MENGAPA RAJA DIHERET SAMA?
Secara
kebetulan aku berada di London tahun lepas
( 2012) ketika Baginda Queen Elizabeth of England menyambut ulang tahun
pemerintahannya yang ke 50 - Golden
Jubilee. Bukanlah tujuan aku ke London untuk menyambut perayaan berkenaan.
Secara kebetulan. Dan pastinya aku tidak akan melakukan perkara sedemikian
kerana berkelakukan sedemikian merupakan satu ‘derhaka’ kepada arwah bapak aku.
Semasa hayatnya bapak aku memang memusuhi British. Penjajah, katanya. Kebencian
bapak aku pada ‘orang putih’ amat luar biasa, sehinggakan dia tak mahu langsung
menyebut nama ‘England’. Sekiranya dia terpaksa menyebutnya maka disebutnya
sebagai ‘ negeri penjajah’. Yang anihnya pula ialah salah seorang cucunya –anak
aku – telah mendapat taraf ‘ Permanent
Resident’ di United Kingdom!
Yang
aku nak kongsikan dalam rencana ini ialah tentang bagaimana rakyat Britain
menghormati Queen ( Raja) mereka. Mereka hormat dan sayang sungguh dengan Raja
mereka. Mungkin jugalah ada segelintir yang tidak begitu sesuai dengan sistem
monarki. Biasalah. Di mana-mana pun ada yang bersikap demikian. Tetapi yang
aku hairan dan kagum ialah majoriti
rakyat Britain suka dan sayang pada Raja mereka. Aku dapat lihat dengan mata
kepala aku sendiri.
Sebagai
contoh. Telah ditetapkan bahawa pada hari-hari tertentu Baginda Queen akan
berkereta ( kadang –kadang naik kereta kuda) melalui jalan-jalan tertentu di
kota London. Persiapan rapi telah disusun pada jalan-jalan yang akan dilalui
oleh perarakan Queen itu. Dan yang menghairankan aku juga ialah tiga atau empat
hari sebelum perarakan Queen itu berlangsung, sudah ramai rakyat Britain
berkampung ( berkhemah) di sepanjang jalan. Tujuan mereka berkampung lebih awal
ialah untuk mendapatkan tempat yang ‘strategik’ untuk melihat Queeen secara
dekat. Secara ‘live’…Ada juga acara hiburan. Pada setiap hujung minggu akan
diadakan persembahan oleh artis-artis terkenal seperti Cliff Richard di
perkarangan Buckngham Palace.
Bukan
sahaja rakyat yang tinggal di kawasan London sahaja yang berpeluang melihat Queen
dari dekat, malah rakyat seluruh United Kingdom juga berpeluang berbuat
demikian. Bermula dari bulan Februari sehinggalah ke bulan Ogos 2012, Queen dan
suaminya (The Duke of Edinburgh) akan melawat seluruh UK untuk bertemu dengan
rakyatnya. Disamping itu Queen akan menghadiri berbagai perjumpaan dan jamuan
yang diadakan semata-mata untuk menghormatinya. Semuanya disediakan oleh
rakyat.
Aku
teringat pula pada tahun 1952, apabila Queen Elizabeth 11, ditabalkan menjadi Queen of England menggantikan
ayahnya. Pada ketika itu aku dalam Darjah Dua. Aku masih ingat pada hari
pertabalannya (Coronation), murid-murid
sekolah ( zaman penjajahan British) dipaksa mengadakan perayaan juga. Berbaris
dan berkawad. Yang masih tidak dapat aku lupakan ialah bapak aku terpaksa
membelikan aku kasut baru – kasut Bata berwarna putih – untuk menyertai
perarakan itu. Walaupun pertabalan Queen berlaku di London, namun setiap
kampung dan dusun tahu dan peka tentang pertabalan itu. Orang kampung tahu
menyebut perkataan ‘Coronation’. Begitu hebat sekali peranan penjajah menjajah
pemikiran orang Melayu….
Tradisi
menghormati Raja dan Sultan terus sambung menyambung sehingga ke hari ini di
negara kita Malaysia. YDP Agung telah diletakkan di tempat yang begitu tinggi
dan disanjung oleh sekalian rakyat Malaysia – Melayu, Cina, India dan kaum-kaum
lain. Tidak pula ada pihak-pihak yang cuba ‘menderhaka’ kepada YDP Agung
semenjak dari dahulu lagi. Semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi,
kedudukan Raja-Raja Melayu memang tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun. Hanya
Perlembagaan Malaysia yang boleh mengatasi YDP Agung, Parlimen, Jemaah Menteri
dan mahkamah.
Pendek
kata YDP Agung, Sultan-Sultan di setiap negeri adalah dalam kelas mereka yang
tersendiri seperti juga dengan kedudukan Queen of England sebagaimana yang aku
jelaskan serba sedikit tadi. Walaupun mereka bukan berkuasa mutlak namun
Perlembagaan Malaysia telah meletakkan mereka di suatu tahap sebagai pelindung
kepada rakyat Malaysia. Raja Berperlembagaan. Mereka adalah merupakan tempat
untuk melakukan ‘rujukan terahir’ apabila negara menghadapi sesuatu kebuntuan
yang tidak dapat diselesaikan. Selagi ada ruang dan jalan yang boleh
menyelesaikan sesatu masalah maka tidak sepatutnya YDP Agung atau Sultan-Sultan
diheret sama dalam kemelut yang berlaku
dikalangan rakyat.
Tindakan
pihak-pihak tertentu di Malaysia kini yang mengheret Raja-Raja Melayu dalam
kemelut yang dihadapai negara tentunya amat tidak wajar. Amat tidak kena
rasanya apabila ada pihak-pihak tertentu yang menuduh bahawa ada pihak yang
cuba menderhaka kepada sultan-sultan yang memerintah. Dan ada pula pihak-pihak
tertentu yang cuba memutar-belitkan isu, mengada-adakan perkara yang tidak ada.
Ada
juga aku perhatikan pihak-pihak tertentu yang cuba memberikan suatu gambaran
bahawa orang Cina cuba mengkhianati negara ini dengan tindakan mereka tidak
mengundi parti yang memerintah. Mereka membuat berbagai tuduhan yang tidak
berasas. Bagi aku amat tidak kena perbuatan yang sebegini. Apatah lagi dalam
keadaan kita sedang membina suatu bangsa Malaysia yang kukuh dan teguh.
Rakyat
tahu bahawa tujuan mengalihkan isu ini kepada isu yang membabitkan Raja adalah
bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada isu yang sebenar yang
dihadapi oleh negara kini. Isu sebenar yang amat kritikal yang perlu
diselesaikan oleh semua pihak sekarang ialah menjawab dan menyelesaikan
persoalan PRU 13 yang dikatakan tidak telus. Ada pihak yang mengatakan pihak
SPR berbohong dan menipu. Itu isu sebenar yang patut diselesaikan oleh pihak-pihak
tertentu. Rakayt mahu isu itu diselesaikan. Apabila sudah ada laporan dibuat
bermakna sudah ada kes yang perlu diselesaikan. Samada SPR betul atau salah
akan diselesaikan juga oleh pihak-pihak tertentu.
Yang
aku nampak tak berapa kenanya ialah mengalihkan pandangan masyarakat daripada
menyelesaikan isu sebenar ( masalah ketidaktelusan PRU13 yang membabitkan SPR )
kepada isu yang direka-reka, diputarbelitkan.
Yang
paling malangnya pulak ialah pihak istana diheret sama….
Abuhassanadam
8 Jun
2013
No comments:
Post a Comment