UNTUK ANAK MUDA YANG MENENDANG DAN MENERAJANG
Aku
teringat kepada sajak Khairil Anwar yang antara lain berbunyi, ‘ aku binatang
jalang, menendang dan menerajang….aku mahu hidup seribu tahun lagi…’. Jikalau
tak silap aku sajak ini muncul ketika anak-anak muda Indonesia sedang berjuang
bermatia-matian menentang penjajahan Belanda. Maknanya ketika mereka berjuang
menuntut kemerdekaan dibawah pimpinan Sukarno. Dan akhirnya mereka berjaya juga
membebaskan tanah air mereka dari cengkaman Belanda.
Dan
apabila memperkatakan soal perjuangan, teringat pula aku kepada pejuang Afrika
Selatan, Nelson Mandela yang kini sedang ‘berjuang’ dalam babak-babak terakhir
‘perjuangannya’ di sebuah hospital di negaranya. Rakyat sedang mendoakan
kesejahteraanya. Disebabkan umurnya yang agak lanjut ( 94 tahun) maka
seolah-olah rakyat sudah merelakan beliau ‘pergi’ walaupun dengan hati dan
perasaan yang amat berat.
Payah
untuk menandingi rekod perjuangan beliau. Bagi aku yang boleh setaraf dengan
beliau dari segi perjuangan ialah Mahatma Gandhi dari India. Aku tidak tahu ada
pejuang lain didunia ini yang setaraf dengan perjuangan dan penderitaannya.
Diukur dari segi lamanya beliau dalam penjara sudah cukup untuk beliau memegang
‘rekod’ itu buat selama-lamanya.
Bukan
senang bagi seseorang untuk mengatakan,“ We may never forget, but we must
forgive…..To make peace with an enemy one must work with that enemy, and that
enemy becomes your partner’. Petikan dari buku “ Struggling to forgive’ oleh
Brian Frost. Lebih kurang beliau
menyatakan bahawa tidak mudah untuk melupakan sesuatu perkara atau peristiwa
tetapi kita mesti bersedia untuk memaafkan……untuk berdamai dengan musuh,
seseorang mestilah bekerjasama dengan musuh berkenaan yang akhirnya musuh itu
akan menjadi sahabat yang akrab.
Apabila
mengenangkan semula derita yang dilalui oleh Nelson Mandela, teringat pula
peribahasa Melayu yang berbunyi, ‘ berapa berat mata memandang lagi berat bahu
memikul’. Bayangkan penderitaan yang dilalui oleh beliau ketika berada di
penjara Robben Island selama 27 tahun.Dipenjatrakan
pada tahun 1962 dan hanya dibebaskan pada tahun 1990. Bukan suatu jangka masa
yang singkat.
Sengaja
aku memaparkan kehidupan Mandela untuk difahami oleh anak-anak muda Malaysia
yang memulakan langkah perjuangan. Bagi aku anak-anak muda yang ingin berjuang
perlu memahami bahawa perjuangan itu amat luas skop dan ruang lingkupnya. Bukan
hanya setakat berjuang dalam arena politik. Tidak semestinya anak muda yang
berkecimpung dalam lapangan sukan bukan perjuangan namanya. Begitu juga
bagi guru muda yang berjuang mati-matian
untuk memajukan pelajaran anak –anak di kawasan luar bandar. Itu juga
perjuangan.
Menentang
Apartheid adalah ‘gelanggang’ yang telah dipilih oleh Nelson Mandela. Ada
kemungkinan yang Afrika Selatan tidak terjadi sepertimana yang ada pada hari
ini sekiranya Mandela dan rakan-rakannya tidak berkeorban sepertimana yang
telah mereka lakukan. Tidak mudah mengabdikan diri ke arah perjuangan
sedemikian. Namun disebabkan rasa tanggungjawab yang begitu berat terhadap rakyat
maka mereka rela diperlakukan apa saja demi membebaskan rakyat mereka dari
cengkaman Apartheid.
Apartheid
adalah satu tindakan yang amat zalim yang dilakukan oleh pentadbiran British di
Afrika Selatan, menafikan hak-hak asasi rakyat kulit hitam di Afrika Selatan.
Kita kadang-kadang tidak terfikir ada
manusia yang begitu zalim wujud di dunia ini sebagaimana yang pernah wujud di
Afrika Selatan pada zaman Apartheid. Undang-undang dan peraturan yang dikenakan
ialah melarang percampuran antara Kulit Putih dengan Kulit Hitam. Masyarakat
Kulit Hitam dibenarkan berada ditempat-tempat tertentu yang hanya dikhaskan
kepada Kulit Putih.
Antara
peraturan dan undang-undang yang
dikenakan adalah seperti,
·
Masyarakat kulit hitam terpaksa membawa surat-surat
kebenaran tertentu untuk membolehkan mereka bekerja disesuatu tempat,
·
Kerajaan Kulit Putih memisah-misahkan
masyarakat Kulit Hitam kepada beberapa kumpulan
·
Tidak membenarkan perkahwinan antara Kulit
Putih dengan bukan Kulit putih,
·
Kulit hitam tidak dibenarkan memiliki tanah.
Penindasan
yang sebeginilah yang menyebabkan munculnya manusia seperti Nelson Mandela.
Apakah
kita di Malaysia juga memerlukan keadaan yang sedemikian untuk membolehkan
wujudnya seorang pejuang. Pastinya keadaan sedemikian tidak akan wujud di
negara kita. Pastinya tidak akan ada lagi penjajah yang akan menjajah negara
kita sepertimana mereka pernah menjajah negara ini pada abad-abad 19 dan awal
abad 20 lagi, untuk memberi peluang kepada anak muda kini untuk menentang
penjajahan.
Namun
begitu banyak lagi perkara dan isu yang memerlukan pejuang-pejuang anak muda
untuk tampil kehadapan membetulkan keadaan di negara kita kini. Anak muda
Malaysia perlu peka dalam banyak perkara terutama yang berkaitan dengan usaha
kita untuk menjadikan negara ini sebuah negara maju pada tahu 2020.
Matlamat
yang dirancang itu ( Tahun 2020) sudah hampir tiba. Anak muda Malaysia
seharusanya tampil mengemukakan rancangan dan agenda masing-masing
merealisasikan wawasan demikian. Jangan diletakkan harapan sepenuhnya kepada
golongan tua untuk menjayakan matlamat demikian kerana zaman itu bukan zaman
mereka lagi.
Oleh
itu sudah sampai masanya anak muda bersikap ‘menendang dan menerajang’ demi
untuk menjayakan hasrat anak muda kini supaya negara ini menjadi sebuah negara
maju yang merupakan milik anak muda kini dan mereka ( sebagai orang tua ) pada
masa hadapan.
Abuhassanadam
11
Jun 2013
No comments:
Post a Comment