Friday, April 11, 2014

MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI  SEORANG MANUSIA

Biarlah aku berterus terang membicarakan isu ini. Aku nampak semacam sudah ramai ahli politik di Malaysia yang seolah-olah telah ‘meletakkan jawatan mereka sebagai seorang manusia’. Mereka seolah-olah lupa bahawa mereka adalah manusia yang sepatutnya mempunyai perasaan dan timbang rasa yang cukup tinggi terhadap insan yang lain. Dan yang paling merunsingkan ialah sikap pemimpin yang ‘tidak berhati perut’ menjadi ikutan ramai pengikutnya dan seolah-olah mereka juga melupakan diri mereka sebagai seorang manusia.

Biarlah aku lebih berterus terang lagi. Aku ambil contoh yang senang difahami dan diketahui ramai di Malaysia. Kisah DS Anwar Ibrahim diainayai. Aku tidak mahu mempertikaikan keputusan hakim yang menjatuhkan hukuman mengatakan DS Anwar bersalah dan sabit kesalahannya. Hakim kata begitu. Hakim adalah golongan bijak pandai dan tentulah agaknya keputusan yang dibuatnya itu tidak boleh dipertikaikan. Apatah lagi olah pemimpin UMNO (BN). Mereka akan tetap mengatakan bahawa keputusan hakim itu betul belaka.

Tetapi ramai lagi rakyat di Malaysia yakin bahawa DS Anwar Ibrahim tidak melakukan kesalahan begitu. Dan ratusan juta penduduk dunia juga merasakan begitu. Buktinya ialah apabila DS Anwar sentiasa dihubungi untuk mendapatkan pandangannya disamping jemputan-jemputan yang bertalu-talu mengundang beliau untuk menyampaikan ucapan di majlis-majlis ilmiah. Jangan ditanya pula sebab-sebab mengapa mereka tidak yakin dengan keputusan yang dibuat oleh hakim Malaysia. Jangan ditanya juga mengapa mereka merasakan bahawa DS Anwar tidak bersalah. Itu persepsi rakyat terbanyak. Itu pandangan mereka. Dan hak mereka untuk mempercayai dan tidak mempercayainya.

Yang aku hairan pula ialah seolah-olah hampir 100% pemimpin UMNO (BN) mengatakan DS Anwar bersalah dan keputusan hakim itu betul dan tidak boleh disanggah lagi. Tidak juga aku mahu mempertikaikan keyakinan mereka ini. Mereka juga berhak untuk menyatakan pandangan mereka. Cuma yang agak ‘memeningkan’ kepala aku ialah apakah sudah tidak ada seorang pun pemimpin UMNO (BN) yang boleh teryakin bahawa DS Anwar Ibrahim tidak tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu. Seolah-olah tidak seorang pun yang boleh berfikiran sedemikian.

Baru-baru ini seramai 63 orang MP dari Pakatan Rakyat menandatangani usul di parlimen untuk menegur empat hakim yang mendengar kes Liwat 2 membabitkan DS Anwar Ibrahim. Usul ini tidak dibahaskan. Speaker ‘yang bijaksana’ menolak usul berkenaan. Yang aku persoalkan juga ialah hanya MP Pakatan Rakyat  sahaja yang menyokong usul berkenaan sedangkan MP dari pihak BN tidak menyokong. Begitu agaknya cara dan prosedur di parlimen yang dikatakan ‘civilized’ itu. Membayangkan bahawa tidak ada langsung perasaan kemanusiaan mereka untuk menyokong usul itu. Sekurang-kurangnya berilah simpati dan pihak Speaker seharusnya memberi peluang kepada MP untuk membahaskannya. Seolah-olah memberi gambaran bahawa seseorang MP BN seharusnya menyokong sahaja apa yang disarankan oleh pihak atasan tanpa perlu mempersoalkannya, walaupun mengenai sesuatu yang diluar batas kemanusiaan. Begitu sekali keadaan pemimpin UMNO (BN) yang berada di negara kita kini.

Lagi menghairankan sebahagian besar rakyat Malaysia ialah sikap yang ditunjukkan oleh sebilangan besar pemimpin UMNO yang langsung tidak ada perasaan belas kasihan terhadap penderitaan yang dialami oleh seorang isteri dan ibu kepada enam orang anak yang bernama Wan Azizah. Apakah para pemimpin kita perlu mengenepikan perasaan kemanusiaan terhadap sesama manusia semata-mata untuk mendukung ‘perjuangan’ parti yang mereka dukung- UMNO (BN). Apakah begitu sikap pemimpin UMNO hari ini? Mereka sudah lupa bahawa tuduhan yang dilemparkan kepada keluarga DS Anwar Ibrahim itu adalah merupakan soal maruah yang membabitkan hal kemanusiaan.

Dan tidak pula para pemimpin UMNO (BN) yang ‘bermaruah’ itu memikirkan tentang perasaan dan penderitaan yang dialami oleh anak-anak dan keluarga DS Anwar.  Apakah golongan yang ‘bermaruah’ ini tidak mahu menempatkan diri mereka ke dalam diri DS Anwar sendiri. Apakah mereka tidak pernah meletakkan diri mereka sedemikian. Ataupun mungkin agaknya mereka sudah hilang malu ataupun kulit muka mereka sudah begitu menebal sehinggakan mereka sudah tidak ada perasaan malu kepada masyarakat lagi.

Malangnya sikap pemimpin yang sebegini diikuti pula oleh ‘pemimpin-pemimpin’ di peringkat negeri dan daerah. Malah ‘perangai’ sedemikian terus diamalkan di peringkat kampung dan desa. Diikuti juga oleh pemimpin-pemimpin di jabatan kerajaan. Diamalkan juga oleh para pendukung akhbar dan media di negara ini. Seolah-olah sebuah negara sedang bergerak ke arah sesuatu yang membawa keruntuhan kepada negara. Seolah-olah masyarakat di negara kita sudah hilang maruah kesemuannya. Seolah-olah sudah tidak lagi wujud perasaan malu dan segan silu melakukan sesuatu yang tidak bermaruah. Rasuah dan fitnah, disamping berbagai penyelewengan lain sudah merupakan satu budaya masyarakat di Malaysia yang tidak perlu lagi berwaspada ketika melakukannya.

Masyarakat Malaysia sedang berhadapan dengan wabak penyakit yang sukar sekali diubati. Penyakit tak tahu malu. Seolah-olah sudah hilang perasaan ini ditelan zaman. Sudah tidak ada lagi ungkapan-ungkapan seperti ‘ demi maruah’. Sudah tidak ada lagi  pegangan hidup yang diwarisi dari datuk nenk moyang yang sentiasa menyuruh kita menjaga maruah. Seolah-olah masyarakat Malaysia sudah ‘beraja di hati dan ‘bersultan di mata’.

Pemimpin kerajaan seolah-olah sengaja ‘menutup’ sebelah mata apabila berhadapan dengan penyelewengan yang membabitkan ‘suku-sakat’ mereka. Terlalu panjang senarainya sekiranya hendak dituliskan. Memadailah sekiranya diambil beberapa contoh seperti projek PKFZ, penyelewengan projek lembu, pembelian kapal selam scorpene dll. Para pemimpin UMNO (BN) dan sekutunya terus menyepi sesepinya apabila isu sebegini dibangkitkan dan sebaliknya akan terus ‘bingkas’, ‘terpekik dan terlolong’ sekiranya isu membabitkan pihak Pakatan Rakyat. Apakah masih layak kita menggelarkan diri kita sebagai seorang manusia sekiranya bersikap demikian?

Sudah terlalu kerap aku mendengar rakyat mengeluh. Berbagai keluhan yang diluahkan tanpa mendapat simpati pihak yang berwajib. Rakyat bawahan akan terus mengeluh dan mengeluh.

Dan setengah pemimpin pula sudah tidak mempedulikan keluhan rakyat kerana mereka ‘telah meletakkan jawatan mereka sebagai seorang manusia’.

abuhassanadan
11 April 2014


1 comment:

  1. Maknanya rejim UMNO/BN yang telah berjaya membatinkan budaya tiada rasa malu ke atas sebahagian signifikan masyarakat Melayu khasnya akan kezaliman yang telah menjadi amalan para pemimpin UMNO yang mana apa saja kezaliman yang dilakukan oleh rejim korap itu adalah biasa aje dan dilakukan demi untuk menjaga martabat, maruah, aqidah Ketuanan Melayu. Habis hampir semua institusi kerajaan baik Polis, MACC/SPRM, Kehakiman, Pejabat Peguam Negara,media arus perdana, melainkan Pejabat Audit Negara. Semua institusi berkenaan dah sampai status mati pucuk, tiada taring dan menjadi hiasan bunga aje.Tetapi di sebalik itu ada banyak gerakan yang mahu rejim korap ini dihapuskan meskipun belum sepenuhnya berjaya namun menjurus ke arah itu. Memang teruk keadaan governans kerajaan kini sehingga yang sinikal dan pessimis akan terus berdoa aje agar sesuatu kuasa ghaib/divine akan membantu mereka untuk membina nilai baru yang menghormati integriti manusia.

    ReplyDelete