Sunday, April 13, 2014

RUPANYA ORANG MELAYU JUGA  ‘LARI’ KELUAR NEGARA

Laporan Bernama berjodol,“Perth’s 20,000-strong Malay Community pray for swift closure for MH 370 families” dalam Malaysia Chronicles bertarikh 13 April 2014 tentunya mengejutkan dan menarik perhatian ramai orang terutamanya rakyat Malaysia yang sentiasa menjangkakan bahawa orang Melayu masih ‘berada di bawah tempurung’.

‘Terkejut’ disebabkan kejutan yang mengatakan bahawa terdapat 20,000 orang Melayu yang berada di Perth, Australia. Itu bukan jumlah yang sedikit. Itu baru di Perth. Bagaimana dengan di Sydney, Melbourne, Adelaide dll. Itu baru jumlah orang Melayu. Bagaimana pula dengan orang Cina, India yang telah berhijarh beramai-ramai semenjak beberapa tahun yang lampau. Dan sekiranya diperincikan, pasti jumlah rakyat Malaysia yang berhijrah ke luar negara tentunya ‘amat mengejutkan’

Itu baru di Australia. Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang berada di United Kingdom, Amerika Syarikat. Dari satu segi kita melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang menarik, menampakkan bahawa bangsa Malaysia sudah boleh ‘berdiri sama tegak dan duduk sama rendah’ dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Menampakkan bahawa bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu sudah boleh ‘berdikari’ dan bergerak seiring dengan bangsa-bangsa lain yang maju.

Apa tidaknya. Kebanyakan orang Melayu yang berada di luar negara bukan golongan yang ‘merempat’ yang ‘menadah tangan’ di mana-mana mengharapkan pertolongan orang lain. Mereka ada lah merupakan golongan professional yang boleh hidup dengan senang lenang, menikmati kehidupan seperti mana yang dinikmati oleh pendududk tempatan, ekoran daripada pendidikan tinggi yang diperolehi oleh mereka.

Amat tepat dengan saranan Rasulullah yang menyarankan agar umat Islam berhijrah. Nabi Muhammad berjaya mengembangkan Islam setelah beliau berhijarh ke Madinah. Dan atas dasar ‘kepimpinan melalui teladan, orang Islam juga seharusnya berhijrah untuk mengubah nasib masing-masing. Dan tentulah konsep ‘hijrah’ tidak terhad kepada persoalan berpindah dari satu tempat ke tempat lain. ‘Perbubahan’ cara berfikir adalah juga merupakan satu ‘hijrah’. Orang Melayu harus ‘lari’ dari berfikiran secara totok dan jumud dan seharusnya bersedia untuk menempah perubahan-perubahan yang besar sesuai dengan perkembangan zaman dalam kerangka Kurun ke 21.

Aku tidak banyak tahu mengenai kisah orang Melayu di Perth tetapi aku tahu tentang keunikan orang Melayu yang tinggal di United Kingodm. Di Liverpool, agak ramai keluarga Melayu tinggal di sana. Begitu juga di Hull. Aku masih ingat tentang seorang Melayu (Pak Mat) yang menjalankan kerja ‘amal jariah’ kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Hull sekitar penghujung tahun 90an. Beliau menjadi orang ( tua) harapan Jabatan Penuntut Malaysia ketika itu.

Kisah seorang Melayu yang bernama Pak Mat ( bukan nama betul aku rasa) yang hampir setiap tahun akan memastikan hadir pada majlis sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia di Tun Abdul Razak Research Centre, Brickendonbury,Hertford England pastinya menarik. Ada dua keunikan beliau.

·      Beliau masih merasakan bahawa Malaysia itu sebagai ‘Malaya’. Mungkin disebabkan sudah terlalu lama agaknya berada di sini. Mengikut ceritanya, beliau meninggalkan kampung halamannya di “Malaya’ pada tahun 1951. Dengan sebab itulah beliau sudah tidak begitu ‘perasan’ yang Malaya telah mencapai kemerdekaan!....
·      Kehadirannya di pesta menyambut ulang tahun itu, bukan ‘tangan kosong’. Pasti akan membawa buah-buahan dari kebunnya untuk ‘disedekahkan’ kepada ‘anak cucu’ berketurunan Malaysia, yang hadir merayakan ulangtahun kemerdekaan itu. Melihatkan kepada buah-bahan yang disedekahkannya itu menunjukkan bahawa sememangnya beliau mempunyai sebuah ‘orchard’ yang ditanam dengan berbagai-bagai jenis biah-buahan.

Dikalangan masyarakat Melayu yang tinggal di East London wujud juga Kelab Melayu disitu yang menjalankan berbagaii kegiatan yang tidak banyak bezanya dengan kehidupan masyarakat Melayu di Malaysia. Satu hal unik juga mengenai masyarakat Melayu di sini ialah mengenai adat Melayu yang mementingkan semangat bergotong royong dan tolong menolong masih menebal diamalkan disini. Mereka sentiasa hidup tolong menolong antara sama lain, terutaka apabila anggota masyarakat mereka mengalami kesusasahan.

Aku pernah bertanya tentang perkara ini kepada beberapa orang pemimpin di situ. Pak Mat juga namanya. Seorang lagi bernama Pak Hamzah yang juga merupakan seorang imam di surau mereka. Beliau menjelaskan yang  semangat bergotong royong masih terus diamalkan disini ialah kerana mereka tidak ‘terputus’ dengan budaya Melayu yang diamalkan oleh mereka apabila mereka meninggalkan ‘Malaya’ pada tahun 1950an. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa masyarakat Melayu di Malaysia kini sudah banyak berubah, terutama yang berkaitan dengan soal budi dan semangat bergotong royong dan tolong menolong sepertimana yang dibanggakan oleh orang Melayu dulu-dulu.

Menyentuh tentang hal-hal yang berkaitan dengan kehadiran masyarakat Melayu di Perth dan beberapa tempat lain di dunia kini, tentulah kita merasa hairan mengapa hal ini boleh berlaku. Kita hanya menjangkakan yang kaum Cina dan India sahaja yang berhijrah meninggalkan Malaysia. Rupa-rupanya kaum Melayu juga sudah mula berhijrah dan meninggalkan Malaysia.

Mengapalah agaknya hal yang sebegini boleh berlaku?

Apakah orang Melayu sudah tidak lagi berminat untuk tinggal di negara tumpah darahnya disebabkan keadaan yang tidak menyeronokkan berbanding dengan keadaan di negara orang.

Apakah orang Melayu sudah melupakan bahawa datuk nenenk pernah berpesan bahawa, ‘ hujan emas di negeri orang dan hujan batu di negeri sendiri’

Apakah faktor yang menyebabkan orang Melayu ‘merajuk’ dan meninggalkan negara yang tercinta ini. Apakah mereka terlalu ‘berkecil hati’ dengan keadaan pemerintahan di negara ini? Apakah mereka terasa ‘terhina’ kerana tidak dipedulikan tentang kepakaran dan professionalisme yang mereka miliki sementara kerajaan hanya mementingkan ‘kerabat’ dan ‘kroni’ yang ada kaitan dengan UMNO (BN) semata-mata.

Apakah itu alasannya yang menyebabkan mereka ‘merajuk’ dan ‘lari’  meninggalkan negara pusaka nenek moyang ini?......

Abuhassanadam
13 April 2014



No comments:

Post a Comment