Thursday, April 24, 2014

GASINGNYA TERBELAH SEBELUM KE GELANGGANG

Sampai kini aku masih teringat dan terbayang-bayang di mata peristiwa gasing Isa belah ( orang Perak kata ‘sompek’ ) sebelum ‘masuk gelanggang’. Aku masih terbayang juga linangan air mata Isa ketika melihat gasingnya ‘sompek’.

Atuk aku (Puteh Ibrahim namanya) semangnya pandai buat gasing. Apabila sampai musim bermain gasing di kampung aku, maka Atuk akan sibuk membuat gasing untuk kawan-kawan aku. Hampir seluruh anak kampung akan meminta pertolongan Atuk. Percuma. Tidak ada upah walau satu sen pun. Dan Atuk pula seolah-olah begitu bahagia apabila dapat menolong membuatkan gasing kawan-kawan aku. ‘Bayarannya’ hanya ucapan terima kasih kepada Atuk.

Rupa-rupanya jasa baik Atuk itu dibalas juga. Bukan dengan wang ringgit tetapi dengan penghormatan yang diberikan oleh kawan-kawan aku apabila Atuk menghembuskan nafas terakhirnya. Hampir seratus peratus anak-anak dan cucu-cucu dari kampung itu hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Atuk aku. Dan ramai yang menyebut-nyebut tentang jasa dan sumbangan ‘Tokki Teh’ (gelaran untuk Atuk aku) kerana membuatkan gasing untuk mereka ketika mereka masih kanak-kanak. Seolah-olah mereka menyatakan bahawa ‘jasamu dikenang’. Walaupun sumbangan Atuk aku hanya membuat sebiji gasing untuk anak-anak, namun seolah-olah telah memberikan kebahagiaan dan keseronokan yang bukan kecil kepada anak-anak di kampung itu.

Apa tidaknya. Pada ketika itu (1950an) belum ada lagi terjual gasing yang sudah siap untuk dibeli. Belum ada. Di seluruh pekan Padang Rengas tidak ada lagi kedai yang menjual gasing yang sudah siap diukir. Kedai Kecik tidak ada dijual. Kedai Gemuk pun tidak ada. Kedai Moh Koh, Kim Cheng, Ah Yu belum lagi menjual gasing seperti kini dimana anak-anak boleh membeli gasing yang terjual di kedai.

Bertuahnya kanak-kanak zaman itu ialah hampir setiap kampung  ‘wujud’ sekurang-kurang seorang pengukir gasing yang sedia memberikan ‘sumbangan percuma’ kepada kanak-kanak di persekitaran. Sekurang-kurangnya seorang pengukir. Kadang-kadang wujud dua atau tiga orang.Yang anihnya si pengukir sanggup melakukan tugasnya tanpa bayaran. Memang betullah sifat orang Melayu pada ketika itu yang mementingkan budi dan bahasa melebihi segala-galanya pada ketika itu. Walaupun mereka miskin tetapi budi dan bahasa tetap menjadi sanjungan. Malangnya sifat sedemikian sudah hampir tidak ada lagi. Lenyap ditelan zaman.

Kayu yang digunakan untuk membuat gasing biasanya dari  dahan pokok Limau atau Petai Jawa. Mungkin juga boleh diperbuat daripada kayu jenis lain. Kebiasaannya di kampung aku kami menggunakan  kayu dari dahan  Limau dan Petai Jawa sahaja. Tahan. Liat. Tidak mudah pecah berbanding dengan kayu jenis lain. Itu kata Atuk aku dan juga kata ‘ahli’ gasing di kampung aku. Tokki Amat pun kata begitu. Pak Lop juga kata begitu. Tokki Palit pun berkata demikian. Ini sudah merupakan satu ‘consensus’. Tidak boleh dipertikaikan lagi….

‘Gelanggang’ tempat kami bermain pada ketika itu ialah di halaman Tokki Din. Halaman rumahnya agak luas. Ada dua pohon jambu air yang memberikan teduhan kepada kami ketika bermain gasing. Lagipun tanahnya juga keras. Lantas tidaklah terbenam paku gasing ke dalam tanah apabila memangkah. Sesuai benar untuk dijadikan halaman bermain gasing. Dan sekiranya terasa dahaga, telah tersedia buah-buah jambu untuk dipetik ( sekiranya musim permainan gasing jatuh kepada musim jambu berbuah). Tokki Din tidak pula melarang kanak-kanak memetik buah jambunya, malah beliau sendiri menolong kami memetik buah jambunya. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Pukul 2.00 petang biasanya, kami mula berkumpul di halaman Tokki Din. Hampir seluruh kanak-kanak yang sebaya dengan aku hadir. Ngah, Bahari, Zainun, Hamid, Isa dan ramai lagi rakan-rakan sebaya dengan aku berada di situ. Masing-masing memiliki sekurang-kurangnya sebiji gasing. Dan pastinya paku gasing masing-masing sudah di asah dengan tajam. Cukup tajam. Dan paku gasing berkenaan akan berperanan untuk ‘menyomepkkan’ atau terus membelah gasing lawan. Ibarat seperti taji seekor ayam jantan yang berperanan untuk mencedera atau membunuh terus lawannya.

Garisan bulat telah ‘dilukis’ di atas tanah yang keras di halaman rumah Tokki Din. Bulatan ini merupakan gelanggang di mana permainan gasing-gasing akan ‘berpencak’ untuk menewaskan gasing lawan. Ini merupakan pertandingan ‘hidup mati’ dan bukan pertandingan ‘gasing siapa yang lama berpusing’ seperti yang diadakan di kebanyakan tempat. Ini pertandingan lain dari yang lain. Perlawanan ‘hidup mati’.

Lapan orang akan bermain. Empat orang satu pasukan. Empat gasing akan berada didalam bulatan dan empat lagi akan memangkah (memukul gasing yang dalam bulatan). Mengikut giliran dengan cara ‘mengundi’ seperti mana yang dilakukan oleh pengadil bola sepak. Menggunakan tutup botol air lemonade yang dibeli dari kedai Tokki Jawi.

Nasib tidak menyebelahi kumpulan aku. Kumpulan aku ditakdirkan berada dalam gelanggan terlebih dahulu. Oleh itu aku, Isa, Bahari dan Noh meletakkan gasing di dalam gelanggang untuk dipangkah oleh ‘lawan’. Zainun memulakan ‘serangan’nya. Gasing Zainun sememangnya tajam pakunya. Boleh dikatakan kebanyakan masanya digunakan untuk mengasah paku gasingnya. Tidak hairanlah dengan sekali pangkah sahaja terus mengena kepada gasing Isa. Tepat pada sasaran.

‘Luka’ yang terkena kepada gasing Isa memang ‘parah’. Hampir belah. ‘Sompek’nya terlalu besar untuk meneruskan pertandingan. Isa belum lagi mencuba gasingnya di mana-mana pertandingan. Gasing Isa masih baru diukir oleh Atuk aku. Kayu Limau. Sepatutnya kayu Limau itu liat tetapi oleh kerana paku gasing Zanun begitu tajam tidak dapat ‘dideritai’ oleh gasing Isa. Gasing Isa sememangnya tidak dapat digunakan lagi.

Aku tidak dapat membayangkan kesedihan Isa. Aku nampak matanya berair. Itu gasing kesayangannya hasil tangan Atuk aku menggunakan kayu Limau yang berada di hadapan rumah aku. Aku cuba memujuk Isa dengan kata-kata harapan yang Atuk aku akan membuat gasing baru untuknya.

abuhassanadam
24 April 2014




No comments:

Post a Comment