Wednesday, May 3, 2017

 BUKIT BERAPIT YANG SUDAH KERUH AIRNYA...

Tidak ada siapa yang peduli tentang tempat perkelahan Bukit Berapit yang terletak berhampiran dengan kampung Bukit Gantang dan lebih kurang lima kilometer ke utara dari Padang Rengas menuju Taiping. Memang betul. Bukit Berapit yang pada suatu ketika dulu merupakan tempat tumpuan untuk berkelah dengan air terjun yang dingin dan nyaman kini seolah-olah telah diabaikan.

Memang telah diabai dan tidak dipedulikan. Tidak ada manusia yang ingin singgah ( walau pun sebentar ) di Bukit Berapit kerana tidak ada apa tarikannya lagi sekiranya singgah di Bukit Berapit. Bukit Berapit kini tidak seperti Bukit Berapit beberapa tahun yang dahulu.

Minggu lepas aku singgah sebentar di Bukit Berapit. Nostalgia. Aku memaksakan diriku singgah di situ kerana aku merasa ‘zalim’ dan ‘berdosa’ sekiranya aku tidak singgah, walaupun sebentar di Bukit Berapit. Tentulah tidak ‘sampai hati’ aku untuk tidak singgah di situ kerana di Bukit Berapit itulah sebahagian dari usia muda aku dihabiskan.

Pada ketika kegiatan ‘berkelah’ merupakan fenomena masyarakat pada zaman tahun 1960an dan 1970an dulu, maka Bukit Berapit itulah tempat tumpuan muda mudi, khususnya yang tinggal di persekitaran Taiping dan Kuala Kangsar. Malah bagi penduduk Utara pun pasti akan singgah di Bukit Berapit untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan samada ke Utara atau ke Selatan. Kini kegiatan sedemikian sudah tidak ada lagi.

Dikatakan juga bahawa adanya Lebuhraya Utara Selatan telah ‘membunuh’ tempat perkelahan Bukit Berapit kerana lebuhraya berkenaan tidak melalui tempat perkelahan berkenaan berbanding dengan keadaan zaman ketika jalanraya utara-selatan sememangnya melalui tempat perkelahan berkenaan. Tetapi soalnya mengapa air yang mengalir jernih pada suatu ketika dahulu menjadi keruh, pekat sepekatnya sehinggakan tidak sangggup walaupun untuk membasuh kaki di situ.

‘Tangan durjana’ dari manakah agaknya yang mengotorkan kejernihan air Bukit Berapit. Tentulah ada kegiatan pembalakan di sebelah ulu sungai atau pun pembangunan yang tidak terancang yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian. Mengapakah tidak ada pengawalan langsung dari pihak berwajib untuk memantau agar air di Bukit Berapit tidak dicemari. Kini ‘nasi sudah menjadi bubur’. Tidak perlu lagi ditangisi air jernih di Bukit Berapit yang telah bertukar kepada air lumpur itu.

Memang bangsa kita tidak pandai menghormati alam sekitar walaupun Islam menganjurkan dan menegah walaupun pun menebang sebatang pokok. Tentulah aku teringat pada sungai yang mengalir di tengah bandar Lucern Switzerland yang terletak berhampiran dengan ‘Bucherer’ pusat jualan jam Rolex. Kejernihan airnya sampai kini terasa ‘menawan’ hati ini. Mengapa kita membiarkan kejernihan air di Bukit Berapit ( dan di tempat lain juga) dicemari?

‘Padam’nya tempat perkelahan di Bukit Berapit itu menyebabkan ‘padam’ juga perniagaan yang ada di persekitaran tempat perkelahan itu. Sudah tidak ada lagi gerai-gerai menjual barangan makanan yang diusahakan oleh penduduk di persekitaran. Pihak berkuasa tidak langsung berusaha untuk menyelamatkan perniagaan penduduk di situ. Sekiranya pihak berkuasa jujur dan terus memantau perniagaan di situ, maka terselamatlah perniagaan yang ada di situ. Kini hanya tinggal kenangan.

Kadang-kadang aku terfikir juga. Sekiranya Bukit Berapit itu tidak tercemar airnya, apakah Bukit Berapit akan tetap dikunjungi. Aku mengatakan demikian kerana perubahan cara hidup yang dilalui oleh masyarakat Melayu kini yang agak berbeza daripada zaman dulu. Zaman dahulu istilah ‘berkelah’ merupakan kegiatan seluruh anggota masyarakat tidak kira tua muda. Tetapi kini apakah kegiatan sedemikian masih berterusan. Apakah anak muda zaman ini masih meneruskan amalan berkelah itu?

Mungkin juga perubahan ‘selera’ anak muda kini yang merupakan faktor yang ‘membunuh’ kebanyakan tempat berkelah. Mungkin agaknya penduduk persekitaran Padang Rengas dan Kuala Kangsar masih bertumpu ke Batu Hampar di Paya Lintah untuk berkelah. Mungkin…

abuhassanadam

3 Mei 2017

No comments:

Post a Comment