DR. CHUA - APAKAH GURU YANG
BERSALAH?
Kenyataan Dr Chua Soi Lek yang cuba ‘mengajar’ Kementerian Pelajaran
yang diterajui YAB TS Muhyiddin Yassin supaya mengkaji semula modul latihan
perguruan di maktab-maktab perguruan di Malaysia agak pelik sikit bunyinya.
Ibratanya adalah seperti seorang pesakit yang mengidap sakit barah di perut,
maka disuruh bedah di kaki. Meminjam pula kata orang tua-tua adalah seperti ‘
lain yang sakit dan lain pula yang menanah’.
Aku menyoal diri aku. ‘Apakah betul guru yang bersalah yang menyebabkan
timbul perasaan perkauman yang melampau kini? Ataupun ada unsur-unsur lain yang
lebih bahaya dan parah yang menyebabkan keadaan sepertimana yang terjadi pada
hari ini. Keadaan yang berlaku di SK Peristana pada pandangan aku bukan isu
perkauman. Isunya ialah ketidakpekaan seorang guru besar yang tidak sensitif
terhadap keadaan pelajarnya. itu saja. Yang menjadikannya isu perkauman ialah
terlibatnya golongan ahli politik yang tidak bertanggungjawab yang
menjadikannya isu perkauman.
Begitu juga dengan dakwaan yang mengatakan ada seorang pengetua di
sekolah menengah di Shah Alam yang dikatakan mengeluarkan kenyataan yang
berbentuk perkauman. Isu itu juga masih dalam siasatan untuk menentukan
kesahihannya. Dan hanya berasaskan kepada dua peristiwa ini maka Dr. Chua Soi
Lek telah ‘melompat’ dan terus mencadangkan agar ‘Malaysian Civilization’
diajar kepada bakal-bakal guru. Maknanya disebabkan guru-guru kita di Malaysia
tidak diajar dengan matapelajaran ‘Malaysian Civilization’ telah menjadikan
guru kita bersifat perkauman.
Mungkin betul…….mungkin juga tidak…..
Punca yang menyebabkan keadaan sedemikian mengikut Dr Chua ialah,
"The situation is aggravated by the fact that in teachers'
training colleges, the predominance is one ethnic race. The number of
non-bumiputera headmasters and senior teachers is small.This is like imposed
segregation,"
Apakah kita hanya membelakanggkan faktor lain dan terus ‘meluru’
menyalahkan guru-guru yang menyebabkan keadaan berlaku. Apakah kita hanya mahu
memejamkan sebelah mata dan tidak mahu melihat faktor-faktor lain yang
menjadikan keadaan sedemikian. Memang senang menuding jari ke arah orang lain
dan melupakan kesalahan dan kesilapan diri sendiri.
Aku rasa pemimpin-pemimpin MCA pernah juga melakukan kesilapan
berkaitan dengan persoalan perkauman ini. Ramai yang bertanggungjawab menabur
benih perasaan perkauman ini, walaupun bukan merupakan sebab dan punca
utamanya. Aku masih ingat dan masih tidak lupa tentang ‘amaran’ demi ‘amaran’
yang dikeluarkan oleh mereka mengingatkan masyarakat Cina tentang bahayanya
mengundi Pakatan Rakyat (PAS khususnya) kerana PAS akan melaksanakan hukum
Hudud. Mereka yang mencanangkan agar tidak mengundi Pakatan Rakyat (PAS)
walaupun berpuluh-puluh kali dijelaskan oleh pemimpin PAS tentang hukum Hudud
itu. Dan majoroti masyarakat Cina sudah memahaminya berasaskan keputusan PRU 13
yang lalu. Apakah sarananan yang berbau perkauman itu bukan perkauman namanya?
Berbanding dengan Pakatan Rakyat ( PAS, DAP dan Keadilan),
pemimpin-pemimpin PR lah yang sentiasa memperjuangkan perpaduan kaum. Banyak
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia yang memperjuangkan perpaduan
kaum kecuali beberapa pertubuhan sahaja yang sentiasa mengutamakan satu-satu
kaum sahaja.
Banyak upacara yang aku hadiri yang melibatkan semua kaum di
Malaysia. Bermula dari perhimpunan BERSIH sampailah kepada kempen-kempen
pilihan raya yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat. Sememangnya menunjukkan
perpaduan yang cukup kental dikalangan rakyat Malaysia. Ramai orang yang
meramalkan bahawa kita akan menempuh satu zaman gelmilang sekiranya Pakatan
Rakyat memerintah di negara ini. Sekurang-kurangnya dari segi semangat
perpaduan yang telah ditunjukkan oleh rakyat.
Puluhan ceramah aku khadiri untuk meninjau dan memerhatikan
keadaan perpaduan kaum di Malaysia. Aku amat bangga melihatkan anak-anak muda
berganding bahu, bersorak dengan riang dalam suasana yang penuh harmoni apabila
menghadiri satu-satu perimpunan yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat. Dan yang
paling membanggakan lagi ialah contoh teladan yang ditunjukkan pemimpin
parti-parti berkenaan samada PAS atau DAP atau Keadilan.
Sepanjang kempen PRU 13, seolah-olah cogan kata yang sentiasa
dicanangkan oleh mereka ialah perpaduan kaum dan setiap kali dicanangkan akan tetap
pula mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peserta yang hadir. Penggunanan Bahasa Melayu
juga berleluasa dalam ceramah-ceramah yang diadakan. Setiap penceramah mesti
menggunakan Bahasa Melayu untuk memulakan ceramah. Hanya setelah menyedari
bahawa kebanyakan yang hadir terdiri daripada orang Tionghua atau kaum India,
barulah penceramah menggunakan bahasa
Tionghua atau Tamil.
Apakah itu perkauman namanya. Aku berani mengeaskan bahawa bukan
rakyat umum yang menelurkan perasaan perkauman dikalangan rakyat Malaysia kini.
Bukan. Rakyat terbanyak sememangnya sudah berpadu sebagai bangsa Malaysia. Aku
tidak ragu-ragu lagi. Tanyalah sesiapa pun. Jangan salahkan rakyat bawahan.
Pujian yang amat tinggi harus diberikan kepada pemimpin-pemimpin
Pakatan Rakyat yang terus menerus mendukung konsep 1 Malaysia yang ditaja oleh
DS Mohd Najib. Pemimpin Pakatan Rakyatlah yang sebenarnya cuba merealisasikan
hasrat perpaduan yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia. Tetapi malangnya
setelah Pakatan Rakyat dinafikan haknya untuk membentuk kerajaan selepas PRU13,
maka padamlah ‘obor’ yang sentiasa menerangi alam ke arah perpaduan di
Malaysia.
Apakah berlakunya keadaan yang membabitkan isu-isu perkauman ini
ada kaitanya dengan perasaan kecewa
rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat yang dinafikan hak memerintah negara.
Mungkinkah disebabkan Pakatan Rakyat tidak dapat mentadbir negara menyebabakan
timbul perasaan ketidakpuasan yang amat sangat dari kalangan sebilangan
rakyat. Aku rasa jikalau pun bukan
merupakan faktor terpenting yang menyebabkan wujudnya keadaan sedemikian,
sedikit sebanyak ada juga mempengaruhi keadaan begitu. Mungkin.
Oleh itu cadangan Dr Chua Soi Lek itu mungkin boleh
dipertimbangkan, tetapi bukan cara dan tindakan yang cerdik untuk mengatasi
masalah perkauman sebab punca yang sebenarnya yang menyebabkan keadaan jadi
begitu adalah daripada punca-punca lain.
Tidak juga salah kaum guru sepenuhnya. Peranan orang politik juga
idak kurang pentingnya dalam menelurkan perasaan perkauman di negara ini.
Abuhassanadam
31 Julai 2013