Wednesday, May 10, 2017

HASRAT PAS TERPESONG

Aku tak tahu untuk menganalisis ke manakah arah tuju PAS. Bagi aku ( yang tidak secerdik kebanyakan pengikut PAS yang fanatik) PAS tidak akan ke mana-mana di bawah pimpinan DS Haji Hadi Awang. Amat berbeza sekali parti PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz atau sebelumnya di bawah pimpinan Ustaz Fadzil Noor. Dan amat berbeza sekali sekiranya kita sorot hasrat pemimpin-pemimpin awal seperti Dr. Burhanuddin Hilmy atau Ustaz Zulkifly Mohammed dan lain-lain.

Apa maknanya PAS sekiranya asyik ‘menyendoi’ UMNO. Maknanya apa peranan yang akan dimainkan oleh PAS pada PRU 14 yang akan datang sekiranya tidak langsung berhasrat untuk memerintah negara ataupun tidak langsung berasrat untuk mentadbir walau sebuah negeri pun. Ada dinyatakan hasrat berkenaan tetapi hanya sebagai satu mimpi di siang hari.

Kenyataan sebegini tentulah akan disangkal oleh pengikut PAS yang fanatik. Tentulah ada yang merasakan bahawa kenyataan aku agak keterlaluan kerana pada pandangan mereka PAS adalah merupakan parti yang kuat yang akan dapat ‘menakluki’ negara ini pada PRU14 yang akan datang. Mereka mungkin lupa bahawa PAS sudah semacam tidak relevan lagi di Malaysia. Walaupun menerima ‘tempik dan sorak’ pada perhimpunan muktamar yang lepas namun itu hanya merupakan kegiatan syok sendiri. Pada hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia sudah menolak PAS.

Terkeluarnya golongan professional dari PAS dan membentuk Amanah sudah cukup jelas menunjukkan yang PAS sudah terhakis. Maknanya sebahagian besar ahli PAS (pengikut kumpulan professional yang membentuk Amanah) pasti sedikit sebanyak akan ‘mengekori’ ketuanya meninggalkan parti PAS. Dan terbukti jelas melihatkan kekuatan Amanah yang semakin mantap hari demi hari.

Para pemimpin PAS merasakan bahawa parti PAS masih kuat dan agung dan masih berpengaruh di negara ini. Atas dasar apa untuk bersandarkan hakikat sekiranya dengan jelas menunjukkan begitu kurangnya sokongan rakyat terhadap PAS. Kemenangan calon PAS dalam PRU 13 yang lalu adalah disebabkan sokongan daripada kaum bukan Melayu. Itu adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Dan adanya sokongan daripada bukan Melayu adalah atas dasar setiakawan PAS dalam Pakatan Rakyat pada ketika itu. Ini juga satu hakikat yang tidak dapat dinafikan.

Hakikat yang sebenarnya kini ialah bahawa golongan bukan Melayu tidak lagi akan menyokong PAS atas faktor dan alasan yang pemimpin PAS amat sedar. Senario politik di Malaysia terutama dalam mengatur strategi untuk menang sesuatu pilihanraya, faktor kerjasama kaum untuk menang adalah merupakan priority. Maknanya tanpa sokongan berbagai kaum terhadap sesuatu parti, pastinya tidak akan mencapai kemenangan. Pendek kata tidak boleh mengharapkan suatu kaum sahaja untuk menang.Itu hakikatnya yang mesti diterima, walaupun agak ‘pahit’ untuk ditelan.

Pemimpin PAS mendabik dada meramalkan tentang kemenangan berpuluh-puluh kerusi PAS pada PRU 14 akan datang. Apakah ramalan itu suatu realiti atau hanya bermimpi di siang hari. Kadang-kadang kelihatan ramalan yang dibuat itu banyak menampakkan sebagai satu mimpi dan berkemungkinannya menjadi igauan yang menakutkan.

Sepintas lalu ingin juga aku memetik kata-kata Haji Ahmad Badawi melalui "Manifesto al-Badawi" dengan tema "Ulamak ke Jalan Allah" bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentuk-bentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah. (Petikan dari Super User bertarikh 20 Mei 2011 berjodol,’ Sejarah Parti Islam SeMalaysia (PAS)”

Bagi aku hasrat pengasas PAS pada ketika itu bukan sahaja untuk bekerjasama dengan UMNO (sekadar untuk bekerjasama) tetapi hasrat dan matlamat mereka ialah ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah. PAS kini semacam tidak berhasrat untuk bergerak ke arah itu tetapi hanya sentiasa berada ‘dibelakang’ UMNO. Jikalau tidak pun dinyatakan secara jelas dan terang, namun pada hakikatnya semacam begitulah…

Dalam hal menjalinkan kerjasama dengan UMNO ingin aku memetik satu petikan lagi yang berkaitan dengan kerjasama demikian yang ditulis oleh Super User bertarikh 20 Mei 2011 berjodol,’ Sejarah Parti Islam SeMalaysia (PAS)”

“PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan”

Apakah pisang akan berbuah bagi kali keduanya?

abuhassanadam
10 Mei 2017


No comments:

Post a Comment