KARPAL SINGH: MENGAPA PEMERGIANNYA DITANGISI
Aku teringatkan sajak SN Dato’ Usman Awang
berjodol,’ Rekwim untuk Hamdam’. Menceritakan tentang pemergian teman
seperjuangannya bernama Hamdam. Antara bait-bait yang ditulisnya,
Tiada
bintang, tiada TV, tiada jua
upacara
pahlawan untuk jenazah dan pusara
seorang
bernama Hamdam, derita sengsaranya siapa
pedulikan
Demikianlah
kehidupan memadamkanmu, Hamdam
bersama
padamnya semangat empat puluh enam.
Pak Usman menyampaikan keluhan dan kesedihannya
mengenangkan pemergian rakannya yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan yang
tidak dipedulikan disebabkan rakannya itu tidak memegang jawatan apa-apa dalam
politik tanah air. Hanya sekadar seorang wartwan akhbar yang merupakan ‘unsung
hero’ yang bukan kecil sumbangannya terhadap memupuk perasaan nasionalisme
dikalangan rakyat untuk menuntut kemerdekaan.
Kisah pemergian seorang putera bangsa Ahmad
Boestamam dilukiskan oleh Pak Usman Awang begini,
Pelabuhan
sepi keranda sudah bertolak
sayup-sayup
suara pidatonya dilambung ombak
benarkah
pisang emas dibawa belayar
sungguhkah
pulau pandan jauh ketengah?
Boestamam
putera
besar tanahir
namamu
terpahat digerbang sejarah
pejuang
kemerdekaan dan keadilan
budayawan
dan sasterawan
ahli
fikir dan negarawan.
Malangnya bagi negara, Pak Usman Awang sudah
tidak ada lagi untuk melukiskan tentang pemergian YB Karpal Singh. Sekiranya
beliau masih ada pasti pemergian ini akan
dilukiskannya dalam bentuk yang cukup menyegarkan tentang sumbangan dan
keikhlasan YB Karpal Singah dalam membela rakyat terbanyak. Belum pernah dalam
sejarah Malaysia kematian seorang rakyat biasa yang bukan keturunan Melayu
beragama Islam ditangisi oleh seluruh rakyat Malaysia yang termasuk juga
sebahagian besarnya orang Melayu beragama Islam.
Ini merupakan satu perkembangan baru sejarah
tanah air. Seolah-olah sudah mula wujud sebuah bangsa Malaysia yang sebenar di
negara kita yang bukan sahaja hanya ‘didendang dan dinyanyikan’ melalui radio
dan TV tetapi telah wujud dalam bentuk realiti yang sebenarnya. Rakyat Malaysia
tidak mengira bangsa dan keturunan dan tidak juga mengira kedudukan, telah
dengan spontan merasakan satu kehilangan yang amat besar dengan pemergian YB
Karpal Singh.
YB Karpal Singh bukannya Perdana Menteri atau
Menteri. Biasanya kematian seorang ketua negara atau Perdana Menteri sahaja
yang diberikan penghormatan sebegini oleh rakyat. Ini merupakan sesuatu yang
luar biasa. YB Karpal hanyalah sekadar
Ahli Parlimen biasa mewakili Jelutung. Tetapi mengapakah pemergiannya begitu
ditangisi oleh rakyat Malaysia. Dan penghormatan yang diberikan oleh rakyat itu
bukan dipaksakan ataupun ‘diarahkan’. Ini merupakan penghormatan spontan oleh
rakyat yang lahir dari hati dan perasaan yang cukup ikhlas.
Aku masih kecil ketika aku dibawa oleh bapa untuk
menziarahi pengkebumian Allahyarham Dr. Zulkifli Muhammad di Kuala Kangsar.
Ketika itu aku tidak tahu mengapa bapa sanggup membawa aku pergi pengkembumian
demikian. Selalunya tidak begitu. Bapa tidak menyatakan kepada aku sebabnya. Yang
aku masih ingat bahawa lautan manusia ‘menangisi’ pemergian Dr. Zulkifli
Muhammad dan isterinya. Dan ‘mereka’ berdua disemadikan di perkarangan rumah
Ustza Zulkifli di kampung Kota Lama Kiri, tidak jauh dari bandar diraja Kuala
Kangsar.
Kini setelah membaca puluhan artikel mengenai Dr.
Zulkifli Muhammad, barulah aku tahu mengapa arwah bapa ku bersungguh benar
membawa aku menziarahi pengkebumian Ustaz Zulkifli Muhammad. Dan kesannya
terpahat dihati dan perasaan ku kini. Aku tidak mengenali Dr. Zulkifli Muhammad
tetapi kesayangan dan kecintaan ku kepadanya sama jugalah bagaimana kesayangan
aku kepada arwah bapaku juga.
Secara kebetulan ketika pemergian Nelson Mandela
aku berada di London. Selama beberapa hari BBC dan saluran TV di London
mengadakan siaran langsung tentang pengkebumian Nelson Mandela di Afrika
Selatan. Dan penghormatan yang diberikan oleh warga Britain jkepada beliau juga
adalah luar biasa. Mereka tangisi pemergiannya. Mereka lahirkan kesedihan
mereka melalui kalungan bunga yang diletakkan di perkarangan ‘rumah Mandela’.
Bukan hasrat aku untuk menyamakan perjuangan
Karpal Singah, Zulkifli Muhammad dan Nelson Mandela. Yang ingin aku persoalkan
ialah mengapa rakyat dengan spontan menangisi dan memberikan penghormatan
terlalu tinggi terhadap pemergian mereka. Dan penghormatan yang
diberikan itu bukan diatas dorongan untuk mendapatkan sesuatu. Dan tidak juga
dipaksakan atau diarahkan oleh pihak-pihak tertentu.
Betul kata ahli bijak pandai, “ respect must be
earned…”
abuhassanadam
19 April 2014
Hamba turut menziarahi jenazah arwah Karpal Singh pada tengahari tadi (19.4.14) dan memerhatikan bahawa hampir 99 % daripada penziarah yang bertali arus selama berada setengah jam di 144, Jalan Utama, George Town itu adalah dari kalangan bukan Melayu. Ini tidak menghairankan memandangkan arwah dari Pulau Pinang. Sebaliknya jika tak silap pada kematian Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS dulu lautan manusia membanjiri itu yang 99%nya adalah orang Melayu pula. Kapal Singh dan Ustaz Fadzil juga tokoh kebangsaan yang hebat. Natijahnya negara kita masih berpolar tajam. Ada sekurang-kuranya tiga tokoh hebat lagi ( Lim Kit Siang, Anuar Ibrahim dan Nik Aziz ) yang andainya mereka kembali ke rahhmatullah profil penziarah masih tidak mungkin banyak berubah yakni penziarah terlalu dominan masih mengikut kaum. Pada misi dan perjuangan mereka adalah bersifat nasional tetapi apabila mereka tinggalkan dunia fana ini kalangan penziarah tidak mencerminkan demikian, maknanya negara kita masih dibebani dengan isu perkauman yang tebal.
ReplyDelete