CATUAN AIR DI LARUT (TAIPING) – TAK
PELIK KE?
Aku tidak mahu hendak menyalahkan mana-mana pihak
yang menyebabkan paip (pili kata orang Perak) kekeringan air. Yang pentingnya
air bersih mesti mengalir dalam pili. Syabas ke yang bersalah atau kerajaan
negeri Selangor ke yang bersalah---itu kira kemudian. Itu pendapat ramai orang.
Agak berbeza dengan sikap TV arus perdana milik kerajaan yang sentiasa
menyalahkan kerajaan negeri Selangor yang menyebabkan berlakunya catuan air.
Kadang-kadang seolah-olah media arus perdana seperti ‘buta perut’ pula apabila
tidak langsung menyentuh kelemahan kerajaan negeri Perak yang menyebabkan
berlakunya catuan air di Taiping.Mengapa kerajaan negeri Perak tidak
dipersalahkan?
Bagi aku ketiadaan air dan berlakunya catuan air
di Taiping merupakan sesuatu yang luar biasa. Menghairan dan menakjubkan. Luar
biasa. Pelik. Seingat akulah, yang pernah juga tinggal di Taiping buat beberapa
ketika, tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah yang Taiping ketiadaan air. Taiping
terkenal di seluruh Malaysia kerana hujannya. Taiping merupakan salah sebuah
tempat di Malaysia yang paling banyak menerima hujan. Kini di Taiping telah
berlaku kekurangan air. Tentulah pelik benar bunyinya. Tetapi bagi media arus
perdana yang sentiasa menyokong tindakan kerajaan, tidak pula berasa pelik
apabila Bukit Larut yang mendapat taburan hujan 4000mm setahun terpaksa
mengadakan catuan air di Larut, Taiping. Rakyat tidak hairan sekiranya Menteri
Besar Negeri Sembilan mengadakan catuan air di Jelebu dan Kuala Pilah.
Sememangnya dua kawasan berkenaan sentiasa mendapat taburan hujan yang amat
kurang di Malaysia.
Zaman dulu-dulu, sebelum pili ‘masuk’ ke kampung
aku, hampir setiap tahun kampung kami menghadapi musim kemarau, musim air telaga kekeringan, musim daun getah
bergguguran, musim menimba kolam yang hampir kekeringan untuk menangkap ikan.
Kesulitan yang sebegini biasanya melanda kampung kami setahun sekali dan
penduduk kampung akan menhadapnya dengan tabah. Kehendak Tuhan. Itulah jawapan
yang paling menenangkan hati siapa yang merasakan. Tidak pula ada yang
menyalahkan kerajaan atau pemerintah yang menyebabkan keadaan terjadi demikian.
Dan tidak pula ada usaha pihak pemerintah untuk meringankan bebanan rakyat di
luar bandar dengan menghantar lori tangki berisi air kepada penduduk kampung
misalnya. Tidak ada. Terpulanglah kepada ‘kebijaksanaan’ orang kampung untuk ‘menyelamatkan’
diri dari kehausan. Dan tidak pula ada yang meninggal disebabkan ketiadaan air
pada musim kemarau.
Rakyat miskin di luar bandar ketika itu terpaksa
berusaha sendiri untuk mendapatkan air. Aku masih ingat bagaimana penduduk di
kampung aku terpaksa berjalan berbatu-batu untuk ke sungai Ulu Kangsar ataupun
ke Batu Hampar di Paya Lintah untuk mandi manda pada musim kemarau. Dan aku
masih ingat bagaimana kebanyakan sungai kecil di kampung aku kekeringan. Dan
aku masih ingat bagaimana telaga yang menjadi punca air minuman juga
kekeringan.
Rupa-rupanya derita awal 1960an dulu masih terus melanda
kehidupan kini pada awal Kurun ke 21. Aku masih terus menderita disebabkan
ketiadaan air pada zaman ini. Bukan di kampung tetapi di bandaraya Kuala
Lumpur. Aku terpaksa menghadapi kehidupan catuan air di sebuah bandar moden
pada zaman global. Yang agak melegakan ialah aku tidak perlu berjalan
berbatu-batu untuk mendapatkan air. Namun aku terpaksa juga berkereta untuk ke
pasar-pasar Raya bagi mendapatkan air bersih untuk menampung kekurangan air
yang kadang-kadang tidak mencukupi.
Kisah penderitaan rakyat marhaen seperti yang aku
alami tidak dirasakan oleh rakyat Malaysia yang tinggal di Putrajaya dimana
bekalan air melimpah ruah (agaknya) sehinggakan dapat menampung air untuk
memenuhi sebuah tasik. Alangkah bahagianya mereka yang tinggal di kawasan
Putrajaya dimana kebajikan mereka yang selalu dijaga dan diambil perhatian
berbanding dengan rakyat marhaen seperti kami yang tinggal di rumah-rumah
pangsa dan kawasan-kawaan yang dihuni oleh rakyat miskin walaupun bertaraf
Bumputera dan selalu digelarkan sebagai ‘Melayu’.
Nampaknya Melayu yang tinggal di kawasan miskin
di bandar-bandar tidak begitu dipedulikan apabila ketiadaan air. Orang Melayu
di kawasan ini hanya diambil berat dan dipedulikan apabila sampai masa dan saat
ketikanya ketika kami diperlukan untuk mengundi pada setiap pilihan raya.
Malangnya bagi Melayu yang tinggal di kawasan berkenaan ialah tidak pula ada
pilihanraya umum atau pilihan raya kecil pada ketika ini. Mungkin agaknya
sekiranya ada pilihan raya kecil diadakan pada ketika ini tidak akan berlakulah
catuan air seperti yang ada sekarang. Mungkin begitu agaknya……
abuhassanadam
30 April 2014
Alhamdulillah....
ReplyDeleteTerima kasih