ALVIN TAN – SEPATUTUNYA
‘DITUNJUK AJAR’ BUKAN ‘DIAJAR’
Tun Mahathir telah dipetik oleh Malaysiakini
sebagai berkata bahawa berlakunya kejadian mempersendakan agama Islam
sebagaimana dalam kes Alvin Tan adalah disebabkan oleh kelemahan Barisan
Nasional itu sendiri. Dulu ketika BN kuat semua kaum menyokongnya dan tidak
terdapat kes yang mana ada kumpulan yang mempersendakan agama yang berlaku
sekarang, kata Tun Mahathir.
Dan Tun Mahathir mengakui bahawa kelemahan BN
adalah disebabkan ramai kaum Cina menarik keluar sokongan mereka kepada parti
berkenaan sedangkan orang Melayu sudah berpecah tiga katanya. Walaupun aku
tidak mahu mengulas lebih panjang berkaitan dengan pemerhatiannya itu, namun
ternampak macam ada kebenarannya juga, ia itu tentang kelemahan yang dialami
oleh parti Barisan Nasional kini. Tegasnya keputusan PRU 13 dengan jelas
menunjukkan BN seolah-olah sudah cukup lemah berbanding dengan zaman-zaman
sebelumnya.
Tetapi soalnya apakah benar bahawa orang bukan Melayu Islam kini berani
mempersendakan agama Islam disebabkan Barisan Nasional sudah lemah. Dan
mengikut Tun Mahathir keadaan sedemikian tidak pernah berlaku sebelumnya. Aku
merasakan kenyataan beliau itu tidak berapa tepat. Keadaan sedemikian pernah
berlaku dan sentiasa berlaku pada zaman-zaman sebelum ini pun tetapi disebabkan
semua saluran media samada cetak atau elektronik dikawal oleh pihak kerajaan
maka berita sedemikian tidak diketahui oleh umum. Hanya pihak-pihak tertentu
sahaja yang mengetahui berbanding dengan zaman ledakan internet kini.
Dalam hal Alvin Tan, aku ingin juga
mengemukakan pandangan aku sebagai orang tua yang boleh dikatakan banyak juga
bergelumang dengan anak-anak muda dari berbagai keturunan. Aku tak kata Alvin
Tan tidak bersalah. Perbuatannya sememangnya nakal. Menyakitkan hati siapa
sahaja yang beragama Islam walaupun orang Islam yang tidak berpuasa sekalipun
dalam bulan Ramadhan.
Perbuatan nakal Alvin Tan akan menyebabkan
orang Islam menyinga walaupun orang Islam berkenaan baru sahaja menghabiskan
segelas arak disebuah kelab dalam bulan puasa. Dia juga akan marah akan
perbuatan Alvin Tan. Seorang peminat nombor ekor yang beragama Islam akan
tersentak juga selepas melihat gambar Alvin Tan dengan kekasihnya menikmati Bah
Kut The yang berlatarbelakangkan ‘ Selamat Berbuka Puasa’, walaupun semua
golongan yang aku sebutkan di atas itu tidak berpuasa dan jauh sekali
mengamalkan kehidupan sebagai orang Islam.
Begitulah intimnya orang Melayu dengan agama
Islam walaupun dari segi amalannya boleh ditakakan ramai juga yang tidak
mengamalkan sebagaimana yang sepatutnya. Oleh yang demikian apabila muncul
sahaja kisah Alvin Tan, maka seolah-olah seluruh masyarakat Melayu/Islam
‘melompat’. Aku teringat juga kisah bagaimana pemerintah Iran ‘menjatuhkan’
hukuman bunuh terhadap Salman Rashdi yang menulis buku berjodol, ‘ The Satanic
Verses’. Seolah-olah seluruh masyarakat Islam seluruh dunia menyokong tindakan
Iran, walaupun yang membaca buku berkenaan hanya tak sampai 1%. Disebabkan
ramai yang marah maka amatlah hinanya orang Islam yang lain sekiranya tidak turut marah sama.
Berbalik kepada hal Alvin Tan, aku setuju
kesalahannya itu semestinya dijatuhkan hukuman. Tetapi aku amat tidak setuju
beliau tidak dibenarkan diikat jamin. Aku bukanlah pakar undang-undang. Dan
pandangan aku tetunya berdasarkan lojik
dan berfikir secara rasional. Aku menyoal diri aku ( orang
tua yang pengetahuan agama Islamnya amat cetek). Apakah besar benarkah dosanya
Alvin Tan berbanding dengan pesalah-pesalah lain yang kesalahan mereka lebih
merbahaya dan lebih mengancam keselamatan negara. Malah ada yang kita dengar
tentang bagaimana kes bunuh dan kes
rasuah yang menelan ratusan juta ringgit boleh terlepas begitu sahaja.
Mungkin kes Alvin Tan lebih besar daripada itu
dan membahayakan negara. Itu aku tak tahu ler. Pengetahuan undang-undang aku
juga amat cetek.
Alvin Tan dan Vivian Lee berumur dalam lingkungan
24 tahun. Aku ada lima orang anak ( empat lelaki dan seorang perempuan) yang
sudah pun melepasi 24 tahun. Aku tahu kenakalan mereka ketika meniti usia.
Kadang-kadang mencemaskan juga. Memerlukan kesabaran yang luar biasa menangani
kerenah-kerenah mereka untuk mereka berjaya dalam hidup. Hanya apabila mereka
sudah berjaya ‘ jadi orang’ barulah
boleh menarik nafas lega.
‘Kenakalan’ Alvin Tan dan Vivian Lee adalah
luar biasa – kenakalan yang ingin mencuba dan meneroka sesuatu lapangan yang
membahayakan. Aku pasti bahawa kedua anak muda ini tidak tahu akan kesan dan
akibat yang akan dihadapi oleh mereka ekoran dari kenakalan mereka itu. Mungkin
yang mereka fikirkan ialah ‘keseronokan’ atas kreativiti yang mereka telah
lakukan itu. Ini yang dikatakan anak muda yang tidak panjang akalnya. Aku tidak
fikir yang tindakan mereka itu bertujuan untuk mengadu domba kaum-kaum di
Malaysia. Aku tidak fikir yang mereka ini golongan anti Melayu dan Islam. Dan
jauh sekali mereka ingin mencabar kedudukan agama Islam di negara ini.
Namun perbuatan mereka tetap salah dari segi
undang-undang. Mereka berdua mesti dihadapkan ke mahkamah. Dan sekiranya sabit
kesalahannya mereka perlu didenda yang setimpal dengan kesalahan yang mereka
lakukan. Denda yang dikenakan bukan untuk ‘menyiksa’ tetapi untuk memberitahu
mereka bahawa jangan sekali-kali mengulangi perbuatan yang telah mereka lakukan
itu. Dan disamping itu memberitahu kepada orang lain supaya tidak melakukan
perkara yang serupa.
Aku pinjam kata orang tua-tua bahawa Alvin Tan
dan Vivian Lee sepatutnya ‘ditunjuk
ajar’ dan bukan ‘diajar’.
Abuhassanadam
21 Julai 2013
No comments:
Post a Comment