Thursday, April 17, 2014

KEHILANGAN DUA WIRA -
YB KARPAL SINGH DAN  DR ZULKIFLI MUHAMMAD

Aku melihat kehilangan mendiang Karpal Singah seperti juga kehilangan Allah Yarham Zulkifli Muhammad lima puluh tahun yang lampau. Kedua-duanya bertaraf ‘singa’ dan wira rakyat. Cuma bezanya ramai yang tidak tahu mengenai perjuangan Allah Yarham Zulkifli Muhammad berbanding dengan perjuangan mendiang Karpal Singh disebabkan zaman yang memisahkan antara keduanya. Bagi rakyat Malaysia yang cintakan perdamaian, pemergian dua orang wira negara ini pasti ditangisi. Jarak ‘pemergian’ antara kedua tokoh ini adalah 50 tahun. Mendiang Karpal Singah meninggalkan kita pada 17 April 2014 sedangkan Allah Yarham Zulkifli Muhammad pulang ke Rahmatullah pada  6 Mei 1964.

Aku terpanggil untuk menulis tentang kedua-dua tokoh ini kerana ‘nasib’ malang yang menimpa mereka adalah lebih kurang sama. Kemalangan jalan raya. Mendiang Karpal terbabit dengan kemalangan jalan raya  di Lebuhraya Utara-Selatan ketika dalam perjalanan ke Utara. Dikatakan kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian seorang pemandu lori yang menukar haluan tanpa memberikan sebarang isyarat yang menyebabkan malapetaka berlaku.

Dr. Zulkifli Muhammad pula menemui ajalnya juga dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke Perak dari Kelantan, bersama isterinya, Ustazah Asiah kamaruddin yang merupakan Naib Ketua Muslimat PAS pusat pada 6 Mei 1964.

Rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian, ketelusan, keikhlasan pimpinan pastinya akan menangisi pemergian mendiang Karpal dan Dr. Zulkifli. Anak muda kini mungkin tidak kenal dan tahu siapa sebenarnya Dr. Zulkifli Muhammad disebabakan ketokohannya sentiasa ‘disembunyikan’ dan tidak pun tercatat dalam buku sejarah untuk dipelajari oleh anak-anak kemdian hari. Perjuangannya adalah merupakan perjuangan ‘the unsung hero’ yang jasa dan pengorbanannya tidak banyak diketahui. Hendaknya janganlah sejarah perjuangan Karpal Singh juga ditenggelamkan dalam arus sejarah.

Negara harus memberikan ruang secukupnya untuk diabadikan sejarah perjuangan dua orang wira negara ini, walaupun perjuagan politik mereka berbeza dengan fahaman arus perdana.

Tidak banyak yang diketahui oleh anak muda tentang perjuangan Allah Yarham Dr. Zulkifli Muhammad. Pada tahun 1956 beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ketika Dr. Burhanuddin Al Helmy dilantik sebagai Yang Dipertua Agungnya. Beliau merupakan pemidato yang hebat dan disegani oleh kawan dan lawan. Beliau mencipta rekod berucap di parlimen selama 4 jam. Di Parlimen beliau banyak membangkitkan isu-isu berkaitan kerakyatan, cukai, penubuhan koperasi, kepentingan pengetahuan teknikal kepada orang Melayu, perkembangan bahasa Melayu, perlunya pusat latihan guru dan yang paling penting menyeru supaya menghentikan penghantaran guru ke Kirkby dan Brinsford di United Kingdom. (Wikipedia).
Menyentuh tentang kehebatan Dr. Zulkifi Muhammad di Parlimen, izinkan aku memetik kenyataan  dari Blog Chemekmolek yang telah menulis dengan panjang lebar mengenai kegiatan Dr. Zulkifli.
Antaranya,
·     Beliau menggesa Persekutuan Tanah Melayu agar menarik balik pengiktirafan terhadap negara Israel.
·   Pada 19 Ogos 1963, beliau berucap menentang penubuhan Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Ini kerana jika berlaku penubuhan Malaysia, pulau Singapura akan terlepas dari kerajaan.
·   Beliau juga membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malah beliau mengecam awal-awal akta ini sebelum ia diluluskan kerana beliau bimbang akta ini digunakan untuk kepentingan politik.
·       Antara isu yang beliau sentuh pada bulan April 1960 ialah mengenai bahasa Melayu sebagai pengantar, ekonomi orang Melayu termasuk RIDA.
·       Ketika persidangan yang lain dari bulan Ogos hingga Disember 1960 Dr Zulkifli Muhammad mengemukakan persoalan mengenai pendatang haram, orang Melayu luar negeri, Laporan Razak mengenai pelajaran, perlunya Malay Economic Secretariat, ali baba, RIDA, cukai, anti corruption agency, architecture kebangsaan dan perlunya rumah-rumah murah untuk kakitangan kerajaan berpendapatan rendah.
·       Dalam tahun 1961, beliau mengemukakan pendapat mengenai Rancangan Pembangunan Lima Tahun mengenai pelajaran dewasa, penggunaan Bahasa Melayu RIDA, FELDA, Dewan Bahasa dan Pustaka, menentang penubuhan Malaysia, dasar pelajaran dan rasuah. Tahun 1962, mengemukakan perlunya Staff Training Centre, Public Record, Crown Agent, RIDA, kemunduran pelajar Melayu, pengjian Islam, Kolej Islam, penubuhan Tabung Haji, perturan sekolah-sekolah, Kolej Pertanian, Bahasa Kebangsaan, perlunya Secretariat Melayu Kuala Lumpur, bahasa Melayu di mahkamah dan keselamatan jalan raya.
Pemerigian kedua-dua orang tokoh ini sepatutnya dijadikan iktibar oleh ahli-ahli parlimen kita yang seharusnya bersedia untuk belajar dan memapstikan kehadiran mereka di parlimen bukan semata-mata untuk memanaskan kerusi tetapi boleh memberikan sumbangan yang amat bermakna sekiranya dimanfaatkan. Sepanjang berada di parlimen, entah berapa kali mendiang Karpal Singh ‘dihalau’ keluar kerana menimbulkan isu yang bertentangan dengan kehendak dan ‘selera’ pihak kerajaan. Namun disebabkan komitmennya yang begitu tinggi terhadap negara maka beliau berterusan memberikan kritikan membina terhadap dasar kerajaan yang difikirkannya tidak menguntungkan rakyat terbanyak.
Kedua-dua tokoh di atas akan dikenang buat selama-lamanya.
abuhassanadam

17 April 2014

1 comment:

  1. Tetapi kedua-dua pemimpin itu tidak menentang sistem kapitalis kronisme ala UMNO yang telah mengakibatkan majoriti rakyat Malaysia jatuh menjadi miskin bandar di dalam persekitaran negara memiliki simbol-simbol kemewahan walaupun negara telah merdeka selama lebih daripada 50 tahun.Sistem kapitalis kronisme inilah yang tidak membawa rakyat majoriti terus hidup selesa dan sejahtera.Arwah Dr Zulkifli Muhammad diakui seorang pemidato hebat dan sangat prihatin dengan nasib rakyat namun perjuangannya tidak melihatkan kita dengan jelas akan dia faham apa iti isu demokratis, keadilan sosial dan perpaduan kaum, beliau banyak memberi komen kritikal tentang perkara yang berkaitan dengan peningkatan institusi kerajaan dalam menangani masalah kemunduran orang Melayu/Islam sedangkan Karpal Singh pula berani mempertahankan yang Perlembagaan Negara jangan sekali disalahgunakan, beliau berjuang untuk keadilan untuk semua bangsa Malaysia. Betul yang kedua-dua tokoh besar ini maut pada kecelakaan mobil setelah dengan tulus ikhlas menyumbang perjuangan suci masing-masing.

    ReplyDelete