Monday, May 1, 2017

PAS MUNGKIN ‘MELEPASKAN’ KELANTAN…

Kelantan akan jatuh ke tangan Barisan Nasional. Itu kata Ku Li. Yang menghairankan ialah bagaimana para pengikut PAS terutama yang datang dari Kelantan tidak ‘nampak’ bahawa Kelantan akan terlepas dari tangan PAS pada bila-bila masa diadakan PRU 14 nanti. Ini yang dikatakan sudah terang lagi bersuluh. Malangnya PAS Kelantan seolah-olah tidak dapat langsung menganialisis perkembangan yang berlaku kini.

Keyakinan aku besar bergantung kepada kenyataan YBM Tengku Razali Hamzah yang mengatakan, ‘“BN mampu kembali mentadbir kerajaan negeri ini, tetapi perlu mengatur strategi mulai sekarang. Strategi yang diatur akan membolehkan BN merampas semula pemerintahan kerajaan daripada PAS yang dipegang sejak 1990,” Malaysiakini 30 April 2017.

Kebiasaannya ahli politik veteran seperti Ku Li tidak bercakap ‘kosong’ apatah lagi beliau yang dianggap ahli politik veteran yang sudah berkecimpung lama dalam sepak terajang politik tanah air khususnya di Kelantan. Keyakinan BN menawan semula negeri itu berdasarkan keinginan rakyat Kelantan yang mahukan pembaharuan selepas melihat kelemahan PAS mentadbir negeri itu.

Disebabkan kuatnya penggantungan Tengku Razali kepada BN, beliau hanya mengatakan bahawa Kelantan akan terlepas ke tangan Barisan Nasional. Dan beliau mungkin tidak dapat menduga kekuatan Pakatan Harapan yang berkemungkinan besar mengambil alih pentadbiran negeri Kelantan. Keadaan sedemikian tidak harus diketepikan memandangkan rakyat Kelantan yang biasa membuat kejutan. Tidak siapa yang menyangka bahawa pentadbiran Barisan Nasional di Kelantan berpindah tangan kepada penadbiran PAS pada awal tahun 1990an. Itulah keadaan yang berlaku pada ketika itu.

Harus disedari juga bahawa penerusan pemerintahan PAS di Kelantan sebelum ini banyak bergantung kepada kepimpinan dan keperibadian Tuan Guru Nik Aziz yang sangat dihormati dan disayangi oleh rakyat Kelantan. Pengekalan kuasa PAS di Kelantan selama 27 tahun itu banyak bergantung kepada keperibadian kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz. Dan kini beliau sudah tidak ada lagi dan bagi rakyat Kelantan tentunya amat sukar untuk menggantikan kepimpinan sepertimana yang ditunjukkan oleh Arwah Tuan Guru.

BN begitu yakin akan menakluki Kelantan. Hakikat ini tidak dapat dinafikan. Seolah-olah para pemimpin tertinggi PAS juga sedar bahawa PAS akan ‘menyerahkan’ Kelantan kepada Barisan Nasional ekoran daripada beberapa tindakan yang dilakukan oleh pemimpin PAS kini. Seolah-olah PAS tidak gondah langsung negeri Kelantan berpindah tangan dari PAS kepada Barisan Nasional.

Pemimpin PAS di semua peringkat seolah-olah sudah mengiktiraf persahabatan dan keakraban mereka dengan Barisan Nasional walaupun tidak dinyatakan dengan jelas. Hasil daripada kata-kata dan ucapan serta beberapa tindakan kepimpinan tertinggi PAS seolah-olah ternampak ‘sekilas ikan di air yang sudah diketahui jantan betinanya’.

Musuh politik PAS bukan lagi UMNO (BN) tetapi adalah sekutu lama PAS ia itu DAP, Amanah dan PKR. Kini PAS sibuk untuk memutuskan hubungan dengan PKR dan seolah-olah PAS kini begitu ‘sombong’ dan ‘ranggi’ setelah bersekongkol dengan UMNO. PAS lupa bahawa kemenangannya di beberapa kawasan pada PRU 13 yang lalu adalah diatas sokongan dan dokongan ‘kawan lama’ seperti DAP dan PKR.

Sebagai contoh, aku amat yakin bahawa PAS tidak akan dapat ‘mencium’ bau kawasan Temerluh (jangankan memenangi kawasan itu ) sekiranya tidak dengan kerjasama PKR dan DAP (yang mempengaruhi undi bukan Melayu). Kemenangan calon PAS di situ, pada PRU 13 yang lalu bukanlah disebabkan ketokohan dan kepimpinan calon tetapi adalah disebabkan aliran penentangan yang begitu kuat terhadap BN pada ketika itu. Dan mungkin ramai pengundi di kawasan Temerloh kini yang merasa kesal diatas ‘kehilangan’ Saudara Saifuddin Abdullah sebagai wakil mereka di situ.

PAS kini seolah-olah kehilangan arah tuju. Kepimpinan tertinggi PAS tidak tahu ke mana PAS hendak di bawa. Pemimpin atasannya mengatakan bahawa mereka tidak bekerjasama dengan UMNO, sedangkan segala tindak tanduk pemimpin tertingginya adalah ke arah itu. PAS semacam tidak berani langsung menyentuh tentang isu IMDB sedangkan isu IMDB lah yang menjadi isu yang paling hangat dibincangkan oleh rakyat kini.

PAS takut menepati peribahasa Melayu yang mengatakan, ‘yang dikandung berciciran dan yang dikejar tak dapat’. Memandangkan kepada senario hari ini jelas menampakkan bahawa PAS semacam sudah tidak relevan lagi dengan keadaan semasa – senario Kurun ke 21. PAS mungkin berkhayal dengan senario kurun ke 20 dimana ahlinya merupakan pengikut ‘membabi buta’ tetapi tidak lagi dengan keadaan kini. Ramainya pengikut PAS yang keluar meninggalkan parti berkenaan menunjukkan dengan jelas bahawa parti itu hanya diamati oleh hanya segelintir pengikut yang fanatik.

Apa yang dikatakan tentang parti PAS itu hanya merupakan satu persepsi dan begitu juga apabila Ku Li mengatakan bahawa kemungkinan  BN akan mengambil semula Kelantan. Itu juga merupakan satu persepsi beliau. Mungkin rakyat Kelantan akan membuat kejutan dengan memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Kelantan pada PRU 14 nanti.

Semuanya berkemungkinan belaka. Tidak mustahil juga Barisan Nasional akan tertewas ditangan Pakatan Harapan. Rakyat yang akan menentukan.

abuhassanadam
1 Mei 2017


1 comment:

  1. Ulasan syok sendiri nampak..

    Pada pendapat peribadi saya, kita tak boleh menafikan langsung akan sikap DAP yg anti islam spt yg ditunjukkan selama ini dan kini disertai pula oleh MCA dan Gerakan. Tak usahlah hendak menafikan fakta. Dan dlm masa yg sama pada saya tak usahlah ada kerisauan bila kita tidak dpt bersama DAP. Di luar sana masih ramai lagi org2 kafir yg perlu kita dakwahkan agar tertarik dgn islam.

    Bab DAP biarlah PAN shj yg berusaha utk berdakwah walaupun apa yg terlihat setakat ini ialah PAN pula yg didakwahkan bilamana ulamak PAN tidak layak langsung utk jadi ketua belek fatwa dan mengetuai maqasid syariah yg ditubuhkan oleh DAP. Tapi yg lucunya itu pilihan PAN sendiri dan tak perlu PAS mengajar bagaimana utk mengenali non muslim yg anti atau tidak kpd islam.

    Satu lagi perkara yg agak melucukan ialah arwah TGNA sentiasa dijadikan sbg contoh rujukan namun saya tetap tidak menolak akan fakta tersebut. Tapi adakah DAP dan PAN benar2 menghormati arwah spt yg cuba dicanang2kan selama ini? Kita ambil contoh sumpah baiah dan EKJS Negeri Kelantan yg menjadi bukti akan kecintaan arwah kpd islam. Adakah benar2 dihayati dan dihormati akan kedua2 perkara tersebut oleh PAN dan DAP? Malah pada saya bertambah terserlah kerasnya sikap 'munafik' dan kafirnya mereka. Tak perlulah menafikan jika ianya sudah jelas di depan mata.

    Sekarang ini PAS sedang dibawa ke arah yg betul. Jadi TGHH malah arwah TGNA sekalipun jika tunduk kpd DAP spt G18 dulu pastilah kami akan lontarkan mereka berdua juga keluar dari bahtera PAS.

    ReplyDelete