Friday, May 19, 2017

MACAM PERTANDINGAN PAKAIAN BERAGAM

Entah berapa jam saja aku tidur pada malam itu ia itu malam pertama aku berada di Kampung Ulu Mengkuang. Emak aku pun rasanya tak lelap tidur agaknya. Maklumlah apabila berubah tempat tidur.

Hari itu betul-betul bersejarah bagi aku. Hari itu aku mula jadi guru. Jadi cikgu. Jawatan yang sangat diidam-idamkan oleh Opah, bapak, emak dan saudara mara aku. Pendek kata pada ketika itu menjawat jawatan guru adalah sangat mulia di sisi masyarakat. Bukanlah bermakna bahawa menjadi guru kini tidak mulia dan tidak dihormati oleh masyarakat. Tak begitu. Bezanya zaman dulu, pencapaian yang boleh dicapai oleh orang Melayu hanyalah menjadi guru.

Tidak ramai yang boleh menjadi guru pada ketika itu. Dari sesebuah sekolah Melayu itu hanya seorang atau dua orang yang boleh berjaya menjadi guru. Pada tahun-tahun pertengahan abad ke 20 tidak ramai anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris. Oleh itu lulusan dari sekolah Inggeris tentulah tidak ramai. Lulusan sekolah Melayu hanyalah berpeluang menjadi guru. Paling tinggi guru lepasan SITC (Sultan Idris Training College Tanjung Malim) atau MWTC (Malay Women Training College Melaka) bagi perempuan.

Di sekolah Melayu, tidak ramai anak Melayu yang sampai ke peringkat Darjah Tujuh. Kebanyakannya cicir di pertengahan jalan. Dari Darjah 1 lagi sudah mula proses keciciran. Hanya yang lulus Darjah 1 sahaja yang boleh meneruskan pelajaran ke Darjah 2. Disaring dalam Darjah 2, maka terdapat emapt atau lima orang yang tercicir. Begitulah seterusnya. Apabila sampai ke Darjah Tujuh hanya tinggal satu atau dua orang dari sesebuah sekolah. Dalam satu daerah ( Kuala Kangsar misalnya) hanya terdapat belasan sahaja yang berjaya ke Darjah Tujuh untuk menjadi guru. Dan hanya seorang atau dua sahaja dari satu daerah yang berjaya ke SITC atau ke MWTC.

Nasib anak Melayu pada zaman penjajahan British…

Aku bernasib baik kerana bapak menghantar aku ke sekolah Inggeris. Itupun pencapaian aku hanya setakat LCE (Lower Certificate of Education) sahaja. Tak mampu untuk meneruskan pelajaran dan ‘singgah’ sebentar di DTC Taiping untuk menerima latihan menjadi guru.

Setelah bersiap seadanya sebagai seorang guru, aku pun melangkah ke sekolah. Lebih kurang 30 meter saja dari rumah guru. Emak berada di depan pintu rumah sambil  pandangannya ‘menemani’ aku ke sekolah. Entah apalah yang difikirkannya. Maklumlah bagi dia sudah merupakan satu kejayaan besar kerana kejayaan aku menjadi guru. Walaupun guru sekolah rendah lepasan DTC. Dan kelulusan akademik pula hanyalah LCE (Lower Certificate of Education). Kelulusan paling rerndah yang menjadi syarat menjadi guru pada ketika itu. Gaji permulaannya sebanyak RM 210.00. Boleh lah..setakat nak beli basikal..

Aku berjumpa Pakda (guru besar) dulu pada pagi itu, walaupun sudah beberapa kali berjumpa dia. Semalam berbuka puasa dijemput ke rumah dia dengan emak aku sekali. Maklumlah dapur di rumah aku belum lagi berasap, walaupun ada dapur dan tungku-tungku sekali. Kayu api pun banyak di bawah rumah. Agaknya orang kampung tolong kumpulkan. Berdekatan dengan timbunan kayu api, aku nampak longgokan petai dan jering. Orang kampung juga yang hantar. Aku pasti.

Pada ketika itu ( 3 Januari 1965) terdapat 67 orang murid di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang dengan seorang guru besar dan tiga orang guru dan seorang guru agama. Bersama aku ketika itu ada lagi tiga orang guru – Cikgu Jaafar (guru baru bersama aku- dari Kampung Air Itam Labu, Kampar), Cikgu Talib (Guru Sementara) dan seorang guru agama – Ustaz Zainal ( dari Parit Buntar)

Aku ditugaskan untuk mengajar Darjah 1 dan Darjah 2. Jaafar mengajar Darjah 5 dan Darjah 6. Cikgu Talib mengajar Darjah 3 dan Pakda (Guru Besar) mengajar Darjah 4. Agak panik juga apabila timbul keadaan begini. Terpaksa pegang dua darjah. Tidak ada waktu rehat. Terus menerus mengajar dari pagi sampai ke pukul satu tengah hari. Ada dua buku ringkasan mengajar yang mesti dilengkapkan. Mungkin ramai kini yang tidak yakin dan percaya keadaan disekolah sebagaimana yang aku jelaskan itu. Tetapi itulah rupanya keadaan pada ketika itu.

Pukul 6.40 pagi murid-murid sudah mula datang ke sekolah. Berjalan kaki. Ditemanai oleh ibu atau bapa. Hanya dua atau tiga orang saja yang membonceng basikal bapa. Berkereta.. jauh panggang dari api. Aku nampak macam mengadili ‘pageant dress’ pula kerana murid-murid yang datang ke sekolah tidak memakai uniform sekolah. Belum diperkenalkan lagi di sekolah itu. Jadi murid-murid bebas memakai pakaian yang disukai oleh mereka. Kebanyakannya berkaki ayam. Jikalau adapun hanya memakai slipper Jepun sahaja.

Pak su Man ( ketua kampung Ulu Mengkuang) datang juga ke sekolah pada pagi itu. Amat commited dengan perjalanan pendidikan di kampungnya. Beliau berkerjasama rapat dengan Pakda dalam apa juga bentuk kerjasama yang bertujuan memajukan kampung.

Rumah Paksu Man tak jauh dari rumah guru tempat aku tinggal. Dan semalam Paksu Manlah yang mengejut aku untuk bersahur. Telah menjadi amalan penduduk di kampung ini untuk mengejutkan antara satu sama lain  supaya bangun untuk bersahur. Mereka pergi dari satu rumah ke rumah lain untuk tujuan itu. setahu aku kegiatan yang sebegini tidak pernah diamalkan di tempat lain. Hanya di Ulu Mengkuang.

Padunya penduduk Ulu Mengkuang pada ketika itu…

Dan Paksu Man telah menjemput aku dan emak untuk berbuka puasa di rumahnya pada malam kedua aku berada di Ulu Mengkuang. Tak berasap lagilah dapur di rumah aku…

abuhassanadam
19 Mei 2017


p/s Sambungan daripada posting sebelumnya berjodol ' PENGALAMAN MALAM PERTAMA' 

No comments:

Post a Comment