PENGALAMAN
MALAM PERTAMA
(Bersempena
dengan sambutan HARI GURU )
Malam
pertama aku tidur di kampung Ulu Mengkuang iaitu pada 2 Januari 1965. Esoknya (
3 Januari 1965) aku dikehendaki melapor diri di Sekolah Kebangsaan Ulu
Mengkuang untuk menjalankan tugas sebagai seorang guru. Ketika itu usia aku
baru 20 tahun. Dan tidak hairanlah aku ‘terpaksa’ ditemani oleh ibu untuk buat
pertama kali ‘berenggang’ dengan ibu untuk ‘merantau’ jauh di ‘negeri orang’.
Bagi aku
Kampung Ulu Mengkuang begitu cantik dan indah sekali. Desa pingitan. Ketika itu
tidak ada jalan raya ( maksud aku yang bertar) ke Ulu Mengkuang (dari pekan
Rantau Panjang, Selama Perak) yang perjalanannya jauhnya lebih kurang lima
kilometer. Lebih kurang 40 minit berbasikal ( sekiranya laju kayuhannya).
Terpaksa melalui Kampung Sumatra, menyeberangi sawah padi sebelum sampai ke
Kampung Lalang. Selepas Kampung Lalang barulah sampai ke Kampung Ulu Mengkuang.
Dalam
perjalanan ke Ulu Mengkuang ketika berulang alik ke sekolah setelah aku
berpindah ke Selama Perak beberapa bulan kemudian, aku selalu berteduh di bawah
rumpun buluh di tengah sawah ke Ulu Mengkuang ia itu ketika hari panas terik.
Di situlah aku dengan Cikgu Talib ( arwah) berehat sebentar sebelum melakukan
kayuhan (berbasikal) semula ke pekan Rantau Panjang. Tidak dapat aku bayangkan
keenakannya menghirup udara segar ketika berada di bawah pohon buluh dengan
diiringi siualan burung Tempua yang bersarang di atas pohon buluh berkenaan.
Aku
diberikan ‘Rumah Guru’ untuk bermalam pada malam berkenaan oleh Guru Besar pada
ketika itu, Cikgu Ismail Ahmad (arwah) yang terkenal juga dengan nama
glamournya ‘Pakda’. Mungkin ada yang membayangkan tentang keadaan ‘Rumah Guru’
yang diberikan kepada aku itu sepertimana rumah guru yang terdapat di Malaysia
kini.
Bagi aku
‘Rumah Guru’ yang diberikan itu amat menyenangkan hati dan perasaan aku.
Walaupun semacam tidak menepati erti kata ‘rumah guru’ namun bagi aku amat
menyenangkan terutama apabila aku mengenangkan tentang ‘rumah guru’ berkenaan.
Bertiangkan buluh, berdindingkan anyaman buluh, beratapkan daun nipah dan mirip
seperti pondok menunggu durian tatkala tiba musim durian berguguran. Dan
kononnya ‘rumah guru’ berkenaan telah dibina dengan kerjasama orang kampung Ulu
Mengkuang semata-mata untuk dijadikan tempat tinggal guru-guru yang mengajar di
Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang (yang kebiasaannya masih bujang dan tidak
memerlukan rumah yang besar)
Arwah
emak aku juga tidak menunjukkan perasaan tidak puas hati dengan tempat tinggal
aku. Mungkin beliau tahu dan faham tentang masalah kemiskinan yang dihadapi
oleh penduduk di sini untuk menghasilkan sebuah rumah guru yang betul-betul
menepati istilah ‘rumah guru’.
Lebih
kurang seminggu, emak bersama aku tinggal di ‘rumah guru’. Emak tahu yang aku
tak pandai langsung dalam hal masak memasak. Dan tentu sekali beliau juga
sedang memikirkan tentang ‘nasib’ aku, selepas kembalinya beliau ke kampung.
Tentulah dia terfikir juga tentang ‘makan dan pakai’ aku menghadapi keadaan
selepas itu. Beliau sedar bahawa bukan ada kedai makan di kampung Ulu
Mengkuang. Dan untuk itu aku terpaksa pergi ke Rantau Panjang, yang jauhnya
lima kilometer (berbasikal). Tidak ada kenderaan awam untuk dinaiki. Dan untuk
keperluan barang dapur, terpaksa jugalah pergi ke Rantau Panjang untuk
mendapatkan keperluan berkenaan.
Nampaknya
emak begitu gembira berada di Ulu Mengkuang kerana sambutan yang diberikan oleh
penduduk Ulu Mengkuangg. Mereka begitu baik dan mesra terhadap emak aku. Malah
pada malam pertama setibanya kami ke rumah berkenaan, sudah mula ‘dihujani’
oleh barang makanan untuk berbuka puasa dan seterusnya untuk sarapan bersahur.
Aku masih ingat kuih-muih dan lauk-pauk yang diberikan oleh Pak Teh Derani, Pak
Su Man, Pak Da/Makda, Pak Su Besar sehinggakan hampir tidak muat ruang ‘tamu’
di rumah guru berkenaan. Emak dan aku hanya memerhatikan ‘jelmaan budi’ orang
Ulu Mengkuang itu dengan penuh kehairanan.
Kami tak
tahu bagaimana nak membalas budi baik orang kampung itu. Emak ada membawa
bekalan rendang ayam kampung dan makanan lain sebagai keperluan sekiranya terdesak. Itu pun hanya
boleh bertahan satu atau dua hari. Tetapi dengan apa yang ‘ditunjukkan’ oleh
orang kampung berkenaan,telah meyakinkan emak yang aku berada dalam suana yang
menyenangkan di kampung Ulu Mengkuang.
Pada
malam berkenaan, tidak putus-putus orang kampung datang berkunjung ke rumah
aku. Untuk menemui cikgu baru kata mereka. Mereka ingin berkenalan lebih dekat
dengan cikgu yang akan mengajar anak-anak mereka. Mereka merasakan cukup
bertuah dan beruntung kerana kesudian guru-guru mengajar di tempat mereka.
Tentulah
ada pengalaman pahit yang menyebabkan mereka berkata demikian. Bukan senang
untuk mendapatkan guru untuk mengajar di situ. Tambahan pula pada ketika itu
sememangnya terdapat kekurangan guru terlatih di seluruh negara dan tidak mudah
untuk ‘memujuk’ guru untuk pergi mengajar di Ulu Mengkuang – kawasan yang jauh
di pendalaman. Memang sebelum kedatangan aku ke sekolah itu kebanyakan guru
yang mengajar di situ adalah terdiri dari guru-guru sementara.
Seingat
aku sehingga pukul 12.00 tengah malam masih ada lagi ‘pelawat’ datang ke rumah
aku…
Satu
perkara yang luar biasa berlaku apabila sampai waktu bersahur, satu perkara
yang tidak pernah lagi aku lalui….
abuhassanadam
18 Mei
2017
akan
bersambung
No comments:
Post a Comment