Tuesday, April 29, 2014

LAWATAN BARACK OBAMA : MEMINTA PADA YANG ADA, MERAYU PADA YANG SUDI

Seolah-olah kedatangan Presiden Barack Obama adalah seperti kehadiran seorang bapa yang mahu mendengar berbagai-bagai luahan dari anak-anak mengenai berbagai perkara yang menyentuh kehidupan harian. Tentulah beliau agak berhati-hati untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, takut-takut akan menyentuh dan melukakan hati sesiapa yang mendengarnya. Namun tentulah agak sukar untuk ‘mengambil hati ‘ semua orang dan kepentingan diri ( Amerika Syarikat) harus diutamakan juga. Kepentingan politik dan ekonomi Amerika harus diambilkira agar tindakannya ‘ular biar mati dan tanah tidak lebam’. Dan jikalau menarik rambut dalam tepung, seharusnya tepung tidak berselerak’.

Bagi  DS Najib, kedatangan Barack Obama ke Malaysia tentulah pada perkiraannya akan menaikkan imej Malaysia dan dirinya juga di mata dunia. Itulah yang diharapkannya. Telah ‘riuh-rendah’lah media arus perdana di Malaysia mewar-warkan tentang kehadiran Presiden Amerika itu setelah berpuluh-puluh tahun tidak didatangi oleh ‘orang besar’ dari Amerika itu. Yang terakhir adalah lawatan Presiden Lyndon B.Johnson, lebih kurang setengah abad yang lalu.

Jadi kedatangan Barack Obama diharapkannya akan memberikan erti yang besar kepada penonjolan imej Malaysia. Dan bagi Obama pula tentunya mengharapkan sesuatu daripada Malaysia terutamanya yang berkaitan dengan TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik). Mungkin!

Dalam bulan Disember 2010, Amerika Syarikat bersungguh-sungguh benar memujuk dan merayu Korea Selatan agar menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Dan jawapan yang diberikan oleh Seoul pada ketika itu ialah ‘ tunggu dulu’ dan hanya akan memberikan jawapannya setelah mengakji buruk baiknya menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) itu. 

Ramai yang mengatakan bahawa ada agenda tersembunyi yang menyebabkan Amerika Syarikat bersungguh benar meralisasikan TPPA ini. Antaranya ialah hasrat Amerika Syarikat untuk menyekat kemaraan China dari segi ekonomi dan dengan demikian mengekalkan penguasaan Amerika Syarikat di rantau ini. Jepun pun pada mulanya teragak-agak untk menyertai bloc TPPA apabila memikirkan tentang nasib industri pertanian mereka. Begitu juga dengan Canada yang tidak dapat terlepas dari kebimbangan demikian. Maknanya sekiranya mereka menyertai bloc ini mereka terpaksa membenarkan kemasukan import barangan pertanian dari luar yang berkemunginan membahayakan juga industri pertanian mereka.

Apakah Malaysia tidak merasa bimbang dan ragu dengan penyertaan negara kita dalam pakatan ini. Sudahkah para pemimpin negara membuat perhitungan dan pertimbangan yang teliti mengenai penyertaan Malaysia itu. Apakah sememangnya cara Malaysia tidak berfikir panjang apabila mengambil sesuatu keputusan yang membabitkan negara. Ataupun para pemimpin Malaysia tidak begitu peduli tentang baik buruk sesuatu tindakan mereka terhadap kepentingan negara. Mungkin tidak sedemikian…

Lawatan Obama ke Malaysia kali ini menampakkan ada perkara yang tidak berapa ‘kena’ kepada beberapa kumpulan yang merasakan bahawa Obama sudah mula campurtangan dalam hal ehwal Malaysia. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Malaysiakini bertarikh 28 April 2014, ‘Presiden NGO pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali menolak kenyataan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bahawa bukan Islam di negara ini perlu diberi peluang yang sama demi kemajuan.Ini kerana, katanya, sebahagian besar ekonomi Malaysia dikuasai bukan Islam.

Kemudian DS Dr. Zahid Hamidi pula berkata bahawa kerjaan Malaysia telah bertindak adil kepada semua agama. Beliau menambah,’ "Saya tidak fikir terdapat halangan kepada sesiapa sahaja untuk mempraktikkan agama mereka.
"Kamu perlu menghormati agama lain, sebelum mereka memberi penghormatan kepada kita,".

Mengenai kenyataan Dato Ibrahim Ali yang kenyataan Obama itu menambahkan ketegangan antara kaum di Malaysia adalah merupakan tohmahan yang agak keterlaluan. Bagi aku timbul ‘pertentangan’ ini adalah berpunca daripada dua budaya yang berbeza. Bagi Presiden Obama kenyataannya itu berdasarkan kepada beberapa ‘feedback’ yang diterimanya dan juga berasaskan kepada persepsinya sendiri. Lantas dilhirkannya apa yang dirasakan kerana negara Amerika mengamalkan kebebasan bersuara. Di Amerika Syarikat, rakyatnya bukan sahaja bebas untuk mengkritik Presiden tetapi juga dasar-dasar yang akan dan yang telah diperkenalkan oleh Presiden.

Obama tidak dapat memuaskan hati semua pihak ketika lawatanya ke negara ini. Sebagai seorang negarawan dari sebuah negara besar yang berpengaruh beliau terpaksa juga melayan dan mendengar sungutan dan rungutan berbagai-bagai pihak. Lantas pertemuannya dengan beberapa NGO dan belia-belia dari negara ASEAN  adalah langkah beliau untuk ‘mendengar’ dan ‘menimba’ apa saja rungutan yang disuarakan.

Apabila beliau bertemu dengan anggota masyarakat sivil di Malaysia pastinya mereka memberitahu perkara sebenar yang berlaku dalam pertemuan sejam dengan Presiden Amerika Syarikat itu. Misalnya pemimpin kumpulan hak asasi manusia Hakam Datuk S Ambiga, antara yang hadir dalam pertemuan itu, berkongsi dengan Malaysiakini apa yang dibincangkan dalam sesi bersejarah itu. “Antara isu (dibangkitkan) berhubung politik perpecahan, ekstremisme kaum dan agama, diskriminasi, autoritarianisme kerajaan melalui undang-undang yang menindas, pilihan raya bebas dan adil serta keluhuran perlembagaan...,” katanya. Juga diketengahkan oleh mereka ialah isu yang berhubung dengan pendakwaan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendakwaan terhadap pembangkang atas alasan hasutan dan Akta Perhimpunan  aman. (petikan dari Malaysiakini)

Aku melihat kedatangan dan lawatan Obama ini adalah sebagai kunjungan seorang ‘bapa’ untuk berjumpa dengan ‘anak-anak’. Bagi ‘anak-anak’ yang sentiasa dipinggir dan ‘dianak-tirikan’, pertemuan ini merupakan peluang keemasan untuk mengadu dan menjelaskan ’nasib malang’ yang menimpa diri. Di dalam negara ini seolah-olah tidak ada lagi tempat untuk mengadu dan hampir kesemua ruang untuk mengadu tertutup. Dan hanya kepada Obama sajalah lagi ruang yang ada untuk mengadu dan memohon pertolongan. Itu pun sekiranya beliau sudi menolong dan membantu.

abuhassanadam
29 April 2014


No comments:

Post a Comment