Wednesday, January 30, 2013

13 MEI - DISEBUT JANGAN DIKENANG PUN JANGAN





13 Mei – Disebut Jangan Dikenang Pun Jangan

Aku kadang-kadang hairan, mengapa masih ada lagi orang yang suka sangat menyebut tentang peristiwa 13 Mei 1969. Seolah-olah mereka mahu peristiwa pahit itu berulang. Yang anihnya, yang selalu menyebut-nyebut tentang 13 Mei ini ialah golongan tua. Golongan berumur. Golongan yang sudah sempurna akal. Golongan yang berfikiran waras. Golongan yang sepatutnya mendoakan negara ini dalam aman dan bahagia.

Sepatutnya begitulah sikap golongan tua yang dikatakan berfikiran waras itu. Sepatutnya merekalah yang sentiasa memberi nasihat agar perkara yang buruk tidak berlaku atau berulang. Begitulah sepatutnya. Seolah-olah golongan tua ini ( bukan semua le ) mahukan peristiwa 13 Mei itu berulang dan seolah-olah mereka bahagia melihat ‘ anak-anak’ bergaduh antara satu dengan yang lain.

Pada pandangan aku ( yang juga termasuk dalam golongan tua ) peristiwa yang berlaku seperti  Peristiwa 13 Mei itu tidak akan berlaku lagi. Aku berani kata “ tak akan berlaku “. Sebab?. Banyak sebab dan alasan yang boleh diberikan untuk dimenungkan bersama. Antara sebab yang boleh dberikan ialah bahawa golongan muda kini tidak ‘ berminat ‘ untuk bergaduh sepertimana yang berlaku pada peristiwa 13 Mei ini.

‘Kekuatan’ yang ada pada orang muda sekarang ialah pada otak dan pemikrannya.  Apabila kekuatan berada di kepala, maka pertembungan dan perbalahan yang mungkin berlaku tentulah pertembungan otak dan fikiran. Ramai orang muda-muda sekarang yang berpelajaran tinggi. Sampai ke universiti. Takkanlah orang muda yang berkelulusan universiti berperangai seperti orang yang tidak berpelajaran.

Hanya orang muda yang tidak berpelajaran sahaja yang sanggup melakukan perbuatan yang mirip dengan perangai ‘ pelakun’ dalam 13 Mei itu. Disebabkan kekuatan golongan yang sebegitu  terletak kepada kekuatan fizikal, maka pertarungannya tentulah berasakan kekuatan fizikal juga.

Lagipun segala kempen yang dijalankan oleh kerajaan mengenai perpaduan dan muhibbah antara kaum di Malaysia boleh dikatakan berjaya. Walaupun ada pihak yang mengatakan perpaduan antara kaum tidak begitu berkesan di Malaysia, namun aku berani mengatakan bahawa kita telah mencapai sesuatu dalam hal ini. Aku tidak nampak perasaan perkauaman yang menebal antara kaum-kaum di Malaysia seperti mana yang berlaku pada tahun-tahun sebelum 1970an dahulu.

Perhimpunan Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlaku baru-baru ini memberikan gambaran yang cukup jelas bagi menunjukkan apa yang dirancang oleh kerajaan mengenai perpaduan telah amat berjaya. Perhimpunan Himpunan Kebangkitan Rakyat baru-baru ini adalah satu menifestasi yang menunjukkan yang kerajaan Malaysia berjaya menyatukan kaum-kaum di Malaysia. Ratusan ribu berhimpun. Dan yang paling membanggakan kita ialah tidak terdapat walau sedikitpun berlaku perbalahan dan kekacauan. Rakyat telah menunjukkan satu sikap yang sungguh membanggakan bagi dicontohi oleh negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum.

Berdasarkan kepada keadaan sedemikian, apakah begitu mudah rakyat yang cintakan perdamaian ini ‘ mengubah haluan’ dan mahu melibatkan diri dalam pergaduhan antara kaum. Mestilah ada perbalahan dan pergaduhan antara Melayu dan bukan Melayu. Pergaduhan biasa. Melayu sama Melayu bergaduh. Cina sama Cina juga bergaduh. Orang India sama India juga bergaduh. Itu bukan perbalahan perkauman namanya.

Aku amat yakin anak muda sekarang sudah amat waras fikiran dan tindakan mereka. Hanya segelintir sahaja anak muda yang belum sedar tentang peranan yang harus dimainkan oleh mereka dalam dunia yang sudah berubah kea rah globalisasi ini. Hanya segelintir sahaja anak muda yang masih tidak boleh berfikr dengan waras dan boleh diperalatkan untuk tujuan kearah yang negatif. Terlalu sedikit. Boleh dibilang dengan jari. Moga-moga golongan yang sedikit ini juga akan sedar akan tindakan mereka yang tidak berfaedah itu dan akhirnya akan mengikuti jejak langkah golongan majority.

Ekoran daripada Peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang memberikan tumpuan untuk memajukan orang Melayu dalam semua bidang supaya akhirnya setanding dengan kedudukan orang bukan Melayu. Sepanjang perjalanan DEB tidak terdengar suara keras menentang DEB oleh orang bukan Melayu. Maknanya mereka sedar bahawa punca sebenar yang menyebabkan berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah berpunca daripada ketidakseimbangan dari segi pencapaian kaum-kaum di Malaysia. Maknanya orang Melayu telah ketinggalan dalam kemajuan berbanding dengan kaum bukan Melayu.

Lantas kaum bukan Melayu tidak bersungut tentang implementasi DEB. Maknanya mereka setuju agar orang Melayu dimajukan. Mereka setuju agar orang Melayu ‘ ditolong’ agar dapat berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan kaum bukan Melayu. Selama 30 tahun kaum bukan Melayu  akur dengan hasrat kerajaan untuk memajukan orang Melayu.

Walaupun masih ramai orang Melayu yang tidak berubah daripada keadaan asal seperti sebelum DEB, namun begitu pencapaian orang Melayu tetap ada. Ini tidak boleh dinafikan. Dan kerajaan masih berusaha untuk terus memajukan orang Melayu. Dan kaum Cina masih ‘ bersabar ‘ membantu menjayakan dasar kerajaan itu., walaupun ada kaum bukan Melayu yang  mempersoalkan tentang ‘ tongkat ‘ yang telah begitu lama diberikan kepada golongan orang Melayu.

Hubungan antara kaum-kaum di Malaysia kini dapat dikatakan amat ikrab dan mesra berbanding dengan keadaan sebelum berlaku 13 Mei 1969. Aku hampir bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa punca berlakunya Persitiwa 13 Mei itu adalah disebabkan dasar ‘ Divide and Rule’ yang dijalankan oleh penjajah British. Dan kesannya ialah berlakunya peristiwa yang tidak diingini itu.

Kini segala ‘ tembok’tembok’ yang membahagikan masyarakat Malaysia telah dipecahkan. Tidak ada lagi Chinese New Village yang mana penghuninya 100% keturunan Cina. Tidak ada lagi estet getah yang pekerjanya 100% India. Malah disetengah kampung Melayu sudah mula didiami oleh kaum Cina dan India.

·      Cina dan India yang tinggal di Kelantan dan Terengganu berbahasa dengan menggunakan loghat Kelantan dan Terengganu.
·      Sudah ada orang Melayu yang menjadi ahli Tarian Naga.
·      Sudah terdapat pemuda Melayu yang boleh ‘ randuk api ‘ seperti penganut agama Hindu.
·      Sudah ramai kaum Cina dan India yang boleh bersajak dan bersyair
·      Orang Cina dan India tidak runsing telinga mereka mendengar ‘azan ‘ lima kali sehari yang datang dari menara masjid dan suaru.
·      Orang Melayu tidak pula ‘ murka’ disebabkan kebisingan bunyi mercun pada perayaan Tahun Baru Cina
·      Penganut agama yang bukan dari agama Hindu  turut merayakan perayaan Thaipusam

Bedasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas apakah mungkin berlaku lagi Persitiwa 13 Mei.

Tak tahu lah. Hanya  manusia yang tidak waras fikriannya sahaja yang mahukan persitiwa sedemikan berulang.



Abuhassanadam
30 Januari 2013

Tuesday, January 29, 2013

PPSMI: KE MANA PERGINYA KESATUAN GURU?


PPSMI:
Ke mana perginya kesatuan guru-guru

Difahamkan beribu-ribu orang akan berkumpul di hadapan Kementerian Pelajaran Malaysa bulan hadapan untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelajaran Malaysia berkaitan dengan PPSMI ( pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ) Empat pertubuhan ibu bapa yang akan menyertai penyerahan memorandum itu nanti ialah CPS ( Concerned Parents Selangor ), PAGE ( Parents Action Group on Education, MAGPIE ( Malacca Action Group of Parents in Education dan HOPE (Herald of Penang for Education.

Yang menghairankan aku ialah ke mana perginya kesatuan guru-guru ataupu persatuan guru-guru ( kalau-kalau ada). Sepatutnya kesatuan guru-gurulah yang berada di barisan hadapan untuk memperkatakan hal-hal yang berkaitan dengan pelajaran. Sepatutnya lah. Sebab mereka terdiri dari guru-guru. Tentu lebih arif dan faham tentang masalah pelajaran, terutama yang berkaitan dengan PPSMI. Mereka yang terlibat secara langsung. Tentu lebih tahu baik buruknya. Dan tentulah Menteri Pelajaran akan mendengar cakap dan nasihat mereka. Begitulah sepatutnya. Aku fikir begitu la….

Aku pernah jadi Pegawai Khas kepada Menteri Pelajaran selama lebih kurang sembilan tahun.  Tiga menteri pendidikan. DS Abdullah Ahmad Badawi, Ds Anwar Ibrahim dan Dato’ Amar Sulaiman Daud. Bukan nak tunjuk hebat. Dan tak sehebat manapun. Nak bercerita. Tidak juga nak bercakap hal politik. Nak bercerita hubungan antara Pejabat Menteri Pendidikan dengan kesatuan guru-guru. Seperti aur dengan tebing. Seperti isi dengan kuku. Kadang-kadang seperti anjing dengan kucing. Tak tahulah siapa ‘ anjing’ dan siapa ‘kucing’. Beigutlah mesranya sekali hubungan itu.

Yang menjadi tali penghubungnya, ramai. Aku bertuah kerana menjadi salah sseorang yang diiktiraf sebagai tali’ penghubung. Kadang-kadang sebagai ‘ errand boy’ pun ada.

Dulu ada kesatuan guru-guru seperti Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat ( KGGMMB ), National Union of Teaching Profession ( NUTP) , Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab ( KGGLM ) dan lain-lain. Inilah kesatuan guru-guru yang banyak ‘ menyusahkan’ aku pada waktu itu.  Tokoh dan wiranya pada waktu itu ialah Cikgu Nordin Mahmud ( KGGMMB ), Cikgu Siva Subramaniam ( dah dapat Dato’), Cikgu Nallathambi, dari NUTP, Cikgu Kassim Haron, Cikgu Muhammad Mustafa ( KKGLM ) dan lain-lain yang tidak kurang pentingnya.

Aku ingat nama-nama ni sebab mereka ini adalah kumpulan yang ‘ garang ‘ tetapi baik-baik belaka. Aku dapat katakan mereka inilah species guru yang tulin. Apa tidaknya. Mereka inilah menjadi mata dan telinga rakyat yang berkaitan dengan pendidikan negara. Segala dasar kementerian pendidikan sentiasa diperhati dan diperhalusi oleh mereka samada boleh dilaksanakan ataupun tidak. Sekiranya ada dasar-dasar baru yang hendak diperkenalkan oleh kerajaan, mereka mesti setuju. Kalau tidak akan ‘ huru-hara’ lah negara. Mereka akan bangun mempersoalankan kewajaran sesuatu dasar itu. Sehinggalah mereka berpuas hati, barulah boleh sesuatu dasar itu dilaksanakan.

Ke mana hilangnya kesatuan-kesatuan ini? ( Mungkin mereka bersuara, hanya sekadar aku yang tidak mengikuti. Aku mohon berbanyak maaf)

Aku masih ingat apabila Pak Lah menasihatkan aku, “ Hang tanya depa dulu…” supaya meminta pandangan kesatuan guru-guru sebelum sesuatu dasar hendak dilaksanakan. Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula kerap kali mengadakan majlis perjumpaan dan makan-makan dengan pemimpin kesatuan guru-guru. Kadang-kadang hampir setiap bulan. Malah pada bulan Ramadhan pun dijemput semua guru-guru yang bukan Islam berbuka puasa denganya. Dengan demikian hubungan itu tersangatlah erat.

Bukan tidak ada isu yang ditentang oleh pemimpin kesatuan. Banyak sekali. Tetapi dapat diselesaikan dengan baik melalui rundingan. Diselesaikan satu persatu isu yang kusut, terutama yang berkaitan dengan isu perkauman. Syukur, semuanya berjalan dalam suasana yang aman dan menyeronokkan. Aku amat merindui keadaan sedemikian.

Yang menjadikan suasana begitu mesra antara kesatuan-kesatuan guru dengan kementerian pendidikan pada ketika itu ialah adanya pimpinan pelajaran yang hebat-hebat. ( Tidak pula bererti ketua pengarah selepas itu tidak hebat ). Tan Sri Abdul Rahman Arshad, Dato Aziz Ismail ( arwah), Tan Sri Omar bin Mohd Hashim, Dato Asiah Abu samah, Tan Sri Wan Mohd Zahid Nordin. Kehebatan dan gabungan tokoh-tokoh pendidi yang hebat inilah menjadikan kementerian perlajaran pada ketika itu sebagai tempat yang menyeronokkan untuk bekerja.

Berbalik kepada persoalan PPSMI. Kestuan guru-guru mesti mengambil peranan penting menasihati Menteri Pelajaran tentang arah tuju yang hendak di bawa. Pasti beliau akan mendengar nasihat daripada para pemimpin kesatuan yang juga seorang guru. Guru mesti tahu buruk baik sekiranya sesuatu dasar itu hendak dilaksanakan.

Bagi aku, mengemukakan pandangan dan pendapat bukan bererti menentang dasar kerajaan ataupun menentang kerajaan. Mengemukakan pendapat bererti bertujuan untuk membetulkan keadaan yang pincang sekiranya ada. Mungkin pihak Menteri tidak Nampak tentang kepincangannya. Mungkin persatuan ibu bapa juga tidak Nampak dimana kesilapan mereka. Dan tugas para gurulah untuk memberikan penjelasan. Mungkin dnegan penjelasan yang diberikan nanti akan dapat memberikan kefahaman yang mendalam dan menyelesaikan banyak  masalah.

Sudah sampai masanya pihak kesatuan guru-guru bergerak aaktif semula dalam memberikan pandangan dan nasihat kepada kementerian pelajaran. Masyarakat sedang menunggu peranan guru-guru dalam hal ini. Kesatuan guru-guru tidak payah lagi memperjuangkan tentang gaji guru-guru seperti yang dilakukan oleh pemimpin kesatuan guru yang terdahulu. Pada ketika ini aku difahamnkan bahawa ramai  guru amatlah berpuas hati dengan tawaran gaji yang diberikan oleh kerajaan.

Oleh itu tugas para guru pula membalas jasa kerajaan dengan memberikan input yang berguna agar taraf pendidikan negara kita betul-betul bertaraf dunia. Pihak kesatuan guru-guru pula hendaklah memainkan peranan sepertimana yang pernah dimainkan oleh tokoh-tokoh kesatuan ( pendidik ) terdahulu.

Walau apa pun Cikgu jasamu tetap dikenang.



Abuhassanadam
29 Januari 2013






BARU KETUA CAWANGAN....DAH JADI ' MALIANA.




BARU JADI KETUA CAWANGAN 
DAH JADI ' MALIANA' ( MILLIONAIRE)


Entah macam mana teringat pulak aku nak menulis tentang pemimpin  zaman dulu-dulu. Lain. Banyak lainnya. Banyak bezanya. Dari segi perwatakan, kepemimpinannya, tindakannya. Pendek kata berbeza betul dengan pemimpin sekarang. Dari segi lagaknya. Gayanya. Perwataknaya.Tindakannya.  Memang banyak lainnya.

Dulu lain sekarang lain. Betul. Tapi sekiranya cara yang dulu itu baik dan betul caranya, apa salah ditiru. Dan jikalau ada cacat celanya cara yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu, maka dibetulkanlah. Diubah dan digantikan dengan cara baru yang lebih baik supaya tindakannya berkesan kepada kumpulan yang dipimpinnya.

Bila aku sebut tentang pemimpin, bukan bererti terhad kepada pemimpin politik semata-mata. Yang aku nak kongsikan bersama ialah pemimpin dalam segala aspek. Pemimpin masyarakat. Ini termasuklah pemimpin peringkat kampung, pemimpin dalam hal keagamaan, pemimpin peringkat negeri dan pusat.

Nak mencari pemimpin pada zaman dahulu memang payah. Nak mencari pemimpin peringkat kampung memang susah. Nak mencari individu untuk menjadi pengerusi masjid lagi susah. Nak menjadi pemimpin untuk menjadi ketua cawangan UMNO juga susah. Masing-masing tak mahu. Berbagai sebab dan alasan diberikan.

Bagi mereka ( orang Melayu ) pada ketika itu, menjadi pemimpin adalah satu tanggungjawab yang mesti disempurnakan dengan betul dan berkesan. Mesti jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Tidak ada kepentingan diri. Tidak harus ada berlaku pilih kasih. Mesti betul-betul amanah bersandarkan lunas-lunas dan prinsip agama Islam. Dan jikalau terlibat dengam urusan kewangan mesti telus supaya tidak disalah anggap.

Oleh yang demikian, mereka sentiasa merasakan diri mereka ‘ tak layak’ memikul tugas yang diamanahkan. Seorang calon pengerusi Masjid misalnya merasakan yang dia tidak layak memikul tanggungjawab itu kerana dia merasakan ilmu agamanya cetek dan tidak layak memegang jawatan demikian walaupun dia boleh dianggap ‘ berilmu’ berbanding dengan aanggota masyarakat yang lain dalam kampungnya. Dia akan menolak dan terus menolak pencalonannya sehinggakan ‘terpaksa’ dipujuk dan dirayu agar dapat menerima pencalonan ahli kariah masjid berkenaan.

Berbeza dengan keadaan sekarang dimana orang ‘ berlumba-lumba’ untuk mendapatkan sesuatu jawatan. Sebagai pengerusi masjid ke atau sebagai ketua kampung ke atau sebagai pengerusi JKK di sesebuah kampung. Berlumba-lumba. “ Tikam-menikam ‘. Masing-masing merasakan diri layak untuk memegang jawatan demikian, walaupun masyarakat menganggap mereka tidak layak. Masyarakat menentang perlantikan mereka, tetapi disebabkan pandai ‘ mengampu’  dan ‘melobi’ (istilah yang biasa dipakai sekarang ) mereka dilantik oleh tangan-tangan ghaib yang berperanan melantik seseorang pemimpin di peringkat kampung.

Alangkah jauh bezanya dengan keadaan dulu-dulu. Mengapa terjadi demikian?

Tak susah nak menjawab soalan demikian. Sebab ada habuan yang menunggu. Duit akan masuk. Oleh itu matlamat seorang pemimpin kini adalah duit. Bukanlah semua. Tetapi kebanyakannya begitulah. Tanggungjawab dan peranan dikesampingkan. Mungkin pandangan aku tak betul. Mungkin. Tetapi itulah persepi dan pandangan aku. Dan aku yakin ramai juga yang berpandangan sebegini.

Tak lengkap rencana ini kalau aku tak sentuh sedikti sebanyak kepimpinan dalam pertubuhan politik dahulu dan sekarang. Kepimpinan dalam UMNO misalnya. Sebab UMNO yang sudah lama bertapak di kampung-kampung. Semenjak tahun-tahun 1950an algi. Parti lain takda. Jadi yang dapat aku bezakan ialah kepimpinan dalam UMNO.

Jadi sesuai pulak aku ceritakan keadaan ini, dalam suasana pihak parti nak memilih siapa yang menjadi bakal wakil dalam pilihan raya yang akan diadakan tak lama lagi. Dulu bukan main suasah nak memilih wakil calon. Sebab? . Masing-masing takut nak memikul tanggungjawab sekiranya dipilih oleh rakyat menjadi wakil rakyat mereka nanti. Tak mahu dituduh tak bertanggungjawab. Takut tidak dapat menepati harapan dan hasrat orang kampung. Banyak lagilah alasannya.

Sekarang………

Masing-masing ‘ berlumba ‘ dan ‘ berpencak dan bertikam ‘ dan ‘ berbomoh-bomoh ‘ untuk dapat dipilih menjadi calon. Semua merasakan diri mereka  ‘ layak ‘. Semua mersakan diri mereka ‘ bertanggungjawab ‘. Semua merasakan diri mereka ‘ amanah ‘ dan tidak akan menyeleweng dalam menjalankan tugas yang diamanahkan nanti. Semua berani bersumpah yang mereka akan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan setia. Dan yang akhirnya semuanya merasakan yang mereka boleh berkhidmat secara jujur, bersih, cekap dan amanah.  Berkhidmat kerana Allah…..

Ada yang menepati apa yang dikata.

Tetapi ramai yang tidak. Mungkin. Aku tak mahu menuduh. Berdosa. Melalui pemerhatian, ramai yang telah menjadi wakil rakyat hidup mereka senang dan mewah. Bukan setakat menjadi wakil rakyat, aku nampak menjadi ketua cawangan pun  boleh hidup senang lenang.
 ‘ Meliana’ kata Opah aku dulu. Maksudnya ‘ millionaire’. Orang banyak duit le. Itu baru ketua cawangan, apatah lagi kalau jadi ketua bahagian. Ini yang aku nampak dan lihat.

Bila dah jadi wakil rakyat lagi hebat. Jikalau sebelum jadi wakil rakyat, kereta hanyalah kereta Proton  tetapi setelah menjadi wakil rakyat, semacam tak sah kalau tak pakai Mercedes atau kereta-kereta yang setaraf dengannya. Taka pa. Pakailah. Tapi yang dipersoalkan oleh rakyat ialah dari mana dapat wang yang begitu banyak untuk membiayai segala-galanya. Itu saja. Aku rasa rakyat tak marah sekiranya seorang wakil rakyat itu kaya. Tetapi mestilah dengan cara yang betul. Tidak menyeleweng wang rakyat. Tidak rasuah dan sebagainya.

Rakyat tahu dan jangan pula dianggap rakyat tidak cerdik. Rakyat kini sudah boleh berfikir dengan matang. Lebih matang daripada pemikiran seorang wakil rakyat. Kebanyakan rakyat berkelulusan tinggi. Jauh lebih tinggai dariapada kelulusan setengah wakil rakyat. Oleh itu janganlah diperbodohkan pemikiran dan pemerhatian rakyat.

Mereka tahu…


Abuhassanadam
29 Januari 2013

Monday, January 28, 2013

PENDATANG HARAM


PENDATANG HARAM
Denmark, Norway, Finland, Sweden – BEBAS


Semalam aku naik bas dari Airport Bayang Lepas ke Jetty Pulau Pinang. Murah. Jikalau naik teksi tambangnya RM 42.00. Kalau naik bas hanya RM 2.70. Warga emas macam aku RM 1.40 sen. Warga emas mana ada duit nak belanja naik teksi. Tunggu bas le. Lambat le sikit. Taka pa. Apa yang nak dikejar pun. Bukan ada meeting yang nak dihadhiri macam zaman dulu-dulu.

Sekali sekala naik bas seronok juga. Macam-macam rupa manusia ditemui. Jikalau zaman aku kecil-kecil dulu, yang ditemui hanyalah ‘muka’ Melayu, Cina, dan India. Tapi kini macam-macam ‘muka’ yang ditemui.  ‘Muka’ dari Bangla, Vietnam, Myanmar ( Burma), Indonesia, Filipino,Nepal dan lain-lain. Betul-betul ‘ a melting pot’.

Dalam bas yang aku naiki tu tak ramai muka Melayu. Dalam tiga orang. Itu pun aku tak tahu samada Melayu tulin ke atau ‘ ‘Constituional Melayu’. Bercakap Melayu tapi tak rupa Melayu tulin. Yang lain-lain tu ‘ macam-macam ada’. Atas ferry pun  begitu juga. Yang ramai berada di atas ferry adalah ‘orang luar’

Jadi aku terfikir. Apa nak jadinya negara ni? Siapa yang punya. Katakan negara ni dulunya Tanah Melayu. Melayu le yang punya. Kemudian datang Cina dan India. Tanah Melayu ( Malaysia ) dimilik bersama oleh Melayu, Cina dan India. Dengan persetujuan Raja-Raja Melayu, pemimpin Melayu bersetuju menerima orang Cina dan India dengan syarat orang Cina dan India bersetuju dengan pemberian hak istemewa kepada orang Melayu.

Sekarang dah datang pula Indonesia, Bangla, Nepal, Myanmar, Vietnam secara beramai-ramai untuk mencari pekerjaan di Malaysia. Rakyat Indonesia memang dah lama datang. Semenjak zaman berzaman. Di bandar Kuala Lumpur dah macam mereka punya. Lihat sahaja pada hari-hari minggu atau cuti umum, akan dipenuhi oleh mereka. Dalam bas, dalam LRT, KLCC akan dipenuhi oleh  mereka. Seolah-olah rakyat Malaysia sudah diketepikan.

Buku “Illegal Immigrants and Developemnt in employment in the labour market of the EU “ oleh Jan Hjarno ada menyatakan bahawa masalah pendatang haram adalah merupakan masalah yang dihadapi oleh seluruh dunia kecuali ada empat negara Scandinivia yang dapat mengawal kemasukan pendatang haram ke negara mereka. Empat negara itu ialah Denmark, Norway, Finland dan Sweden.

Kebanyakan negara-negara di dunia terpaksa bertolak ansur dengan pekerja asing disebabkan mereka memerlukan tenaga pekerja asing. Seperti di Malaysia. Sekiranya tidak ada pekerja asing besar kemungkinannya berlaku keadaan yang tidak menentu berlaku di Malaysia. Kita ambil satu contoh yang mudah difahami. Sekiranya tidak ada ‘ maid’ untuk menguruskan rumah tangga sebahgian besar keluarga di Malaysia, akan tempang perjalanan seharian keluarga berkenaan.

Timbul macam-macam masalah. Siapa nak masak. Siapa nak jaga anak. Siapa nak mengemaskan rumah dan bilik tidur. Bagi rumah yang mempunyai kawasan persekitaran, siapa pula yang akan membersihkan kawasan. Semacam satu keperluan asasi bagi sesebuah keluarga untuk memiliki seorang pembantu rumah. Mesti ada. Wajib.

Tapi dikebanyakan negara-negara maju di sebelah barat, tidak pula sebagai satu kemestian. Tidak banyak keluarga yang menggaji pembantu rumah. Mereka buat sendiri. DIY. Ini bukan bermakna mereka tidak ada wang. Bukan bermakna kedua-dua suami isteri tidak bekerja. Tapi mereka tahu menguruskan rumah tangga bersendirian.

Apa dah jadi dengan masyarakat kita di Malaysia?

Di negara-negara yang bergabung dalam European Union terdapat lebih kurang 2.6 million pendatang haram yang bekerja di negara-negara seperti Itali, Perancis, Germany dll . Tetapi terlalu sedikit pendatang asing ( secara haram ) yang bekerja di negara-negara Scandinivia. Mengapa?

Jan Hjarno dalam bukunya “Illegal Immigrants and Developemnt in employment in the labour market of the EU “ telah membandingkan bagaimana negara Belanda yang banyak mengambil pekerja asing dengan negara Norway, Finnland, Sweden dan Denmark yang tersangat kurang menggunakan tenaga pekerja asing  ( haram ). Setelah dianalisis, punca yang menyebabkan majikan di negara-negara Scandinivian ini kurang ( atau tidak langsung ) mengambil pekerja asing adalah disebabkan ‘ tekanan ‘ yang diberikan oleh rakan ataupun kesatuan sekerja yang  cuba menyekat penglibatan pekerja asing. Berbanding dengan keadaan di Belanda yang di kawal terus oleh kerajaan Belanda.

Masalah pendatang asing ( samada secara halal atau haram ) telah menimbulkan banyak masalah kepada negara kita walaupun banyak juga menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara. Sekiranya betullah apa yang dikatakan bahawa sudah ramai pekerja asing yang telah diberikan kerakyatan, dan boleh mengundi dalam pilihan raya maka ini merupakan satu peristiwa malang yang telah menimpa rakyat di negara ini.

Kesan jangka panjangnya adalah amat parah.



Abuhassanadam
28 Januari 2013


Sunday, January 27, 2013

ORANG CINA TIDAK PERNAH BERSUNGUT TENTANG AZAN DI MASJID/SURAU





ORANG CINA TIDAK PERNAH BERSUNGUT TENTANG AZAN DI MASJID/SURAU

Nak bercakap mengenai agama  seperti orang lain memang aku tak pandai. Takde ( tiada ) belajar dengan mendalam. Hanya setakat ‘ sekolah Quran’. Itu pun pada waktu malam. Bukan ‘ full time ‘ pulak tu. Tahulah sedikit sebanyak mengenai Rukun Islam, Rukun Iman, Sifat 20. Tapi membaca Quraan memang tiga kali tamat. Tiga kali emak ( arwah ) bawa pulut kuning ke rumah Pak Haji Sulaiman, menandakan aku dah ‘ graduate’. Apabila aku ‘ Masuk Jawi ‘ ( berkhatan ) emak adakan khenduri “Khatam Quraan’. Pakai jubah  macam anak Arab Badwi.

Ini hanya mukaddimah. Yang aku nak ceritakan ialah tentang kebimbangan aku tentang keadaan yang wujud dalam masyarakat Malaysia sekarang. Masalah kalimah ‘Allah’. Seingat aku isu in tak pernah wujud pun dalam masyarakt. Mengapa sekarang baru timbul. Aku fahamlah bahawa kewujudan isu ini ada kaitannya dengan politik. Itu aku faham. Tetapi soalnya mengapa diseretkan masyarakat dalam kancah perbincangan ini. Apabila isu ini berlarutan, aku takut ramai orang muda akan keliru. Dan kesan sampingannya tentulah tidak berapa molek bagi masyarakat kita di negara yang tercinta.

Orang muda dari berbagai bangsa dan agama sudah amat selesa dengan kewujudan kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini. Buktinya. Tak pernah pun timbul rasa tak puas hati mana-mana golongan terhadap anutan agama masing-masing. Orang  bukan Islam tak pernah bersungut terhadap laungan Azan lima kali sehari yang dilaungkan melalui corong-corong pembesar suara di surau-surau dan masjid. Mereka tak pernah complain. Complain dalam hati mungkin ada. Tetapi secara terbuka takde.

Orang Islam pulak tak pernah bersungut tentang orang Cina ( yang beragama Buddha ) mengadakan upacara perarakan mayat dengan diiringi pukulan gendang yang membisingkan. Orang Islam tak bersungut.  Dan kini sudah bertambah berkurangan upacara yang sebegini. Dan pada musim Tahun Baru Cina, perayaan Tarian Naga tak kurang bising dan riuhnya. Namun orang Melayu boleh menerima kenyataan itu. Malah kini sudah ada pemuda Melayu yang menyertai Tarian Naga.

Orang Melayu dan Cina tidak pernah bersungut juga tentang perarakan yang dilakukan oleh penganut Hindu dalam perayaan Thaipusam. Nak cucuk hidung cucuklah. Nak pecah kelapa berapa lorry pun pecahlah. Penganut agam lain tak kisah. Kadang-kadang orang Melayu ‘enjoy’ sama melihat penganut Hindu yang dicucuk hidung dan badan. Tidak pula ada kata-kata menghina yang mempersoalkan mengapa penganut Hindu sanggup menyucuk badan dan hidung mereka. Itu adalah kepercayaan masing-masing.

Jadi suasana harmony dalam hal beragama memang wujud.

Keadaan sebeginilah yang sepatutnya dipelihara. Bukan menimbulkan huru hara. Dan aku rasa timbulnya keadaan sedemikian sedikit sebanyak adalah sumbangan dari guru-guru sekolah, terutamanya guru sejarah yang telah banyak memberikan input mengenai masyarakat yang hidup secara muhibbah.

Buku teks Sejarah Tingkatan Empat  bagi ku banyak sekali menyumbang kepada keadaan keharmonian beragama di Malaysia pada hari ini berpandukan kepada masyarakat madani yang telah diwujudkan oleh Nabi Muhammad dengan termetrainya Perjanjian Madinah.

‘ Masyarakat Madinah bebas memilih agama masing-masing. Setiap individu mestilah menghormati agama yang dianuti oleh individu yang lain. Sikap buruk sangka dari segi agama seperti yang diamalkan sebelumnya dilarang sama sekali. Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah memaksa mereka yang  bukan Islam supaya memeluk Islam, misalnya orang Yahudi bebas mengamalkan ajaran agama mereka’ Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat – muka surat  127.

Buku teks sejarah ini mula diperkenalkan pada tahun 2002. Maknanya pelajar Malaysia yang mula-mula menggunakan buku teks sejarah ini, kini sudah berumur 27 tahun. Dan sehingga tahun 2013 buku teks sejarah ini masih digunakan disekolah-sekolah. Bayangkan mesej yang disampaikannya kepada pelajar-pelajar’

·      Perlembagaan Madinah yang dirangka oleh Nabi Muhammad memberi kebebasan kepada masyarakat Madinah memilih agama masing-masing.
·      Setiap individu mestilah menghormati agama yang dianuti oleh individu yang lain.
·      Sikap buruk sangka dari segi agama dilarang sama sekali.
·      Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah memaksa mereka yang bukan Islam supaya memeluk Islam
·      Orang Yahudi bebas mengamalkan ajaran agama mereka.

Penjelasan di atas adalah antara perkara-perkara yang tercatat yang dirangka Oleh Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada siapa yang berani mengkeritik Perlembagaan Madinah dari segi keadilan yang cuba diketengahkannya. Cukup adil dan saksama. Dengan sebab itulah ramai penganut lain yang tertarikk dengan ajaran Islam bukan kerana paksaan tetapi dengan kerelaan hati mereka sendiri.

Dan amat sesuai pulak Perlembagaan Madinah dipraktikkan di negara kita Malaysia. Dengan sebab itulah semangat dan prinsip Perlembagaan Madinah itu dapat diterima dengan senang hati oleh masyarakat Malaysia sehingga hari ini.

Aku amat bimbang dengan keadaan yang wujud kini yang pada pandangan  aku kewujudan isu itu hanyalah berunsurkan politik. Aku bimbang dan takut kalau-kalau anak muda ( dari semua fahaman agama) keliru dan salah faham tentang perkara itu. Mereka amat selesa dengan keadaan yang telah wujud sekian lama.

Kita amat mengharapkan sebarang isu yang timbul yang boleh mengaharu-birukan pemikiran orang muda khususnya diselesaikan dengan segera. Kita takut kalau-kalau anak muda nanti akan keliru. Dan kesan daripada keadaan itu nanti amat parah dan amat sukar untuk diselesaikan.

Sudahlah………..





Abuhassanadam
27 Januari 2013

Saturday, January 26, 2013

WILLIAM - ANAK KU JUA


WILLIAM - ANAK KU JUA

Berita Bernama melaporkan bahawa sah mayat  yang dijumpai di Port Klang itu adalah mayat William Yau Zhen Zhong yang berumur 6 tahun. Aku amat sedih mendapat berita ini. Sebab. William adalah seperti anak ku jua walaupun dia dari keturunan Cina. Pada aku tak ada beza.  Betul, dia anak keturunan Cina. Tapi dia masih kanak-kanak. Dia tak tahu apa-apa. Perjalanannya masih jauh. Derita yang dirasai oleh  keluarganya sama dengan derita yang aku rasa sekiranya aku ditimpa kemalangan seperti itu.

Semenjak berita kehilanganya disiarkan oleh media massa, aku semacam tak mahu tengok akhbar lagi. Aku langkau berita mengenai William. Aku tak mahu tahu selagi William tidak dijumpai dengan selamat.. Aku amat sedih membaca berita sebegini. Tidak dapat nak aku bayangkan kesdihan yang aku deritai. Aku dapat rasakan bagaimana ibu bapanya rasa. Jadi dengan tidak membaca berita itu, aku rasa aku berasa lega. Bukan aku senang hati. Jauh sekali.

Aku amat bersimpati dengan ibu bapa William dan seluruh keluarga William. Aku harap mereka bersabar menghadapi dugaan sedemikian.

Yang aku nak ceritakan dalam coretan aku kali ini ialah semangat perihatin dan simpati yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Ramai yang aku jumpa betul-betul bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga William. Tak kira Melayu, Cina, India  kesemuanya bersimpati. Kesemuanya mengharapkan agar William dapat ditemui dan semoga dalam keadaan sihat sejahtera. Itu doa mereka.

Kata orang, jikalau nak lihat rakan kawan yang setia ialah apabila kita dalam kesusahan. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa “ teman ketawa ramai dan teman menangis keseorangan’ dan peribahasa Inggeris pula menyebut juga bahawa ‘ a friend in need is a friend indeed’. Jadi dalam hal malang yang menimpa keluarga William ini memang ramai yang menangis. Sekurang-kurangnya bersimpati dan sentiasa mengiringi dengan doa agar William selamat.

Aku terhutang budi kepada kerajaan British kerana mengajar aku menjadi manusia yang berperasan begini. Emak bapak aku pun menyemaikan perasaan ini. Sekolah ‘ orang putih’ mengajar aku supaya berbaik-baik dengan semua bangsa. Aku masih ingat ketika aku dalam Form Two, berlaku kematian mengejut terhadap bapa rakan kami. Kaum Cina. Guru Darjah minta kepada Pengetua agar pelajar-pelajar kelas kami dibenarkan melawat kematian bapak rakan kami. Semua pergi. Diawasi oleh guru kelas.Peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam juga pada aku.

Pada aku Melayu ke, Cina ke, India ke serupa saja. Aku masih ingat juga tentang Atuk ( nenek ) aku membenarkan orang Cina tinggal bersamanya. Semacam keluarga. Namanya Panjang ( bukan nama beliau yang sebenar. Olehkerana tinggi orangnya, maka dipanggil oleh atuk aku dan semua orang kampung sebagai ‘ Panjang’). Sampai hari ini keluarga Nyonya Panjang masih ingat pada keluarga kami.

Atuk membuatkan dia sebuah pondok kecil berhampiran dengan rumah kami. Kerja si Panjang ialah menanam sayur. Di atas tanah Atuk aku. Tanpa sewa. Hasil keluarannya diserahkan kepada Panjang. Atuk tak dapat apa-apa. Atuk pun tak minta. Cuma si Panjang lah yang sentiasa memberikan hasil pertaniannya seperti petola, sawi kepada atuk aku. Atuk tak minta. Baik betul Atuk aku……

Bukan Atuk aku sahaja yang berperangai sedemikian. Aku rasa ramai orang Melayu pada waktu itu ( 1940an dan 1950an ) yang bersikap seperti Atuk. Dengan sebab itulah orang Cina ( terutamanya ) merasa selesa tinggal bersama orang Melayu di sebuah kampung. Tidak pernah timbul pergaduhan antara orang Melayu terhadap orang Cina. Begitu juga sebaliknya.

Ada timbul pergaduhan antara Melayu dan Cina ataupun antara Melayu dengan India. Tapi bagi aku itu bukan pergaduhan kaum. Hanya pergaduhan antara personality sahaja. Ahmad dan Ah Chong bergaduh.  Berebut ‘girlfriend’. Biasalah. Tapi itu bukan pergaduhan kaum.

Yang menyebabkan aku dan kawan-kawan aku yang seangkatan dengan aku tidak mempunyai perasaan perkauman adalah berpunca daripada suasana ketika bersekolah zaman dulu-dulu. Sekolah orang putih. Pada ketika itu mana ada guru yang berketurunan Melayu. Takada ‘sekor’ pun ( loghat Perak ). Maknanya tidak ada seorang pun. Kalau adapun boleh dibilang dengan jari. Dan ramai juga pelajar-pelajar Melayu yang belajar sekolah Inggeris pada ketika itu.

Sekarang aku terfikir. Jikalaulah guru-guru ( bukan Melayu ) yang mengajar kami dulu bersikap ‘ anti Melayu’ maka tentulah aku dan kawan-kawan tidak ‘menjadi orang’’ seperti sekarang. Aku tak pernah rasa, guru-guru ( bukan Melayu) itu anti Melayu. Takda. Mereka mengajar Melayu seperti mana mereka mengajar murid-murid bukan Melayu. Layanan sama. Tentulah ada perbezaannya. Mereka makan babi, kami tidak.

Samapi hari ini aku ingat guru-guru yang mengajar aku. Cikgu Ang Chui Pek, Cikgu Muthusamy, Cikgu Lee Siew Wah, dan lain-lain. Di Government English School, Padang Assam, Padang Rengas, Perak. Aku harap mereka masih sihat dan membaca tulisanku ini. Aku terhutang budi pada mereka.

Sekolah ‘orang putih’ tidak pula menasihati kami agar jangan bergaduh antara Melayu, Cina dan India. Tidak pula dia menyarankan yang ‘ kita mesti bermuhibbah’. Takda pula kempen. Takda pula disebut-sebut selalu agar kita berbaik-baik. Takda ( tiada ). Tapi yang aku Nampak mereka buat ialah melalui perbuatan dan tindakan mereka.
Seorang pengetua ( orang putih) misalnya, ( bukan dari sekolah aku  tetapi dari sekolah berdekatan ) akan berusaha sedaya upaya untuk menziarahi pelajarnya yang sakit di hospital. Bayangkan besarnya hati pelajar dan ibu bapa apabila seorang pengetua ( orang putih pulak ) sanggup melapangkan masa pergi melawat pelajar yang sakit di rumah atau di hospital.

Aku tak tahu ‘formula’ yang digunakan oleh guru-guru dahulu yang boleh ‘ mengikat’ kami ( antara kaum ) sehingga sekarang. Kami masih berhubung. Masih berjumpa. Dan apabila berjumpa, masih menggunakan ‘gelaran’ lama yang pernah dipakai ketika di sekolah. Dan ada gelaran-gelaran itu yang boleh menimbulkan pergaduhan kaum. Panggilan “ Melayu Tempoyak’ boleh membawa kepada pergaduhan kaum. Atau gelaran “ Apek Tongsan’ boleh berakhir dengan pergaduhan. Atau ‘ Pariah’ boleh berakhir dengan pembunuhan.

Yang anihnya panggilan itu apabila dilafazkan akan diekori dengan deraian gelak ketawa. Aku selalu terfikir. Apakah ramuan yang digunakan guru-guru dulu untuk menimbulkan suasana yang sedmikian  sehingga sekarang. Tidak ada kempen. Tidak ada lagu tema yang mesti didendangkan setiap hari melalui radio dan TV. Takda.

Mari kita menungkan bersama !!......





Abuhassanadam
25 Januari 2013






Friday, January 25, 2013

Januari - Bulan Kerat Kepala


JANUARI – BULAN KERAT KEPALA

Ketika aku masih kecil-kecil dulu, bulan yang paling aku takut ialah bulan Januari.  Bukan aku seorang yang takut, malah seluruh ‘antero’ Padang Rengas dalam ketakutan. Dikatakan pada bulan inilah ‘ Ngah Laoh’ ( nama orang ) mengamuk kerat kepala kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan enam atau tujuh tahun. ‘ Kerat ‘ dalam loghat Perak ialah ‘ potong’.

Maknanya pada bulan Januari inilah ‘ Ngah Laoh’ akan mengambil kesempatan untuk memotong kepala budak-budak di kawasan ini. Mengapa pada bulan Januari?. Mengapa tidak bulan Februari atau Mac atau April. Jawapannya ialah hanya pada bulan Januari adalah musim padi menguning dan hanya menunggu untuk dituai. Pada ketika inilah kononnya ‘ Ngah Laoh ‘ mengambil kesempatan untuk berselindung disebalik pokok-pokok padi yang menguning, mengintai ‘mangsa-mangsa’ bertujuan untuk dipotong kepalanya.

Bukan sahaja kanak-kanak yang takut, ibu bapa juga bimbang kalau anak-anak mereka menjadi mangsa ‘ Ngah Laoh ‘. Aku tahu mereka bimbang kerana arwah emak aku pernah menasihatkan aku supaya pulang dari sekolah sentiasa dalam kumpulan. “ Jangan jalan sorang-sorang…” pesannya.

Memanglah mereka risau dan bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka. Jarak antara rumah kami ( Kampung Keroh Hilir ) dengan Malay Boys School, Padang Rengas adalah lebih kurang dua kilometer. Kami ke sekolah berjalan kaki, merentas desa  ( Kampung Lalang, Kampung Pondok ) dan dua kawasan sawah padi. Pada ketika itu tidak ramai  penduduk-penduduk di kampung-kampung ni. Memang sunyi dan
menakutkan apabila melalui kampung-kampung itu. Apatah lagi jikalau berjalan keseorangan. Memang jarang-jarang benar aku berjalan keseorangan ketika berada dalam Darjah Satu dan Dua dulu.

Mengikut yang empunya cerita, ‘ Ngah Laoh ‘memotong kepala budak-budak kerana kepala kanak-kanak ini diperlukan untuk menjadi ‘ pasak ‘ pembinaan sebuah jambatan merentang Sungai Perak. Mengikut ceritanya sekiranya sesebuah jambatan itu tidak dipasak dengan kepala kanak-kanak, jambatan demikian mudah roboh dihanyutkan oleh air. Dengan demikian sesebuah jambatan yang sedang dibina itu sekurang-kurangnya memerluka sekurang-kurangnya sebiji kepala kanak-kanak.

Bulan Januari adalah musim menuai. Berlarutan sampai ke bulan Februari. Dan pada bulan ini jugalah suasana di kampung kami menjadi begitu ceria dan riang, terutama pada waktu petang dengan hembusan bayu yang sungguh menyamankan. Apatah lagi apabila dalam saat-saat matahari ‘ mahu menyembunyikan dirinya ‘ ( aku pinjam kata-kata Pak Samad Said )

Malangnya pada bulan ini jugalah merupakan bulan kanak-kanak dalam ketakutan. Kini apabila mengenangkan peristiwa-peristiwa ini menyebabkan aku termenung dan ketawa bersendirian. Geli betul hati aku mengenangkan cerita ‘ Ngah Laoh ‘ yang tugasnya  ‘ kerat kepala’ kanak-kanak untuk menjadi ‘ pasak pembinaan sebuah jambatan’.

Sehingga kini ( 2013) tidak pernah terdapat lagi walaupun satu insiden dimana kanak-kanak di kampung aku khususnya dan di seluruh kawasan Padang Rengas yang kehilangan kepala. Tak pernah. Tetapi soalnya mengapa cerita-cerita demikian terus disebarkan dan terus dipercayai oleh penduduk kampung. Ini aku tak faham. Mujurlah cerita sebegini sudah tidak kedengaran lagi. Mungkin masyarakat sudah mula berfikiran kritis, ekoran daripada pengenanalan pelajaran dan pembelajaran moden.

Apakah tujuan cerita seperti itu disebarkan?

Aku tak tahu nak jawab. Mungkin…mungkin ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka main berkeliaran di kawasan bendang ketika musim menuai. Mereka mahu anak mereka cepat sampai ke rumah setelah pulang dari sekolah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka ‘ singgah-menyinggah’ di kawasan sawah padi ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Tetapi apabila aku kenangkan ‘ rasional’ “ Ngah Laoh ‘ memotong kepala kanak-kanak untuk dijadikan pasak buat jambatan, menyebabkan aku tergelak besar. Memang tak lojik langsung. Tapi seluruh penduduk kampung aku yakin dan percaya. Tak pernah pula mereka menyoal lojik tidaknya kenyataan itu. Memanglah masyarakat Melayu pada ketika itu terlalu simple dan mudah saja menerima apa saja yang dikatakan oleh orang, terutama sekiranya seseorang itu agak berpengaruh dalam masyarakatnya.

Tidak pula mereka mempersoalkan apakah pembinaan jambatan di luar negara itu perlu dipasak dengan kepala kanak-kanak juga. Baru-baru ini ketika aku melalui The Golden Gate Bridge dan The Bay Bridge di California, USA aku masih tersenyum bersendirian, mengenangkan kisah ‘Ngah Laoh’ memotong kepala kanak-kanak bertujuan untuk dijadikan pasak pembinaan sesebuah jambatan. Mungkinkah ada juga  ‘sumbangan’ ‘ Ngah Laoh’ dalam pembinaan ‘ The Golden Gate Bridge’ itu !!!......



Abuhasaanadam
25 Januari 2013

Thursday, January 24, 2013

ELAKKAN MEMILIH CALON JAHILIAH


ELAKKAN MEMILIH CALON JAHILIAH

Besok hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Maulidul Rasu. Hari cuti umum. Orang Islam nak merayakan hari kelahiran Nabi besar kita. Bukan macam menyambut ‘ Birthday’ yang selalu dibuat di Malaysia tu. Ada cake. Ada tiup lilin. Para jemputan  datang bawa hadiah. Dan kalau dari golongan berada pula, diadakan pula majlis tari menari. Minum arak sampai mabuk. Yang aku gambarkan ni  ialah tentang sudah ada orang Islam yang buat perkara seperti ini.

Menyambut kelahiran Nabi Muhammad bukan begitu.

Tulisan aku bukan untuk mengajar cara mana menyambut kelahiran itu. Hal itu serah pada ustaz dan guru agama. Yang aku hendak tuliskan ialah mengenai bagaimana aku mengenal Nabi Muhammad melalui guru agamaku ketika kecil-kecil dulu. Haji Sulaiman namanya. Kami di kampung panggil dia “Pak Haji’.  Nama Sulaiman tak payah sebut. Semua orang tahu. Sebab. Pada ketika itu dia seorang sahaja dalam kampung kami tu yang ber ‘title’ Pak Haji.

( Aku doakan agar roh Pak Haji Sulaiman diletakkan bersama-sama dengan orang yang beriman. Amin….)

Aku masih ingat  pada suatu malam ( masa mengaji)  di rumah Pak Haji. Siang-siang pergi sekolah Melayu. Sebelah malam mengaji Quraan. Suatu malam Pak Haji kata, “ Nabi Muhammad memiliki empat sifat terpuji yang utama, ia itu siddiq, amanah, tabliq dan fatanah”. Ingat, kata Pak Haji. Aku ingat sampai sekarang. Tetapi pada waktu itu aku tak tahu apa  ‘ biji buahnya’ makna dan maksudnya. Tapi aku boleh hafal. Ketika itu baru berumur tujuh tahun. Darjah Dua. Manalah nak tahu semua tu. Aku dapat hafal semua tu, supaya cepat pulang ke rumah. Pada ketika itu sebagai satu syarat, ‘kuliah’ mengaji di rumah Pak Haji diakhiri dengan ‘quiz’. Siapa dapat jawab, dia pulang awal.

Hari ini seluruh dunia merayakan kelahiran junjungan besar kita. Di Malaysia ada perarakan besar. Secara ‘live’. Yang menyerang benak aku ialah berapa orangkah diantara yang beribu-ribu tu yang betul-betul mengikuti sifat terpuji Nabi Muhammad seperti mana yang disarankan oleh Pak Haji.

Misalnya sifat siddiq. Maknanya berkata benar. Maksudnya Nabi Muhammad tidak pernah berbohong. Apakah kita dapat menepati sifat ‘tidak berbohong’ ini. Berdasarkan pemerhatian aku, sifat suka berbohong sudah menjadi amalan para pemimpin kita di Malaysia.  Tak kiralah pemimpin apa pun, asalkan pemimpin. Pemimpin politik ke, pegawai kerajaan ke, CEO bank ke. Tak kiralah. Bukanlah semua. Tetapi kebanyakannya tidak segan silu untuk tidak bercakap benar. Kadang-kadang dengan wajah ‘selamba’ sahaja setengah pemimpin itu berbohong dikhalayk ramai. Apakah ini cara yang diajar oleh Nabi Muhammad?

Selangkah lagi ialah  bukan setakat berbohong tetapi memfitnah, mengaibkan orang lain. Perakara yang tidak ada diada-adakan. Direka-reka cerita semata-mata untuk mengaibkan orang lain. Nabi Muhammad tidak mengajar begitu. Dan yang anihnya ialah  inilah golongan yang ramai berarak menyertai perarakan menyambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pak Haji kata, sifat terpuji Nabi Muhammad lagi ialah ‘ amanah’. Maksudnya dipercayai. Sebab itulah Nabi Muhammad semasa kecilnya digelar ‘ Al Amin’. Orang yang boleh dipercayai. Dalam hal ini tentulah ramai juga yang mepersoalkan berapa ramaikah anatara pemimpin kita yang boleh dipercayai. Ramai. Tetapi ramai juga yang tidak boleh dipercayai. Walaupun ada yang menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh jujur ikhlas, tetapi ramai juga yang tidak amanah. Menerima rasuah. Tidak menjalankan tugas dengan betul. Pecah amanah.

Seolah-olah sudah menjadi lumrah di Malaysia sekiranya seseorang yang memegang kuasa itu tidak mengumpul harta ketika berkuasa, tidak memakmurkan kaum keluarga semasa memegang kuasa dianggap sebagai seseorang yang tidak berapa cerdik. Walaupun anggapan sedemikian bertentangan dengan ajaran Islam, namun disebabkan perasaan tamak dan haloba ini segala larangan ini dilanggar tanpa segan silu. “ kalau orang lain boleh buat mengapa aku tak boleh buat’ pegangan dan falsafahnya. Falsafah ‘ menelungkup’ namanya

Lihat sahajalah kes-kes rasuah dan pecah amanah yang berlaku dilakalangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Bermaharajalela. Olehkerana ‘ si perompak’ tahu cara melepaskan diri , maka tidak ramailah yang tertangkap. Tetapi kita tidak boleh ukur dari segi itu. Rakyat umum tahu bahawa kes-kes rasuah dan pecah amanah berleluasa. Rakyat tahu kerana rakyat ‘melihat’ dengan mata kepala kegiatan rasuah dan pecah amanah itu berlaku.

Oleh itu apakah kita tidak merasa ‘ malu’ dan ‘segan silu’ kepada Nabi Muhammad s.a.w. Setiap tahun kita sambut kelahiranya. Eloklah. Baguslah. Tetapi apakah kita tidak segan silu yang kita tidak langsung mengikuti sifat terpujinya dan  apa yang disarankannya. Apakah perarakan yang kita sertai itu hanya satu pesta-pestaan seperti mana kita menyambut Hari kemerdekaan negara atau pesta ‘Tahun menyambut Malaysia’ atau pesta-pesta yang dianjurkan oleh anak muda di Dataran Merdeka.

Pilihan raya umum yang ke 13 akan diadakan tidak lama lagi. Sesuailah agaknya sekiranya  keperibadian Nabi Muhammad dijadikan asas bagi kita memilih pemimpin yang akan menjadi wakil rakyat kita samada di peringkat negeri atau di peringkat parlimen disamping memilih parti mana yang kita kehendaki.  Mengasaskan pemilihan kepada sifat terpuji Nabi Muhammad sebagai criteria memilih calon bukan terhad kepada calon beragama Islam sahaja. Untuk calon bukan Islam juga kita gunakan kayu ukur keperibadian terpuji Nabi Muhammad juga.

Aku fikir golongan bukan Islam juga bersetuju. Apakah sifat baik dan terpuji itu akan ditentang? Semua agama dunia menganjurkan agar penganutnya bersikap mulia dan terpuji. Tidak pernah aku dengar lagi ada agama lain di dunia ini yang menganjurkan penganutnya agar sentiasa bercakap bohong dan memfitnah orang. Tidak pernah aku dengar ada agama dunia yang menyarankan agar penganutnya mencuri dan membunuh orang dan sentiasa melakukan zina. Tidak ada. Melainkan manusia pada zaman Jahiliah. Dengan demikian tidak salahlah sifat terpuji Nabi Muhammad itu dijadikan asas kita untuk memilih calon dalam Pilihan Raya ke 13.

Elakkan memilih calon ‘ Jahiliah’


Abuhassanadam
23 Januari 2013

Wednesday, January 23, 2013

JUS SOLI


JUS SOLI

Saya terpanggil lagi untuk memberikan pandangan mengenai isu kerakyatan yang sedang hangat diperbincangkan sekarang. Membincangkan mengenai kerakyatan, pastinya kita tidak dapat lari dari membincangkan mengenai kerakyatan Jus Soli.

“ Satu isu hangat ialah kerakyatan jus soli. Kerakyatan ini yang menjadi tuntutan orang dagang tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Ini adalah kerana prinsip kerakyatan jus soli memberikan hak sama rata kepada semua kaum dan ini dianggap boleh melemahkan lagi kedudukan orang Melayu. Namun selepas beberapa rundingan dibuat, Raja-Raja Melayu telah menerima kerakyatan jus soli dengan syarat orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan tolak ansur ini satu pakatan murni antara kaum telah terbina di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Perkara lain yang telah dipersetujui termasuklah agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Tanah Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan’ Buku Teks Sejarah Tingkatan Lima untuk sekolah-sekolah menengah di Malaysia ada menyatakan  pada muka surat 126 perenggan akhir,

Memang sudah begitu cantik dan kemas susun ayat yang terkandung dalam ‘sosial kontrak’ yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu dengan pemimpin-pemimpin Melayu, Cina dan India. Akhirnya semua setuju untuk menyelesaikan masalah yang paling rumit ketika itu – kerakyatan Jus Soli.

Isu kerakyatan Jus Soli merupakan isu ‘ duri dalam daging’ yang perlu diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin kaum sekiranya kemerdekaan negara hendak dicapai. British masih bertegas bahawa sekiranya ketiga-tiga kaum tidak bersatu hati dan tidak sepakat mereka tidak akan memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Dan kemungkinan British meletakkan syarat berkenaan dengan harapan isu kerakyatan ini tidak akan dapat diselesaikan oleh kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu ketika itu. Mungkin British juga  merasakan bahawa isu perpaduan kaum terbesar ini tidak akan dapat tercapai memandangkan British telah pun berjaya menjalankan dasar ‘ pecah dan perintahnya’.

Orang Melayu ‘ bermati-matian ‘ mempertahankan agar kerakyatan Jus Soli tidak diterima. Orang Melayu tentunya tidak dengan senang menyerahkan kerakyatan kepada orang asing, kaum pendatang ia itu orang Cina dan India. Mereka merasakan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan negara ini kerana Tanah Melayu adalah negara mereka. Takkanlah negara yang mereka punya hendak diserahkan kepada orang asing. Apatah lagi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand tidak memberikan kerakyatan kepada orang lain – orang Cina misalnya.

Pemimpin ketiga-tiga kaum ketika itu betul-betul dalam dilemma. Hendak ditelan mati emak dan jika diluah mati bapak. Apakah cara mereka hendak menyelesaikan isu yang rumit ini.

Keadaan episode sejarah inilah yang perlu betul-betul difahami oleh anak cucu kita kemudian hari. Samada Melayu, Cina atau India. Mereka kena betul-betul faham dan dapat menggambarkan suasana keadaan itu yang amat memerlukan pemimpin kita membuat keputusan yang tepat dan jitu.

·      Negara perlu dimerdekakan.
·      British meletakkan syarat yang ketiga-tiga kaum mesti bersatu dan bersetuju sebelum diberikan kemerdekaan.
·      Orang Melayu membangkang keras pemberian kerakyatan kepada  orang bukan Melayu.
·      Orang asing – Cina dan India mengharapkan mereka diberikan kerakyatan dengan beberapa alasan yang kukuh

Di sinilah letaknya perasaan keikhlasan para pemimpin kita  yang tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah kemerdekaan negara. Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan adalah tokoh-tokoh negara yang tidak harus dilupakan jasa mereka oleh anak cucu kita terhadap perjuangan memerdekakan negara.

Diatas semangat keikhlasan juga mereka dapat menyelesaikan masalah yang begitu rumit untuk diselesaikan. Masing-masing mungkin memikirkan tentang kesejahteraan bangsa mengatasi segala-galanya dalam menyampaikan kata sepakat mereka. Lantas terhasllah kontrak sosial yang amat penting yang kita patuhi sampai hari ini.

·      Raja-Raja Melayu menerima kerakyatan Jus Soli.
·      orang bukan Melayu pula mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
·      Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Tanah Melayu dan
·      Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Semenjak zaman awal menuntut kemerdekaan negara, syarat-syarat ini telah dipersetujui oleh ketiga-tiga kaum yang terbesar di negara ini. Tidak pernah dipersoalkan secara terbuka. Walaupun pada mulanya ada sungutan dan perasaan ketidakpuasan hati tentang persetujuan  itu namun setelah beberapa lama setiap kaum saling memahami tentang kepentingan kontrek sosial itu. Setiap kaum akur dan memahami mengapa syarat-syarat itu perlu dipatuhi.

Oleh itu tidak harus ada sesiapa pun yang cuba mempersoal dan menggugat kontrek sosial yang telah termetrai itu. Dengan sebab itulah apabila ada suara-suara sumbang yang meminta dikaji semula kerakyatan yang telah dipersetujui, maka rakyat dari semua kaum dan yang berlainan fahaman politik turut menentangnya. Inilah semangat bangsa Malaysia yang tulin.

Abuhassanadam
23 Januari 2013