Tuesday, May 2, 2017

MENJELANG RAMADAN

Bagi budak kampung seperti aku, menyambut bulan puasa (Ramadan) sama seperti perasaan anak-anak bandar kini menunggu ketibaan Hari Raya. Seronok betul. Aku dapat rasakan pancaran keseronokan itu di wajah rakan-rakan lain yang sebaya dengan aku pada waktu itu – Ngah, Ani, Basir, Bahari, Isa dan lain-lain.

Bagi anak-anak yang tinggal di bandar mungkin tidak dapat membayangkan keseronokan yang kami alami waktu dulu-dulu, semasa kanak-kanak di kampung. Tidak dapat nak diceritakan keseronokan ketika menyambut bulan Ramadan. Tiada bahasa untuk aku gambarkan keseronokan di hati kami pada waktu itu, walaupun dalam keadaan kehidupan yang serba kekurangan. Namun aku yakin keseronokan yang dirasai oleh anak-anak bandar itu adalah sama seperti keseronokan yang dialami oleh anak-anak kampung yang serba kekurangan itu. Itulah kurniaan Tuhan kepada hambanya. Agaknya…

Surau Kampung Ekor Dusun adalah merupakan tempat anak-anak kampung itu ‘berpesta’ pada malam selepas berbuka dan selepas solat sunat terawih. Kini surau berkenaan sudah tidak ada lagi. Surau itu bersebelahan dengan kedai Pak Alang Brahim ( pun kedai berkenaan sudah tidak ada lagi). Antara kedai Pak Alang Brahim dengan surau berkenaan ada pokok asam jawa ( juga sudah tidak kelihatan lagi). Yang masih ada ialah rumah Wan Timah (pun Wan Timah dan Pak Ajid sudah tidak ada lagi) dan rumah Cik Kontak dan Wan Semah (juga sudah tidak ada lagi di dunia ini)

Hanya tinggal kenangan.

Berhampiran dengan surau Ekor Dusun ada sebatang sungai yang airnya cukup jernih. Kini air sungai itu sudah tidak sejernih dulu. Di sungai itulah kami berwuduk pada ketika itu. Dan sebatang sungai lagi ialah apa yang dinamakan Sungai Sauk yang aku selalu ibaratkan dalam blog ini sebagai ‘swimming pool’ anak-anak di kawasan ini. Kini sudah tidak lagi ‘berfungsi’ sebagaimana yang pernah kami nikmati pada suatu ketika dulu.

Kebiasaanya dua minggu sebelum bermulanya puasa kami dikerahkan untuk membersihkan kawasan surau kami supaya ‘presentable’ untuk menyambut bulan yang mulia. Pak Ajid ( arwah) biasanya akan bertungkus lumus menyediakan ‘dapur’ tempat khusus untuk beliau memasak bubur lambuk dan nasi minyak (bagi malam-malam tertentu). Sememangnya hal masak memasak bubur lambuk diserahkan kepada Pak Ajid. ‘Upah’nya hanya seringgit semalam. Sagu hati. Dan Pak Ajid melakukan tugas berkenaan secara ikhlas. Itulah gambaran tentang mulia dan jujurnya hati dan perasaan penduduk kampung pada tahun-tahun 60an. Aku tak tahulah hati dan perasaan manusia kini.

Abang Dun (Zaidun) menyediakan jadual moreh untuk kariah Ekor Dusun. Ada tiga puluh buah rumah. Maknanya setiap rumah akan memberikan sumbangan moreh untuk satu malam pada bulan Ramadan nanti. Juadahnya ialah bubur lambuk dengan kerabu pucuk paku atau kerabu taugeh atau kerabu nangka. Untuk juadah selepas terawih biasanya kuih-kuih Melayu seperti Dokok-Dokok, Anak Dara Dua Sebilik, Puteri Mandi, Lepat Pisang, Lepat Ubi, Badak Berendam, Ketayap, Kuiah Kuaci. Jamuan nasi minyak hanyalah dikhususkan bagi malam yang istemewa seperti ‘Malam Pemuda’ dan Malam 27 (Malam Tujuh Likor). Itu agak ‘sepcial’. Mungkin itulah peluang kami untuk menikmati nasi minyak berkenaan. Setahun sekali!..

Suasana di kampung Ekor Dusun, Keroh Hilir itu penuh keriangan apabila menjelang Ramadan. Itu baru ‘on the eve of Ramadan’. Belum lagi bulan Ramadan sebenar. Tidak kelihatan suasana sugul diwajah penduduk di sini walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Tidak pula ada yang menolak apabila dipelawa untuk menyediakan jamuan moreh untuk satu malam pada bulan Ramadan. Kesemuanya menerima dengan penuh ikhlas.

Ada sebabnya mengapa mereka tidak menolak. Pertamanya hampir kesemua penduduk di Ekor Dusun ini bersawah – berbendang. Jadi tidak ada masalah untuk menyediakan beras untuk memasak bubur lambuk. Kebanyakan kami di sini dapat menyediakan kelapa dari pokok sendiri. Untuk menyediakan Kerabu Pucuk Paku tidak ada masalah langsung kerana pucuk paku tumbuh merata-rata disepanjang sungai berhampiran dengan rumah kami. Jadi tidak ada wang yang diperlukan untuk mengongkosi jamuan moreh pada bulan Ramadan. Hampir kesemuanya boleh diperolehi cara percuma.

Lelaki-perempuan, kecil-besar, tua-muda bergotong royong membersihakn kawasan Surau Ekor Dusun. Dari rumah Pak Alang Ibrahim, rumah Pak Din Kayat, Pan Ngah Sepiah, Pak Ajid sampailah ke rumah Cik Kontak, Zaidun, Pak Mat Salleh, Tokki Mat Deris kesemuanya masuk dalam kariah Ekor Dusun. Kemuadian rumah Pak Cik Samad, rumah Atuk aku, rumah Wan Meriam, Wan Munah, Toki Daman, Pak Andak Wahab dan rumah Wah Beah kesemuanya tergolong sama.

Pendek kata seluruh kampung menunggu Ramadan dengan penuh keriangan menyambutnya.

abuhassanadam
2 Mei 2017

p/s Kesemua nama-nama yang tercatat di atas adalah nama sebenar dan kesemuanya sudah tidak ada lagi. Untuk itu sesiapa yang sudi membaca coretan di atas, sudi apalah kiranya menghadiahkan ‘Al-Fatihah’ untuk roh-roh mereka supaya di tempatkan dikalangan orang yang beriman.


No comments:

Post a Comment