WUJUDNYA BUDAYA MAKIN HAMUN DAN CARUT-MENCARUT
Apakah sudah wujud suatu budaya dikalangan pemimpin (pembangkang khususnya) yang mempopularkan penggunaan 'maki hamun dan carut mencarut) dalam ucapan-ucapan mereka di perhimpunan pilihanraya kecil? Nampaknya ucapan-ucapan yang sedemikian mendapat sambutan dan sorakan yang bukann kecil dari kalangan peminat khususnya anak muda yang mula-mula berjinak dengan politik tanah air. Bermakna rakyat, khususnya golongan anak muda sudah memberikaan sambutan yang luar biasa terhadap ucapan-ucapan sedemikian. Anak-anak muda yang diiktiraf sebagai golongan terpelajar juga memberikan sambutan yang luar biasa. Pastinya 'mengalahkan' ibu bapa dan guru-guru di sekolah yang sentiasa menyemaikan perangai dan tingkah laku yang baik untuk anak-anak.
Itu juga bermakna bahawa ajaran emak-bapak semenjak kecil sudah diketepikan. Anak muda lebih suka mendengar dan menghayati ucapan-ucapan pemimpin yang mereka sukai. Dan para pemimpin ( yang kurang bertanggung jawab) pula terus menerus 'mendidik' anak-anak muda dengan sogokan ucapan-ucapan yang memberikan keseronokan kepada anak muda walaupun akhirnya telah menelurkan satu masyarakat anak muda yang tidak diketahui ke mana arah tujunya. Itulah gambaran yang boleh 'dilukiskan' yang akan berlaku kepada masyarakat kita (Melayu khususnya) jika tidak dibendung dan dikawal.
Di parlimen Malaysia suatu ketika dahulu.
Walau apa pun hujjah digunakan oleh pihak pembangkang untuk mewajarkan mereka meninggalkan dewan ketika perbahasan sedang berjalan tetap dilihat sebagai sesuatu yang agak 'biadap' walaupun tidak semua pihak pembangkang begitu. Namun seekor kerbau membawa lumpur tentulah semuanya terpalit. Tidak sepatutnya mereka sedemikian memandangkan 'kedudukan' mereka sebagai golongan yang kononnya 'terhormat'. Dan kini setelah berlaku peristiwa demikian telah meletakkan diri mereka ke taraf yang agak rendah di mata rakyat Malaysia.
Apa tidaknya.
Aku merasakan bahawa sekiranya kita pergi melawat ke beberapa sekolah menengah di Malaysia tentu sekali kita tidak diketemukan dengan gelagat pelajar (walau nakal macamana sekali pun ) sepertimana yang dapat di lihat pada suasana ahli parlimen pembangkang menjerit terlolong dan keluar berama-ramai meninggalkan dewan. Tentu sekali kini amat susah bagi guru-guru mententeramkan anak murid mereka di sekolah sekiranya mereka berkeadaan seperti yang kelihatan dipamerkan oleh ahli parlimen pembangkang. Hebat!
Apakah ahli parlimen pembangkang ( tentu sekali bukan kesemuanya) tidak sedar bahawa mereka sedang diperhatikan, khususnya oleh anak-anak kita di luar sana yang sentiasa memerhatikan tindakan pemimpin mereka yang bergelar wakil parlimen dan tentulah golongan inilah yang seharusnya djadikan contoh untuk menunjukkan kepada anak-anak tentang perangai yang harus ditunjukkan dan dicontohi.
Nasi sudah menjadi bubur. Sudah terlanjur para pemimpin pembangkang untuk 'membetulkan' semula persepsi yang ada di benak rakyat Malaysia khususnya bagi anak-anak dan pelajar yang mengikuti sidang parlimen pada 19 September 2023. Tarikh ini akan tetap diingati oleh sesiapa pun yang dianggap oleh pihak pembangkang sebagai peristiwa hitam. Tetapi yang sebenarnya adalah peristiwa yang amat memalukan pihak pembangkang dengan sikap yang ditunjukkan. Malang sekali.
Tentu sekali aku terpanggil untuk menyusuri bait-bait sajak Dato Usman Awang apabila memperkatakan hal-hal yang berkaitan dengan adat orang Melayu. Kata Dato Usman Awang,
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka'
Apakah selari apa yang dikatakan oleh Dato Usman Awang mengenai Melayu dengan tindakann sebahagian para pembangkang yang bertindak diluar kemampuan sebagai seorang Melayu itu? Sukar untuk dijawab. Bagi aku amat sesuai jika dikatakan tindakan setengah dari mereka agak biadap. Tentu sekali bagi aku amat sukar untuk mengubah persepsi aku untuk menyatakan yang tindakan mereka 'sesuai'.
Apakah begitu ajaran ibu bapa mereka menyatakan sesuatu kepada orang yang lebih tua. Aapakah sudah hilang rasa hormat kepada orang yang lebih tua. Tindakan menentang YAB Saudara Anwar Ibrahim secara tidak bersopan bukanlah merupakan budaya Melayu yang sepatutnya diikuti. YAB Anwar Ibrahim adalah seorang Perdana Menteri. Bukan sahaja dihormati di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia (Mungkin ramai ahli pembangkangg tidak tahu bahawa Saudara Anwar pernah menjadi Pengerusi Penasihat Belia Bangsa-Bangsa Bersatu pada suatu ketika dahulu dalam usia yang begitu muda. Apakah golongan yang bersikap demikian sudah cukup sedar bahwasanya tindakan mereka yang sedemikian tidak direstui oleh rakyat.
Mungkin juga ada golongan yang merestui dan memuji. Mungkin!
Pastinya tidak. Itu bukan budaya Melayu.
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu bukan jenis yang terpekik terlolong dalam menyampaikan hujjah terutama terhadap orang yang lebih tua dan berpengalaman. Harus ada rasa hormat kepada golonngan yang lebih tua.
abuhassanadam
21 September 2023
No comments:
Post a Comment