Sunday, September 3, 2023

 

MERAYAKAN  PERAYAAN KEMERDEKAAN (31 Ogos 1957) 

DI KAMPUNG KU

Masih terbayang di mataku malam yang penuh bersejarah itu. Malam menyambut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tidak ada perayaan. Tidak ada bunga api dan tidak ada sorak sorai  riang ria menandakan negeri ku ini telah bebas dari cengkaman British.

Semenjak dari pukul 8.00 malam lagi, mereka dah berkumpul di kedai Pak Man untuk mengikuti siaran selari (siaran secara live) acara menurunkan bendera "union Jack' dan menggantikannya dengan bendera persekutuan Tanah Melayu (ketika itu namanya belum lagi 'Jalur Gemilang'). Siaran 'live' yang aku maksudkan ialah pengisytiharan kemerdekaan yang akan dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman melalui corong radio - Radio Malaya. Dan juruhebah bertugas pada malam berkenaan ialah Abu Bakar Ahmad dan Bahrin Tahir (sekiranya tidak silap)

Sebenarnya bagi masyarakat di kampung ku pada ketika itu tidak kelihatan perbezaan yang ketara antara suasana 'sebelum meredeka' dengan suasana selepas merdeka. Kehidupan mereka adalah seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Namun begitu semacam mereka berpuas hati dengan kehidupan yang mereka lalui. Mereka tetap dengan ketawa dan hilai berderai-derai seolah-olah menggambarkan mereka dalam keseronokan.

Yang hadir di kedai Pak Man menunggu siaran ulasan selari radio Malaya mengenai kemerdekaan Tanh Melayu adalah sekitar enam orang yang termasuklah Pak Man sendiri, bapak aku, Pak Lang Berahim, Pak Ajid  dan aku sendiri yang 'menyibuk'yang 'diarah' oleh bapak supaya mengikuti siaran selari sambutan kemerdekaan. "Penting' katanya. Itulah satu-satunya radio yang ada di kampung ku pada ketika itu. "ERRES' nama jenama radio berkenaan. Itulah gambaran yang dapat aku berikan yang berkaitan dengan sambutan kemerdekaan di kampung aku.

Pukul 12.00 tengah malam sudah dikira 'jauh malam' bagi kampung aku. Jarang penduduk kampung yang sanggup 'berengkang mata'. Lagi pun tidak ada perkara atau peristiwa yang menarik yang boleh menarik minat penduduk kampung untuk berjaga malam. Memang sunyi, hening seheningnya malam itu kecuali kedengaran suara juruhebah Radio Malaya yang menghebahkan peristiwa peting bagi negara.

Bagi aku peristiwa pada malam berkenaan merupakan detik penting dalam sejarah perkembangan tanah air tetapi pada ketika itu, pada malam itu aku tidak dapat merasakan 'kepentingan' peristiwa sejarah yang sedang berlaku. Kini barulah aku sedari mengapa 'orang tua' aku bersungguh benar memaksa aku supaya bersama beliau mengikut acara yang penting itu. Mungkin bapa aku tidak dapat menghuraikan kepada aku tentang perjuangan kemerdekaan yang dilalui mereka. Mereka juga tidak berapa tahu dan tidak berapa jelas. Yang mereka tahu, Tunku Abadul Rahmanlah pemimpin bangsa yang dapat memerdekakan Tanah Melayu dari British.

Selepas mengikuti siaran yang berkaitan dengan kemerdekaan Tanah Melayu daripada genggaman pemerintah British aku tidak nampak sebarang reaksi yang luar biasa daripada mereka yang mengikuti siaran langsung itu. Mungkin aku tidak begitu faham apa yang dibincangkan oleh mereka selepas Tunku Abdul Rahman menteriakkan perkataan 'MERDEKA". Atau mungkin juga perasaan perjuangan rakyat Melayu tidak sama dengan perjuangan rakyat Indonesia di bawah Sukarno.Mungkin. 

Walau bagaimana pun aku merasa puas kini kerana telah terlibat sama dalam perayaan merayakan kemerdekaan walaupun melalui Radio Malaya. Bolehlah juga aku menceritakan kepada anak cucuku bahawa aku turut sama merayakan pencapaian kemerdekaan pada malam 31 Ogos 1957.


abuhassanadam

3 September 2023

No comments:

Post a Comment