ZAMAN ALANG ISKANDAR…….
Arwah Opah selalu menyebut ungkapan ini. Selalu
sangat aku dengar dia menyebut ungkapan sedemikian. Tetapi aku tidak tahu ‘biji
buah’nya tentang apa yang dimaksudkannya. Ketika itu aku masih kecil lagi dan
hanya mendengar sahaja ungkapan tersebut diperbualkan oleh Opah dan rakan-rakan
yang ‘sama waktu dengannya’ ketika itu.
Kerap kali aku dengar ungkapan sebegini apabila
menjelangnya musim buah-buahan, terutamanya apabila musim buah-buahan pada
tahun berkenaan tidak menjadi. Maka akan kedengaranlah Opah mengungkapkan, ‘
…zaman Alang Iskandar dulu, semua menjadi. Apabila sampai musim buah-buahan,
akan melimpah ruah buah-buahan di kampung kita. Durian, manggis,
langsat…..mewah sekali. Tak laku untuk dijual. Cina tak mahu beli. Jikalau dia
beli pun dengan harga murah….begitu sekali mewahnya pada zaman Alang
Iskandar…..” Begitulah lebih kurang kata Opah menggunakan loghat Perak.
Aku masih ingat juga tentang musim kemarau yang
melanda kampung aku. Kampung Keroh Hilir, Padang Rengas, Perak. Pada ketika itu
bukanlah kampung aku saja yang mengalami kemarau sedemikian. Hampir seluruh
daerah Kuala Kangsar ( mungkin juga seluruh negeri Perak ) mengalami keadaan
kering kontang. Sungai-sungai kecil kekeringan. Dan kebanyakan telaga dan perigi
juga kekeringan. Tidak dapat dibayangkan kesusahan yang dialami oleh orang
kampung untuk mendapatkan air. Dan pada ketika itu kebanyakan kawasan kampung
hanya mengharapkan telaga dan perigi untuk mendapatkan ‘air bersih’.
Sekali lagi aku mendengar Opah mengungkapkan, ‘
zaman Alang Iskandar dahulu tak pernah berlaku kemarau serupa ini. Ada hujan,
ada panas…..buah-buah kayu juga mewah….’peramah’ untuk berbuah…’ Berbagai usaha
dilakukan oleh orang kampung aku untuk ‘meminta’ hujan diturunkan. Khidmat bomoh
juga digunakan untuk memohon hujan. Aku masih ingat lagi bagaimana Tok Ki
Pandak ( bomoh) menulis sesuatu di atas daun kelapa dan mencampakkan daun
kelapa itu ke dalam sungai. Untuk memohon hujan katanya. Dan tulisan yang
dilakarnya di atas daun kelapa itu adalah ayat-ayat dari Rasulullah mengikut
katanya.
Berdoa sudah, solat Hajat juga sudah dan
menggunakan khidmat bomoh juga sudah dilakukan. Namun hujan masih belum turun
juga. Semakin banyak telaga dan sungai yang kekeringan. Ada penduduk kampung
aku yang terpaksa berbasikal berbatu-batu ke Batu Hampar, Paya Lintah
semata-mata untuk mandi di sana. Sungai di Paya Lintah, Laneh masih berair. Itu
pun entah berapa lama lagi akan bertahan. Sekiranya air sungai itu juga
kekeringan aku tidak dapat membayangkan kesusahan yang akan dialami oleh orang
kampung di daerah ini.
‘Memandikan kucing’ adalah merupakan satu lagi
ikhtiar yang dijalankan oleh orang kampung aku untuk memohon hujan. Jangan
ditanya aku mengenai rasionalnya. Yang aku masih ingat, anak gadis di kampung
aku berkumpul di rumah Opah pada suatu hari untuk memandikan kucing. ‘Upacara
memandikan kucing’ bukanlah sembarangan upacara. Kucing diarak oleh anak-anak
gadis ini untuk menuju sungai yang berdekatan dengan rumah aku. Dilakukan
seperti mengiringi mempelai majlis perkahwinan. Apabila sampai sahaja di sungai
( ditempat yang masih ada lagi sisa-sisa air) kucing itu dimandikan.
Opah kata, keadaan kemarau sebegitu tidak pernah
berlaku pada zaman Alang Iskandar. Tak pernah. Dan mengikut kata Opah juga
(sebagaimana yang di ‘sosek-sosek’ dengan rakan-rakannya) berlakunya kemarau
ini adalah disebabkan oleh adanya penduduk kampung yang melakukan perbuatan ‘sumbang’.
Ini merupakan balasan Tuhan kepada seluruh masyarakat kampung akibat daripada
perbuatan terkutuk seorang anggota masyarakat di situ. Dan sememangnya ada
berlaku perbuatan ‘sumbang’ antara bapa dengan anaknya sendiri di kampung pada
ketika itu.
Jikalaulah Opah aku masih ada dan dia berada di
Kuala Lumpur bersama aku mengalami catuan air ketika ini, maka pasti Opah akan
berkata, ‘ zaman Alang Iskandar tidak terjadi begini..” Aku yakin Opah akan
kata begitu.
Kini baru aku tahu bahawa yang disebut-sebut oleh
Opah ‘Alang Iskandar’ itu sebenarnya adalah Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak
yang pernah memerintah negeri Perak pada suatu ketika dahulu. Dan sememangnya
zaman pemerintahan Sultan Iskandar kononnya adalah merupakan zaman emas di
negeri Perak yang penuh dengan berbagai-bagai kemewahan. Zaman Alang Iskandar
itu sentiasa diingati oleh penduduk kampung di negeri Perak.
Dan suatu perkara yang agak unik lagi ialah
bahawa penduduk kampung pada ketika itu sentiasa menghubungkaitkan sesuatu
keadaan yang berlaku dalam negara atau negeri dengan tampuk pemimpin negara.
Sekiranya negara selalu mengalami keadaan yang menyusahkan rakyat maka
kesalahan itu diletakkan kepada kepimpinan negara. Begitu juga sebaliknya.
Aku tidak tahu sejauh mana tepatnya anggapan
sedemikian. Mungkin juga……
abuhassanadam
6 April 2014.
Malapetaka alam sama ada yang kecil atau berskala besar akan melanda mana saja di kawasan di atas planet ini tanpa memilih bulu, baik negara yang beragama mahupun yang tidak beragama, negara kaya atau miskin, baik negara Arab yang membekalkan banyak nabi dan rasul atau negara yang pagan yang percaya misalnya matahari itu adalah Tuhannya. Malapetaka alam berlaku kerana mengikut hukum fisik dan hukum ini akan berjalan bagaikan ia seorang yang buta asalkan ada daya yang menjejas keseimbangan yang sedia ada, baik dicetuskan oleh tangan manusia atau secara berlaku secara alamiah. Manusia yang masih terikat dengan kepercayaan ananisme, superstition, mistiksme dan segala macam tahyul maka dia sulit melihat apa punca sebenar malapetaka itu melainkan percaya malapetaka itu seperti terjadinya kemarau panjang adalah angkara kepimpinan yang curang pada hal di negara yang ada kepimpinan relatif telus pun ada menerima bala malapetaka alam.
ReplyDelete