Wednesday, April 16, 2014

PEMIMPIN MALAYSIA SEOLAH-OLAH ‘BERTUHANKAN’  KONSEP ‘REALPOLITIK’

Merenung kembali keadaan pentadbiran dan pemerintahan negara di bawah Barisan Nasional teringat aku kepada beberapa tindakan yang dilakukan oleh setengah pemimpin dunia yang langsung tidak mempedulikan tentang kewujudan undang-undang yang mengawal sesebuah negara itu. Mereka memerintah negara seolah-olah negara itu milik bapak mereka. Mereka tidak mepedulikan apa orang lain kata. Mereka terus menerus memegang fahaman bahawa ‘jika anjing menyalak gunung pastinya gunung tidak runtuh’. Mereka lupa bahawa ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah juga jatuhnya’.

Lantas teringat pula aku kepada konsep Realpolitik. “Realpolitik is distinct from ideological politics in that it is not dictated by a fixed set of rules, but instead tends to be goal-oriented, limited only by practical exigencies. Since Realpolitik is ordered toward the most practical means of securing national interests, it can often entail compromising on ideological principles’ Wikipedia.

 Maknanya konsep Realpolitik itu berpegang kepada ‘matlamat menghalalkan cara’. Ini merupakan amalan politik yang pernah diketengahkan oleh pemikir agung dunia Noccolo Machiavelli melalui bukunya ‘The Prince’. Ringkasnya bahawa Realpolitik adalah apa juga cara yang digunakan,yang boleh mewajarkan apa saja tindakan seperti tipu helah, kekerasan bersenjata dan peperangan untuk mencapai sesuatu matlamat. Tentulah konsep ini ditujukan kepada gelagat atau tindakan setengah pemimpin. Dan amat rapat hubungannya dengan pemerintahan secara diktator.

Sejarah menunjukkan bahawa konsep Realpolitik pernah diamalkan oleh Count Camillo Benson di Cavour untuk menyatukan negeri-negeri di Itali dan Otto Eduard von Bismarck untuk menyatukan negeri-negeri Jerman pada tahun 1871. Bismarck mengambil tindakan-tindakan yang kadang-kadang  terkeluar dari batas kemanusiaan seperti menjalankan tipu helah, pemalsuan dokumen, penipuan dan ugutan ugutan semata-mata untuk mencapai sesuatu matlamat. Matlamat Bismarck adalah untuk  menubuhkan sebuah negara Jerman yang bersatu dengan apa cara yang boleh dan termampu dilakukannya. Akhirnya beliau berjaya mencapai hasrat dan cita-citanya itu.

Amalan Realpoitik ini seolah-olah telah diamalkan juga oleh pemimin-pemimpin di Malaysia. Amat disedari oleh kebanyakan rakyat bahawa seolah-olah apa yang dilakukan oleh pemimpin negara ini adalah merupakan amalan yang pernah dilakukan oleh Bismarck dan tindakan-tindakan pemimpin di Amerika Syarikat juga.

Pengamalan konsep Realpolitik di Amerika Syarikat telah mula diperkenalkan oleh Henry Kissinger pada zaman pentadbiran Richard Nixon. Dasar yang diperkenalkan oleh Nixon (atas dayausaha Kissinger mungkin…) dalam melakukan hubungan dengan negara-negara besar dunia adalah atas dasar yang tidak berlandaskan doktrine politik atau etika. Misalnya hubungan diplomatik dengan Republik China telah dengan jelas mengenepikan fahaman politik anutan Amerika Syarikat yang sentiasa menentang fahaman komunis yang jelas merupakan anutan Republik China. Namun persefahaman tetap diadakan demi untuk mencapai sesuatu matlamat.

Berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh Cavour, Bismark, Henry Kissinger maka aku menoleh pula ke arah pemimpin Malaysia. Apakah bezanya tindakan Bismarck dengan tindakan yang dilakukan oleh pemimpin negara ini. Terlau banyak sekali kita mendengar sungutan-sungutan yang disuarakan oleh rakyat khususnya pihak Pakatan Rakyat mengenai berbagai penyelewengan yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum yang lepas.

Ada tuduhan yang mengatakan bahawa pihak Barisan Nasional telah menggunakan secara berleluasa wang untuk memancing undi sedangkan perbuatan sedemikian adalah menyalahi etika pilihan raya. Dan bukan rahsia lagi apabila pihak Barisan Nasional  menggunakan media arus perdana untuk membantu Barisan Nasional menjalankan kempen pilihan raya mereka. RTM yang merupakan milik kerajaan telah digunakan seluas-luasnya oleh pihak Barisan Nasional dalam kempen mereka.Dan keadaan yang sebegini sudah berjalan semenjak beberapa puluh tahun yang lampau.

Ada juga tuduhan yang mengatakan bahawa pihak kerajaan sewenang-wenangnya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini yang bertujuan untuk menahan pihak yang menentang kerajaan. Ramai dikalangan pemimpin pembangkang yang ditahan berlandaskan ISA ini. Dengan demikian apakah bezanya dengan tindakan yang telah dilakukan oleh Bismarck dan Hitler di Germany. Bukankah amalan sedemikian juga yang digunakan oleh pemerintah Malaysia untuk menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

Kerajaan Barisan Nasional nampaknya amat bimbang dengan kehadiran DS Anwar Ibrahim dalam arena politik di Malaysia. Untuk ‘melenyapkan’ karier politik beliau, pihak kerajaan Barisan Nasional telah dituduh menggunakan mahkamah untuk memanjarakan beliau. Selama tujuh tahun beliau merengkok dalam penjara atas tuduhan yang tidak tentu kesahihahannya yang kemudiannya dibebaskan.

Kini sekali lagi beliau dikenakan hukuman penjara selama lima tahun dan telah ada pula usaha untuk memanjangkan hukuman beliau melebihi lima tahun itu atas kesalahan yang disangsikan oleh ramai rakyat Malaysia. Walaupun para hakim menjatuhkan hukuman sedemikian, namun rakyat masih merasakan bahawa hukuman sedmikian masih tidak adil. Dan rakyat merasakan bahawa keputusan hakim itu adalah didorong oleh ‘arahan’ dari pihak atasan.

Sekiranya begitu keadaannya, apakah tindakan pemimpin Barisan Nasional itu berbeza dengan tindakan yang dilakukan oleh Bismarck atau Hitler atau Cavour. Terlalu banyak contoh-contoh tindakan kerajaan Barisan Nasional yang boleh dipersoalkan kewajaran tindakan itu dan seolah-olah lebih mirip kepada tindakan yang dilakukan oleh setengah pemimpin dunia yang mengamalkan konsep Realpolitik itu.

Dan akhir-akhir ini kerap kali konsep Realpolitik ini seolah-olah digunapakai oleh pemimpin-pemimpin di negara kita. Seolah-olah sudah tidak ada peraturan dan undang-undang untuk mengawal pentadbiran negara. Seolah-olah pemimpin negara ‘beraja di hati dan bersultan di mata’. Seolah-olah sudah tidak ada undang-undang yang boleh mengawalnya. Kadang-kadang dapat dilihat bahawa undang-undang negara seolah-olah digunakan hanya semata-mata untuk mengawal kegiatan pihak pembangkang yang sentiasa menggugat tindakan pemimpin Barisan Nasional yang menyeleweng.

abuhassanadam
16 April 2014 



No comments:

Post a Comment