Tuesday, April 22, 2014

LARANGAN KE SARAWAK : APAKAH SARAWAK JUGA ADA MENYEMBUNYIKAN SESUATU?

Aku merasa pelik melihatkan gelagat pimpinan negeri sarawak yang bertindak melarang kemasukan beberapa pemimpin dari Semenanjung ke negeri Kenyalang itu. Semacam ada sesuatu rahsia yang hendak disembunyikan dari pengetahuan umum oleh kerajaan Sarawak sehinggakan sanggup menghalang kedatangan ‘pelawat’ dari Malaysia itu. Atau pun besar benarkah kesalahan setengah pemimpin negeri itu yang menyebabkan mereka begitu takut kepada pendedahan yang berkemungkianan diceritakan kepada rakyat Sarawak.

Sekiranya beberapa pendedahan dibuat oleh pemimpin yang datang ke Sarawak itu, tidakkah ada kemampuan pula dari segi kepimpinan Sarawak itu menafikan apa saja tuduhan yang dilemparkan. Apakah sudah tidak ada pemimpin di sarawak yang mampu berfikir lagi untuk menjawab segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan. Dan sekiranya kepimpinan Sarawak tidak melakukan sebarang kesalahan  atau ‘dosa’ terhadap rakyat Sarawak, maka apakah yang ditakutkan. Bukankah ‘berani itu kerana benar dan takut itu kerana salah’.

Apabila kepimpinan Sarawak terus menerus bersikap melarang pemimpin Pakatan Rakyat masuk ke Sarawak maka lebih kuat tohmahan rakyat Malaysia dan rakyat Sarawak khususnya yang merasakan pemimpin negeri Sarawak telah melaku ‘dosa’ yang cukup besar terhadap rakyat Sarawak. Tentulah bukan semua pemimpin Sarawak yang bersikap begitu. Namun dengan menunjukkan sikap angkuh terhadap pemimpin Pakatan Rakyat itu jelas menunjukkan sememangnya ada pemimpin di Sarawak yang telah membuat ‘dosa’ yang cukup besar kepada rakyat dan cuba menyembunyikan sesuatu dari rakyat supaya tidak diketahui.

Kepimpinan Sarawak harus sedar juga bahawa, ‘ bangkai gajah tidak mudah ditutup dengan nyiru’. Lambat laun akan diketahui juga. Dan rakyat Sarawak tidak selama-lamanya boleh ditipu dan diperbodohkan.

Beberapa hari sebelum berlakunya PRK Balingian tempoh hari, beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat telah dihalang untuk memasukki Sarawak. YB Tien Chua, YB Rafizi Rami dan Dato saifuddin Nasution telah tidak dibenarkan memasuki Sarawak. Dari lapangan terbang Sibu mereka telah dihantar balik ke Kuala Lumpur. Untuk ‘memujuk’ hati dan perasaannya, YB Tien Chua mengatakan,’ “It’s not that East Malaysia doesn’t want me; the Barisan Nasional government is paranoid against me”. Bagi aku samada kerajaan Barisan Nasional ataupun kerajaan Sabah dan Sarawak adalah ‘sama waktu dengannya’. Maknanya serupa dan sepemakaian. Bukan sahaja orang luar Malaysia yang susah untuk memahami keadaan ini, malah rakyat Malaysia yang waras fikirannya juga amat sukar untuk memahaminya.

Adanya peruntukan yang berkaitan dengan imigresen di Sarawak ini bermula dengan rancangan penubuhan Malaysia. Pada 9 Julai 1963, Temenggong Jugah anak Barieng, Datu bandar Abang Haji Mustafa dan Ling Beng Siew telah menandatangani Perjanjian Malaysia di London. Antara yang dipersetujui oleh mereka ialah syarat mengenai imigresen yang difikirkan wajar diwujudkan untuk menyekat kemasukan berleluasa imigran yang boleh menggugat keadaan politik dan ekonomi kedua-dua negeri berkenaan. Dan yang lebih penting lagi peruntukan ini diwujudkan untuk menyekat economic transmigration ‘ menghalang kemasukan golonagn imigran yang boleh mengancam peluang dan kedudukan bumiputera Sarawak dalam bidang ekonomi.

Sekiranya itu alasan untuk mewajarkan peruntukan itu maka pastinya amat sesuai diwujudkan. Persoalannya sekarang ialah apakah dengan menyekat kemasukan YB Tien Chua, YB Rafizi Ramli itu wajar pada pandangan pihak yang berkenaan di Sarawak. Apakah jawapan yang boleh diberikan sebagai alasan menafikan kemasukan pemimpin-pemimpin ini ke Sarawak. Apakah kemasukan tokoh-tokoh pembangkang ke negeri ini bertujuan untuk mengancam kedudukan ekonomi bumiputera Sarawak? Mungkin tindakan kerajaan Sarawak itu ditertawakan oleh dunia luar.

Sudah menjadi lumrah pihak yang berwajib kini untuk menggunakan jentera kerajaan untuk ‘menutup mulut’ para pemimpin pembangkang daripada menyuarakan sesuatu penyelewengan yang dilakukan. Pihak berwajib kini samada di peringkat pusat atau di peringkat negeri sudah tidak berdaya untuk menangkis segala hujah dan tohmah yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap mereka dengan cara berdepan. Mereka seolah-olah mengamalkan tindakan ‘pukul cari’ sebagai jalan mengelakkan diri mereka daripada mendapat kritikan rakyat.

Selama mana pihak yang berwajib di sabah dan Sarawak dapat menggunakan tektik ini untuk menyekat kemaraan pembangkang ke negeri-negeri Sabah dan sarawak bagi menjelaskan sesuatu kepada rakyat. Kerajaan kedua-dua negeri ini tidak terdaya rasanya untuk terus memperbodohkan rakyat mereka, apatah lagi dengan serangan-serangan yang dapat disalurkan melalui internet dan media sosial lain. Dan kerajaan Sarawak dan Sabah hanya boleh menyekat kemasukan maklumat ini sekiranya rakyat di negeri-negeri ini terus menerus diperbodohkan. Tetapi soalnya selama mana?

Amat tidak wajar sekiranya dengan menghalang kedatangan pemimpin pembangkang ke Sarawak itu bertujuan untuk mengelakkan rakyat Sarawak dan Sabah daripada mendapat maklumat terkini tentang berbagai perkara. Amat malang bagi rakyat Sarawak mendapat pemerintahan yang sedemikian dalam suasana dunia kini mementingkan ledakan maklumat sedangkan rakyat Sarawak dinafikan sumber maklumat sedemikian? Amat malang sekali bagi rakyat kedua negeri ini yang agak ketinggalan daripada negeri-negeri lain di Malaysia.

Pemimpin Sarawak harus berterus terang kepada rakyat Sarawak dan kepada umum sekiranya tiada yang perlu disembunyikan. Sekiranya ketelusan yang menjadi amalan pemerintahan di sarawak mengapa perlu ditutup dan disembunyikan. Dengan bertindak sedemikian akan terus memberikan gambaran kepada rakyat di luar Sarawak bahawa kepimpinan Ketua Menteri Sarawak yang baru lebih ‘teruk’ daripada kepimpinan yang lama. Mungkin begitu anggapan ramai.

abuhassanadam
23 April 2014


No comments:

Post a Comment