BUCU BENDANG PAK NGAH TENGIN
Melihat keadaan kini, aku tidak dapat
membayangkan samada kanak-kanak kini (yang beragama Islam) gembira menyambut
kedatangan bukan Ramdhan. Bulan puasa. Bagi kanak-kanak yang berada dalam
tahun-tahun 1950an, pastinya bulan puasa disambut dengan keriangan dan
keseronokan. Apa tidaknya. Banyak yang menyeronokan.
Sekolah Melayu cuti selama sebulan pada bulan
puasa. Penjajah British seolah-olah ‘tahu mengambil hati’ orang Melayu pada
ketika itu dengan cara memberi cuti sekolah selama satu bulan. Disebabkan cuti
sekolah yang panjang, dapatlah kami sepuas-puasnya bermain pada bulan puasa.
‘Jadual’ kami ‘penuh’, dari pagi sampai ke petang. Malah sampai ke tengah malam,
kami masih ‘bersiar-siar’ di perkarangan Surau Ekor Dusun ( nama kampung aku).
Bila aku renung kembali tentang kisah-kisah lama,
terutama zaman kanak-kanak tentulah terjawab beberapa persoalan mengapa kami
sentiasa berada di luar rumah – bermain. Tidak ada apa yang menariknya suasana
di rumah. Maksud aku tidak ada permainan yang boleh ‘memikat’ untuk kanak-kanak
berada di rumah berbanding dengan keadaan kini di mana anak-anak boleh
‘melekat’ di rumah disebabkan berbagai-bagai tarikan yang membolehkan mereka
berada di rumah. Jangankan ‘Ipad’, radio pun tidak ada. Tidak ada buku atau
novel atau majalah untuk dibaca. Suratkhabar pun tidak ada. Bahan bacaan yang
ada untuk dibaca hanyalah buku teks sekolah seperti ‘Canai Bacaan’. Memang tidak menarik
langsung!!..
Dengan demikian, tidak hairanlah kanak-kanak
kampung (termasuk aku) mencari ‘hiburan’ di luar. Pagi-pagi lagi kami sudah
keluar ‘berburu’, melastik burung. Pada waktu pagi begini biasanya,
burung-burung akan berkeliaran mencari makan. Merbah, Murai, Kelicap akan
hinggap ‘beramai-ramai’ di atas dahan Dedalu, berhampiran dengan kolam ikan,
bucu bendang Pak Ngah Tengin. Aku, Ngah, Ani, akan bersedia dengan lastik untuk
mencari peluang ‘membunuh’ mangsa.
Kini baru aku sedar bahawa perbuatan kami
membunuh burung-burung itu sememangnya tidak harus dilakukan. Mengapa guru-guru
zaman dahulu tidak menanamkan perasaan belas kasihan kepada burung-burung dan
binatang-binatang. Seingat aku tidak pernah aku menerima nasihat atau
teguran-teguran dari guru atau pun orang tua-tua di kampung supaya jangan
membunuh binatang. Kami tidak diajar supaya menyayangi binatang sepertimana
yang diajar kepada kanak-kanak kini.
Lantas seolah-olah kami ‘memusuhi’ semua binatang
yang ditemui. Kami menganggap bahawa semua binatang adalah membahayakan.
Mungkin yang terselamat daripada ‘dimangsakan’ adalah kucing. Itupun tidak
kurang pengainayaan yang dilakukan terhadap kucing.
Kegiatan melastik burung-burung di Bucu Bendang
Pak Ngah Tengin adalah merupakan ‘kegiatan harian’ kami. Di situ jugalah
merupakan ‘meeting place’ anak-anak di kampung. Kadang-kadang hendak aku
samakan ‘peranan’ pohon dedalu Bucu Bendang Pak Ngah Tengin itu seperti
‘peranan’ kelab-kelab Golf zaman ini
yang merupakan ‘meeting point’ golongan peminat golf untuk berjumpa dan
bermesra disamping bermain golf.
Lebih kurang begitu jugalah ‘peranan pohon Dedalu
Bucu Bendang Pak Ngah Tengin. Kami akan berkumpul di bawah pokok Dedalu sambil
memerhatikan kalau-kalau ada Merbah atau Ciak yang singgah. Di sini jugalah
kami belajar ‘menembak’ dengan menggunakan lastik. Ada juga antara kami telah
berjaya mengorbankan burung-burung berkenaan dengan menggunakan lastik
semata-mata untuk mendapat kepuasan. Yang anihnya kegiatan sedemikian tidak
langsung harus dicontohi oleh anak-anak zaman ini. Aku amat sedar bahawa
perbuatan sedmikian tidak harus dicontohi oleh anak cucu kemudian. Namun begitu
tidak seorang pun (orang dewasa) yang menghalang perbuatan melastik burung itu.
Berhampiran dengan pokok Dedalu di Bucu Bendang
Pak Ngah Tengin itu, terdapat juga pokok cherry yang menyediakan buah-buah yang
ranum sebagai ‘sarapan pagi’ kami (waktu tidak berpuasa). Walaupun tidak
mengenyangkan, namun cukup untuk
mengalas perut yang tidak berisi pada waktu pagi. Dan kebanyakan kami
sememangnya tidak bersarapan pagi. Sarapan ‘rasmi’ kami hanyalah makan tengah
hari dan makan malam. Kami tidak mengenali ‘sarapan pagi’ ataupun ‘tea break’
atau ‘afternoon tea’. Yang kami tahu ialah makan tengah hari dan makan malam.
‘Sarapan pagi’ atau ‘tea break’ atau ‘afternoon tea’ kami perolehi denga cara
memakan buah-buah hutan yang kebetulan ada sepanjang masa. Buah Helemba
misalnya adalag sejenis buah-buah yang terlalu manis yang boleh diperolehi
daripada pokoknya yang tumbuh meliar di pinggir hutan berdekatan dengan kampung
kami.
Dari bawah pohon Dedalu itulah kami merancang dan
mengatur apakah ‘agenda’ seterusnya yang akan kami lakukan pada hari berkenaan.
Permainan apa yang akan dimainkan pada hari berkenaan. Sekiranya telah
ditetapkan untuk bermain gasing maka ‘gelanggang’ yang paling sesuai adalah di
laman rumah Pan Anjang Judah….
Bersambung…
abuhassanadam
30 Jun 2014