Wednesday, July 17, 2013

PELAKSANAAN TPPA YANG MEMBIMBANGKAN

PELAKSANAAN TPPA  YANG MEMBIMBANGKAN

Dalam bulan Disember 2010, Amerika Syarikat bersungguh-sungguh benar memujuk dan merayu Korea Selatan agar menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Dan jawapan yang diberikan oleh Seoul pada ketika itu ialah ‘ tunggu dulu’ dan hanya akan memberikan jawapannya setelah mengakji buruk baiknya menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) itu. 

Sehingga kini Korea Selatan masih tidak menyertai bloc berkenaan. Kita tidak tahu apa sebabnya. Mungkin Amerika Syarikat akan terus memujuk Korea Selatan supaya membuat pendirian dengan segera. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘ jikalau tidak ada-ada takkan Tempua bersarang rendah’. Dan mungkin ada agenda yang terselindung yang membuat Amerika bersungguh benar memujuk Korea Selatan. Suatu perkara yang amat disedari ialah bahawa dengan menyertai bloc ini Korea Selatan akan membukakan pasaran pertaniannnya kepada barangan import. Sedangkan ini yang sentiasa dilindungi olehnya.

Ramai yang mengatakan bahawa ada agenda tersembunyi yang menyebabkan Amerika Syarikat bersungguh benar meralisasikan TPPA ini. Antaranya ialah hasrat Amerika Syarikat untuk menyekat kemaraan China dari segi ekonomi dan dengan demikian mengekalkan penguasaan Amerika Syarikat di rantau ini.

Jepun pun pada mulanya teragak-agak untk menyertai bloc TPPA apabila memikirkan tentang nasib industri pertanian mereka. Begitu juga dengan Canada yang tidak dapat terlepas dari kebimbangan demikian. Maknanya sekiranya mereka menyertai bloc ini mereka terpaksa membenarkan kemasukan import barangan pertanian dari luar yang berkemunginan membahayakan juga industri pertanian mereka. Mungkin itu alasannya. Dan dalam senarai yang akan hadir di persidangan ke 18 di Sabah nanti tidak ternampak pula penyertaan Canada.

Jikalau diperhatikan ahli-ahli yang hadhir dalam persidangan ‘ The 18th round of TPPA talks’ yang bermula di sabah semalam – United States, Australia, Brunei, Chile, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapore, Japan  and Vietnam -  menampakkan bahawa South Korea dan Canada masih lagi belum menyertai bloc sedemikian.  Mengapa? Itu merupakan satu tindakan berhati-hati pentadbiran negara berkenaan. Namun negara Malasia telah bersetuju menyertai  Bloc demikian pada tahun 2010.

Apakah Malaysia tidak merasa bimbang dan ragu dengan penyertaan ini. Sudahkah para pemimpin negara membuat perhitungan dan pertimbangan yang teliti mengenai penyertaan Malaysia itu. Apakah sememangnya cara Malaysia tidak berfikir panjang apabila mengambil sesuatu keputusan yang membabitkan negara. Ataupun para pemimpin Malaysia tidak begitu peduli tentang baik buruk sesuatu tindakan mereka terhadap kepentingan negara.

Tun Mahathir telah memberikan pandangan atas kebimbangannya, takut-takut Malaysia akan terjerumus dan ‘terjajah’ semula. Jikalau dahulu Negara ini pernah dijajah dalam bentuk politik, maka dengan menyertai bloc TPPA ini negara akan dijajah dalam bentuk ekonomi pula. Tun Mahathir telah mengemukkan hujah yang cukup konkrit yang perlu diambil perhatian serious oleh pihak-pihak tertentu.

Aku amat setuju dengan pandangan Tun Mahathir. Dan aku teringat akan kata-kata Lee Kuan Yew yang mengatakan bahawa ‘ si bodoh adalah makanan si cerdik dan si tidur adalah makanan si jaga’ Kita berasa sangsi dengan kebolehan dan kemampuan para pemimpin dan pegawai kita untuk merundingkan sesuatu yang boleh membawa keuntungan kepada Malaysia. Banyak contoh yang telah ditunjukkan oleh Tun Mahathir yang menyebabkan Malaysia ‘tewas’ dalam perundingan dan kesannya tentulah merugikan negara.

Terpanggil juga aku menyelitkan pandangan Kishore Mahbubani dalam bukunya, “ Can Asians Think’ ( 2009 ). Beliau menyatakan, “ The real danger that the 21st Century faces is that we will sail into it with 19th Century mental maps. To prepare for the new world, we will have to discard conventional wisdom, break up old thought patterns and begin thinking along new mental corrisdors’

Maknanya  rakyat Malaysia perlu berhati-hati untuk ‘meniti’ dan menempuh kurun ke 21. Jangan hanya sedap bercakap menyebut ‘globalisasi’ sedangkan makna dan hasrat sebenarnya tidak diteliti. Itulah amaran yang diberikan oleh Mahbubani agar kita tidak ‘merempuh’ kurun ke 21 bersendikan pemikiran Kurun ke 19. Untuk mendongkah dunia baru, kita harus menukar sikap dan cara lama kita dan seharusnya menyesuaikan diri dengan dunia yang sedang kira harungi. Dengan berbuat demikian barulah kita boleh maju.

Apakah rakyat Malaysia mampu berbuat demikian? Aku masih sangsi. Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Tun Mahathir bahawa telah banyak sangat kegagalan yang telah kita lalui akibat dari kurang cekapnya para pemimpin dan pegawai kita di meja rundingan. Banyak sangat kegagalan yang kita alami apabila berunding pihak luar. Dengan Singapura misalnya. Tun Mahathir telah mendedahkan masalah penjualan air ke Singapura, masalah penyelesaian Pulau Batu Putih, persoalan jambatan ( bengkok)  dan banyak lagi. Dengan demikian telah memberikan gambaran bahawa bangsa kita lemah dan selalunya tewas apabila berunding. Justeru merugikan negara dan memalukan negara dan bangsa. Puncanya ialah ketidakcekapan pemimpin dan pegawai untuk berunding.

Ini sepatutnya diperbetulkan segera. Kesannya amat buruk. Takut-takut rakyat hilang keyakinan kepada pemimpin dan pemerintah negara. PRU 13 telah menunjukkan bahawa kerajaan BN sekarang hanya mendapat kelebihan undi yang sedikit yang tentunya memberikan gambaran bahawa rakyat tidak begitu yakin dengan kepimpinan kerajaan kini. Apatah lagi apabila diukur dari segi peratusan rakyat Malaysia yang menyokong kerajaan adalah hanya disekitar 47% sahaja berbanding dengan pihak pembangkang yang mendapat 51% undi rakyat terbanyak.

Pihak pemerintah Malaysia seharusnya peka dengan keadaan yang ada dan seharusnya menjadikan Rundingan TPPA ini sebagai satu ujian kemantapan mereka merundingkan sesuatu yang gah dan besar demi kepentingan negara. Dan hendaknya janganlah dirahsiakan butir-butir rundingan supaya rakyat terbanyak tahu ‘apa biji buahnya’ rundingan berkenaan.

Diharap janganlah kita gagl lagi sekali. Sudahlah….

Abuhassanadam
17 Julai 2013


No comments:

Post a Comment