PENYELEWENGAN DUIT ZAKAT – SEMACAM
TIADA MAAF BAGI MU
Peristiwa penyelewengan duit zakat
di Pusat Zakat Pulau Pinang amat meneyedih dan memalukan. Ini betul-betul kisah
‘harapkan pegar, pegar makan padi’. Betul-betul memalukan orang Melayu yang
beragama Islam. Betul-betul menghina penganut Islam. Dan yang paling terasa
sampai ke tulang sum-sum ialah ‘mereka’ ( golongan yang bertanggungjawab)
betul-betul menghina agama Islam.
Apakah mereka tidak sedar bahawa
perbuatan mereka itu sudah betul-betul mencemarkan agama Islam. Apakah golongan
yang sanggup melakukan perkara terkutuk ini tidak ‘berhati perut’ untuk
memikirkan sejenak bahawa wang zakat itu adalah untuk golongan miskin yang
tidak berdaya upaya. Apakah golongan perasuah ini tidak langsung memikirkan bahawa
wang zakat itu adalah derma dan sumbangan orang ramai demi untuk meringankan
bebanan golongan asnaf yang dianjurkan oleh Islam. Apakah golongan ini sudah
‘tertutup mata hati’ mereka dan hanya melihat wang ringgit.
Aku amat sedih membaca berita ini.
Aku merasa begitu ‘geram’ dengan tindakan golongan perasuah ini kerana setengah
golongan ini hanya ‘cakap tak serupa bikin’. Ada diantara mereka yang
menyampaikan ceramah-ceramah agama di masjid menggalakkan orang ramai supaya
mengeluarkan zakat, membantu golongan miskin. Golongan ini jugalah yang pandai
mengeluarkan fatwa, merujuk kepada hadith dan firman yang berkaitan dengan
zakat. Dan golongan ini jugalah yang menodai kesucian Islam dan yang memalukan
umat Islam di negara ini. Dimanalah hendak diletakkan kredibiliti mereka.
Malang…dan amat malang. Pastinya bukan salah ibu yang mengandung…
Aku teringat pada suatu ketika
dahulu ketika arwah bapak aku yang begitu mengambil berat tentang pengeluaran
zakat. Masih terbayang dimata aku bagaimana pada suatu petang arwah ibu
‘mengangin’ padi setelah dituai dan arwah bapak pula sibuk menyukat padi dengan
menggunakan sukatan gantang untuk dikeluarkan zakat.
Yang menghairankan aku ialah
bagaimana perihatinya bapak tentang kewajipan menunaikan zakat pendapatan ini.
Bapak sudah mula mengira tentang berapa gantangkah padi yang sepatutnya
dikeluarkan zakat. Hari itu merupakan hari terakhir mereka berada di sawah
kerana sebahagian padi yang lain sudah pun dimasukkan ke dalam ‘beromban’
(kepuk) padi. Dan yang masih tinggal ialah padi yang dikhususkan untuk membayar
zakat. Dan sudah menjadi kebiasaannya, bapak tidak akan menyimpan padi yang
dikhususkan untuk dikeluarkan zakat. Beliau akan terus menghantar ke pihak yang
menerima zakat ataupun dihantarnya ke masjid.
Bapak tidak pernah lupa untuk
membayar zakat. Dengan sebab itulah agaknya segala pendapatannya diberkati
Allah walaupun tidak semewah yang diperolehi oleh golongan perasuah pegawai
zakat Pulau Pinang itu. Bapak denga senang hati memasukkan padi ke dalam guni
untuk disedekahkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Seolah-olah bapak begitu
puas hati berbuat demikian. Seolah-olah dia merasa lega setelah melakukan
tanggungjawabnya kepada golongan yang memerlukan.
Apabila peristiwa tentang bagaimana
ikhlasnya bapak aku menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat dan aku kaitkan
dengan sikap tidak bertanggungjawab para pegawai yang mengamalkan kegiatan
rasuah di Pulau Pinang itu, hati dan perasaan aku merasa amat marah. Mungkin
ramai para petani dan pesawah di Pulau Pinang itu yang senasib dengan bapak
aku. Mungkin ramai para petani yang tidak mahu terlepas dari membayar zakat
sebagai memenuhi rukun Islam keempat itu di Pulau Pinang.
Malangnya wang sumbangan mereka
telah diselewengkan oleh para pegawai yang tidak bertanggungjawab. Tidak ada
sebab mengapa perasuah ini melalkukan kegiatan yang sedemikian. Pastinya mereka
berlatarbelakangkan pendidikan agama. Pastinya mereka tahu apakah hukuman
dosa-pahala yang akan mereka terima kesan daripada perbuatan mereka itu.
Pastinya mereka amat mahir tentang hal selok belok berkaitan dengan zakat dan
golongan asnaf.
Tetapi mengapa mereka lakukan juga
perbuatan terkutuk itu? Apakah keadaan di negara kita sudah begitu teruk sekali
sehinggaakan rasuah dan penyelewengan ini sudah merupakan budaya orang
Malaysia. Apakah disebabkan pemimpin atasan kita melakukan kegiatan sedemikian
maka pegawai dan pemimpin bawahan juga mesti mengikut jejak langkah pemimpin
atasan. Apakah begitu aturan hidup di Malaysia kini. Apakah perbuatan terkutuk
ini akan terus menerus dicontohi oleh anak cucu kita. Bilakah agaknya perbuatan
sedemikian menemui titik nokhtahnya.
Ini yang dikatakan oleh peribahasa
Melayu, ‘ seperti menyuruh ketam menyuruh anaknya berjalan betul’. Jikalau para
pemimpin atasan di negara ini juga mengmalkan kegiatan terkutuk ini, maka
sedikit sebanyak akan diikuti dan dicontohi juga oleh rakyat bawahan.
Apalah nak jadi negara Malaysia
tercinta ini?
abuhassanadam
11 Mei 2017
No comments:
Post a Comment