Wednesday, June 26, 2013

MENYESAL atau BERUNTUNG MENJADI ORANG MELAYU!

MENYESAL atau BERUNTUNG MENJADI ORANG MELAYU!

Aku baca saranan dan cadangan ahli bijak pandai negara tentang cara bagaimana untuk memajukan orang Melayu dalam lapangan pendidikan. Pandangan mereka itu tentunya bernas belaka apatah lagi datangnya dari tokoh-tokoh pendidikan negara seperti Bekas Ketua pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu shah, Bekas Pengarah UITM, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Dr. Zainal Kling.

Selepas aku tilik dan aku pandang, aku rasa pandangan dan saranan yang dikemukakan itu saolah-olah ditujukan kepada masyarakat Melayu sekitar tahun 1940an atau 1950an. Dan jikalau tak silap aku saranan dan pandangan sedemikian sentiasa dilaungkan oleh tokoh-tokoh-tokoh seperti Zaaba, Aminuddin Baki, Ungku Umar dan beberapa orang lain yang seangkatan dengan mereka. Dan tidak harus diperkecilkan juga peranan guru-guru Melayu lepasan SITC Tanjung Malim yang sentiasa memperkatakan isu-isu berkenaan – mencelikkan orang Melayu.

Semakin lama aku baca pandangan yang dikemukakan itu lagi banyak persoalan yang ‘menendang’ benak aku.

·      Apakah orang Melayu masih mundur kini yang memerlukan mereka  diberikan ‘tongkat semambu’ untuk mereka berdiri teguh?
·      Apakah tokoh-tokoh ini cuba untuk menidakkan usaha kerajaan dalam memajukan pendidikan di negara ini?
·      Apakah puluhan, ataupun mungkin ratusan sekolah berasrama penuh dan MRSM yang ditubuhkan oleh kerajaan itu tidak memberi manfaat kepada orang Melayu. Dan orang Melayu masih tidak maju.
·      Apakah orang Melayu dikampung-kampung masih miskin sepertimana keadaan masyarakat Melayu ketika dalam zaman penjajahan dulu? Apakah tidak ada langsung pembangunan infrastruktur yang dilakukan oleh kerajaan di kawasan kampung-kampung di Malaysia?
·      Apakah DEB yang diperkenalkan pada tahun 1970 itu tidak memberikan  manfaat kepada orang Melayu?
·      Apakah orang Melayu sebgitu bodoh dan lemah sehingga tidak boleh berdiri sama tegak dengan kaum lain?
·      Aapakah orang Melayu tidak ada sifat  bertanding dengan bangsa lain di dunia dan hanya mahu bertanding dikalangan orang Melayu sahaja?
·      Apakah orang Melayu sudah meletakkan dirinya sebegitu lemah sehinggakan minta dirinya dikeluarkan dari arus globalisasi.
·      Apakah orang Melayu begitu lemah sehinggakan seniasa mengaku kalah apa bila bertanding dengan kaum lain.

Aku selalu juga mengikuti persidangan agung UMNO semenjak dulu lagi. Aku berasa lega apabila mendengar ucapan-ucapan yang disampaikan oleh pemimpin-pemimpin yang mengatakan bahawa orang Melayu sudah maju, sudah berjaya, sudah mampu berkecimpung dalam era globalisasi, sudah boleh bertanding dengan bangsa-bangsa lain di duinia. Pendek kata orang Melayu sudah berubah menjadi orang Melayu baru, mengikut apa yang dikatakan oleh pemimpimpin UMNO yang menyampaikan ucapan yang berapi-api itu.  Orang Melayu sudah maju dalam serba serbinya.

Tetapi apabila aku baca semula pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh para bijak pandai negara itu, maka telah menyebabkan aku tersentak. Aku, sebagai orang Melayu tulin ( yang berasal dari kampung ) mula merasa tidak ada keyakinan untuk menempuh zaman yang penuh dengan panca roba ini. Aku ingat aku sudah cukup hebat, anak kampung yang hanya mendapat pendidikan formal hanya setakat Tingkatan Tiga ( LCE ) dapat memperolehi ijazah Sarjana dari  University Stanford, Amerika Syarikat. Aku lakukan semua itu semata-mata untuk menyahut cabaran pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu yang seringkali membakar semangat agar berjaya dalam pelajaran sampai ke peringkat paling tingggi.

Para cerdik pandai ini mungkin tidak sedar dan lupa bahawa ramai anak Melayu yang mendapat keputusan cemerlang di pusat pengajian tinggi di luar negara samada di USA, UK atau di Australia. Aku tidak dapat  menyatakan dengan tepat tentang pencapaian pelajar di USA dan di Australia, tetapi aku dapat mengesahkan dalam masa empat tahun aku ‘menjaga’ pelajar-pelajar di United Kingdom, ramai di antara mereka yang memperolehi keputusan cemerlang – dalam ertikata dapat mengalahkan pelajar-pelajar dari negara lain. Dan ada juga anak Melayu yang memecah beberapa rekod cemerlang di University Cambridge.
Apakah ini bukan kejayaan namanya. Apakah masih kita tidak mahu mengakui tentang kebolehan dan kejayaan anak Melayu ( dari kampung kebanyakannya). Aku mearasa hairan apabila ada dinyatakan oleh Datuk Dr. Zainal Kling bahawa sistem meritokrasi hanya perlu diamalkan dalam kumpulan dan bukan secara menyeluruh seperti diamalkan sekarang."Maksudnya hanya amalkan meritokrasi dalam kalangan pelajar Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina, India dengan India dan bukan secara menyeluruh,"
Aku sungguh tak faham dengan kenyataan ini. Telah aku tegaskan sebentar tadi bahawa anak Melayu bukan setakat boleh bertanding dengan pelajar Cina dan India di Malaysia sahaja, malah mereka boleh menewaskan pelajar-pelajar dari bahagian dunia yang lain. Boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi sekiranya diberikan peluang seluas-luasnya.
Kenyataan dan saranan para bijak pandai berkenaan sebenarnya mencabar kewibawaan tokoh-tokoh seperti Tan Sri Awang Had Salleh, Prof Atan Long dan anak kampung lain yang berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang begitu tinggi dengan hanya berbekalkan pendidikan Melayu yang diterima di sekolah Melayu. Namun dengan kegigihan dan kerajinan mereka telah dapat membuktikan bahawa anak Melayu tidak kurang hebatnya berbanding dengan bangsa lain di dunia. Mereka bukan sahaja boleh duduk sama tinggi dengan orang Melayu yang seangkatan dengan mereka tetapi mereka boleh ‘bersepak terajang’ di arena antarabangsa sebagaimana yang dilakukan oleh orang lain juga.

Masalah yang ada sekarang dan perlu diselesaikan segera ialah adanya golongan berada yang menggunakan kedudukan mereka mengambil segala peluang yang sepatutnya dinikmati oleh anak-anak kampung yang kurang berada.  Ringkasnya golongan berada ini telah ‘merampas’ dan ‘ merompak’ segala peluang yang seharusnya dinikmati oleh golongan yang tidak berada di kampung-kampung. Kegiatan sebeginilah yang harus dhentikan dan bukan menyekat kemajuan anak-anak Cina dan India di negara ini. Sekiranya betul mereka lebih hebat daripada pelajar Melayu, jadikan mereka sebagai ‘benchmark’ untuk pelajar Melayu mengejar kemajuan.

Tugas yang ada dihadapan kita kini ialah untuk terus memajukan anak Melayu. Ini tidak pula bermakna yang kita harus menafikan peluang kaum lain di Malaysia. Pelajar Melayu harus digerakkan agar setanding dengan pelajar Cina atau India. Jikala pelajar Cina dan India boleh belajar sepuluh jam sehari, maka pelajar Melayu juga seharusnya berbuat demikian.

Adalah menjadi tugas bijak pandai untuk merangkakan satu pelan tindakan bagi menggerakkan pelajar Melayu supaya seganding dengan pelajar Cina dan India di negara yang tercinta ini.

Bijak pandai Melayu harus begerak dan bertindak. Bukan hanya sekadar memberikan pandangan dan saranan.


Abuhassanadam
26 Jun 2013


1 comment:

  1. "Masalah yang ada sekarang dan perlu diselesaikan segera ialah adanya golongan berada yang menggunakan kedudukan mereka mengambil segala peluang yang sepatutnya dinikmati oleh anak-anak kampung yang kurang berada. Ringkasnya golongan berada ini telah ‘merampas’ dan ‘ merompak’ segala peluang yang seharusnya dinikmati oleh golongan yang tidak berada di kampung-kampung."
    Ya, termasuk orang Melayu (bukan tulen) yang baru menjadi warganegara Malaysia...

    ReplyDelete