Friday, May 19, 2017

PERISTIWA ‘LEMPANG-MELEMPANG’ - BANGSA MELAYU SEMACAM UNDUR KE BELAKANG!!...

Dengan hanya ‘satu lempang’ dari seorang penggiat seni dihadapan Perdana Menteri Malaysia semacam telah ‘menggugurkan’ taraf bangsa Malaysia di mata dunia yang selama ini sentiasa didendangkan sebagai bangsa yang ‘peace-loving’, suka berhibur dan juga yang kita sudah mula berada di tahap dunia moden – Dunia Pertama kononnya.

Para pemimpin Melayu sentiasa ‘menjeritkan’ di perhimpunan Agung UMNO misalnya mengatakan bahawa bangsa Melayu khususnya sudah sampai ke peringkat global dan setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Sama seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan, Jepun. Malah dilaungkan juga oleh pemimpin Melayu bahawa satu masa nanti bangsa Melayu akan sama tarafnya dengan bangsa Amerika, German, dll.  Kemudian akan disambut dengan pekikan yang mengatakan bahawa ‘ takkan Melayu hilang di dunia’.

Dengan berlakunya peristiwa ‘lempang dihadapan PM’ baru-baru ini sudah cukup memalukan bangsa Malaysia khususnya orang Melayu yang aku juga tergolong dalamnya. Ramai juga yang merasakan peristiwa sebegini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dalam satu majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia. Dan boleh juga ‘diterjemahkan’ peristiwa sebegini semacam ada dikalangan masyarakat Malaysia yang tidak begitu menghormati Perdana Menteri kita. Tentulah amat malang bangsa Melayu jika diperhalusi tentang tindakan ‘beberapa ekor kerbau yang membawa lumpur hampir kesemuanya terpalit’.

Sejujurnya aku memang sudah begitu lama tidak melihat orang bergaduh atau lebih tepat lagi ‘melempang’ orang lain. Kadang-kadang dalam perbincangan atau perbualan dengan kawan-kawan, selalu aku bertanyakan kepada mereka samada mereka pernah diketemukan dengan peristiwa pergaduhan samada di kedai-kedai atau di tempat kerja atau dimana saja. Mereka mengatakan bahawa mereka juga hampir tidak nampak suasana bergaduh dikalangan masyarakat Malaysia sebagaimana yang pernah ditonton oleh mereka dalam filem atau drama TV.

Yang menyebabkan aku menimbulkan persoalan demikian ialah tentang perbezaan yang digambarkan oleh filem atau drama tentang masyarakat Malaysia adalah amat berbeza. Hampir setiap drama TV yang aku tonton, mesti diselitkan dengan adegan pergaduhan sedangkan realiti masyarakat di Malaysia tidak begitu. Itu yang ‘memeningkan’ aku. Mengapa perlu dimasukkan adegan pergaduhan sedangkan masyarakat di negara ini mahu hidup dengan aman dan damai.

Sehinggalah muncul tahun 2016 dan 2017 barulah kelihatan kekerapan suasana ketegangan dikalangan masyarakat Malaysia yang ditimbulkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang kononya memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam. Pada hakikatnya jika diperincikan ‘kegelisahan’ mereka itu tidak lain daripada hanya mencari publisiti murahan yang diadu-domba oleh pihak-pihak tertentu. Itu persepsi yang dapat aku simpulkan.

Bagi aku, peristiwa ‘lempang’ adalah merupakan satu ‘watershed’ dalam sejarah Malaysia. Awal tahun 2017 merupakan satu ‘turning point’ dalam tindak tanduk orang Melayu yang ‘berani’ (mungkin juga boleh diiktiraf sebagai kurang sopan) melakukan perbuatan kurang sopan di hadapan pemimpin negara. Tidak pernah berlaku peristiwa sebegini sebelum ini. Amat memalukan. Tun Mahathir sendiri mengatakan bahawa tidak pernah berlaku peristiwa sebegini ketika dia menjadi Perdana Menteri atau pun Perdana Menteri sebelumnya.

Ketika aku bertugas di London pada tahun-tahun 1990an, hampir setiap hari Ahad aku akan berada di Hyde Park London untuk menyaksikan perdebatan di situ. Sesiapa yang pernah hadir di perdebatan demikian akan faham apa yang aku maksudkan. Setiap pagi Ahad akan adalah ‘ Speakers Corner’ dimana siapa sahaja boleh menyatakan pandangan dan pendapatnya mengenai sesuatu isu. Apa saja isu yang ingin disuarakan. Mereka mengamalkan kebebasan bersuara dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Setiap pandangan yang disuarakan pastilah ada pihak yang membangkang pendapat berkenaan. Dan kesannya berlakulah perdebatan. Sepanjang pemerhatian aku di situ ( sehingga kini aku tidak akan melepaskan peluang menghadiri perdebatan di Hyde Park setiap hari Ahad, sekiranya aku ke sana) tidak pernah aku lihat peristiwa ‘lempang-melempang’ seperti mana yang berlaku di hadapan Perdana Menteri tempoh hari.

Dan ketika ‘Speakers Corner’ di hadapan Perpustakaan University Malaya masih wujud ( dalam awal tahun-tahun 1970an), tidak juga pernah berlaku pergaduhan antara para pelajar walaupun mereka berlainan pendapat. Agaknya kekuatan para mahsasiswa ketika itu dipamerkan melalui kekuatan mereka berhujjah dan bukan menunjukan kekuatan fizikal sepertimana yang berlaku peristiwa ‘lempang-melempang’ di hadapan Perdana Menteri.

Peristiwa yang berlaku baru-baru ini amat malang dan menyedihkan. Jikalau dulu aku sentiasa mempertahankan bahawa bangsa Melayu (seperti aku) adalah suatu bangsa yang pelembut, bertimbang rasa, tak suka gaduh (peace- loving) sebagaimana yang dikatakan oleh R.O.Winstedt tetapi dengan peristiwa ‘lempang-melempang’ baru-baru ini persepsi aku terus berubah.

Tentulah aku teringat kepada Allah Yarham A.Rahim yang sentiasa memainkan watak jahat dan kaki  gaduh demikian dalam filem Melayu lama yang menggambarkan suasana masyarakat Melayu tradisional pada ketika itu.

Apakah bangsa Melayu sudah mahu kembali ke zaman itu? Entahlah…

abuhassanadam
19 Mei 2017



MACAM PERTANDINGAN PAKAIAN BERAGAM

Entah berapa jam saja aku tidur pada malam itu ia itu malam pertama aku berada di Kampung Ulu Mengkuang. Emak aku pun rasanya tak lelap tidur agaknya. Maklumlah apabila berubah tempat tidur.

Hari itu betul-betul bersejarah bagi aku. Hari itu aku mula jadi guru. Jadi cikgu. Jawatan yang sangat diidam-idamkan oleh Opah, bapak, emak dan saudara mara aku. Pendek kata pada ketika itu menjawat jawatan guru adalah sangat mulia di sisi masyarakat. Bukanlah bermakna bahawa menjadi guru kini tidak mulia dan tidak dihormati oleh masyarakat. Tak begitu. Bezanya zaman dulu, pencapaian yang boleh dicapai oleh orang Melayu hanyalah menjadi guru.

Tidak ramai yang boleh menjadi guru pada ketika itu. Dari sesebuah sekolah Melayu itu hanya seorang atau dua orang yang boleh berjaya menjadi guru. Pada tahun-tahun pertengahan abad ke 20 tidak ramai anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris. Oleh itu lulusan dari sekolah Inggeris tentulah tidak ramai. Lulusan sekolah Melayu hanyalah berpeluang menjadi guru. Paling tinggi guru lepasan SITC (Sultan Idris Training College Tanjung Malim) atau MWTC (Malay Women Training College Melaka) bagi perempuan.

Di sekolah Melayu, tidak ramai anak Melayu yang sampai ke peringkat Darjah Tujuh. Kebanyakannya cicir di pertengahan jalan. Dari Darjah 1 lagi sudah mula proses keciciran. Hanya yang lulus Darjah 1 sahaja yang boleh meneruskan pelajaran ke Darjah 2. Disaring dalam Darjah 2, maka terdapat emapt atau lima orang yang tercicir. Begitulah seterusnya. Apabila sampai ke Darjah Tujuh hanya tinggal satu atau dua orang dari sesebuah sekolah. Dalam satu daerah ( Kuala Kangsar misalnya) hanya terdapat belasan sahaja yang berjaya ke Darjah Tujuh untuk menjadi guru. Dan hanya seorang atau dua sahaja dari satu daerah yang berjaya ke SITC atau ke MWTC.

Nasib anak Melayu pada zaman penjajahan British…

Aku bernasib baik kerana bapak menghantar aku ke sekolah Inggeris. Itupun pencapaian aku hanya setakat LCE (Lower Certificate of Education) sahaja. Tak mampu untuk meneruskan pelajaran dan ‘singgah’ sebentar di DTC Taiping untuk menerima latihan menjadi guru.

Setelah bersiap seadanya sebagai seorang guru, aku pun melangkah ke sekolah. Lebih kurang 30 meter saja dari rumah guru. Emak berada di depan pintu rumah sambil  pandangannya ‘menemani’ aku ke sekolah. Entah apalah yang difikirkannya. Maklumlah bagi dia sudah merupakan satu kejayaan besar kerana kejayaan aku menjadi guru. Walaupun guru sekolah rendah lepasan DTC. Dan kelulusan akademik pula hanyalah LCE (Lower Certificate of Education). Kelulusan paling rerndah yang menjadi syarat menjadi guru pada ketika itu. Gaji permulaannya sebanyak RM 210.00. Boleh lah..setakat nak beli basikal..

Aku berjumpa Pakda (guru besar) dulu pada pagi itu, walaupun sudah beberapa kali berjumpa dia. Semalam berbuka puasa dijemput ke rumah dia dengan emak aku sekali. Maklumlah dapur di rumah aku belum lagi berasap, walaupun ada dapur dan tungku-tungku sekali. Kayu api pun banyak di bawah rumah. Agaknya orang kampung tolong kumpulkan. Berdekatan dengan timbunan kayu api, aku nampak longgokan petai dan jering. Orang kampung juga yang hantar. Aku pasti.

Pada ketika itu ( 3 Januari 1965) terdapat 67 orang murid di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang dengan seorang guru besar dan tiga orang guru dan seorang guru agama. Bersama aku ketika itu ada lagi tiga orang guru – Cikgu Jaafar (guru baru bersama aku- dari Kampung Air Itam Labu, Kampar), Cikgu Talib (Guru Sementara) dan seorang guru agama – Ustaz Zainal ( dari Parit Buntar)

Aku ditugaskan untuk mengajar Darjah 1 dan Darjah 2. Jaafar mengajar Darjah 5 dan Darjah 6. Cikgu Talib mengajar Darjah 3 dan Pakda (Guru Besar) mengajar Darjah 4. Agak panik juga apabila timbul keadaan begini. Terpaksa pegang dua darjah. Tidak ada waktu rehat. Terus menerus mengajar dari pagi sampai ke pukul satu tengah hari. Ada dua buku ringkasan mengajar yang mesti dilengkapkan. Mungkin ramai kini yang tidak yakin dan percaya keadaan disekolah sebagaimana yang aku jelaskan itu. Tetapi itulah rupanya keadaan pada ketika itu.

Pukul 6.40 pagi murid-murid sudah mula datang ke sekolah. Berjalan kaki. Ditemanai oleh ibu atau bapa. Hanya dua atau tiga orang saja yang membonceng basikal bapa. Berkereta.. jauh panggang dari api. Aku nampak macam mengadili ‘pageant dress’ pula kerana murid-murid yang datang ke sekolah tidak memakai uniform sekolah. Belum diperkenalkan lagi di sekolah itu. Jadi murid-murid bebas memakai pakaian yang disukai oleh mereka. Kebanyakannya berkaki ayam. Jikalau adapun hanya memakai slipper Jepun sahaja.

Pak su Man ( ketua kampung Ulu Mengkuang) datang juga ke sekolah pada pagi itu. Amat commited dengan perjalanan pendidikan di kampungnya. Beliau berkerjasama rapat dengan Pakda dalam apa juga bentuk kerjasama yang bertujuan memajukan kampung.

Rumah Paksu Man tak jauh dari rumah guru tempat aku tinggal. Dan semalam Paksu Manlah yang mengejut aku untuk bersahur. Telah menjadi amalan penduduk di kampung ini untuk mengejutkan antara satu sama lain  supaya bangun untuk bersahur. Mereka pergi dari satu rumah ke rumah lain untuk tujuan itu. setahu aku kegiatan yang sebegini tidak pernah diamalkan di tempat lain. Hanya di Ulu Mengkuang.

Padunya penduduk Ulu Mengkuang pada ketika itu…

Dan Paksu Man telah menjemput aku dan emak untuk berbuka puasa di rumahnya pada malam kedua aku berada di Ulu Mengkuang. Tak berasap lagilah dapur di rumah aku…

abuhassanadam
19 Mei 2017


p/s Sambungan daripada posting sebelumnya berjodol ' PENGALAMAN MALAM PERTAMA' 

Thursday, May 18, 2017

PENGALAMAN MALAM PERTAMA

(Bersempena dengan sambutan HARI GURU )

Malam pertama aku tidur di kampung Ulu Mengkuang iaitu pada 2 Januari 1965. Esoknya ( 3 Januari 1965) aku dikehendaki melapor diri di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang untuk menjalankan tugas sebagai seorang guru. Ketika itu usia aku baru 20 tahun. Dan tidak hairanlah aku ‘terpaksa’ ditemani oleh ibu untuk buat pertama kali ‘berenggang’ dengan ibu untuk ‘merantau’ jauh di ‘negeri orang’.

Bagi aku Kampung Ulu Mengkuang begitu cantik dan indah sekali. Desa pingitan. Ketika itu tidak ada jalan raya ( maksud aku yang bertar) ke Ulu Mengkuang (dari pekan Rantau Panjang, Selama Perak) yang perjalanannya jauhnya lebih kurang lima kilometer. Lebih kurang 40 minit berbasikal ( sekiranya laju kayuhannya). Terpaksa melalui Kampung Sumatra, menyeberangi sawah padi sebelum sampai ke Kampung Lalang. Selepas Kampung Lalang barulah sampai ke Kampung Ulu Mengkuang.

Dalam perjalanan ke Ulu Mengkuang ketika berulang alik ke sekolah setelah aku berpindah ke Selama Perak beberapa bulan kemudian, aku selalu berteduh di bawah rumpun buluh di tengah sawah ke Ulu Mengkuang ia itu ketika hari panas terik. Di situlah aku dengan Cikgu Talib ( arwah) berehat sebentar sebelum melakukan kayuhan (berbasikal) semula ke pekan Rantau Panjang. Tidak dapat aku bayangkan keenakannya menghirup udara segar ketika berada di bawah pohon buluh dengan diiringi siualan burung Tempua yang bersarang di atas pohon buluh berkenaan.

Aku diberikan ‘Rumah Guru’ untuk bermalam pada malam berkenaan oleh Guru Besar pada ketika itu, Cikgu Ismail Ahmad (arwah) yang terkenal juga dengan nama glamournya ‘Pakda’. Mungkin ada yang membayangkan tentang keadaan ‘Rumah Guru’ yang diberikan kepada aku itu sepertimana rumah guru yang terdapat di Malaysia kini.

Bagi aku ‘Rumah Guru’ yang diberikan itu amat menyenangkan hati dan perasaan aku. Walaupun semacam tidak menepati erti kata ‘rumah guru’ namun bagi aku amat menyenangkan terutama apabila aku mengenangkan tentang ‘rumah guru’ berkenaan. Bertiangkan buluh, berdindingkan anyaman buluh, beratapkan daun nipah dan mirip seperti pondok menunggu durian tatkala tiba musim durian berguguran. Dan kononnya ‘rumah guru’ berkenaan telah dibina dengan kerjasama orang kampung Ulu Mengkuang semata-mata untuk dijadikan tempat tinggal guru-guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang (yang kebiasaannya masih bujang dan tidak memerlukan rumah yang besar)

Arwah emak aku juga tidak menunjukkan perasaan tidak puas hati dengan tempat tinggal aku. Mungkin beliau tahu dan faham tentang masalah kemiskinan yang dihadapi oleh penduduk di sini untuk menghasilkan sebuah rumah guru yang betul-betul menepati istilah ‘rumah guru’.

Lebih kurang seminggu, emak bersama aku tinggal di ‘rumah guru’. Emak tahu yang aku tak pandai langsung dalam hal masak memasak. Dan tentu sekali beliau juga sedang memikirkan tentang ‘nasib’ aku, selepas kembalinya beliau ke kampung. Tentulah dia terfikir juga tentang ‘makan dan pakai’ aku menghadapi keadaan selepas itu. Beliau sedar bahawa bukan ada kedai makan di kampung Ulu Mengkuang. Dan untuk itu aku terpaksa pergi ke Rantau Panjang, yang jauhnya lima kilometer (berbasikal). Tidak ada kenderaan awam untuk dinaiki. Dan untuk keperluan barang dapur, terpaksa jugalah pergi ke Rantau Panjang untuk mendapatkan keperluan berkenaan.

Nampaknya emak begitu gembira berada di Ulu Mengkuang kerana sambutan yang diberikan oleh penduduk Ulu Mengkuangg. Mereka begitu baik dan mesra terhadap emak aku. Malah pada malam pertama setibanya kami ke rumah berkenaan, sudah mula ‘dihujani’ oleh barang makanan untuk berbuka puasa dan seterusnya untuk sarapan bersahur. Aku masih ingat kuih-muih dan lauk-pauk yang diberikan oleh Pak Teh Derani, Pak Su Man, Pak Da/Makda, Pak Su Besar sehinggakan hampir tidak muat ruang ‘tamu’ di rumah guru berkenaan. Emak dan aku hanya memerhatikan ‘jelmaan budi’ orang Ulu Mengkuang itu dengan penuh kehairanan.

Kami tak tahu bagaimana nak membalas budi baik orang kampung itu. Emak ada membawa bekalan rendang ayam kampung dan makanan lain sebagai  keperluan sekiranya terdesak. Itu pun hanya boleh bertahan satu atau dua hari. Tetapi dengan apa yang ‘ditunjukkan’ oleh orang kampung berkenaan,telah meyakinkan emak yang aku berada dalam suana yang menyenangkan di kampung Ulu Mengkuang.

Pada malam berkenaan, tidak putus-putus orang kampung datang berkunjung ke rumah aku. Untuk menemui cikgu baru kata mereka. Mereka ingin berkenalan lebih dekat dengan cikgu yang akan mengajar anak-anak mereka. Mereka merasakan cukup bertuah dan beruntung kerana kesudian guru-guru mengajar di tempat mereka.

Tentulah ada pengalaman pahit yang menyebabkan mereka berkata demikian. Bukan senang untuk mendapatkan guru untuk mengajar di situ. Tambahan pula pada ketika itu sememangnya terdapat kekurangan guru terlatih di seluruh negara dan tidak mudah untuk ‘memujuk’ guru untuk pergi mengajar di Ulu Mengkuang – kawasan yang jauh di pendalaman. Memang sebelum kedatangan aku ke sekolah itu kebanyakan guru yang mengajar di situ adalah terdiri dari guru-guru sementara.

Seingat aku sehingga pukul 12.00 tengah malam masih ada lagi ‘pelawat’ datang ke rumah aku…

Satu perkara yang luar biasa berlaku apabila sampai waktu bersahur, satu perkara yang tidak pernah lagi aku lalui….


abuhassanadam
18 Mei 2017

akan bersambung




Wednesday, May 17, 2017

PAS AKAN DIANGGAP SEMACAM PARTI BEBAS

Pemimpin PAS mungkin merasakan bahawa ahlinya pada Kurun ke 21 masih boleh ‘dicucuk hidung’. Pemimpin PAS anggap ahlinya akan terus taat dan setia sekiranya lambang Islam itu digunakan untuk menarik minat mereka.Anggapan sedemikianlah yang menyelubungi fikiran dan perasaan pemimpin PAS apabila mereka sanggup memutuskan hubungan dengan PKR dan parti-parti lain.

Orang putih kata, ‘ a friend in need is a friend indeed’. Tindakan PAS adalah sebaliknya. Bukan sekali dan bukan dua mereka beritndak  sedemikian terutama apabila mereka merasakan bahawa peranan mereka amat diperlukan untuk menstabilkan sesuatu keadaan politik yang kucar-kacir. Mereka telah menunjukkan belang mereka apabila berhadapan dengan kemelut politik di Selangor ketika berlaku ‘Kajang move’ dahulu. Mereka seolah-olah tidak peduli apa perasaan rakan dan derita yang dialami oleh rakan dalam keadaan sedemikian. Yang penting bagi mereka ialah menyelamatkan diri mereka.

Dalam PRU 13 yang lalu PAS seolah-olah telah ‘menghadiahkan’ kerusi percuma kepada BN di N39, Kota Damansara.  Jelas bahawa kerusi berkenaan adalah milik Pakatan Rakyat sebelum itu ia itu Dr Mohd Nasir Hashim. Sepatutnya PAS merelakan Dr. Nasir bertanding di kerusi berkenaan, namun disebabkan ketamakan PAS yang seolah-olah mahu juga bertanding di DUN berkenaan maka PAS telah meletakkan calon di situ. Keputusannya BN memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat undi sebanyak 16,387 undi sedangkan Mohd Nasir Hashim memperolehi 14,860 undi sementara PAS mendapat 7.312 undi. Sekiranya PAS memberi laluan kepada PKR maka sudah tentu kerusi berkenaan dipegang oleh PKR hingga sekarang.

Apakah PKR masih lagi merasakan bahawa PAS sebagai rakan as ‘a friend in need is a friend indeed’. Banyak lagi contoh-contoh yang booleh diuatarakan untuk membuktikan bahawa PAS berlagak ‘curang’ ketika dalam keadaan memerlukan.

Atas dasar yang demikianlah agaknya PAS merasakan dirinya cukup kuat untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRU 14 yang akan datang. PAS lupa bahawa sekiranya diperincikan maka PAS tidak akan menang walau sebuah kerusi pun pada PRU 14 akan datang berdasarkan pemikiran rasional ketika ini, walaupun berlagak mengatakan yang mereka akan memenangi banyak kerusi. Secara lojiknya mereka akan kehilangan banyak kerusi. Tidak hairanlah ramai penganalisis politik yang meramalkan bahawa penglibatan PAS dalam PRU14 akan datang hanya sebagai ‘kacau daun’ sahaja, untuk menyenangkan laluan BN memenangi PRU berkenaan sama seperti parti BEBAS yang bertanding sebagai ‘pengacau’.

PAS dan BN menggunakan andaian sekiranya PAS bertanding atas dasar tiga penjuru atau lebih, maka kemenangan pasti memihak kepada BN. Itu dulu. Ini merupakan ‘pegangan’ ramai pemimpin UMNO dan PAS. Malah pemimpin pembangkang pun beranggapan demikian. Mungkin ada betulnya berdasarkan pengalaman lampau. Dengan sebab itulah apabila PAS memgatakan ia mahu meninggalkan PKR, ramai yang cuba memujuk, takut kalau-kalau terjadi tragedi BN akan menang besar.

Bagaimana pula sekiranya orang Melayu sudah mulai sedar, betul-betul sedar bahawa mereka tahu dan tahu peranan mereka dalam membuang undi disesuatu PRU. Kalau orang Melayu tahu dan sedar bahawa PAS tidak boleh menang walau satu kerusi pun apatah lagi untuk memerintah negara dan memerintah sebuah negeri, apakah orang Melayu akan terus mengundi PAS. Aku rasa tentu tidak. Jadi janganlah pemimpin PAS dan UMNO meletakkan harapan begitu tinggi atas strategi yang sedang mereka atur kini. Mungkin tak menjadi.

Sebagai contoh tentang strategi yang tak menjadi. Sudah beberapa kali pilihanraya, samada PRU atau PRK, pihak BN meletakkan ramai calon Bebas dengan harapan untuk memecah undi. Hampir keseluruhan strategi itu gagal, kerana pengundi merasakan bahawa memberikan undi kepada calon Bebas adalah perbuatan yang sia-sia. Tidak mendatangkan apa-apa hasil. Justeru calon Bebas hampir kesemuanya hilang wang pertaruhan.

Aku merasakan begitulah yang akan menimpa nasib calon PAS nanti, apabila para pengundi sedar bahawa tidak ada apa faedah dan hasil yang diperolehi sekiranya mereka mengundi calon PAS. Apabila mereka sedar bahawa mengundi PAS hanya untuk memberikan laluan mudah kepada BN.

PAS tidak memberikan hala tuju yang jelas kepada pengundi. PAS dibawah kepimpinan Nik Aziz agak jelas tentang arah dan hala tuju. PAS di bawah Ustaz Fadhil Noor telah dapat menarik ramai golongan professional Islam yang amat sedar tentang peranan yang perlu dimainkan oleh mereka dalam negara Malaysia yang sebegini atur cara hidupnya. Ketika itu seolah-olah PAS berpijak di bumi nyata dan faham tentang kehendak negara Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum dan bangsa. Dengan sebab itulah, pengundi begitu yakin tentang kemampuan pemimpin PAS ketika itu untuk mentadbir negara bersama dengan pemimpin bukan Melayu yang lain. Dan kesannya BN hilang kedudukan 2/3 mereka di parlimen.

BN kini yakin bahawa dengan tindakan beberapa pemimpin PAS yang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan, mereka akan mengukuhkan kedudukan BN. Apakah para pemimpin PAS hanya sekadar berbangga dengan kemenangan BN. Bagaimana pula dengan PAS? Apakah PAS hanya berpuas hati dengan peranannya sebagai ‘belaci’ UMNO – BN. Aku yakin para ahli PAS di peringkat akar umbi tidak mahu PAS hanya sebagai ‘budak suruhan’ UMNO semata-mata.

Aku merasakan PAS akan kecewa dengan strategi yang dirancang kini dan yang paling amat menyedihkan nanti ialah bahawa kepimpinan PAS pada awal Kurun ke 21 adalah yang bertanggungjawab meruntuhkan terus parti PAS dan melenyapkan terus PAS yang dibina oleh Dr. Burhanuddin Hilmy, Ustaz Asri, Ustaz Fadil Noor dan TG Nik Aziz.

Apakah begitu nasib parti PAS selepas ini?

abuhassanadam
17 Mei 2017