‘DON’T OVERSTAY YOUR WELCOME’
Terlebih
dahulu aku mohon maaf kerana tajuk rencana pada kali ini dalam bahasa orang
putih. Puas aku mencari tajuk yang sesuai dalam bahasa Melayu. Tak jumpa yang
sesuai. Mungkin aku tak berapa cerdik agaknya. Mngkin. Mula-mula aku nak pakai
tajuk, ‘ jangan tunggu lama-lama’. Macam tajuk lagu pulak. Macam kisah anak
muda nak meminang si dara. Lepas itu terfikir pulak aku nak menggunakan tajuk,’
Nyah kau dari sini…”. Macam dialog dalam filem arahan P.Ramlee pulak.
Setelah
puas mencari, akhirnya aku terpaksa menggunakan tajuk di atas menggunakan
bahasa orang putih. Jikalau arwah bapak aku masih ada, tentu dia marah
perbuatan aku yang sebegini – mengagung-agungkan bahasa penjajah. Tetapi
peliknya arwah bapak aku, mengapa dia menyekolah aku dan adik aku di sekolah
orang putih…..
Tajuk
di atas, walaupun seolah-olah merupakan ungkapan budaya asing, namun bagi aku
amat berkait rapat dengan budaya orang Melayu. Orang Melayu tradisional. Dan orang bukan Melayu juga. Kaum Cina, India
dan kaum-kaum lain juga faham dan mengamalkan budaya di atas. Ia berkait rapat
dengan cara hidup, amalan dalam kehidupan seharian. Ia berkait rapat juga
dengan persoalan budi bahasa, maruah, harga diri, sedar diri, tahu malu dll.
‘Don’t
overstay your welcome’ maknanya lebih kurang begini, ‘Jikalau orang dah tak
suka sudahlah…….’ Bagi orang Melayu, kenyataan sedemikian adalah merupakan
kenyataan dan ungkapan yang amat kasar. Jarang-jarang sangat orang Melayu
menggunakan bahasa sedemikian kerana sebagaimana umum mengetahui bahawa orang
Melayu adalah bangsa yang amat sukar menyakiti hati orang lain. Sekiranya
begitulah ungkapannya maka ‘ suhu’ kemarahan orang Melayu adalah sudah sampai
ke kemuncak.
Bangsa
bukan Melayu pun begitu juga. Dengan sebab itulah mereka menggunakan ‘ body
language’. Orang Melayu menggunakan gerak dan geri untuk menyatakan sesuatu
dengan secara terhormat. Dengan sebab itulah ada peribahasa yang berbunyi, ‘
sekilas ikan di air sudah aku tahu jantan betinanya’. Maknanya tidak perlu
menggunakan kata-kata untuk menyatakan sesuatu. Hanya sekadar melihat pada
gerak geri sudah dapat diselami apa sebenarnya hasrat dan tujuannya.
Budaya
barat memerlukan seseorang itu membuat temu janji untuk pergi ke rumah rakannya walaupun sekadar untuk
bertandang dan berbual-bual kosong. Masyarakat Melayu lama tidak memerlukan
membuat temu janji ( masih lagi diamalkan di kampung-kampung). Pintu sentiasa
terbuka dan boleh datang dan melawat bila-bila masa yang sesuai. Dan dalam
masyarakat Melayu lama amat jarang kita mendengar sesorang yang bertandang ke
rumah kawan di suruh pulang. Tak pernah lagi aku bertemu dengan keadaan
sedemikian.
Kebiasaannya
tuan rumah akan menunjukkan gerak geri yang seolah-olah memberitahu tetamu
bahawa ‘sudah sampai masanya untuk pulang’. Berbagai cara yang digunakan untuk menyampaikan
mesej sedemikian. Dan ‘mesej’ itu pulak senang difahami oleh tetamu. Pendek kata, ‘bahasa tidak
diperlukan’ untuk menyampaikan meseja berkenaan. Ringkasnya seolah-olah tuan
rumah mengatakan bahawa, ‘ don’t overstay your welcome’.
Aku
nak mengaitkan pulak dengan keadaan yang berlaku di Malaysia kini. Aku nampak
ramai sangat ‘pemimpin-pemimpin’ kita yang tidak faham ‘bahasa isyarat’ ini.
Ataupun mungkin mereka sengaja tidak mahu memahaminya. Aku nampak rakyat telah
memberikan berbagai isyarat untuk seseorang itu ‘pergi’ dengan cara yang
terhormat. Namun seolah-olah ‘isyarat’ yang diberikan itu tidak difahami atau
pura-pura tidak memahaminya. Keadaan sedemikian berlaku kepada ramai ‘pemimpin-pemimpin’
politik, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin-pemimpin korporat yang masih terus
menerus berpaut kepada jawatan atau tanggungjawab yang dipegang walaupun dengan
jelas menunjukkan mereka sudah tidak diperlukan lagi.
Apabila
memperkatakan hal sebegini, tentulah tidak dapat dielakkan bagi aku untuk
memberikan pengiktirafan dan pujian yang setinggi-tingginya kepada Almarhum
Tunku Abdul Rahman, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi ( Pak Lah ) dan Tuan Guru
Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ( bekas Menteri Besar Kelantan). Tokoh-tokoh ini
sedar dan faham bahawa masanya telah sampai untuk mereka berundur walaupun jasa
dan sumbangan mereka masih diperlukan. Mereka tahu dan dapat menyelami hati dan
perasaan rakyat. Dan yang harus dipuji lagi ialah mereka tidak pula cuba
mencampuri urusan-urusan yang telah mereka tinggalkan. Mereka faham dan
menghayati ungkapan, ‘ don’t overstay your welcome’ itu.
Tunku
Abdul Rahman menyerahkan tugasnya kepada Tun Abdul Razak selepas berlaku
peristiwa 13 Mei 1969 dan selepas Parti Perikatan ( Barisan Nasional sekarang
ini ) kalah teruk dalam PRU pada tahun
1969. Tunku terus ‘bersara’ dan tidak pula mencampuri hal politik tanah air.
Begitu juga dengan keadaan Pak Lah menyerahkan tugasnya kepada DS Najib Tun
Abdul Razak. Dan tidak pula Pak lah mencampuri hal-hal yang berkaitan dengan
pentadbiran DS Najib Tun Abdul Razak. Dan yang paling disanjung oleh rakyat
ialah sikap yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berundur dengan cara yang paling terhormat ia itu ketika rakyat Kelantan
masih memerlukan kepimpinannya. Namun disebabkan keperihatinannya tentang
perlunya peralihan pucuk pimpinan maka beliau telah melepaskan jawatan dan
mneyrahkan kepada penggantinya.
Dalam
keadaan yang sedemikian masih terdapat juga keadaan di mana terdapat ramai
pemimpin ( politik, perkhidmatan awam) yang masih mahu terus menerus
mempertahankan jawatan walaupun rakyat bukan sahaja memberikan ‘isyarat’ yang
jelas menyuruh ‘berhenti’ tetapi seolah memaksa mereka supaya berhenti dan
solah-olah memberitahu bahawa, ‘jasa mu tidak diperlukan lagi’
Namun
begitu, ‘tokoh-tokoh’ ini masih ‘tidak tahu malu’ dan masih terus merasakan
bahawa mereka adalah amat diperlukan oleh rakyat. Kadang-kadang aku terfikir
bahawa sudah hilangkah agaknya harga diri dan maruah ‘pemimpin-pemimpin’
sedemikian. Apakah sudah tidak ada harga diri kah mereka. Rakyat sudah
memberikan isyarat yang cukup jelas mengatakan bahawa mereka sudah tidak
diperlukan lagi.
‘Don’t
overstay your welcome’ please………
Abuhassanadam
9 Jun
2013
No comments:
Post a Comment