Monday, April 21, 2014

TENGAH MALAM DI DESA PINGITAN

Apabila menjangkau saja waktu tengah malam sememangnya sunyi di kampung aku. Sunyi, sesunyinya. Akan kedengaranlah nyanyian unggas yang menyanyikan berbagai irama seolah-olah menggambarkan kegembiraan yang amat sangat apabila menjelang tengah malam. Kadang-kadang semacam wujud sebuah ‘pancaragam’ dengan rentak yang berbagai-bagai dilagukan oleh unggas-ungas berkenaan.

Suasana malam sedemikian biasanya cukup damai. Tenang. Secara kebetulan pula cahaya bulan malam empat belas pastinya menumpahkan cahayanya ke daun-daun kelapa yang melintuk liuk ibarat lambaian seorang gadis yang melambai akan kekasihnya yang pergi meninggalkannya untuk pergi merantau jauh di diperantauan. Angin berhembus perlahan sekali menyebabkan daun-daun menari dengan lenggoknya yang sangat lembut.

Inilah rupa bentuk ‘hiburan’ yang ada pada anak muda seperti aku pada tahun-tahun 1960an. Hanya boleh ‘bermesra’ dengan alam dan ‘terhibur’ dengan bunyi ‘nyanyian’ unggas sementara menunggu mata lelap. Dan bukan mudah pula untuk melelapkan mata. Banyak pula difikirkan. Maklumlah anak muda… Tepat kata pantun lama,

Hendak gugur, gugurlah Nangka
            Jangan menimpa si batang Pauh
Hendak tidur, tidurlah mata,
            Jangan mengenang orang yang jauh.

Entah macam mana suasana larut malam di kampung ku pada tahun-tahun 1960an telah menjadi igauan aku kini. Hendak rasanya aku kembali semula ke zaman itu. Tentulah mustahil keadaan sedemikian dapat diputar semula. Yang tinggal hanya ingatan dan igauan mengenangkan zaman romantis yang tidak ada tolak bandingnya. Aku merasakan apa yang aku rasakan ini dirasakan juga oleh  rakan-rakan yang seangkatan dengan aku.

Tentulah banyak peristiwa yang boleh aku kisahkan mengenai kampung ku itu. Namun yang paling aku tidak dapat lupakan ialah tentang suasana hening larut malam yang sentiasa ‘melanda’ fikiran aku terutamanya ketika berada di luar negara. Suasana larut malam sememangnya hening dan sunyi sepi. Bukan seperti  larut malam ketika berada di Palo Alto, California ketika aku menonton ‘Nightline’ yan dihoskan oleh Ted Koppel. Tidak juga sama seperti larut malam di ‘kampung’ Hendon, London, ketika menikmati  keputihan salji yang baru turun memyelubungi bumi England. Dan tidak juga seperti larut malam yang aku pernah nikmati ketika berada di sebuah hotel di Cordova memandang ke arah ‘masjid Cordova’ (kini sudah menjadi gereja) disamping fikiranku menjalar mengenangkan zaman keagungan Islam Kurun ke 13.

Larut malam di kampung aku lain dari yang lain. Pukul 10.00 malam sudah boleh dikira sebagai larut malam.  Kampung ku sunyi sepi sesepinya. Penghuni kampung melelapkan mata menunggu hari siang untk meneruskan kegiatan harian mereka.Tidak ada TV untuk di tonton pada awal tahun 1960an, dan tidak juga ada radio yang boleh menghiburkan. Bentuk ‘hiburan’ yang boleh dijadikan teman berhibur tentulah cengekerik dan bunyi burung (mungkin burung pungguk!) yang kadang-kadang mendayu-dayu apabila bulan menerangi alam.

Aku merasa agak ‘bertuah’ apabila dapat juga mendengar lagu-lagu dari siaran radio kepunyaan jiran ku Encik Kontak. Aku bernasib baik kerana anak Encik Kontak yang lebih kurang sebaya dengan aku sentiasa tidur lewat sambil menikmati lagu-lagu dari siaran Radio pada ketikai tu. Oleh kerana rumah Encik Kontak dengan rumah aku tidak berapa jauh maka dapatlah juga aku menikmati siaran radio dari rumahnya. Itu pun jikalau anaknya Toha ingin memasang radio pada malam itu.

Masih terdengar ditelinga ku lagu ‘Keluhan Dara’ nyanyian Wan Salman Ahmad. Dan paling menyentuh perasaan ku apabila Nik Hasni dari Kelantan menyanyikan lagu ‘Yang Ditunggu Tak Tiba’. Sememangnya dua orang pennyanyi ini dapat ‘memikat’ hati ku. Dan dikhabarkan bahawa Nik Hasni  meninggal ketika usia yang masih muda. Dan lagu-lagunya juga ‘hilang’ bersamanya dan tidak kedengaran lagi.

Namun begitu Radio Kelasik masih memainkan lagu ‘Keluahan Dara’. Setiap kali lagu itu diputarkan melalui radio dalam kereta, sepantas itu jugalah fikiran aku mengelamun ke suasana larut malam zaman awal 60an.

Malam bulan sedang mengambang
Dingkasa nan terbentang
Cahaya sinaran bulan
menyinari alam terbentang

Di desiran angin nan lalu
aku terdengar keluhan
dara merindu
suara mendayu
yang menikam kalbu

Wahai si dara jelita
janganlah berputus asa
Meski pun apa yang terjadi
kasih tak akan kembali

Kau masih muda remaja
parasmu cantik jelita
Jangan merana dan menderita
Carilah gantinya.

Lagu-lagu sebeginilah yang boleh mendamaikan perasaan anak muda di desa-desa pingitan pada waktu itu sebelum mata terlelap daripada mengenang orang jauh….

abuhassanadam
22 April 2014



1 comment:

  1. Coretan kali ini berlainan sedikit kerana mengisah suatu ruang lingkup masa zaman lalu. Memang ada ketikanya kita yang sekontemporari dengan penulis blog ini akan dibawa mengenang kembali zaman yang betul-betul telah mengkayakan perasaan emosi, apresiasi dan kenanangan manis kita. Ia bagaikan mengapung di minda atau mata kita namun betapa sungguhnya kita nakkan realiti itu semula maka jawapannya pastinya ' never' atau tak mungkin. Masa itu bagaikan zaman emas kaya dengan 'warmth feeling'.

    ReplyDelete