Thursday, May 4, 2017

SARANAN DATO FADILAH KAMSAH

Pagi tadi. Kebiasaannya aku ikuti Radio Klasik Nasional. Radio untuk orang lama seperti aku. Boleh juga dengar lagu-lagu lama. Menggamit kenangan, katanya. Tiba-tiba dalam ceramah motivasi Dato Dr. Fadilah Kamsah, aku dengar penceramah menyarankan sesuatu yang amat menarik perhatian aku.

Katanya, amat berkesan pembelajaran anak-anak sekiranya ibu bapa ‘turut serta’ bersama anak-anak ketika anak-anak sedang belajar di rumah. Maksudnya si bapa atau si ibu hendaklah ‘mengiringi’ usaha yang dilakukan oleh anak-anak. Maksudnya jikalau si anak sedang membuat kerja rumah, maka si ibu atau si bapa eloklah berbuat sesuatu yang seolah-olah sama-sama ‘bersimpati’ dengan anak yang sedang belajar.

Aku amat setuju. Seratus peratus. Aku berkata demikian kerana apa yang disarankan oleh Dr. Fadilah itu adalah sama dengan apa yang aku alami ketika aku masih bersekolah pada suatu ketika dahulu. Opah aku telah melakukan ‘sebiji’ dengan apa yang disarankan oleh Dr. Fadilah itu. Dan aku yakin bahawa apa yang dilakukan oleh Opah ketika itu tidak dietahuinya bahawa tindakannya itu sebenarnya memberikan makna yang cukup besar kepada aku, sehingga aku berjaya dalam pelajaran aku.

Kebiasaannya aku mula ‘mentalaah’ pelajaran sekolah selepas sahaja menunaikan fardu Maghrib, selepas makan malam. Bertemankan pelita bersumbu aku akan berada di meja buruk aku membuat apa saja yang berkaitan dengan pelajaran sekolah. Dan Opah akan berada bersama aku ( semacam menemani aku belajar) sehingga aku selesai membuat kerja sekolah. Opah tidaklah membaca buku sepertimana yang disarankan oleh Dr. Fadilah, tetapi Opah akan duduk bersandar di dinding sambil mengunyah sekapur sirih.

Opah tidak berkata apa-apa. Dia tidak pula bertanyakan apa yang aku lakukan. Opah amat bersimpati dengan apa yang perlu aku lakukan. Seratus peratus ‘concentration’ pada buku pelajaran. Dan pada ketika itu mana ada radio di rumah aku. TV jauh sekalilah. Dan memang pun TV belum lagi masuk ke Malaya pada ketika itu. Zaman penjajahanlah katakan..Dan yang menghairankan aku Atuk pun seolah-olah bersimpati dengan aku. Tetapi Atuk duduk di anjung rumah sambil menghisap paip yang diisi dengan tembakau ‘Navy Cut’ (wangi baunya tembakau yang dimport dari England itu). Tidak berkata apa-apa. Hanya kakinya sahaja yang bergerak ke atas dan ke bawah sambil berbaring.

Opah tidak akan tidur selagi aku belum selesai membuat kerja rumah. Sekiranya aku terpaksa menyelesaikan kerja rumah sehingga pukul sabelas malam, maka Opah akan terus berada bersama aku sehingga pukul sabelas. Kebiasaanya aku akan masuk tidur sebelum pukul sabelas. Dan diikuti oleh Opah.

Pukul lima subuh Opah akan bangun menggerakkan aku supaya bangun dan mandi. Satu perkara yang betul-betul menghairankan aku sehingga kini ialah Opah tidak pernah ‘mis’ untuk mengejutkan aku pada pukul 5.00 subuh. Tak pernah ‘mis’ sedangkan rumah kami tidak terdapat sebuah jam pun. Jam dinding atau jam tangan tidak terdapat di rumah Atuk pada ketika itu. Jikalau ada pun jam, mungkin Opah tak tahu nombor jam berkenaan.

Opah sentiasa berpandukan kepada kokok ayam. Hampir tepat tekaannya. Dia tahu pukul berapa pada sesuatu waktu berpandukan kepada kokok ayam. Dan sepanjang persekolahan aku tidak pernah sekali pun aku terlambat pergi ke sekolah. Maksudnya tidak pernah lambat ke sekolah sedangkan sekolah Clifford School, Kuala Kangsar itu amat jauh dari rumah aku yang tinggal di kampung pendalaman di Padang Rengas.

Bayangkanlah aku terpaksa bertolak dari rumah pada pukul 6.00 pagi. Berjalan kaki. Dari kampung Keroh Hilir ke pekan Padang Rengas lebih kurang dua kilometer melalui batas bendang dan beberapa buah kampung ( Kampung Lalang, Kampung Pondok) sebelum sampai ke pekan Padang Rengas. Sesampai sahaja di pekan Padang Rengas, terpaksa pula menunggu bas untuk ke Kuala Kangsar yang jauhnya lebih kurang sepuluh kilometer. Tempat menunggu bas di pekan Padang Rengas adalah di hadapan kedai Joo Onn (sudah tidak ada lagi).

Pukul 7.30 pagi kebiasaannya aku akan sampai di sekolah, sekiranya lancar perjalanan bas. Bukan kerana ‘traffic jam’ tetapi berkemungkinan bas akan rosak di tengah jalan. Maklumlah bas yang digunakan oleh syarikat bas ‘Red & Yellow’ (masih beropersi lagi) kadang-kadang sudah terlampau uzur dan datang dari Taiping pula. ‘Traffic Jam’ tidak timbul langsung pada ketika itu. Malah jarang berselisih dengan kenderaan lain dalam perjalanan ke Kuala Kangsar. Tidak ada kereta. ‘Meracun’ kata orang Perak.

Aku yakin bahawa apa yang dilakukan oleh Opah adalah merupakan pengalaman ramai lagi ibu-ibu yang mementingkan pelajaran anak-anak ketika itu. Opah hanya memberikan sumbangan ke arah itu terhadap persekolahan aku sedangkan segala perbelanjaan sekolah, persiapan pakaian sekolah dilakukan oleh emak dan bapak yang tinggal berasingan, tetapi tidak jauh dari rumah Opah.

Sebenarnya apa yang aku paparkan ini bukan semata-mata kisah aku tetapi kisah derita anak-anak Melayu kampung pada zaman penjajahan British yang cuba ‘bangun’ membela diri sendiri agar dapat berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia.

Tentu ramai lagi yang mengalami nasib yang sama spertimana yang aku alami.

abuhassanadam

4 Mei 2017

1 comment:

  1. Terima kasih pak Abu. Saya sendiri seronok dapat baca kisah dulu2 yang dapat jadi teladan. Semoga pak Abu sekeluarga diberkati Allah.

    ReplyDelete