GURU ADALAH SEGALA-GALANYA
Memang bagi aku guru adalah
segala-galanya. Cikgu…Pada ketika itu tidak ada siapa lain yang dapat
‘menerangi’ hidup orang Melayu kampung kecuali cikgu. Coretan kali ini adalah
merupakan luahan hati seorang anak yang hidup zaman penjajahan ketika anggota
masyarakat Melayu pada ketika itu masih dalam ‘kegelapan’.
Tidak ada ‘Hari Guru’ untuk kita
rayakan dan tidak ada ucapan ‘terima kasih yang tidak terhingga’ kapada cikgu
yang mendidik dan memimpin kami pada ketika itu. Tidak ada kad ucapan untuk
dihantar kepada cikgu yang sentiasa membimbing dan memandu kehidupan anak-anak
pada ketika itu. Dan tidak ‘berani’ pula untuk mengucapkan terima kasih kepada
guru-guru yang bertungkus lumus mengajar kami pada ketika itu. ‘Tidak berani’
bukan bermakna tidak hormat tetapi sebenarnya ‘terlampau menghormati’ guru
sehingga tidak berani menyatakan hasrat dan perasaan kepada guru-guru. Itulah
gambaran yang boleh disampaikan menggambarkan keadaan perhubungan antara guru
dan murid tahun 1950an.
Bagi aku dan anak-anak yang
seangkatan dengan aku bahawa guru itu adalah segala-galanya.
Sumber ilmu pada ketika itu adalah
guru. Dan kini pun sumber ilmu berada pada seorang guru. Namun pada ketika itu,
disebabkan tidak ada sumber lain yang boleh diharapkan maka bimbingan dan nasihat biasanya datang dari guru.
Tidak ada pakar motivasi yang boleh mebimbing ke arah kecemerlangan samada
dalam peperiksaan ataupun kehidupan yang betul sempurna. Tidak ada buku dan
risalah yang boleh dibaca oleh anak-anak ketika itu untuk menunjuk jalan ke
arah kecemerlangan.
Di kampung aku ketika itu hanyalah
ada Cikgu Mansor Shariff, Cikgu Rashid Shariff, Cikgu Mohd Ali Talib dan Cikgu
Aishah Sharif. Nama-nama mereka sentiasa bermain di bibir orang kampung aku
sebagai sumber untuk mendapatkan idea dan pemikiran baru. Mereka merupakan
golongan intelek awal dari kampung aku tempat orang kampuung bertanya dan
‘menyangkutkan dagu’.
Cikgu Mansor Shariff berasal dari
Kampung Lalang ia itu kampung yang berjiran dengan kampung aku. Hanya diselangi
dengan sawah padi. Namun begitu hampir tidak ada perbezaan langsung antara
kampung Keroh Hilir ( kampung kelahiran aku) dengan Kampung Lalang ( tempat
kelahiran Cikgu Mansor, Cikgu Rashid dan
Cikgu Aishah ( adik beradik ) dan Kampung Pulau. Arwah bapak aku sentiasa
menyebut nama Cikgu Mansor Sharif
sehingga saat-akhir hayatnya kerana keakraban mereka (class-mate di
sekolah Melayu ) dan juga kerana Cikgu Mansor semacam merupakan ‘penasihat agung’
bapak aku.
Kononnya, mengikut apa yang diakatakan
oleh bapak bahawa Cikhu Mansorlah yang menasihati dia untuk menyekolahkan aku
di sekolah Inggeris walaupun tindakan bapak aku menghantar aku ke sekolah
Inggeris dianggap sebagai sesuatu tindakan yang negatif dari sudut agama
(pandangan masyarakat pada ketika itu). Cikgu Mansor jugalah kononya yang
menasihati bapak aku supaya menghantar adik aku, Latipah ke sekolah Inggeris
walaupun tindakan bapak aku itu bertentangan dengan norma yang diamalkan di
kampung aku.
Cikgu Aishah ( Cikgu Chah – adik
Cikgu Mansor) adalah lepasan MWTC (Malay Women Training College, Durian Daun
Melaka) merupakan satu-satunya anak kampung (wanita) yang berjaya menjadi guru
pada waktu itu disamping Cikgu Rabaah (Wan Baah dari kampung aku ). Nama Cikgu
Chah menjadi sebutan Opah aku pada ketika itu. Nama Cikgu Chah sentiasa dirujuk
oleh Opah aku untuk menunjukkan contoh-contoh yang harus diikuti oleh anak
cucunya. Pendek kata merekalah sentiasa jadi tempat rujukan penduduk kampung
ketika menghadapi masalah. Malangnya Cikgu Chah berkahwin dengan Cikgu dari
Negeri Sembilan dan berkuranganlah seorang ‘penasihat’ dari kampung kami
sebagai tempat untuk mendapatkan nasihat.
Sehingga tahun 1964, hanya Cikgu
Mohd Ali Talib dan Cikgu Rabaah sahaja yang berjaya menjawat jawatan guru dari
kampung aku dan itulah dua orang ‘intelek’ Melayu yang boleh dikatakan ‘celik’
untuk mendapatkan apa juga nasihat dan pandangan. Tambahan pula Cikgu Mohd Ali
adalah lepasan TEVS (Teaching English Vernacular School) dan mendapat didikan
akdemik dari King Edward VII, Taiping. Beliau merupakan anak pertama dari
kampung aku yang lulus Senior Cambridge.
Keadaan sekarang telah banyak
berubah. Kaum guru merasakan bahawa mereka kurang diperlukan lagi. Jikalau
dulu, kaum gurulah yang menjadi pemimpin belia di kampung-kampung, kaum gurulah
yang menjadi pemimpin di masjid dan kaum guru jugalah yang menjadi pemimpin
badan-badan sukarela dan politik. Kini kaum guru sudah tidak lagi berperanan
dalam UMNO dan tempat guru telah digantikan oleh golongan korporat dan ahli
perniagaan lain.
Apakah perubahan itu yang menjadi
punca berlakunya kemelut dalam negara kini?
abuhassanadam
5 Mei 2017
No comments:
Post a Comment