Wednesday, April 30, 2014

CATUAN AIR DI LARUT (TAIPING) – TAK PELIK KE?

Aku tidak mahu hendak menyalahkan mana-mana pihak yang menyebabkan paip (pili kata orang Perak) kekeringan air. Yang pentingnya air bersih mesti mengalir dalam pili. Syabas ke yang bersalah atau kerajaan negeri Selangor ke yang bersalah---itu kira kemudian. Itu pendapat ramai orang. Agak berbeza dengan sikap TV arus perdana milik kerajaan yang sentiasa menyalahkan kerajaan negeri Selangor yang menyebabkan berlakunya catuan air. Kadang-kadang seolah-olah media arus perdana seperti ‘buta perut’ pula apabila tidak langsung menyentuh kelemahan kerajaan negeri Perak yang menyebabkan berlakunya catuan air di Taiping.Mengapa kerajaan negeri Perak tidak dipersalahkan?

Bagi aku ketiadaan air dan berlakunya catuan air di Taiping merupakan sesuatu yang luar biasa. Menghairan dan menakjubkan. Luar biasa. Pelik. Seingat akulah, yang pernah juga tinggal di Taiping buat beberapa ketika, tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah yang Taiping ketiadaan air. Taiping terkenal di seluruh Malaysia kerana hujannya. Taiping merupakan salah sebuah tempat di Malaysia yang paling banyak menerima hujan. Kini di Taiping telah berlaku kekurangan air. Tentulah pelik benar bunyinya. Tetapi bagi media arus perdana yang sentiasa menyokong tindakan kerajaan, tidak pula berasa pelik apabila Bukit Larut yang mendapat taburan hujan 4000mm setahun terpaksa mengadakan catuan air di Larut, Taiping. Rakyat tidak hairan sekiranya Menteri Besar Negeri Sembilan mengadakan catuan air di Jelebu dan Kuala Pilah. Sememangnya dua kawasan berkenaan sentiasa mendapat taburan hujan yang amat kurang di Malaysia.

Zaman dulu-dulu, sebelum pili ‘masuk’ ke kampung aku, hampir setiap tahun kampung kami menghadapi musim kemarau,  musim air telaga kekeringan, musim daun getah bergguguran, musim menimba kolam yang hampir kekeringan untuk menangkap ikan. Kesulitan yang sebegini biasanya melanda kampung kami setahun sekali dan penduduk kampung akan menhadapnya dengan tabah. Kehendak Tuhan. Itulah jawapan yang paling menenangkan hati siapa yang merasakan. Tidak pula ada yang menyalahkan kerajaan atau pemerintah yang menyebabkan keadaan terjadi demikian. Dan tidak pula ada usaha pihak pemerintah untuk meringankan bebanan rakyat di luar bandar dengan menghantar lori tangki berisi air kepada penduduk kampung misalnya. Tidak ada. Terpulanglah kepada ‘kebijaksanaan’ orang kampung untuk ‘menyelamatkan’ diri dari kehausan. Dan tidak pula ada yang meninggal disebabkan ketiadaan air pada musim kemarau.

Rakyat miskin di luar bandar ketika itu terpaksa berusaha sendiri untuk mendapatkan air. Aku masih ingat bagaimana penduduk di kampung aku terpaksa berjalan berbatu-batu untuk ke sungai Ulu Kangsar ataupun ke Batu Hampar di Paya Lintah untuk mandi manda pada musim kemarau. Dan aku masih ingat bagaimana kebanyakan sungai kecil di kampung aku kekeringan. Dan aku masih ingat bagaimana telaga yang menjadi punca air minuman juga kekeringan.

Rupa-rupanya derita awal 1960an dulu masih terus melanda kehidupan kini pada awal Kurun ke 21. Aku masih terus menderita disebabkan ketiadaan air pada zaman ini. Bukan di kampung tetapi di bandaraya Kuala Lumpur. Aku terpaksa menghadapi kehidupan catuan air di sebuah bandar moden pada zaman global. Yang agak melegakan ialah aku tidak perlu berjalan berbatu-batu untuk mendapatkan air. Namun aku terpaksa juga berkereta untuk ke pasar-pasar Raya bagi mendapatkan air bersih untuk menampung kekurangan air yang kadang-kadang tidak mencukupi.

Kisah penderitaan rakyat marhaen seperti yang aku alami tidak dirasakan oleh rakyat Malaysia yang tinggal di Putrajaya dimana bekalan air melimpah ruah (agaknya) sehinggakan dapat menampung air untuk memenuhi sebuah tasik. Alangkah bahagianya mereka yang tinggal di kawasan Putrajaya dimana kebajikan mereka yang selalu dijaga dan diambil perhatian berbanding dengan rakyat marhaen seperti kami yang tinggal di rumah-rumah pangsa dan kawasan-kawaan yang dihuni oleh rakyat miskin walaupun bertaraf Bumputera dan selalu digelarkan sebagai ‘Melayu’.

Nampaknya Melayu yang tinggal di kawasan miskin di bandar-bandar tidak begitu dipedulikan apabila ketiadaan air. Orang Melayu di kawasan ini hanya diambil berat dan dipedulikan apabila sampai masa dan saat ketikanya ketika kami diperlukan untuk mengundi pada setiap pilihan raya. Malangnya bagi Melayu yang tinggal di kawasan berkenaan ialah tidak pula ada pilihanraya umum atau pilihan raya kecil pada ketika ini. Mungkin agaknya sekiranya ada pilihan raya kecil diadakan pada ketika ini tidak akan berlakulah catuan air seperti yang ada sekarang. Mungkin begitu agaknya……

abuhassanadam

30 April 2014

Tuesday, April 29, 2014

LAWATAN BARACK OBAMA : MEMINTA PADA YANG ADA, MERAYU PADA YANG SUDI

Seolah-olah kedatangan Presiden Barack Obama adalah seperti kehadiran seorang bapa yang mahu mendengar berbagai-bagai luahan dari anak-anak mengenai berbagai perkara yang menyentuh kehidupan harian. Tentulah beliau agak berhati-hati untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, takut-takut akan menyentuh dan melukakan hati sesiapa yang mendengarnya. Namun tentulah agak sukar untuk ‘mengambil hati ‘ semua orang dan kepentingan diri ( Amerika Syarikat) harus diutamakan juga. Kepentingan politik dan ekonomi Amerika harus diambilkira agar tindakannya ‘ular biar mati dan tanah tidak lebam’. Dan jikalau menarik rambut dalam tepung, seharusnya tepung tidak berselerak’.

Bagi  DS Najib, kedatangan Barack Obama ke Malaysia tentulah pada perkiraannya akan menaikkan imej Malaysia dan dirinya juga di mata dunia. Itulah yang diharapkannya. Telah ‘riuh-rendah’lah media arus perdana di Malaysia mewar-warkan tentang kehadiran Presiden Amerika itu setelah berpuluh-puluh tahun tidak didatangi oleh ‘orang besar’ dari Amerika itu. Yang terakhir adalah lawatan Presiden Lyndon B.Johnson, lebih kurang setengah abad yang lalu.

Jadi kedatangan Barack Obama diharapkannya akan memberikan erti yang besar kepada penonjolan imej Malaysia. Dan bagi Obama pula tentunya mengharapkan sesuatu daripada Malaysia terutamanya yang berkaitan dengan TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik). Mungkin!

Dalam bulan Disember 2010, Amerika Syarikat bersungguh-sungguh benar memujuk dan merayu Korea Selatan agar menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Dan jawapan yang diberikan oleh Seoul pada ketika itu ialah ‘ tunggu dulu’ dan hanya akan memberikan jawapannya setelah mengakji buruk baiknya menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) itu. 

Ramai yang mengatakan bahawa ada agenda tersembunyi yang menyebabkan Amerika Syarikat bersungguh benar meralisasikan TPPA ini. Antaranya ialah hasrat Amerika Syarikat untuk menyekat kemaraan China dari segi ekonomi dan dengan demikian mengekalkan penguasaan Amerika Syarikat di rantau ini. Jepun pun pada mulanya teragak-agak untk menyertai bloc TPPA apabila memikirkan tentang nasib industri pertanian mereka. Begitu juga dengan Canada yang tidak dapat terlepas dari kebimbangan demikian. Maknanya sekiranya mereka menyertai bloc ini mereka terpaksa membenarkan kemasukan import barangan pertanian dari luar yang berkemunginan membahayakan juga industri pertanian mereka.

Apakah Malaysia tidak merasa bimbang dan ragu dengan penyertaan negara kita dalam pakatan ini. Sudahkah para pemimpin negara membuat perhitungan dan pertimbangan yang teliti mengenai penyertaan Malaysia itu. Apakah sememangnya cara Malaysia tidak berfikir panjang apabila mengambil sesuatu keputusan yang membabitkan negara. Ataupun para pemimpin Malaysia tidak begitu peduli tentang baik buruk sesuatu tindakan mereka terhadap kepentingan negara. Mungkin tidak sedemikian…

Lawatan Obama ke Malaysia kali ini menampakkan ada perkara yang tidak berapa ‘kena’ kepada beberapa kumpulan yang merasakan bahawa Obama sudah mula campurtangan dalam hal ehwal Malaysia. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Malaysiakini bertarikh 28 April 2014, ‘Presiden NGO pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali menolak kenyataan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bahawa bukan Islam di negara ini perlu diberi peluang yang sama demi kemajuan.Ini kerana, katanya, sebahagian besar ekonomi Malaysia dikuasai bukan Islam.

Kemudian DS Dr. Zahid Hamidi pula berkata bahawa kerjaan Malaysia telah bertindak adil kepada semua agama. Beliau menambah,’ "Saya tidak fikir terdapat halangan kepada sesiapa sahaja untuk mempraktikkan agama mereka.
"Kamu perlu menghormati agama lain, sebelum mereka memberi penghormatan kepada kita,".

Mengenai kenyataan Dato Ibrahim Ali yang kenyataan Obama itu menambahkan ketegangan antara kaum di Malaysia adalah merupakan tohmahan yang agak keterlaluan. Bagi aku timbul ‘pertentangan’ ini adalah berpunca daripada dua budaya yang berbeza. Bagi Presiden Obama kenyataannya itu berdasarkan kepada beberapa ‘feedback’ yang diterimanya dan juga berasaskan kepada persepsinya sendiri. Lantas dilhirkannya apa yang dirasakan kerana negara Amerika mengamalkan kebebasan bersuara. Di Amerika Syarikat, rakyatnya bukan sahaja bebas untuk mengkritik Presiden tetapi juga dasar-dasar yang akan dan yang telah diperkenalkan oleh Presiden.

Obama tidak dapat memuaskan hati semua pihak ketika lawatanya ke negara ini. Sebagai seorang negarawan dari sebuah negara besar yang berpengaruh beliau terpaksa juga melayan dan mendengar sungutan dan rungutan berbagai-bagai pihak. Lantas pertemuannya dengan beberapa NGO dan belia-belia dari negara ASEAN  adalah langkah beliau untuk ‘mendengar’ dan ‘menimba’ apa saja rungutan yang disuarakan.

Apabila beliau bertemu dengan anggota masyarakat sivil di Malaysia pastinya mereka memberitahu perkara sebenar yang berlaku dalam pertemuan sejam dengan Presiden Amerika Syarikat itu. Misalnya pemimpin kumpulan hak asasi manusia Hakam Datuk S Ambiga, antara yang hadir dalam pertemuan itu, berkongsi dengan Malaysiakini apa yang dibincangkan dalam sesi bersejarah itu. “Antara isu (dibangkitkan) berhubung politik perpecahan, ekstremisme kaum dan agama, diskriminasi, autoritarianisme kerajaan melalui undang-undang yang menindas, pilihan raya bebas dan adil serta keluhuran perlembagaan...,” katanya. Juga diketengahkan oleh mereka ialah isu yang berhubung dengan pendakwaan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendakwaan terhadap pembangkang atas alasan hasutan dan Akta Perhimpunan  aman. (petikan dari Malaysiakini)

Aku melihat kedatangan dan lawatan Obama ini adalah sebagai kunjungan seorang ‘bapa’ untuk berjumpa dengan ‘anak-anak’. Bagi ‘anak-anak’ yang sentiasa dipinggir dan ‘dianak-tirikan’, pertemuan ini merupakan peluang keemasan untuk mengadu dan menjelaskan ’nasib malang’ yang menimpa diri. Di dalam negara ini seolah-olah tidak ada lagi tempat untuk mengadu dan hampir kesemua ruang untuk mengadu tertutup. Dan hanya kepada Obama sajalah lagi ruang yang ada untuk mengadu dan memohon pertolongan. Itu pun sekiranya beliau sudi menolong dan membantu.

abuhassanadam
29 April 2014


Friday, April 25, 2014

PEMIMPIN KITA MASIH  BERTARAF ‘MEDIOCRE’

Agaknya disebabkan dek terlampau selalu sangat tidak bercakap benar dengan penduduk kampung yang kurang cerdik telah menyebabkan ada terdapat pemimpin peringkat kebangsaan ‘terbawa-bawa’ untuk bercakap dalam nada yang serupa dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang terserlah kecerdikan dan kepintaran mereka. Lantas dapat dilihat bahawa segala hujah yang mereka gunakan untuk berhujah dengan para pemimpin Pakatan Rakyat yang ‘competent’ dapat dipatahkan dan kadang-kadang kelihatan  ‘menikam diri sendiri’.

Kita memerlukan pemimpin yang ‘competent’ dan bukan bertaraf ‘mediocre’ yang hanya pandai ‘berborak’, ‘bersembang’,’mengelentong’ dan hanya layak mendapat gelaran sebagai ‘loyar buruk’ sebagaimana yang dipamerkan oleh setengah ‘pemimpin’ yang kononnya ‘berbahas’ di parlimen. Kita memerlukan pemimpin yang bukan bertaraf pemimpin ‘kedai kopi’ yang lebih mirip kepada ‘tin kosong’ yang hanya pandai menghasilkan ‘bunyi’ yang nyaring tanpa ‘isi’. Dan kita juga memerlukan pemimpin yang bukan hanya pandai ‘mengelentong’ rakyat di persidangan parti misalnya atau pun hanya pandai mengeluarkan hujah di hadapan rakyat yang masih berada  ‘dibawah tempurung’.

Pemimpin kebangsaan yang kita perlukan adalah yang boleh ‘bersepak terajang’ di arena antarabangsa. Kita memerlukan pemimpin kerajaan yang boleh menguasai sesuatu persidangan antarabangsa di mana fikiranya sentiasa dirujuk mengenai sesuatu perkara. Rakyat tidak berbangga sekiranya seseorang pemimpin kerajaan dapat ditemuramah oleh media antarabangsa disebabkan lobi dan ‘public relations’ yang diusahakan oleh sesebuah syarikat PR yang digaji. Itu tidak langsung membanggakan rakyat. Dan pemimpin sedemikian dikira belum layak untuk dikira sebagai pemimpin  negara.

Sudah lebih setengah abad negara kita mencapai kemerdekaan. Aku tidak menafikan yang kita telah membuat perubahan dan telah dipandang agak tinggi oleh negara luar beberapa ketika dulu. Tetapi kini aku merasakan kita sedang berundur ke belakang. Aku sedar bahawa negara pernah begitu laju ‘meluru’ kehadapan dalam tahun-tahun 1980an dan 1990an, sehingga negara Malaysia mendapat jolokan sebagai antara ‘harimau’ Asia yang sedang muncul. Sampai begitu sekali anggapan setengah masyarakat dunia kepada negara ini melihatkan kerancakan ekonomi Malaysia pada ketika itu.

Anak-anak Malaysia yang berada di luar negara pada tahun-tahun 1990an merasa begitu bangga sekali menjadi putera-puteri Malaysia. Di mana saja kita pergi nama Malaysia begitu harum dan sentiasa disanjung, dipuja dan di puji. Tetapi kini aku merasa sangsi dengan keadaan sedemikian. Apabila membaca akhbar-akhbar dan majalah luar negara, terlalu ‘terkebelakang’ rasanya keadaan negara kita berbanding dengan negara-negara lain di Asia.

Misalnya yang agak menyedihkan kita ialah tentang keputusan PISA  (Program for International Student Assessment )adalah ujian untuk menguji kebolehan pelajar-pelajar yang berumur sekitar 15 dan 16 tahun dikalangan negara-negara OECD (Organization for Economic Coperation and Development) dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan.

Jelas menunjukkan bahawa negara-negara Asia seperti Shanghai, Hong Kong, Singapore, Japan, Korea Selatan telah begitu maju dari segi pencapaian mereka dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Pembacaan. Malah telah dikatakan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di negara-negara Asia berkenaan adalah tiga tahun terkehadapan berbanding dengan negara-negara lain yang mundur termasuklah Malaysia. Maknanya negara kita terkebelakang lima tahun berbanding dengan negara-negara yang menduduki tempat yang ke 20 teratas.

Berbagai ‘blueprint’ telah dibentangkan untuk memajukan pelajaran negara kita dan berbilion ringgit dibelanjakan untuk memajukan pendidikan negara ini tetapi mengapa keadaan kita masih mundur berbanding dengan negara-negara jiran yang lain. Berbanding dengan Vietnam sekali pun kita masih mundur. Jangankan kita mahu menandingi negara-negara China, Hong Kong, Singapore, Jepun dan lain-lain.

Berasaskan keadaan sebegini apakah pemimpin kerajaan kita sedar bahawa negara kita terkebelakng dari segi pencapaian dalam bidang pendidikan. Sekiranya dalam lapangan pendidikan kita berada di belakang, maknanya kita akan terus berada di belakang untuk tahun-tahun selepas ini. Dan berkemungkinan kita akan kehilangan satu generasi.

Dan kita akan terus menerus melahirkan pemimpin yang hanya bertaraf ‘mediocre’. Keadaan ini amat menakutkan……

abuhassanadam
25 April 2014



Thursday, April 24, 2014

GASINGNYA TERBELAH SEBELUM KE GELANGGANG

Sampai kini aku masih teringat dan terbayang-bayang di mata peristiwa gasing Isa belah ( orang Perak kata ‘sompek’ ) sebelum ‘masuk gelanggang’. Aku masih terbayang juga linangan air mata Isa ketika melihat gasingnya ‘sompek’.

Atuk aku (Puteh Ibrahim namanya) semangnya pandai buat gasing. Apabila sampai musim bermain gasing di kampung aku, maka Atuk akan sibuk membuat gasing untuk kawan-kawan aku. Hampir seluruh anak kampung akan meminta pertolongan Atuk. Percuma. Tidak ada upah walau satu sen pun. Dan Atuk pula seolah-olah begitu bahagia apabila dapat menolong membuatkan gasing kawan-kawan aku. ‘Bayarannya’ hanya ucapan terima kasih kepada Atuk.

Rupa-rupanya jasa baik Atuk itu dibalas juga. Bukan dengan wang ringgit tetapi dengan penghormatan yang diberikan oleh kawan-kawan aku apabila Atuk menghembuskan nafas terakhirnya. Hampir seratus peratus anak-anak dan cucu-cucu dari kampung itu hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Atuk aku. Dan ramai yang menyebut-nyebut tentang jasa dan sumbangan ‘Tokki Teh’ (gelaran untuk Atuk aku) kerana membuatkan gasing untuk mereka ketika mereka masih kanak-kanak. Seolah-olah mereka menyatakan bahawa ‘jasamu dikenang’. Walaupun sumbangan Atuk aku hanya membuat sebiji gasing untuk anak-anak, namun seolah-olah telah memberikan kebahagiaan dan keseronokan yang bukan kecil kepada anak-anak di kampung itu.

Apa tidaknya. Pada ketika itu (1950an) belum ada lagi terjual gasing yang sudah siap untuk dibeli. Belum ada. Di seluruh pekan Padang Rengas tidak ada lagi kedai yang menjual gasing yang sudah siap diukir. Kedai Kecik tidak ada dijual. Kedai Gemuk pun tidak ada. Kedai Moh Koh, Kim Cheng, Ah Yu belum lagi menjual gasing seperti kini dimana anak-anak boleh membeli gasing yang terjual di kedai.

Bertuahnya kanak-kanak zaman itu ialah hampir setiap kampung  ‘wujud’ sekurang-kurang seorang pengukir gasing yang sedia memberikan ‘sumbangan percuma’ kepada kanak-kanak di persekitaran. Sekurang-kurangnya seorang pengukir. Kadang-kadang wujud dua atau tiga orang.Yang anihnya si pengukir sanggup melakukan tugasnya tanpa bayaran. Memang betullah sifat orang Melayu pada ketika itu yang mementingkan budi dan bahasa melebihi segala-galanya pada ketika itu. Walaupun mereka miskin tetapi budi dan bahasa tetap menjadi sanjungan. Malangnya sifat sedemikian sudah hampir tidak ada lagi. Lenyap ditelan zaman.

Kayu yang digunakan untuk membuat gasing biasanya dari  dahan pokok Limau atau Petai Jawa. Mungkin juga boleh diperbuat daripada kayu jenis lain. Kebiasaannya di kampung aku kami menggunakan  kayu dari dahan  Limau dan Petai Jawa sahaja. Tahan. Liat. Tidak mudah pecah berbanding dengan kayu jenis lain. Itu kata Atuk aku dan juga kata ‘ahli’ gasing di kampung aku. Tokki Amat pun kata begitu. Pak Lop juga kata begitu. Tokki Palit pun berkata demikian. Ini sudah merupakan satu ‘consensus’. Tidak boleh dipertikaikan lagi….

‘Gelanggang’ tempat kami bermain pada ketika itu ialah di halaman Tokki Din. Halaman rumahnya agak luas. Ada dua pohon jambu air yang memberikan teduhan kepada kami ketika bermain gasing. Lagipun tanahnya juga keras. Lantas tidaklah terbenam paku gasing ke dalam tanah apabila memangkah. Sesuai benar untuk dijadikan halaman bermain gasing. Dan sekiranya terasa dahaga, telah tersedia buah-buah jambu untuk dipetik ( sekiranya musim permainan gasing jatuh kepada musim jambu berbuah). Tokki Din tidak pula melarang kanak-kanak memetik buah jambunya, malah beliau sendiri menolong kami memetik buah jambunya. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Pukul 2.00 petang biasanya, kami mula berkumpul di halaman Tokki Din. Hampir seluruh kanak-kanak yang sebaya dengan aku hadir. Ngah, Bahari, Zainun, Hamid, Isa dan ramai lagi rakan-rakan sebaya dengan aku berada di situ. Masing-masing memiliki sekurang-kurangnya sebiji gasing. Dan pastinya paku gasing masing-masing sudah di asah dengan tajam. Cukup tajam. Dan paku gasing berkenaan akan berperanan untuk ‘menyomepkkan’ atau terus membelah gasing lawan. Ibarat seperti taji seekor ayam jantan yang berperanan untuk mencedera atau membunuh terus lawannya.

Garisan bulat telah ‘dilukis’ di atas tanah yang keras di halaman rumah Tokki Din. Bulatan ini merupakan gelanggang di mana permainan gasing-gasing akan ‘berpencak’ untuk menewaskan gasing lawan. Ini merupakan pertandingan ‘hidup mati’ dan bukan pertandingan ‘gasing siapa yang lama berpusing’ seperti yang diadakan di kebanyakan tempat. Ini pertandingan lain dari yang lain. Perlawanan ‘hidup mati’.

Lapan orang akan bermain. Empat orang satu pasukan. Empat gasing akan berada didalam bulatan dan empat lagi akan memangkah (memukul gasing yang dalam bulatan). Mengikut giliran dengan cara ‘mengundi’ seperti mana yang dilakukan oleh pengadil bola sepak. Menggunakan tutup botol air lemonade yang dibeli dari kedai Tokki Jawi.

Nasib tidak menyebelahi kumpulan aku. Kumpulan aku ditakdirkan berada dalam gelanggan terlebih dahulu. Oleh itu aku, Isa, Bahari dan Noh meletakkan gasing di dalam gelanggang untuk dipangkah oleh ‘lawan’. Zainun memulakan ‘serangan’nya. Gasing Zainun sememangnya tajam pakunya. Boleh dikatakan kebanyakan masanya digunakan untuk mengasah paku gasingnya. Tidak hairanlah dengan sekali pangkah sahaja terus mengena kepada gasing Isa. Tepat pada sasaran.

‘Luka’ yang terkena kepada gasing Isa memang ‘parah’. Hampir belah. ‘Sompek’nya terlalu besar untuk meneruskan pertandingan. Isa belum lagi mencuba gasingnya di mana-mana pertandingan. Gasing Isa masih baru diukir oleh Atuk aku. Kayu Limau. Sepatutnya kayu Limau itu liat tetapi oleh kerana paku gasing Zanun begitu tajam tidak dapat ‘dideritai’ oleh gasing Isa. Gasing Isa sememangnya tidak dapat digunakan lagi.

Aku tidak dapat membayangkan kesedihan Isa. Aku nampak matanya berair. Itu gasing kesayangannya hasil tangan Atuk aku menggunakan kayu Limau yang berada di hadapan rumah aku. Aku cuba memujuk Isa dengan kata-kata harapan yang Atuk aku akan membuat gasing baru untuknya.

abuhassanadam
24 April 2014