Thursday, July 11, 2013

‘TUAN PUTERI BAJU HANGUS’

‘TUAN PUTERI BAJU HANGUS’

Yang aku nak cerita kali ini bukan cerita Raja-raja dan puteri pada zaman dulu kala tetapi nak menceritakan tentang kreatifnya orang Melayu mencipta kuih dan memberikan nama kuih yang diciptakan. Biasanya rakan-rakan bukan Melayu hanya mengenali kuih-kuih sedemikian sebagai  kuih Melayu, sedangkan ada berbagai-bagai nama yang sedap bunyinya diberikan kepada kuih Melayu.

Jikalau nak aku senaraikan nama kuih-kuih Melayu yang terdapat di negara ini tentunya akan memakan halaman yang banyak. Cukup sekadar aku ceritakan mengenai kuih-kuih yang pernah dibuat oleh Opah dan emak aku, terutama pada bulan Ramadhan. Hanya pada bulan Ramadhan sahaja, Opah dan emak dan orang kamung yang lain akan membuat bermacam-macam kuih untuk juadah berbuka puasa. Pada zaman tahun-tahun awal 60an, mana ada Pasar Ramadhan. Namun begitu dapat juga menikmati berbagai jenis juadah disebabkan adanya pertukaran juadah berbuka puasa menjelangnya waktu berbuka puasa.

Opah dan emak selalu membuat kuih Dokok-Dokok untuk juadah berbuka puasa. Emak tahu yang aku amat suka kepada kuih Dokok-Dokok. Kadang-kadang Opah membuat kuih Dokok-Dokok hanya semata-mata untuk ‘menyogok’ dan merasuah aku dengan harapan aku akan berbuat apa saja yang disuruhnya selepas itu. Opah  tahu kesukaan aku. Jikalau dituliskan mengikut priority maka kuih Dokok-Dokok di tempat teratas sekali dan diikuti dengan kuih Koci, Badak Berendam, Puteri Mandi, Ketayap, dan seterusnya….

Itu kuih-kuih yang aku minati pada bulan Ramadhan. Hari-hari biasa lain pula kuih yang aku minat. Sehingga kini, kuih Tuan Puteri Baju Hangus masih ‘bertakhta’ di hati aku. Hampir setiap dua minggu, isteri aku akan menghidangkan Tuan Puteri Baju Hangus. Kuih Tuan Puteri Baju Hangus ini juga sentiasa digunakan sebagai senjata oleh ‘isteri’ aku untuk memujuk aku ketika aku dalam suasana yang tidak tenteram. Pastinya aku akan gembira melihatkan kuih Tuan Puteri Baju Hangus dihidangkan dengan secawan Kopi O.

Konon ceritanya……..nama Tuan Puteri Baju Hangus ini adalah nama yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak  - Sultan Idris Shah. Entah betul entah tidak tentulah tidak dapat aku pastikan. Yang dapat aku pastikan bahawa kuih Tuan Puteri Baju Hangus ini amat popular di negeri Perak. Di sekitar Kuala Kangsar sampai ke Parit dan terus ke Teluk Anson. Namun begitu tidak pula terdapat kuih Tuan Puteri Baju Hangus di jual di pekan Kuala Kangsar. Mungkin sekarang sudah ada. Itu aku tak tahu ler…

Kuih Tuan Puteri Baju Hangus sememangnya tidak membahayakan kesihatan. Apa tidaknya. Gula tidak diperlukan. Minyak masak juga tidak digunakan untuk memasak. Keenakannya terletak pada pisang lecek yang dibakar atas daun pisang. Bayangkan aroma pisang yang dibaluti oleh daun pisang dan dibakar hangus. Alangkan enaknya jika dimakan ketika masih panas dan minumannya pula kopi O. Suasana yang amat sesuai untuk menikmati kuih Tuan Puteri Baju Hangus ialah waktu pagi ketika hujan renyai-renyai.

Aku hairan mengapa kuih Tuan Puteri Baju Hangus tidak terjual di pasar-pasar Ramadhan di sekitar Lembah Kelang. Aku pasti ramai ‘ orang Perak’ ( orang lama ) yang sedang mencari-carinya terutama pada musim bulan puasa.

Persediaan menyediakan kuih-kuih Melayu sememangnya ‘renyah’ dan ‘leceh’. Jangankan untuk membuat dodol , halua dan  lemang, untuk membuat   Dokok-Dokok pun memerlukan masa yang banyak. Berbanding dengan membuat ‘Burger’ atau ‘ayam goreng’, membuat kuih Puteri Mandi atau Badak Berendam memerlukan masa dan kesabaran. Memang sedap untuk dimakan, namun disebabkan orang Melayu dulu mementingkan seni untuk membuat kuih itu dan juga rasa, maka untuk membuatnya mengambil masa yang agak lama.

Tidak ada jalan ringkas untuk menghasilkan kuih Melayu. Untuk menyediakan dodol misalnya ( dodol yang aku fahami yang dimasak oleh orang kampung aku ketika mngadakan sesuatu khenduri)  memerlukan masa sekurang-kurangnya separuh hari, tidak termasuk menyediakan bahan dan ramuannya. Terpaksa menunggu separuh hari untuk dimakan. Begitu juga untuk menghasilkan lemang, kuih Bahulu, Kuih Bangkit dll. Malah yang paling rumit untuk menghasilkannya ialah berbagai jenis halua – halua Betik, Selimapt dll. Perlu mengambil masa berhari-hari untuk menghasilkannya untuk mendapatkan hasil yang betul-betul baik dan sedap.

Dengan sendirinya menunjukkan bahawa orang Melayu pada zaman dahulu mempunyai banyak masa lapang. Mereka tidak perlu tergesa-tergesa untuk menghasilkan sesuatu. Dan mereka melakukannya secara bergotong royong. Membuat dodol misalnya memerlukan tenaga yang agak ramai untuk menghasilkannya. Mengacau dodol yang sedang dimasak memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat orang. Dan ini juga tidak termasuk tenaga yang diperlukan untuk menyediakan sebelum dodol itu sedia untuk di masak.

Disebabkan ‘kelecehan’ sebeginilah maka lama kelamaan kuih-kuih Melayu akan lenyap. Sekiranya kuih-kuih sebegini masih boleh ‘survive’, maka rasa dan kenikmatannya telah hilang. Di pasar-pasar Ramadhan aku masih bertemu dengan Kuih Kuci tetapi rasanya tidak seenak sebagaimana yang dibuat oleh emak aku. Inti kelapa yang menghiasi Kuih Kuci sudah tidak asli lagi. Dan cara Kuih Kuci itu dimasak juga terlalu ringkas mungkin. Maka dengan demikian tentulah sudah hilang rasa dan keasliannya.

Kuih-kuih Melayu memang sedap. Ini diakui sendiri oleh ramai rakan-rakan aku yang terdiri dari kaum bukan Melayu – Cina dan India. Buktinya. Sekiranya kuih-kuih Melayu itu tidak enak dan lazat, tentu sekali tidak mungkin golongan bukan Melayu di Lembah Kilang berpusu-pusu pergi ke pasar Ramadhan pada setiap menjelangnya bulan puasa. Pasar Ramadhan bukan lagi dikunjungi oleh orang Islam yang membeli belah juadah untuk berbuka puasa tetapi dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat dari berbagai keturunan.

Percayalah…..tidak lama lagi Pasar Ramadhan akan menjadi medan selera antarabangsa yang terkenal. Tarikannya tentulah kuih Tuan Puteri Baju Hangus, Dokok-Dokok, Puteri Mandi, Badak Berendam, Ketayap, Lopeh, Limas, Anak Dara Dua Sebilik, Tahi Itik, Cucur Badak dan lain-lain…

Aku berdoa resepi kuih-kuih ini akan terus dipertahankan…….

Abuhassanadam

11Julai 2013

No comments:

Post a Comment