Monday, May 8, 2017

MUNGKIN GURU DIPERSALAHKAN…

Aku mencari-cari sebab-sebab mengapa kegiatan rasuah berleluasa di negara kita kini. Mesti ada sebab-sebabnya sesuatu perkara berlaku. Jikalau tidak ada angin takkanlah pokok bergoyang. ‘There’s no smoke without fire’ kata orang putih.

Amalan rasuah dikalangan masyarkat Malaysia sudah merupakan amalan biasa. Sudah tidak ada segan dan silu. Seolah-olah tidak ada apa yang hendak dimalukan sekiranya seseorang itu ditangkap dan dituduh kerana melakukan kegiatan rasuah. Anak bini tak malu, emak bapaknya pun dah tak malu. Agaknya lah. Dan yang paling memalukan lagi ialah ramai yang sudah tidak segan silu ‘meminta’ wang sosokan untuk meluluskan sesuatu projek misalnya. Dari peringkat yang paling tinggi sehinggalah ke peringkat yang paling rendah di pejabat-pejabat kerajaan.

Kegiatan terkutuk ini bukan lagi satu rahsia dan dijalankan secara sembunyi-sembunyi. Apa tidaknya. Jikalau dikaji gaji seorang menteri atau wakil rakyat ( ahli parlimen dan ADUN misalnya), jikalau dikaji gaji dan pendapatan seorang Ketua Setiausaha sesuatu kementerian (KSU) atau TKSU, jika dikaji gaji para Ketua Pengarah dan Pengarah di sesuatu kementerian, jika dikaji gaji dan pendapatan para Pegawai Daerah atau OCPD di sesuatu daerah berapa sangatlah gaji dan pendapatan mereka berbanding dengan cara hidup dan kemewahan yang dilalui oleh mereka dan anak isteri mereka. Aku tidak bermaksud mengatakan bahawa semuanya berperangai demikian. Masih ada juga lagi yang menjalankan tugas kerana Allah. Syabas!

Tetapi satu hakikat yang perlu diperjelaskan di sini ialah jarang sangat aku jumpa seseorang wakil rakyat kini yang menjalani hidup seperti yang dilalui oleh Tunku Abdul Rahman atau Tun Abdul Razak atau wakil rakyat tahun 1960an dan 1970an. Kebanyakan wakil rakyat yang aku jumpa, hampir semuanya menjalani kehidupan secara mewah. Rumah besar, kereta yang berbaris di garaj, kekerapan melancong ke luar negara disamping sentiasa menunaikan Umrah (untuk menebus dosa mungkin!). Barang kemas isteri jangan dikirakan. Sarat-lendat (loghat Perak).

Aku masih teringat wakil rakyat di tempat aku – Padang Rengas. Pada ketika itu ( tahun 60an) wakil rakyatnya ialah Ustaz Khalid Abbas. Yang aku tahu kehidupannya amatlah sederhana dan tidak pula aku dengar dan ketahui jumlah kereta yang dimilikinya. Yang aku tahu anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Tidak ada lagi pada hari ini wakil rakyat yang seangkatan dengan YB Ustaz Khalid Abbas. Dah tak jumpa!...

Diukur dari segi pendapatan yang diperolehi memang jelas menunjukkan bahawa sememangnya seseorang ‘tokoh’ itu banyak mendapat ‘pendapatan luar’ untuk menampung gaya hidup yang sedemikian. Apatah lagi sebelum menyandang jawatan politik, seseorang ‘tokoh’ itu memang tegolong dalam golongan yang agak ‘papa kedana’. Memang dari sumber pendapatan yang meragukanlah yang menyebabkan mendapat kekayaan yang melimpah ruah dan luar biasa itu.

Persoalan yang akan aku timbulkan ialah mengapa awal Kurun ke 21 memperlihatkan kelunturan budi dan bahasa yang begitu membimbangkan. Lunturnya perasaan tidak malu jika melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai yang seharusnya diamalkan. Kebanyakan pemimpin kita tidak lagi merasa segan dan silu untuk bercapak bohong, asalkan dapat ‘melepaskan’ diri dari sebarang tuduhan. Tidak lagi merasa gentar untuk menabur fitnah, mencipta sesuatu yang tidak benar. Kebanyakannya tidak langsung merasa segan dan silu berbohong kepada rakyat melalui TV dan Radio arus perdana. Mereka tahu bahawa walaupun mereka berbohong, masih ada lagi golongan rakyat yang memuja dan memuji mereka disebabkan sudah termakan ‘dedak’ agaknya.

Puas aku mencari siapakah yang bersalah dalam hal ini. Yang jelasnya ibu bapa tetap bersalah kerana melahirkan anak dan keturunan yang sedemikian walaupun ibu bapa akan menafikannya. Mahu tidak mahu, ibu bapa tetap dipersalahkan. Agama kita kata begitu. Walaupun kadang-kadang kita sentiasa mengatakan ‘bukan salah ibu mengandung’ namun apabila terjadi kepada anak kita, maka si ibu perlu dipersalahkan juga. Ibu bapa perlu dipertanggungjawabkan.

Menjelang ketibaan Hari Guru pada 16 Mei yang akan datang, aku kuat merasakan bahawa kaum guru (termasuk aku juga) patut dipersalahkan kerana tersilap mendidik anak-anak yang kemudiannya menelurkan generasi yang perasuah, suka berbohong, tidak bertimbang rasa kepada golongan bawahan, mementingkan diri sendiri dan yang paling penting sekali seolah-olah para pemimpin negara kita sudah lupa akan tanggungjawab menjaga rakyat. Kebanyakan mereka sudah tidak segan silu menggunakan wang rakyat demi kepentingan peribadi mereka.

Aku rasa Kementerian Pendidikan dan Menteri Pendidikan harus memikul tanggungjawab ini yang menyebabakan keadaan negara jadi begini. Semua pihak harus tidak menuding jari dan sebaliknya merenung dan memikirkan di mana silapnya. Aku amat yakin kementerian Pendidikan mesti dipersalahkan. Tak banyak sikit. Kaum guru hanya boleh memekik dan terlolong. Menteri Pelajaran harus berada dihadapan menangani isu yang sebesar ini. Menteri Pelajaran harus peka dengan perkembangan ini. Menteri Pelajaran harus ‘far-sighted’ jika mahu membentuk bangsa Malaysia yang bermaruah

Aku bandingkan dengan keadaan sekolah pada zaman dahulu, ketika Cikgu Samad dan Cikgu Yunus dan Pak Haji Sulaiman mengajar aku dulu-dulu. Walaupun pendidikan akademik dipentingkan, namun adab sopan dan tatasusila amat dipentingkan juga. Menghormati ibu bapa dan guru dan orang-orang tua amat diutamakan.

Kini tumpuan guru-guru mungkin sudah berubah. Agaknya ler. Mungkin guru lebih mementingkan peperiksaan semata-mata tanpa memikirkan apa akan jadi ‘manusia’ yang dididik oleh mereka pada masa hadapan. Para guru mungkin sudah tidak mahu lagi memberi nasihat kepada murid atau mungkin murid sudah bosan mendengar nasihat guru. Mungkin..

Aku harap apa yang aku katakan tidak benar belaka…

abuhassanadam
8 Mei 2017





No comments:

Post a Comment