JIKALAU AYAM TIDAK BERKOKOK
Setiap
kali menjelangnya bulan Ramadhan, pasti aku akan teringat kepada beberapa
kenangan ketika masih kecil. Menjalankan ibadah puasa bersama keluarga di
kampung. Dan aku pasti ramai lagi ‘anak kampung’ yang kini sudahpun menjadi
‘orang bandar’ akan teringat berbagai-bagai peristiwa yang berlaku pada bulan puasa di tempat masing-masing. Dan pastinya
juga tidak jauh bezanya keadaan di sebuah kampung dengan kampung yang lain.
Hampir sama. Yang menampakan perbezaan yang besar ialah apabila dibandingkan
keadaan bulan puasa di kampung dengan keadaan di bandar seperti kini. Memang
jauh bezanya.
Hampir
keseluruhan anggota masyarakat di kampung aku sememangnya ‘ kaya dengan
kemiskinan dan kaya dengan budi bahasa’. Maknanya miskin-miskin belaka tetapi
terlalu tinggi budi bahasanya. Kais pagi makan pagi dan kais petang makan
petang. Tetapi sentiasa dalam suasana riang. Jikalau dibandingkan dengan
suasana di bandar kini adalah ‘seperti jauh
panggang dari api’. Jauh sekali bezanya. Walaupun orang bandar terdiri
dari mereka yang berpendapatan lumayan, namun pada ketikanya tidak mampu untuk
bergelak ketawa seperti orang kampung aku pada tahun 60an dulu.
Dan
aku juga tidak pernah lupa tentang kisah aku sekeluarga berada pada bulan
Ramadhan ketika aku masih belajar di Stanford University, Palo Alto,
California. Peristiwa yang tidak dapat aku lupakan ialah apabila ada ‘Mat
Salleh’ ‘menengking’ aku dengan kata-kata, ‘ It’s killing….’ apabila dia
melihat dua orang anak aku berpuasa.
Ketika itu Farid berumur 13 tahun dan Faizul baru berumur 10 tahun. Yang
menyebabkan ‘Mat Salleh’ itu ‘marah’ ( mungkin dia mengatakan aku zalim juga
kerana ‘mendera’ anak ) apabila dia mendapat tahu bahawa kami berpuasa bermula
dari pukul 3.00 pagi dan berbuka puasa pada pukul 8.45 malam ( Summer). Kebetulan
pula bulan Ramadhan tahun berkenaan jatuh pada musim panas.
Deraian
gelak ketawa orang kampung aku akan sentiasa kedengaran terutama disebelah
malam selepas sembahayang terawih. Bulan Ramadhan adalah merupakan semacam
bulan pesta. Tua muda berpesta. Yang tua ‘berpesta’ di surau-surau dan masjid
dengan tadarusnya, membaca Quran, mengerjakan berbagai jenis solat sunat yang
disuruh. Yang muda pula dengan aktiviti cara orang muda yang dilakukan selepas
sembahayang terawih. Kanak-kanak pula akan terus bermain dan bermain
sehinggalah menjelang tengah malam.
Satu
keunikan dalam bulan puasa ialah kebanyakan orang muda-muda dikampung aku akan
tidur bermalam di surau. Satu budaya yang tidak dapat difahami oleh orang
bandar. Tidur di surau bermakna tidur tanpa bantal, tanpa katil, tanpa tilam,
tanpa selimut. ‘Kelengkapan’ tidur mereka hanyalah kain sarung dan baju Melayu
( Teluk Belanga) yang dipakai. Itu saja kelengkapannya. Bantal bagaimana?.....Lu fikirlah sendiri……
Anak
muda tidur di surau kerana mereka akan bertugas untuk mengetuk ‘kerantung’ ( beduk ) apabila sampai waktu makan sahur.
Tidak ramai ‘orang kampung’ aku yang
memiliki jam loceng pada waktu itu. Seingat akulah hampir tidak seorang pun
orang kampung aku yang memiliki jam loceng. Bukan sahaja mahal harganya (
diukur dari segi pendapatan pada ketika itu ) tetapi terpaksa pergi ke Kuala
Kangsar ( bandar yang paling hampir yang ada menjual jam) yang jauhnya 10
kilometer.
Justeru
orang kampung aku hampir kesemuanya mengharapkan ‘kerantung’ untuk mengejutkan
mereka untuk makan sahur. Bunyi ketukan
kerantung dapat didengar hingga ke rumah yang palling jauh dari surau, apatah
lagi dalam suasana subuh yang paling hening. ( Aku pasti menitiskan air mata
apabila aku menuliskan suasana yang sebegini kerana ini merupakan satu kenangan
yang sungguh manis dan tidak akan dapat aku lupakan sehinggalah mataku tertutup
nanti.)
Anak
muda di surau yang bertugas mengetuk kerantung akan memulakan tugas mereka
lebih kurang pukul 3.00 pagi. Kerantung akan diketuk ( dengan irama yang sukar
aku jelaskan dalam tulisan ini ) berterusan sehinggalah menjelangnya waktu
solat Subuh. Irama ketukan kerantung untuk bersahur tentunya berbeza dengan
irama ketukan kerantung untuk solat Subuh. Dengan demikian orang kampung akan
dapat membezakan ketukan kerantung untuk bersahur dan ketukan untuk solat
Subuh, yang menandakan tamatnya waktu untuk bersahur.
Opah
masih mengharapkan pada kokok ayam untuk ‘mengejutkan’ dia untuk bangun sahur,
walaupun Atuk dan emak saudara aku mengharapkan kepada ketukan kerantung di
surau. Seingat aku, sehinggalah saat dia meninggal, Opah tidak memiliki jam dan
tidak tahu melihat waktu bedasarkan jam. ‘Jam’ dia ialah kokok ayam dan pada
siang hari beliau berpandu kepada
matahari untuk solat Zohor dan Asarnya.
Opah
tahu dan boleh ‘membaca’ kokok ayam. Opah akan ‘mengharapkan’ kokok ayam juga
untuk mengejutkan aku untuk siap ke sekolah. Seingat aku, tidak pernah aku
sampai lewat ke sekolah, walaupun sekolah aku amat jauh dari rumah. Bayangkan
aku terpaksa berjalan kaki sejauh 1 kilometer dari kampung aku melalui sawah
padi dan beberapa buah kampung sebelum sampai ke pekan Padang Rengas. Lepas itu
aku terpaksa menaiki bas ‘ Red & Yellow’ sejauh 10 kilometer untuk pergi ke
Kuala Kangsar. Dari setesen bas terpaksa berjalan kaki 500 meter ke sekolah.
Clifford School Kuala Kangsar.
Jarang
sekali Opah tersilap ‘membaca’ kokok ayam. Maksud aku jarang sekali Opah
mengejut aku terlalu awal untuk bangun pergi ke sekolah, ataupun terlewat. Pernah
juga berlaku sekali- sekala keadaan
sedemikian. Tetapi sebenarnya bukan kesilapan Opah. Kesilapan ayam!..…. kerana
berkokok terlalu awal. Ayam pun tidak boleh dipersalahkan kerana ada ketikanya
bulan mengambang begitu terang menderang yang menyebabkan ayam menyangkakan
hari sudah nak siang. Lantas berkokoklah ia untuk memberitahu hari nak siang.
Seingat
aku juga tidak pernah berlaku dimana ayam tidak pernah berkokok apabila hari
nak siang.
Apalah
agaknya akan terjadi sekiranya ayam di
kampung ku mogok dan tidak berkokok………..Namun hari tetap siang juga…..
Abuhassanadam
10
Julai 2013
No comments:
Post a Comment