Perdana
Menteri. Mungkin…
Aku
agak begitulah. Sebab ‘nasihat’ sedemikian amat tidak sesuai dijalanakan dalam
zaman ini. Mungkin tahun-tahun 80an dan 90an amat sesuai dilakukan tindakan
kekerasan seperti itu dalam konteks zaman yang berbeza. Terlampau banyak sangat
perbezaanya zaman itu dengan zaman pentadbiran DS Najib.
·
Peranan sosial media adalah sesuatu yang
luar biasa pada zaman ini berbanding dengan zaman Tun Mahathir dimana sumber
maklumat hanya diperolehi melalui sumber maklumat arus perdana sedangkan kini
anak muda sudah ‘melupakan’ langsung TV milik kerajaan.
·
Masyarakat
Malaysia Kurun ke 20 amat berbeza dengan masyarakat Malaysia Kurun ke 21
terutama jika ditinjau mengenai keadaan anak mudanya. Amat berbeza. Dengan
mendapat pendidikan tinggi, anak muda Malaysia sudah terdedah dengan
berbagai-bagai pengaruh yang datang dari luar melalui sosial media. Lantas
membolehkan mereka berfikir dan membuat keputusan sendiri.
Tun
Mahathir mungkin boleh terus mendapat penghargaan dan sanjungan daripada sebahagian
kecil ahli UMNO, kerana kebanyakan ahli UMNO masih berfikiran sepertimana
keadaan Tun Mahathir mentadbir negara ini. Itu pun tidak dapat dipastikan
‘umurnya’ kerana kebanyakan ahli UMNO yang
mendapat pendidikan tinggi sudah mula berfikiran rasional dan kritikal
terhadap sesuatu isu.
Tun
Mahathir akan terus berperanan sedemikian selagi masih ada pengikutnya yang
merasakan tindakan beliau itu wajar.
Abuhassanadam
17
Jun 2013
No comments:
Post a Comment