Friday, July 26, 2013

SK SERI PRISTINA – SEMAKIN KELAM KABUT

 SK SERI PRISTINA –  SEMAKIN KELAM KABUT

Aku semakin bingung meneliti kisah bagaimana pelajar SK Seri Pristana Sungai Buluh yang disuruh makan di bilik persalinann sekolah berkenaan. Semakin hari kes itu semakin rumt..Bingung kerana kini telah diletakkan di bawah Akta Hasutan 1948. ( Kemudian dinafikan pula oleh yang mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan yang beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada Utusan malaysia).

Tidak pula aku mengatakan bahawa kes ini kecil dan enteng. Besar sangat pun tidak juga. Apa yang aku fahami melalui pembacaan aku ialah merupakan ‘straigtforward’ kes. Kisah kanak-kanak disuruh makan di bilik persalinan sekolah pada waktu rehat di sekolah. Kebetulan pula kanak-kanak yang terlibat ialah kanak bukan Islam. Dalam bulan Ramadhan. Persoalannya ialah mengapa disuruh makan di bilik persalinan sedangkan di tempat sedemikian bukannya tempat makan. Memang tak sesuai. Mengapa disuruh kanak-kanak itu makan di situ.

Persoalan lain yang mungkin timbul di kepala aku ialah, mengapa tidak disuruh kanak-kanak itu makan di Kantin sahaja.  Dan dijelaskan pada awalnya bahawa kantin ditutup sementara kerana proses membaik pulih. Tetapi ada juga dilaporkan bahawa kantin sudah dibuka semula. Maka disini jelas menunjukkan kesalahan pihak pentadbiran sekolah. Mengapa di letakkan kanak-kanak ini di bilik persiapan?

Mungkin Guru Besar akan memberikan alasan mengapa beliau ‘menyorokkan’ kanak-kanak bukan Islam makan di bilik yang tertutup adalah disebabkan untuk menghormati kanak-kanak beragama Islam yang berpuasa. Mungkin. Pada aku itu pun tidak betul. Apa perlunya kanak-kanak itu ‘disembunyikan’ daripada penglihatan kanak-kanak lain yang berpuasa?

Untuk menambahkan kebingungan aku ialah timbulnya pula perkara-perkara yang aku anggap pelik.

·      Pemangku Ketua Polis Selangor ada menyebut ( petikan dari Malaysiakini ) bahawa pengedaran gambar berkaitan akan menimbulkan perbalahan kaum. Fasal apa pulak?. Nak bergaduh fasal apa pulak?. Dan telah dinafikan oleh beliau kemudiannya. Rupanya kenyataannya disalah lapor oleh Utusan Malaysia. Apabila aku terbaca pada mulanya laporan itu tertanya-tanyalah aku bahawa apakah sudah hilangkah pertimbangan rakyat Malaysia kini yang berpendapat bahawa sesuatu masalah itu hanya boleh diselesaikan hanya melalui pergaduhan? Lagi pun tidak ada isu untuk dipergaduhkan. Aku tak fikir ada perasaan di hati guru besar untuk ‘menyiksa’ kanak-kanak yang beragama Hindu sedemikian rupa. Aku tak fikir begitu. Sekiranya ada unsur-unsur sedemikian maka terus terang aku katakan bahawa Guru Besar atau guru-guru di sekolah itu tidak layak menjadi guru.

·      Timbalan Menteri Pelajaran 11 P. Kamalanathan pula terus membuat kenyataan mengatakan bahawa itu bukan kes yang berkaitan dengan agama dan kaum. Memanglah tidak ada kena mengena dengan agama dan kaum. Lanjutan daripada itu maka YB Lim Guan Eng dari DAP mula minta Timbalan Menteri berkenaan menjelaskan bahawa sebenarnya kes itu tidak kena ada kena mengena dengan hal kaum dan agama. Itu hanya merupakan urusan pentadbiran sekolah . Itu saja. Maka Guru Besar mesti dipanggil untuk memberikan penjelasan. Setelah didengar penjelasan Guru Besar maka telah ada peraturan-peraturan tertentu yang boleh diambil tindakan terhadap guru besar sekiranya beliau didapati tidak menjalankan tugas dengan betul atau didapati bersalah.

·      Guru Besar sekolah berkenaan diarah bercuti selama seminggu. Dan beliau pula membuat laporan polis kerana difitnah. Disamping itu pihak yang melaporkan kejadian juga membuat laporan polis kerana sentiasa ‘diburu’ oleh pihak-pihak tertentu kerana tindakannya itu. Bukankah sudah kelam kabut jadinya. Perkara yang kecil sudah menjadi begitu besar. ‘Blown out of proportion’ kata orang putih.

·      Kemudianmuncul pula S. Vell Pari, yang mrupakan pengarah strategi MIC telah menyarankan pula untuk memulaukanan pembayaran cukai kepada kerajaan. Ini merupakan langkah yang luar biasa. Dan yang anihnya ramai juga yang setuju dengan cadangan itu. Aku bingung lagi.

Maknanya kes yang berlaku di SK Seri Peristana itu bukan soal yang membabaitkan agama dan kaum. Jauh sekali pada pandangan aku akan menimbulkan perbalahan kaum. Percayalah bahawa yang menyebabkan rakyat begitu marah sekali terhadap tindakan guru besar ialah kerana tindakannya yang tidak betul terhadap KANAK-KANAK. Ini bermakna rakyat Malaysia terlalu perihatin kepada kenak-kanak. Tidak kiralah kanak-kanak Melayu ke, Cina ke, India ke. Mengapa dibuat begitu terhadap kanak-kanak. Dan secara kebetulan yang terlibat adalah kanak-kanak beragama Hindu.

Aku yakin dan percaya, bukan sahaja yang beragama Hindu yang marah, yang beragama Islam, Kristian, Buddha juga marah. Semua orang marah.

Aku tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Aku hanya dapat membuat analisis berdasarkan laporan akhbar dan blog yang bertanggungjawab. Aku buat analisis tanpa memihak kepada mana-mana pihak. Dan berdasarkan pengalaman aku yang agak cetek ini sepatutnya kes ini sudah boleh diselesaikan dengan cara aman .

Kementerian Pelajaran takut kepada bayang-bayang terutamanya Menteri Pelajara 11 – P Kamalanathan. Beliau terikut-ikut dengan rentak dan ‘gendang’ yang dipalu oleh penulis-penulis blog, facebook, tweeter. Keputusan dan cadangannya banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Kenyataannya pada peringkat awal yang dilaporkan oleh media yang memetik beliau sebagai berkata, ‘ tidak kena mengena dengan agama dan kaum’ sudah cukup untuk membuatkan rakyat tersentak dan terkejut.

Pemerhati masyarakat sudah nampak ‘pokok bergoyang’ melalui kenyataan P.Kamalanathan. Dan tentulah mereka bertanya pula. Mestilah ada ‘angin’? Kemudian pula ditambah dengan tindakan Guru Besar yang membat laporan polis telah menambahkan keyakinan rakyat bahawa kes ini sudah menjadi besar.

Rakyat pula marah kepada pihak Kementerian Pelajaran kerana seolah-olah pihak kementerian cuba menyembunyikan fakta sebenar mengenai kejadian ini dan mahu mempertahankan Guru Besar. Sememangnya begitulah sepatutnya. Namun sekiranya Guru Besar telah melakukan kesalahan ada pula peraturan-peraturan tertentu dalam Perintah Am yang membolehkan hukuman yang setimpal dikenakan.

Rakyat mahukan jawapan yang jelas dari pihak Kementerian Pelajaran. Bukan berbohong dan menyorokkan fakta. Timbalan Menteri 11 tidak sepatutnya ‘bimbang’ dan ‘takut’ kepada pandangan yang disuarakan oleh rakyat. Tidak perlu pula dengan tergesa-geasa mengatakan ‘NFA’ atau ‘Case Close’.

Mungkin agaknya beliau ada menyimpan hasrat untuk bertanding jawatan penting dalam persidangan agung parti MIC yang akan datang… Mungkin!

Abuhassanadam
26 Julai 2013.



1 comment:

  1. Analisa dan komen encik mengenai kes SK Sri Pristina adalah betul dan tepat .Clear cut case.Tak perlulah nak gaduh dan GB buat lapuran Polis. Jabatan Pelajaran Ambil sahaja tindakan tatatertib pada Guru Besar berkenaan mengikut Peruntukan dalam Perintah Am.

    ReplyDelete