Monday, May 15, 2017

DI PELANTAR ITULAH MEREKA BERDUA-DUAAN …

Disebabkan tidak ada hiburan lain untuk menghiburkan hati pada ketika itu, maka Atuk aku bolehlah dianggap sebagai penglipur lara di kampung ku itu. Apa tidaknya, hampir setiap malam akan adalah ‘peminatnya’ yang datang untuk mendengar kisah dan celotehnya.

Tok Aki Anjang Dahaman merupakan peminat tegar Atuk. Hampir berselang malam beliau akan datang ke rumah Atuk untuk bercerita dan bersembang. Dan sessi bercerita mereka itu mengambil masa sehingga hampir subuh. Pendek kata sampai turun embun jantanlah. Di pelantar rumah Atuk aku itulah mereka berdua-duaan bersembang.

Yang menghairankan aku juga ialah sesuatu sessi itu boleh mengambil masa tiga atau empat jam. Bayangkan To Aki Anjang akan sampai ke rumah Atuk selepas Maghrib. Pukul 8.00 malam. Sessi ‘penceritaan’ atau perbualan sampai pukul 1.00 Subuh. Lima jam. Dan jamuan yang dihidangkan oleh Opah aku hanyalah kopi O diiringi dengan ‘roti mayat’ atau ‘roti kapai’.

Besoknya Tok Aki Anjang akan menoreh getah kerana pada ketika itu masih ramai lagi tanggungannya sedangkan Atuk aku sudah ‘pencen’. Maknanya beliau semacam cukup persediaan menghadapi hari tuanya. Ada dua tiga tempat kebun getah yang dipajak kepada orang lain dan ada sebidang tanah sawah yang diusahakan sendiri oleh Atuk dan kadang-kadang diupah kan pada orang lain untuk mengerjakannya. Pendek kata Atuk aku memang menggalakkan jiran-jiran di kampung itu untuk datang ke rumahnya. Sekurang-kurangnya dapat juga menghilangkan kesunyian beliau.

Seingat aku Atuk memangg ramai ‘peminatnya’. Selain dari Tok Aki Anjang, ada juga Tok Aki Salleh (yang rumahnya agak jauh dari rumah kami ia itu di Ulu Larah), Pak Cik Enggi (Shukri) anak muda yang sentiasa mendampingi Atuk untuk menimba pengalaman (agaknya). Disamping itu ada lagi ‘peminat-peminat’ lain yang sering berkunjung ke rumah kami. Pendek kata hampir setiap malam akan adalah ‘peminat’’ Atuk datang bertandang ke rumah untuk bersembang (berbual) dengan Atuk.

Ketika itu aku masih keci lagi. Dalam lingkungan umur lapan tahun. Zaman penjajahan. Kadang-kadang aku duduk juga disebelah Atuk mendengar apa yang mereka bualkan. Kebanyakan ‘isu’ yang mereka cakapkan agak kurang aku memahaminya. Tentulah mengenai isu-isu yang berkaitan dengan cucuk tanam mereka, tentang padi tak menjadi pada sesuatu musim, tentang air bah yang menghanyutkan semaian di sawah, kisah musim durian yang tak menjadi dan lain-lain.

Mereka tidak berbual tentang isu politik. Mungkin mereka tidak dapat menganalisis tentang isu berkenaan kerana pembacaan mereka yang agak terhad. Yang mereka selalu sebut ialah tentang Tunku Abdul Rahman. Kisah kebaikan anak raja yang berjuang untuk memerdekakan tanah air. Kadang-kadang ada juga aku dengar tentang kerisauan mereka sekirannya Malaya mendapat kemerdekaan. Mereka agak bimbang juga kalau-kalau apabila orang putih sudah tidak ada nanti, ‘siapalah yang akan membuat jarum…’

Melalui perbualan yang sering aku dengar, mereka tidak begitu marah dengan orang putih, tidak seperti apa yang berlaku di Indonesia atau di Filipina. Orang Putih tidak ‘menyiksa’ orang Melayu. Kalau adapun penyiksaan yang dilakukan oleh orang putih telah dilakukan dengan cara yang amat ‘halus’ dan penuh diplomasi. Sebagaimana yang selalu dikatakan oleh Atuk aku bahawa , ‘orang putih sembelih orang Melayu dengan pisau yang tajam…tak terasa sakitnya..terus mati’. Berfalsafah juga Atuk aku ketika itu.

Yang jelasnya apabila aku kenangkan zaman itu, sememangnya kehidupan orang kampung aku hidup bahagia walaupun tidak ada TV atau Radio untuk menghiburkan mereka. Lawatilah rumah-rumah jiran pada ketika itu, akan kedengaran hilaian gelak ketawa dan gurau senda seisi rumah, selepas menikmati makan malam sebelum masuk tidur.

Jiran aku yang paling dekat sekali ialah rumah Pakcik Samad dan Makcik Jah (sepupu emak aku). Dan tidak jauh dari rumah Makcik Jah ialah rumah Pak Ajid Pandak Seman (nama sebenarnya Aziz Osman) dan Wan Timah. Sebelah rumah mereka ialah rumah Pan Ngah Sepiah. Sebelah kanannya pula ialah rumah Cik Kontak. Pendeka kata suasana di rumah-rumah mereka begitu riang sekali antara pukul 8.00 malam sehingga pukul 10 malam, walaupun tidak ada radio dan TV untuk menghiburkan.

Aku cuba menjawab persoalan ini. Dan aku tahu juga jawapannya. Cuma aku hanya persoalkan mengapa masyarakat kini tidak boleh melakukan keadaan seperti yang dilakukan oleh mereka pada zaman-zaman penjajahan dulu- sepertimana yang dilakukan oleh Pakcik Samad, Pak Ajid, Cik Kontak dll.

Penuh harmoni dan bahagia..

abuhassanadam

15 Mei 2017

No comments:

Post a Comment