WAKIL RAKYAT KURANG MEMBACA - APA 'UBAT'NYA?
Ramai yang mengatakan bahawa orang Melayu umumnya kurang membaca ataupun ramai orang Melayu langsung tidak membaca untuk menimba ilmu pengetahuan dari buku yang dibaca. Lantas bolehlah disimpulkan bahawa wakil rakyat sebagai pemimpin juga kurang membaca. Boleh dilihat di persidang parlimen yang membahaskan isu-isu berat berkaitan dengan eknomi negara. Tidak ramai wakil rakyat yang mengambil bahagian disebabkan tidak dapatmenganalisis isu yang dibincangkan kerana kurangnya fakta disebabkan kurangnya membaca. Agaknya. Itu berdasarkan kurangnya penglibatan wakil rakyat dalam membahaskan isu-isu penting di Dewan Rakyat.
Tidak ada statistik untuk menunjukkan yang orang Melayu tidak membaca. Aku yakin mereka tidak membaca. Ramai yang berpendirian bahawa tidak ada peruntukan kewangan untuk membeli buku. Bukan sahaja bagi orang yng tinggal di kampung. Yang tinggal di bandar-bandar juga tidak 'rapat' dengan buku. Mungkin juga boleh dikatakan ramai orang Melayu tidak membaca langsung. Aku beranggapan begitu kadang-kadang. Maknanya selepas seseorang pelajar itu menamatkan pengajiannya di university , mereka telah mencampakkan buku-buku mereka kecualilah memerlukan buku ketika menjalankan pekerjaan di pejabat. Itu pun ramai yang tidak berbuat demikian.
Yang menyebabkan kurangnya pemimpin Melayu mengambil bahagian sama ada di parlimen ataupun di majlis-majlis diskusi adalah berpunca dari kurangnya ilmu untuk melinatkann diri dalam diskusi akademik. kebanayakan mereka yang hadir dalam majlis-majlis ilmu adalah semata-untuk 'mengambil' hati golongan yang menjemput mereka ke majlis berkenaan dan bukan untuk memberikan 'input' yang berguna.
Serupa jugalah dengan kehadiran wakil rakyat di Parliament. Mereka datang kerana terpaksa datang dan 'meramaikan' jemaah dan terlalu sedikit ahli parlimen yang datang untuk memberikan sumbangan fikiran. Mungkin juga aku silap. Bagaimanakah mereka yang 'kosong pemikiran' mereka hendak memberikan sumbangan sedangkan sudah amat jauh ketinggalan dalam arus pemikiran moden. Bagaimanalah mereka hendak memberikan input yang berkait dengan ekonomi sekiranya mereka tidak mendalami ilmu berkenaan.
Dan mulalah para wakil rakyat kita 'meracau', menyalahkan orang lain sekiranya mereka tidak pantas untuk berbahas secara ilmiah. Dan ekoran daripada itu akan tercetuslah 'kata-mengata' dan keadaan tentunya serupa dengan keadaan yang biasa di kedai-kedai kopi kampung. Mereka mengatakan mereka hebat dalam berbahas, tetapi sebenarnya kebanyakan mereka telah ketinggalan zaman dan hanya menanti saat yang sesuai mereka digantikan dengan yang lebih efisien.Kesannya terdengarlah keriuhan 'kedai kopi' yang datangnya dari ceruk rantau entah dimana. Berbalik juga kita kepada kata-kata orang tua-tua. Jikalau kail panjang sejengkal janganlah laut hendak diduga' Jikalau kurang ilmu di dada tentulah tidak mampu untuk menyampaikan pandangan yang jelas dan jitu.
Yang mendorong aku untuk menyentuh dan 'menyinggung' isu yang berkaitan dengan pembacaan ialah setelah meneliti sejarah hidup seorang tokoh dunia yang terkenal kini ia itu Kishore Mahbubani. Berasal dari Singapura dan pernah memegang jawatan penting sebagai diplomat dan telah pun mengarang beberapa buah buku yang mana antaranya ialah, ' The Great Convergence', "Has China Won'. 'The Asians in the 21st Century'. Tertarik aku dengan kenyataanya ialah bahawa beliau berasal dari sebuah keluarga yang amat miskin yang mengikuti keluarganya dari India berhijrah ke Singapura pada tahun-tahun1940an.
Meringkaskan riwayat hidupnya ialah bahawa kejayaannya adalah berpunca daripada kerajinannnya membaca buku yang secara kebetulan beliau ditempatkan antara dua rak buku di perpustakaan yang membolehkan beliau dengan senang mendapatkan buku yang dikehendakinya dan yang diperlukanya. Dengan cara itulah beliau berjaya mencapai kejayaan yang amat cemerlang sehingga kini. Disebabkan berjinak-jinak dengan bukulah yang merupakan inspirasi dalam kehidupannya.
Beliau juga 'membuka tembelang' dalam hidupnya yang merupakan peminat Mohamed Rafi, penyanyi Hindi yang terkenal. Kishore dengan tidak perlu berselindung menyatakan bahawa beliau adalah peminat tegar Mohd Raffi. Tanpa Mohamed Rafi beliau tidak boleh menghasilkan karya yang bermutu. Luar biasa 'pendedahan' Kishore Mahbubani.
Kehidupan ku dan perjalanan hidupku juga amat bertuah kerana telah diketemukan dengan tokoh yang sentiasa rapat dengan buku. Maknanya yang kehidupannya tidak boleh 'lekang' dengan buku. Allah Yarham Tan Sri Omar bin Mohd Hashim. Masa hidupnya selalu aku pergi melawat Tan Sri Omar bin Mohd Hashim di rumahnya. Pada ketika beliau amat kuat ‘berpaut’ kepada Persatuan Sejarah Malaysia sebagai Pengerusinya. Walaupun sudah agak lanjut usia namun mengikut Puan Sri Aishah, Persatuan Sejarah dan Lembaga Peperiksaan adalah merupakan ‘darah daging’nya dan buku-buku adalah'nyawa'nya.
Aku setuju. Beliau bukan sahaja bekas boss , tetapi beliau juga aku anggap sebagai mentor. Bukan sahaja dalam lapangan pekerjaan tetapi sebagai tokoh yang banyak memandu kehidupan ku. Kata-kata yang diucapkannya pada tahun 1980an dulu masih tengiang-ngiang di telinga aku, apatah lagi segala nasihat yang disampaikan secara langsung dan tak langsung masih terpahat di hati dan sanubari ku sehingga kini.
Sebagai ‘buah tangan’ ( ketika melawatnya) aku bawa bersama sebuah buku berjodol,’ THE MUQADDIMAH’ An introduction to history – the classic Islamic History of the world yang ditulis oleh IBN KHALDUN’ terbitan Princeton University Press. Terpancar keriangan di wajahnya apabila menerima pemberian ku itu. Aku tahu baginya itulah hadiah yang paling berharga. Dan aku tahu juga bahawa aku perlu bersedia sebelum pergi melawatnya. Maksudnya aku perlu membaca sekurang-kurangnya dua buah buku baru di pasaran sebelum aku bawa berbincang dengannya. Jikalaulah ada anugerah tokoh membaca di negara ini, maka aku cadangkan beliaulah salah seorang penerimanya’.
Dengan suaranya yang agak lembut beliau membuka mulut, ‘ kebanyakan orang Melayu kurang membaca…..”. Aku hanya terdiam. Aku menunggu dia terus meluahkan buah fikirannya. “ Jangankan yang duduk di kampung…yang lulusan university pun sudah berhenti membaca. Mungkin mereka merasakan bahawa setelah mendapat ijazah, mereka perlu berehat dari membaca. Tak boleh begitu…..” Beliau terus berbicara. Dan aku terus mendengar dengan penuh minat. Sepatah demi sepatah kata-kata yang bernilai itu masuk ke telinga aku.
Semacam aku tak mahu meninggalkan rumah Tan Sri yang aku amat sayang dan hormat. Rasanya tak puas pertemuan yang sekejap itu. Dulu ada SN Usman Awang yang juga merupakan teman berbicara aku yang juga rakan karib Tan Sri yang merapatkan hubungn aku dengan Dato Usman Awang).Amat seronok dan bahagia sekali apabila mereka berbicara. Dan sememangnya kedua-dua tokoh ini merupakan rakan karib TS Omar ketika sama-sama mereka menetap di Singapura suatu ketika dulu. Ketika Tan Sri menuntut di University Malaya di Singapura.
‘Orang Melayu kurang membaca’ kata Tan Sri. Semacam tak mahu lekang kata-kata itu dari mulutnya.
‘Bagaimana pula dengan pemimpin Melayu yang langsung tak membaca?’ tanya benak aku.
'Tan Sri pun dah tak boleh membaca...' sampuk Puan Sri Aishah (Kak Aishah). Mata dah tak boleh nampak jelas". Seperti halalintar membelah bumi datangnya kenyataan Kak Aishah, sebabnya bagi Tan Sri (yang aku kenali semenjak puluhan tahun' buku adalah nyawanya. Sekiranya sudah tidak dapat membaca, maka akan 'lenyaplah' kehidupannya. Hanya selepas satu minggu pertemuanku dengannya, Tan Sri Omar bin Mohd Hashim meninggalkan aku dan kita semua. AlFatihah.
Hanya air mataku yang memberi kan jawapan kepada kenyataan Kak Aishah.
Semoga rohnya dicucuri rahmat di sana.
abuhassanadam
14 September 2023
No comments:
Post a Comment