Tuesday, July 9, 2013

AHLI UMNO KENA TAHU SEJARAH PERJUANGAN UMNO

AHLI UMNO KENA TAHU SEJARAH PERJUANGAN UMNO

Sebenarnya bukan parti UMNO itu yang bersalah tetapi yang memimpin dan yang menjadi ahli UMNO itu yang bersalah. Tanyalah sesiapa pun dan pasti mereka akan beretuju dengan kenyataan ini. Dan pastinya mereka akan menambah dengan mengatakan bahwa pemimpin ( bukanlah semua) UMNO itu yang merosakkan parti UMNO.

Punca yang menyebabkan ramai ‘peminat’ parti UMNO meninggalkan parti itu adalah disebabkan gelagat pemimpin UMNO kini yang amat jauh menyimpang daripada perangai pemimpin UMNO yang sepatutnya. Pemimpin UMNO kini seolah-olah telah merosakkan budaya yang dipusakai oleh pemimpin UMNO sebelumnya. Semacam ada suatu budaya baru yang dicipta oleh ahli UMNO yang menyebabkan masyarakat agak ‘meluat’ melihatkan penularan budaya demikian. Dan yang menjadi mangsa ialah parti UMNO itu sendiri, sedangkan tidak ada cacat celanya parti itu, semenjak mula ditubuhkan  1946 dulu.

·      UMNO ditubuhkan untuk menentang  British menubuhkan Malayan Union yang bermatlamat untuk menghilangkan kuasa Raja-Raja Melayu dan akhirnya tentulah akan cuba melenyapkan orang Melayu di Tanah Melayu sendiri. Apakah ini bukan sesuatu yang mulia yang dilakukan oleh UMNO untuk membela bangsa, agama dan tanah air.
·      Ramai pemimpin UMNO yang terdahulu sanggup berkorban apa saja demi untuk membela bangsa, agama dan tanah air. Kita sering mendengar kisah bagaimana Tunku Abdul Rahman berkorban harta benda miliknya demi untuk membiayai apa saja urusan yang berkaitan dengan UMNO. Kita juga sering didedahkan dengan kisah ahli wanita UMNO yang sanggup memberikan barang kemas mereka demi untuk membiayai perbelanjaan pengurusan UMNO. Apakah ini bukan sesuatu yang mulia yang telah dilakukan oleh ahli-ahli UMNO terdahulu.  Aku tidak pernah mendengar adanya pengorbanan yang sedemikian yang dilakukan oleh ahli UMNO kini. Yang aku selalu dengar ialah kisah ahli UMNO yang sentiasa menerima berbagai-bagai imbuhan hasil ‘perjuangan’ mereka dalam UMNO.
·      UMNO sanggup bekerjasama dengan kaum-kaum lain ( Cina dan India) demi untuk mencapai perpaduan kaum yang kemudiannya berjuang untuk mencapai kemerdekaan negara. Kesediaan UMNO bekerjasama dengan kaum Cina ( Communities Liason Committee – CLC)  bermula semenjak tahun 1949 lagi, ia itu ketika Dato Onn memimpin UMNO. Apakah ini bukan sesuatu yang mulia yang dilakukan oleh UMNO yang sanggup menjalinkan kerjasama antara kaum demi untuk mewujudkan satu bangsa ( Melayu, Cina, India ) yang harmoni. Malah Dato Onn telah mengemukakan cadangan agar keahlian UMNO dibuka kepada bukan Melayu yang tentunya mendapat tentangan dari orang Melayu ( ahli UMNO ) ketika itu. Walaupun rancangan itu gagal, namun boleh ditafsirkan sebagai suatu usaha ynag cukup murni yang datangnya dari pemimpin Melayu.
·      Apabila pucuk pimpinan UMNO diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman, beliau telah bekerjasama dengan MCA dan MIC yang kemudiannya bersama-sama berjuang menuntut kemerdekaan. Ketika itu jarang pula kedengaran pemimpin UMNO bersifat perkauman seperti yang terdapat pada hari ini. Walaupun ada ternampak sifat-sifat perkauman dikalangan rakyat namum para pemimpinnya tetap menunjukkan sifat tidak menyebelahi mana-mana pihak.
·      Kehebatan UMNO terserlah apabila berjaya menyelesaikan satu isu yang paling sensitif dan paling rumit untuk diselesaikan ia itu berkaitan dengan soal kerakyatan jus soli. – pemberian kerakyatan kepada kaum mendatang. Tentunya orang Melayu tidak mudah menyerah dalam soal pemberian kerakyatan kepada orang dagang. Orang Melayu tidak dapat menerima langsung kenyataan itu.
·      Namun selepas dibincang dan diperhalusi dapat juga masalah jus soli itu diselesaikan. Raja-Raja Melayu telah menerima kerakyatan jus soli dengan syarat orang bukan Melayu mengktiraf kedudukan istemewa orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan tanah Melayu.

Dalam soal pemberian ‘kerakyatan’ dan ‘pengakuan mengiktiraf hak kistemewaan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu’ adalah merupakan pengorbanan yang bukan kecil di pihak orang Melayu dan bukan Melayu. Pengorbanan itu tentunya bertunjangkan kepada keikhlasan. Dan sewajarnya anak cucu bangsa Malaysia hari ini menghormati ‘perngorbanan’ yang telah diberikan oleh datuk nenek kita ini.

Justeru tentunya tidak ada sebab mengapa rakyat Malaysia hari ini tidak menghormati pengorbanan UMNO,MCA dan MIC. Namun begitu mengapa wujud keadaan yang sebaliknya kini. Mengapa?

UMNO tidak ‘berdosa’.  Jelas dan nyata bahawa yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia kini  menjauhkan diri dari UMNO,MCA,MIC adalah berpunca daripada sifat kepimpinan parti-parti berkenaan yang sudah terlalu jauh menyimpang daripada perjuangan asal parti berkenaan. Aku berasa sangsi tentang anak-anak muda yang berada dalam UMNO kini. Berapa ramaikah antara mereka yang betul-betul faham dan mengerti erti perjuangan UMNO sebagaimana yang difahami oleh pengasas UMNO yang terdahulu. Mungkin mereka tahu menyebut perkataan ‘perjuangan dan pengorbanan’ tetapi mereka tidak faham dan dapat menghayati erti perjuangan dan pngorbanan yang sebenar.

Satu hal yang amat jelas dan nyata yang aku perhatikan mengenai gelagat dan sikap kebanyakan ahli UMNO sekarang ialah dari segi sikap mereka yang terlalu materialistik. Politik wang. Tanyalah siapa pun. Hal yang sedemikian tidak akan dapat dinafikan. Perbincangan yang selalu aku dengar ekoran dari perbualan dan perbincangan aku dengan rakan-rakan rapat dalam UMNO tidak lain daripada berkisar tentang persoalan wang dan kontrek. Walau apa isu pun yang diperkatakan, matlamat akhirnya adalah ke arah ‘kontrek dan wang’.

Aku jarang mendengar ataupun tidak pernah mendengar adanya pemimpin sekarang yang beteul-betul bertindak untuk ‘membersihkan’ UMNO dari gejala ini. Aku tidak pula mengatakan bahawa ahli UMNO harus merupakan golongan papa kedana yang hanya hidup dengan memakan ‘ perjuangan dan pengorbanan’. Aku tidak bermaksud begitu. Mungkin rakyat mengharapkan agar ada pemimpin UMNO yang menampakkan usaha ke arah menghapuskan sikap ‘materialistik’ dan yang melampau dikalangan ahli UMNO kini.

Sekiranya sikap sebegini dapat dibendung disamping beberapa sikap negatif yang lain, aku yakin ‘peminat’ UMNO yang telah meninggalkan UMNO akan kembali ke pangkuannya. Mungkin.

Ahli UMNO perlu melakukan perubahan drastik. UMNO tidak bersalah.

Abuhassanadam
9 Julai 2013













No comments:

Post a Comment