Saturday, May 6, 2017

RUMAH MELAYU DULU-DULU

 Seingat aku, sehingga awal 1950an, rumah orang Melayu di sekitar kampung aku masih dalam keadaan amat uzur. Dan gambaran di atas sudah dikira agak ‘modern’ berbanding dengan kebanyakan rumah lain yang lebih daif dan lebih ‘simple’ lagi. Dan berkemungkinan juga itulah rupa rumah orang Melayu di Malaysia pada ketika itu.

Namun begitu suasana persekitaran pada ketika itu agak aman dan ‘romantis’. Penghuninya dalam keadaan keriangan berbanding dengan keadaan kini di mana orang kampung masih memikirkan tentang bagaimana untuk meneruskan hidup dalam keadaan harga barang yang naik melambung, dengan pengenaan GST yang tidak dapat hendak melarikan diri dari keadaan kemelut demikian.

Pada ketika itu, aku masih ingat lagi dan seolah-olah masih kedengaran hilai ketawa anak-anak yang mendiami rumah berkenaan, walaupun diterangi oleh pelita minyak bersumbukan tali guni dan dihidupkan oleh minyak tanah. Seisi keluarga tetap riang selepas menikmati ‘makan malam’ yang merupakan nasi berlaukan Ikan Belanak goreng dan berulamkan petai. Hilai dan ketawa itulah yang merupakan hiburan sekeluarga pada waktu malam untuk ‘menggantikan’ TV dan Radio yang masih belum  muncul lagi di negara ini pada waktu itu. Tetapi cukup sekadarkan hilai ketawa sedemikian yang boleh dicemburui oleh orang bandar yang tinggal di rumah-rumah besar dibandaraya kini.

Satu hal yang agak yunik mengenai rumah orang Melayu di kampung-kampung pada ketika itu ( sekarang pun) ialah adanya tanaman bunga di persekitaran rumah. Sudah merupakan satu syarat yang mesti diadakan untuk perhiasan bunga di kawasan halaman rumah mereka. Begitulah ‘artistik’nya orang Melayu.

Sangkar burung tidak semestinya ada pada setiap rumah orang Melayu, Namun kebanyakan orang Melayu ada membela burung sebagai hobi. Samada burung Merbuk atau burung Tekukur.Anak-anak kebiasaannya membela burung Pipit atau Merbah atau Serindit sebagai hobi. Aku masih teringat tentang banyaknya masa aku terbuang kerana melihat burung Serindit melakukan berbagai ‘acrobatic trick’ dengan hanya ‘mengupah’nya dengan sebiji pisang Rastali.

Rumah tidak bertiang hanya muncul di sekitar tahun-tahun 1960an (di kampung aku ). Sebelum itu hampir tidak ada rumah yang tidak bertiang. Kemungkinan juga untuk mengelak daripada bahaya seperti ular dan binatang-binatang lain memasuki rumah mereka. Dan tentulah agak selamat membina rumah sedemikian. Lagipun rumah sedemikian boleh berperanan sebagai dwi-fungsi. Di bawah rumah mereka boleh digunakan sebagai reban ayam atau reban itik. Kebanyakan rumah pada ketika itu mempunyai ciri-ciri sedemikian.

Satu hal yang agak unik juga pada ketika itu ialah budaya ‘mengangkat rumah’ ia itu memindahkan rumah dari satu tapak ke tapak yang lain. Ini merupakan sesuatu yang lumrah bagi orang Melayu pada ketika itu. Mungkin dianggap mustahil pada pemikiran manusia zaman modern, tetapi tidak pelik bagi orang Melayu kampung dulu-dulu yang merupakan suatu kebiasaan. Kebiasaannya kegiatan ‘mengangkat Rumah’ ini dijalankan pada hari Jumaat selepas solat Jumaat. Pada hari berkenaanlah penduduk kampung akan tertumpu di masjid dan dari masjidlah mereka akan pergi ke tempat terbabit untuk ‘mengangkat rumah’. ‘Upahnya’ hanyalah bubur kacang bercecahkan Roti Kapai’.

Damainya suasana kampung pada ketika itu berbanding dengan keadaan hiruk pikuk di bandar pada ketika ini. Anak desa yang telah berhijrah ke bandar amat merindui keadaan sedemikian. Malangnya keadaan sedemikian sudah tidak menjelang lagi. Anak desa yang berada di bandar pastinya,
·      ingin menaiki basikal tua untuk mundar mandir di kampungnya
·      merindukan bubur lambuk yang dimasak di surau pada bulan Ramdan
·      ingin melaungkan sekuat-kuatnya ‘salallah-saleh-makleh’ ketika selesai setiap dua rakaat solat terawih di kampungnya
·      ingin menikmati ais yang dijual berbalutkan serbuk kayu
·      ingin melihat suasana petang dalam bulan Ramdan, kanak-kanak bertukar-tukar juadah berbuka puasa dari rumah ke rumah jiran

Hanya linangan air mata yang dapat menemani kenangan manis sedemikian.

abuhassanadam

6 Mei 2017

No comments:

Post a Comment